Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label PPPM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PPPM. Papar semua catatan

Ahad, September 08, 2013

IMPAK PELAKSANAAN PPPM KEPADA MURID

  • Murid akan mendapat manfaat yang signifikan dalam perkembangan pendidikan mereka tanpa mengira latar belakang. Murid akan belajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, dan akan berasa terangkum dan terdidik dengan pengalaman pembelajaran di sekolah. Apabila menamatkan persekolahan, murid akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai moralyang tinggi, dan berupaya bersaing dengan rakan sebaya dari negara lain. 
  • Murid akan belajar dalam persekitaran yang mempunyai kepercayaan asas bahawa semuamurid boleh belajar, dan semua murid boleh berjaya. Guru akan mempunyai harapan yangtinggi terhadap murid tanpa mengira latar belakang dan pencapaian terdahulu, dan akanmembekalkan murid dengan sokongan yang perlu bagi memenuhi harapan ini.
  • Murid akan mempunyai pembelajaran yang kaya, dari segi akademik dan bukan akademik supaya mereka boleh berjaya dalam kehidupan. Lebih banyak projek dan tugasan berasaskan kumpulan akan dilakukan bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi murid dan keupayaan untuk bekerja secara individu dan berkumpulan. Lebih banyak projek berasaskan komuniti dan aktiviti rentas sekolah akan dilakukan bagi memupuk interaksi dengan individu dari semua latar belakang. Murid akan mempunyai lebih banyak peluang untuk belajar pada kadar kendiri dan mengejar minat mereka dalam aliran akademik, vokasional dan teknikal.
  • Murid akan mempunyai lebih hak bersuara dalam membentuk pengalaman belajar mereka. Guru akan bekerjasama dengan murid dan ibu bapa bagi menetapkan sasaran pembelajaran. Guru juga akan menggalakkan murid menyuarakan pendapat mereka supaya guru tahu gaya pembelajaran yang terbaik untuk setiap murid. 

Sebagai balasan, murid akan diminta supaya sentiasa melakukan yang terbaik dan bekerjasama dengan guru untuk mengurangkan kelakuan yang mengganggu dalam bilik darjah. Semua murid akan mempunyai tanggungjawab bersama bagi membantu menjadikan sekolah tempat yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.

IMPAK PELAKSANAAN PPPM KEPADA GURU

  • Guru akan meningkatkan keupayaan bertaraf dunia yang diperlukan bagi membantu mencapai keberhasilan murid yang dihasratkan, dan akan memperoleh lebih keseronokan dan kepuasan dalam menjalankan tugas mereka. Dengan pakej kerjaya guru yang baharu, mereka akan menikmati perkembangan profesional yang lebih memuaskan, laluan kerjaya yang lebih baik, dan proses penilaian yang telus dan adil serta berkait terus dengan keupayaan dan prestasi yang relevan.  
  • Guru akan mendapat sokongan yang diperlukan untuk berjaya. Guru akan mempunyai lebih akses kepada peluang pembangunan profesional berasaskan sekolah. Mereka akan mengambil bahagian dalam perbincangan dan dialog yang memberikan maklum balas konstruktif, tertumpu kepada pembelajaran dan pembangunan diri bukannya bersifat menyalahkan dan hukuman supaya aspek penambahbaikan boleh dijadikan bidang kekuatan.  
  • Guru akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai, ganjaran berasaskan prestasi dan laluan kerjaya yang lebih baik. Mereka akan melaksanakan tugas di sekolah yang mempunyai kelengkapan yang cukup, dan persekitaran kerja yang sesuai. Beban pentadbiran guru akan dikurangkan supaya mereka boleh menumpukan tenaga pada aktiviti teras, iaitu pengajaran dan pembelajaran.  
  • Guru akan menikmati ganjaran berasaskan prestasi yang menarik termasuk perkembangan kerjaya yang lebih pantas dan boleh mengembangkan minat mereka mengikut laluan kerjaya yang berbeza: pengajaran, kepimpinan, dan kepakaran mata pelajaran. Guru akan didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional. Guru akan saling bekerjasama dalam menangani isu dan berkongsi amalan terbaik. Mereka mempunyai keluwesan pedagogi yang lebih besar dalam bilik darjah dalam usaha memastikan setiap murid belajar. 

Sebagai balasan, guru akan diminta supaya bersikap terbuka kepada pembelajaran dan cara bekerja yang baharu, melibatkan ibu bapa dan murid dalam proses pembelajaran, dan mempamerkan cara berfikir, nilai, dan kelakuan yang dijangkakan daripada murid.

IMPAK PELAKSANAAN PPPM KEPADA PEMIMPIN SEKOLAH

  • Pemimpin sekolah akan menjadi pemimpin instruksional yang cemerlang, dan bertindak sebagai ejen perubahan. Mereka akan menikmati sokongan yang lebih padu dan perkhidmatan yang lebih baik daripada pegawai pendidikan persekutuan, negeri dan daerah. Mereka akan mendapat akses yang lebih besar terhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa, serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia.  
  • Pemimpin sekolah akan mendapat sokongan dan sumber yang mereka perlukan bagi memacu sekolah dengan berkesan. Mereka akan menjalani kursus persediaan, induksi dan latihan berterusan yang lebih baik bagi membantu meningkatkan kemahiran kepimpinan. Mereka akan menerima maklum balas yang lebih cepat daripada PPD berkaitan isu yang dihadapi, daripada penempatan pembimbing pengetua hinggalah kepada peruntukan sumber tambahan, jika sekolah amat memerlukannya.  
  • Pemimpin sekolah akan menikmati persekitaran bekerja yang lebih baik dan ganjaran berasaskan prestasi. Pengetua/guru besar, penolong kanan, ketua bidang dan juga semua ketua panitia akan bekerja di sekolah yang mempunyai kemudahan yang mencukupi. Beban pentadbiran pula dikurangkan supaya mereka boleh menumpukan tenaga kepada kepimpinan instruksional. Mereka akan menikmati ganjaran berasaskan prestasi yang menarik termasuk perkembangan kerjaya yang lebih pantas dan “kredit tambahan” bagi kecemerlangan dalam program penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman yang berprestasi rendah.
  • Pemimpin sekolah akan diberi kuasa melalui pengurusan berasaskan sekolah yang lebih tinggi. Mereka akan mempunyai keluwesan pengendalian yang setara dengan prestasi sekolah mereka dalam perkara seperti penjadualan kurikulum dan peruntukan bajet. Mereka akan menjalinkan kerjasama profesional bersama PPD bagi mendapatkan input untuk sasaran prestasi tahunan, dan akan menikmati ketelusan yang lebih tinggi berkaitan keputusan yang memberikan kesan kepada sekolah mereka. 

Sebagai balasan, pemimpin sekolah akan diminta mencapai set jangkaan yang lebih tinggi yang telah ditetapkan bagi sekolah mereka. Mereka perlu sentiasa terbuka kepada cara bekerja yang baharu, melibatkan masyarakat dalam penambahbaikan sekolah, dan menjalankan tugas sebagai pembimbing dan juru latih untuk membina keupayaan kakitangan sekolah masing-masing dan sekolah lain.

IMPAK PELAKSANAAN PPPM KEPADA IBU BAPA

  • Ibu bapa akan menyaksikan penambahbaikan yang ketara dan lestari dalam pengalaman pendidikan anak-anak mereka. Prestasi dan keutamaan sekolah akan lebih telus, dan ibu bapa akan sentiasa dimaklumkan tentang keadaan anak mereka di sekolah dari segi pencapaian dan juga perkembangan. Ibu bapa akan berperanan seperti rakan kongsi sebenar dengan sekolah dalam membantu pembelajaran anak mereka.  
  • Ibu bapa akan lebih memahami tentang kemajuan anak mereka, dan bagaimana mereka boleh membantu meningkatkannya. Mereka akan berhubung secara tetap dengan guru, dan bukannya ketika timbul masalah sahaja. Mereka akan mempunyai akses penuh terhadap prestasi anak mereka dalam peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah. Mereka akan diberikan bimbingan, iaitu daripada petua keibubapaan hinggalah kepada kelas pendidikan dewasa tentang bagaimana memberikan sokongan terbaik kepada pembelajaran dan kemajuan anak mereka.  
  • Ibu bapa akan mempunyai lebih banyak peluang untuk memberikan input kepada strategi penambahbaikan sekolah anak mereka. Mereka mempunyai hak untuk tahu sepenuhnya tentang misi sekolah, prestasi terkini dan program penambahbaikan tahunan. Melalui PIBG, mereka boleh  memberikan input dalam perkara seperti kualiti guru dan kurikulum. Komitmen mereka terhadap anak dan sekolah akan disambut baik dan dihargai. 

Sebagai balasan, ibu bapa akan diminta supaya menyokong anak-anak mereka bagi memastikan anak mereka mencapai potensi pembelajaran (contohnya, memastikan anak mereka menyiapkan tugasan dan hadir ke sekolah tepat pada masanya). Ibu bapa juga perlu menunjukkan komitmen, pelibatan dan keterbukaan untuk anak mereka. Ibu bapa perlu berkongsi input, dan tumpuan terhadap sekolah melalui cara yang membina, dan melibatkan diri dalam aktiviti sekolah dengan aktif.

IMPAK PELAKSANAAN PPPM KEPADA PEGAWAI KEMENTERIAN

  • Pegawai Kementerian akan bertindak sebagai pemimpin perubahan, dengan kemahiran dan atribut yang diperlukan untuk menyokong sekolah. Mereka akan menjadi pengurus, pembimbing dan penyokong kecemerlangan sekolah yang lebih baik. Mereka akan mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar, lebih kuasa dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi, dan tidak akan terbatas dengan hierarki dan kawalan. Pegawai Kementerian akan menerima sokongan, latihan dan sumber yang bersasaran yang diperlukan untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab baharu mereka. Mereka akan mempunyai peranan baharu yang memfokuskan pada menyokong sekolah, dan akan mempunyai akses kepada lebih banyak peluang perkembangan profesional. Mereka akan terlibat dalam perbincangan maklum balas konstruktif yang memfokuskan pembelajaran dan pembangunan, bukannya menyalahkan dan memberi hukuman. 
  • Pegawai Kementerian akan bekerja dalam persekitaran yang telus dan saling bekerjasama. Cara bekerja secara tersendiri dalam bahagian-bahagian Kementerian akan dihapuskan, manakala peranan dan tanggungjawab akan diperkemas untuk menghapuskan duplikasi fungsi dan aktiviti. Maklumat akan dikongsi secara cekap untuk membuat keputusan berasaskan bukti. Cara keputusan dibuat akan lebih jelas.
  • Pegawai Kementerian akan mempunyai keluwesan pengoperasian dan kebertanggungjawaban yang lebih besar. Sistem pendidikan akan beralih ke arah pemencaran kuasa dengan lebih banyak hak membuat keputusan akan diberikan kepada pegawai peringkat negeri dan daerah. Pegawai akan mempunyai hak yang lebih besar dalam mengenal pasti bidang penambahbaikan di negeri, daerah dan sekolah bawah kendalian mereka. Mereka juga mempunyai hak yang lebih besar dalam menyediakan penyelesaian yang spesifik kepada konteks. 

Sebagai balasan, pegawai Kementerian akan diminta untuk sentiasa terbuka kepada maklum balas daripada sekolah dan masyarakat. Mereka akan memperjuangkan perubahan yang akan berlaku dalam sistem pendidikan. Mereka perlu lebih responsif dalam memberikan sokongan dan sumber yang diperlukan oleh sekolah, serta bagi memastikan semua pihak berkepentingan dalaman dan luaran tahu tentang apa-apa yang berlaku.

PPPM - ASPIRASI MURID

Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan.
Pelan ini akan terus menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid. Perkara ini selari dengan maklum balas daripada Dialog Nasional. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi untuk membangunkan ciri-ciri atribut dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang diperlihatkan dalam enam ciri (Ekshibit 2-3). Ciri ini bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif; kemahiran memimpin; kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; sahsiah dan nilai, serta semangat identiti nasional yang kuat. Ciri ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat, dan negara. 

1.  Pengetahuan
Pada peringkat paling asas, setiap murid perlu memiliki keupayaan literasi dan numerasi sepenuhnya. Ciri ini melengkapkan mereka dengan kemahiran hidup asas, serta berfungsi secara berkesan dalam masyarakat bagi membolehkan mereka memupuk nilai untuk diri sendiri, masyarakat dan negara. Di samping itu, penting bagi murid menguasai mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Mereka juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan dalam bidang lain, seperti seni, muzik dan sukan. Selain pengetahuan dalam bidang ini, murid juga perlu mempunyai keupayaan mengaplikasi pengetahuan ini dalam situasi harian. 


2.  Kemahiran berfikir
Setiap murid perlu membina kemahiran inkuiri dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat supaya boleh menghubung kait pelbagai pengetahuan, dan mewujudkan pengetahuan baharu. Kemahiran berfikir aras tinggi dan kemampuan untuk melakukan inovasi amat kritikal dalam dunia teknologi yang berkembang pesat. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang penting:
  • Pemikiran Kreatif dan Inovatif: kemampuan menginovasi, menjana kemungkinan baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan baharu; 
  • Pemikiran Kritis dan Penaakulan: keupayaan menganalisis maklumat, menjangka masalah dan mendekati isu secara kritis, logik, induktif, dan deduktif bagi mencari penyelesaian, danakhirnya membuat keputusan; dan 
  • Keupayaan Belajar: keupayaan memacu pembelajaran sendiri, dengan kemampuan menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat. 

Sistem pendidikan negara perlu meningkatkan kemahiran murid dalam bidang ini seperti yang digambarkan melalui skor TIMSS dan PISA sejak lima tahun lepas. Skor TIMSS dan PISA 2009+ menunjukkan bahawa murid kurang mampu mengaplikasi pengetahuan serta berfikir secara kritis di luar konteks akademik biasa. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi sistem pendidikan negara membantu setiap murid memperoleh kemahiran berfikir. 

3.  Kemahiran memimpin
Kemampuan bekerja dengan berkesan dan memimpin orang lain adalah penting, terutamanya dalam dunia yang semakin saling berkait. Dalam Dialog Nasional, kepentingan memupuk kepimpinan dan keupayaan bekerja secara berkesan dalam satu pasukan bagi setiap murid sering dibangkitkan. Sistem pendidikan berusaha membantu setiap murid mencapai potensi masing-masing sepenuhnya melalui pelibatan sebagai pemimpin, serta bekerja dalam kumpulan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan mempunyai empat unsur:
  • Keusahawanan: mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan membangunkan penyelesaian sendiri, dan bagi tujuan itu sanggup membuat pelaburan daripada sumber sendiri, serta terdoronguntuk memastikan penyelesaian itu dizahirkan;
  • Berdaya tahan: membina cara berfikir yang konstruktif serta mampu menghadapi rintangan;
  • Kecerdasan emosi: berupaya memahami dan bekerja secara berkesan dengan orang lain serta mampu mempengaruhi mereka secara positif; dan 
  • Ketrampilan komunikasi: berupaya memberikan pendapat dan hasrat secara lisan dan bertulis dengan jelas. 

Sekolah perlu menggunakan peluang yang disediakan di dalam bilik darjah melalui aktiviti berasaskan projek dan kerja kumpulan, dan aktiviti di luar bilik darjah melalui sukan, seni, serta aktiviti kokurikulum dalam membangunkan keperibadian murid. 

4  Kemahiran dwibahasa  
Setiap murid akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa komunikasi antarabangsa. Setiap murid juga akhirnya akan berpeluang mempelajari bahasa tambahan. Kepelbagaian Malaysia yang unik dan warisan berbilang budaya memberikan kelebihan daya saing kepada semua. Murid akan terus berpeluang untuk mempelajari bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan. Kini, sesetengah sekolah kebangsaan juga menyediakan peluang untuk mempelajari bahasa ketiga seperti bahasa Cina, Tamil, Arab, Iban, dan Kadazan Dusun. Pada peringkat menengah, peluang ini diperluas untuk meliputi bahasa antarabangsa lain. Selepas jangka masa tertentu, semua murid akan digalakkan untuk  belajar sekurangkurangnya tiga bahasa bagi membolehkan mereka bekerjasama dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakan dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga negara jiran dalam dunia global masa ini. 

5.  Etika dan kerohanian 
Sistem pendidikan akan mempersiapkan setiap murid supaya berani menghadapi cabaran masa depan, menyelesaikan konflik secara aman, membuat keputusan yang wajar dalam situasi kritikal, dan mempunyai keberanian melakukan apa yang betul. Peneka nan diberikan kepada setiap murid dengan mewujudkan satu set prinsip, termasuk nilai bersama yang kukuh yang didukung oleh semua rakyat Malaysia:
  • Kerohanian: mempunyai pegangan agama yang kuat dan mengamalkannya sebagai asas hidup, serta mendukung standard moral yang tinggi.
  • Integriti: mempunyai keberanian, disiplin, dan semangat untuk melakukan perkara yang betul; dan 
  • Tanggungjawab sivik: bertindak untuk kebaikan negara, mengambil berat terhadap orang lain dan alam sekitar, dan memiliki keupayaan yang mendalam untuk memberikan sumbangan kepada  masyarakat.

6.  Identiti nasional
Rakyat Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi tentang identiti nasional dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara untuk memupuk perpaduan dan masa depan Malaysia. Setiap murid tanpa mengira etnik, kepercayaan, taraf sosioekonomi atau lokasi harus berbangga menjadi rakyat Malaysia. Pencapaian matlamat patriotisme ini memerlukan semangat keterangkuman tinggi yang diperoleh dengan belajar memahami perbezaan dan bertolak ansur, menerima dan menghormati orang lain, serta hidup bersama dalam kepelbagaian masyarakat  Malaysia. Identiti nasional juga memerlukan setiap murid memahami sejarah Malaysia, berkongsi pengalaman dalam dan luar sekolah, dan berkongsi aspirasi untuk masa depan Malaysia.

SEBELAS ANJAKAN UTAMA MENTRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa 

Mengapakah perlu?: 
Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada apa yang murid mesti tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang diikuti. Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan menaakul, membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Kaji selidik yang dijalankan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga mendapati bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan.

Pada masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobiliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Pertama, tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran akan ditanda aras dan diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi, supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Kedua, murid yang memerlukan bimbingan tambahan akan mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan, bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah. 

Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa  Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan 

Mengapakah perlu?: 
Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia mewujudkan persekitaran semula jadi yang kondusif untuk melahirkan murid yang menguasai kemahiran dalam lebih daripada satu bahasa. Sistem pendidikan semasa dapat menyediakan keberhasilan pembelajaran yang membanggakan bagi bahasa Malaysia. Penguasaan kemahiran berbahasa Malaysia adalah meluas dalam kalangan murid, dengan 75% murid mencapai tahap minimum kredit dalam peperiksaan SPM 2010. Bahasa Malaysia juga secara tekal menunjukkan kadar lulus paling tinggi daripada mata pelajaran teras dalam UPSR, PMR dan SPM. Tahap penguasaan kemahiran bahasa Inggeris bagaimanapun adalah jauh lebih rendah. Hanya 28% murid mendapat minimum kredit dalam kertas Bahasa Inggeris SPM 2011 yang ditanda berdasarkan standard kertas Cambridge 1119. Kelemahan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan siswazah baharu merupakan satu daripada lima isu yang sering dihadapi oleh majikan di Malaysia sejak 2006.

Penyertaan murid dalam sekolah rendah yang berlainan, mewujudkan perbezaan dalam keberhasilan murid mengikut etnik. Murid Bumiputera menunjukkan pencapaian yang baik dalam Bahasa Malaysia, iaitu 84% mendapat minimum kredit dalam SPM, berbanding 63% murid Cina dan 57% murid India. Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, hanya 23% murid Bumiputera, 42% murid Cina dan 35% murid India memperoleh skor pada tahap yang sama minimum kredit pada kertas Cambridge 1119 (semua keputusan berdasarkan peperiksaan SPM 2010).

Apakah bentuk kejayaan?: 
Meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris semua murid akan menjadi keutamaan segera. Selepas tiga tahun persekolahan, setiap murid akan mencapai 100% literasi asas dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Pada akhir Tingkatan 5, 90% daripada murid dijangkakan memperoleh minimum skor kredit dalam kertas Bahasa Malaysia SPM, manakala 70% memperoleh skor minimum kredit dalam kertas Bahasa Inggeris SPM (berdasarkan standard Cambridge 1119). Menjelang 2016, Kementerian akan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris wajib lulus peringkat SPM. Tambahan lagi, penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah akan diperkukuh supaya setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025. 

Anjakan 3: Melahirkan rakyat yang menghayati nilai

Mengapakah perlu?: 
Murid hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, daripada kemusnahan alam sekitar hinggalah kepada konflik bersenjata. Untuk berjaya mengharungi segala cabaran ini murid bukan sahaja perlu memiliki kemahiran memimpin, tetapi juga nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil, dan altruisme yang dapat membimbing mereka dalam membuat keputusan beretika. Pada masa yang sama, pembangunan warganegara yang global perlu diimbangi dengan pembangunan identiti nasional yang kukuh.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap murid meninggalkan alam persekolahan sebagai seorang warga global yang telah dipupuk dengan nilai teras sejagat dan memiliki identiti nasional yang utuh. Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan harian, yang seterusnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela; penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik; menghindari perbuatan rasuah dan jenayah serta menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti. Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka, atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar, serta negara. 

Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan 

Mengapakah perlu?: 
Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti guru merupakan faktor berasaskan sekolah yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid. Kualiti sistem tidak boleh melangkaui kualiti guru. Walaupun terdapat guru yang cemerlang dalam sistem pendidikan Malaysia, kajian AKEPT 2011 mendapati bahawa hanya 50% pengajaran disampaikan dengan berkesan. Hal ini bermakna penyampaian mata pelajaran tidak melibatkan murid secukupnya, dan cara mengajarnya lebih pasif serta berbentuk syarahan. Mata pelajaran yang disampaikan lebih berfokus kepada pemahaman kandungan yang tidak mendalam dan tidak memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi. Statistik ini juga menunjukkan cabaran besar yang akan dihadapi kerana lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus mengajar bagi tempoh 20 tahun lagi.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik dalam negara. Guru pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin dari mula mereka mengikuti program latihan hingga mereka bersara. Mereka akan memperoleh peluang pembangunan kerjaya yang menarik dalam beberapa laluan kerjaya yang jelas, dengan kemajuan yang berasaskan prestasi dan kompetensi, dan bukan tempoh perkhidmatan. Sistem pendidikan akan memperkukuhkan budaya teladan rakan setugas untuk meningkatkan kecemerlangan profesional menerusi pementoran, pembangunan dan perkongsian amalan terbaik, serta meningkatkan kebertanggungjawaban rakan setugas dalam memenuhi standard profesion. 

Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah 

Mengapakah perlu?: 
Kualiti kepimpinan sekolah merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua terpenting, selepas kualiti guru, dalam menentukan keberhasilan murid. Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua/guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20%. Walau bagaimanapun, kriteria pemilihan yang diamalkan pada masa ini sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan kepimpinan. Tambahan lagi, 55% daripada semua pengetua/guru besar yang ada pada masa ini tidak pernah mengikuti latihan persediaan atau induksi sebelum atau semasa mereka berada dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai pengetua/guru besar. Hal ini bermakna mereka mungkin menjalankan tugas sebagai pengetua/guru besar dalam keadaan kurang bersedia. Dengan bilangan 40% pengetua/guru besar yang akan bersara dalam tempoh lima tahun akan datang, maka wujud peluang untuk meningkatkan kualiti kohort ini.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap sekolah akan mempunyai pengetua/guru besar berprestasi tinggi yang sentiasa gigih dalam matlamatnya untuk meningkatkan keberhasilan murid, dari segi akademik dan bukan akademik. Pengetua/guru besar cemerlang akan diberikan insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah, dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas. Seterusnya, asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh, iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin instruksional. 

Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan 

Mengapakah perlu?: 
Data kebangsaan dan antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah di Malaysia tersebar merentas spektrum prestasi yang luas. Sebagai contoh, dalam PISA 2009+, 7% daripada sekolah yang terlibat digredkan sebagai “Baik”, 13% “Sederhana” dan 80% “Lemah”. Sejak dahulu lagi, banyak program dibentuk berdasarkan model “satu untuk semua” (one-size-fits-all). Data antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah memerlukan set intervensi yang berlainan supaya bersesuaian dengan tahap prestasi sekolah yang berbeza-beza.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap sekolah, tanpa mengira lokasi, saiz atau jenis, akan menyediakan pendidikan yang baik dan holistik kepada murid. Hal ini bermakna bahawa menjelang tahun 2020, tidak akan ada lagi sekolah berprestasi rendah (Band 6 atau 7) di negara ini, malah lebih banyak sekolah akan diiktiraf sebagai SBT atau Sekolah Kluster Kecemerlangan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan. Jumlah bantuan kewangan dan operasi yang diberikan kepada setiap sekolah akan bergantung pada keperluan khusus masing-masing. Pemimpin negeri, daerah dan sekolah akan mempunyai lebih kuasa untuk membuat keputusan berkenaan operasi harian dan intervensi khusus mengikut konteks sekolah dan  Membolehkan pengurusan berasaskan sekolah yang lebih luas. 

Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia 

Mengapakah perlu?: 
Sepanjang dekad yang lalu, Kementerian telah membelanjakan lebih RM6 bilion untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam inisiatif pendidikan, seperti Sekolah Bestari. Jumlah ini merupakan antara pelaburan modal paling intensif pernah dilakukan dalam sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, penggunaan ICT di sekolah masih tidak mencapai tahap yang memuaskan, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Sebagai contoh, kajian Kementerian pada 2010 mendapati bahawa lebih kurang 80% guru menggunakan ICT kurang satu jam seminggu. Kajian tersebut turut mendapati bahawa hanya sepertiga murid menyatakan bahawa guru mereka menggunakan ICT secara tetap. Kajian UNESCO pada 2012 mendapati bahawa penggunaan ICT tidak beranjak daripada sekadar penggunaan aplikasi pemprosesan perkataan sebagai alat pengajaran. ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu dan kemahiran berfikir yang luas. Namun demikian, potensi ini belum dizahirkan.

Apakah bentuk kejayaan?: 
ICT akan membantu memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000 sekolah. Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik, dan interaktif. Mereka akan dapat belajar mengikut kadar kendiri dan mempunyai pilihan pengajian yang lebih luas melalui program jarak jauh. Pengetua/Guru Besar dan guru juga akan mempunyai akses kepada sumber pembelajaran dan komuniti di dalam dan di luar negara bagi membantu meningkatkan kualiti amalan mereka. Kemudahan ICT akan menjadi sebahagian daripada kehidupan murid di sekolah, tanpa jurang pemisah antara bandar dengan luar bandar. Semua guru dan murid akan dilengkapi kemahiran yang perlu bagi menggunakan teknologi ini secara berkesan dan bermakna. 

Anjakan 8: Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian 

Mengapakah perlu?: 
Sistem penyampaian pendidikan Malaysia mempunyai jaringan yang sangat luas. Sistem ini dikendalikan oleh hampir 6,800 pegawai dan kakitangan sokongan di peringkat Kementerian, 6,400 di JPN dan lebih 6,000 di PPD. Jumlah ini adalah tambahan kepada kirakira 420,000 pengetua/guru besar dan guru di sekolah, dan lebih 13,100 pegawai dan kakitangan sokongan di IPG, IAB dan kolej matrikulasi. Usaha melaksanakan dasar yang merangkumi seluruh rangkaian sebesar ini adalah kompleks. Isu yang dikenal pasti termasuklah pertindihan tanggungjawab di peringkat Kementerian, JPN dan PPD; kekurangan penyelarasan di peringkat bahagian dan pentadbiran; dasar yang kadangkala dilaksanakan berasaskan maklumat yang tidak tekal atau kurang sokongan; serta pemantauan dan tindakan susulan berasaskan keberhasilan yang lemah. Pihak PPD terutamanya, telah dikenal pasti oleh Kementerian sebagai agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan.

Sejak sekian lama, PPD dianggap sebagai cabang pentadbiran peringkat Kementerian dan JPN. Disebabkan keperluan sekolah semakin meningkat, maka skop aktiviti yang dilaksanakan oleh PPD juga semakin meningkat. Sebagai entiti Kementerian yang paling hampir dengan sekolah, PPD diharapkan dapat melaksanakan peranan dengan lebih praktikal. Pihak PPD seharusnya menyediakan sokongan secara terus kepada pemimpin sekolah dan bertindak secara proaktif dalam mengurus prestasi sekolah bagi memastikan keberhasilan murid dapat ditingkatkan. Walau bagaimanapun, penstrukturan sumber Kementerian masih belum diubah bagi memenuhi tuntutan ini, dan akibatnya, sekolah mendapat tahap sokongan yang berbeza-beza daripada PPD.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Kementerian yang telah mengalami transformasi akan mempunyai pemimpin yang  berwibawa di setiap peringkat, proses dan struktur baharu, serta budaya berprestasi tinggi. Peranan Kementerian, JPN dan PPD diperkemas, dengan Kementerian memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar dan perancangan makro. Pihak JPN dan PPD akan diperkukuh untuk memacu pelaksanaan harian. Struktur organisasi disusun semula dengan lebih ramai tenaga kerja ditempatkan di barisan hadapan. Semua langkah ini seharusnya menghasilkan pelaksanaan dasar yang lebih tekal dan berkesan di semua negeri dan daerah. 

Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas 

Mengapakah perlu?: 
Kajian antarabangsa menunjukkan dengan jelas bahawa proses pembelajaran turut berlaku di luar sekolah, termasuk di rumah dan dalam komuniti. Di Malaysia, kira-kira satu perempat daripada masa murid yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun dihabiskan di sekolah. Oleh itu, keutamaan kini adalah melakukan anjakan daripada “pembelajaran berasaskan sekolah” kepada “pembelajaran berasaskan sistem” dengan melibatkan ibu bapa, komuniti, sektor swasta, dan masyarakat sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid.

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sesetengah pelibatan yang demikian meninggalkan kesan yang signifikan. Sebagai contoh, dapatan kajian OECD tentang PISA menunjukkan bahawa sesetengah aktiviti antara ibu bapa dengan anak, seperti membaca pada setiap hari atau membincangkan kegiatan harian, dapat meningkatkan keberhasilan murid secara signifikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. Kajian antarabangsa juga membuktikan bahawa sekolah yang melibatkan sektor perniagaan, organisasi awam dan institusi pengajian tinggi mendapat manfaat termasuklah gred yang lebih tinggi dan ketakhadiran murid yang rendah.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap ibu bapa akan menjadi rakan yang aktif dalam proses pembelajaran anak mereka, bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim, seperti hari sukan dan hari penyerahan kad laporan, tetapi juga menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang diperkukuhkan bagi menyediakan maklum balas tentang hal ehwal pengurusan berasaskan sekolah. Di samping itu, penggunaan sarana ibu bapa juga menyokong pembelajaran murid. Sekolah juga akan mempunyai rangkaian komuniti dan sektor swasta sebagai rakan yang mampu memberi sumbangan kepakaran untuk kemajuan sekolah. Pelibatan semua pihak berkepentingan ini akan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang memperkukuhkan pengajaran ilmu, kemahiran, dan nilai yang diajar kepada murid di sekolah. 

Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit 

Mengapakah perlu?: 
Pada 2011, sebanyak 16% daripada bajet tahunan Persekutuan dibelanjakan untuk pendidikan, dan jumlah ini merupakan bahagian yang paling besar antara semua Kementerian. Bajet pendidikan Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada bajet tertinggi di dunia. Pelaburan yang signifikan ini menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pendidikan. Namun, perpindahan sejumlah besar dana daripada bahagian keutamaan lain kepada sistem pendidikan tidak mungkin akan berlaku. Sebaliknya, Kementerian adalah kritikal bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam perbelanjaan dan peruntukan dananya.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Kerajaan akan terus melakukan pelaburan yang bersesuaian, iaitu anggaran 16% daripada bajet persekutuan, bagi melaksanakan transformasi hebat dalam sistem pendidikan. Kementerian akan memperuntukkan dana ini bagi keutamaan yang direncanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, dan tidak melibatkan program dan inisiatif lain yang berimpak rendah. Kerajaan juga akan memantau dan melaporkan pulangan atas pelaburan daripada setiap inisiatif, dengan pelaburan seterusnya bergantung pada hasil yang ditunjukkan. 

Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung 

Mengapakah perlu?: 
Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi menunjukkan perubahan asas kebertanggungjawaban Kerajaan terhadap rakyat. Tahap kebertanggungjawaban yang lebih rendah daripada standard yang ditetapkan itu, kini tidak boleh diterima lagi. Perkara ini diperkukuhkan semasa berlangsungnya Dialog Nasional. Dalam Dialog ini, pihak berkepentingan kerapkali menekankan bahawa Kementerian perlu tingkatkan pelibatan dengan orang awam dan menjelaskan kepada mereka tentang jenis dan kemajuan inisiatif yang dilaksanakan serta hasil yang akan
diperoleh.


Apakah bentuk kejayaan?: 
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan kemajuan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Maklumat ini akan membolehkan mereka terlibat dalam dialog positif bersama Kerajaan bagi membincangkan inisiatif sedia ada dan akan datang. Mereka juga boleh menggunakan maklumat ini untuk melibatkan diri dengan komuniti sekolah setempat atau sistem pendidikan yang lebih luas seperti yang dinyatakan dalam Anjakan 9. Cara ini bukan sahaja akan membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berupaya, tetapi juga menjurus kepada cara penggubalan dasar yang lebih bertanggungjawab dan lebih responsif dalam Kementerian.

INTIPATI PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025

  1. Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020. 
  2. Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang. 
  3. Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020. 
  4. Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia. 
  5. Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa. 
  6. Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kcekapan. 
  7. Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan. 
  8. Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan. 
  9. Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan. 
  10. Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 
  11. Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan. 
  12. Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. 
  13. Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 
  14. Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global. 
  15. Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun. 
  16. Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas. 
  17. Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah. 
  18. Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan Sarawak. 
  19. Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja. 
  20. Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini. 
  21. Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.