Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Yang Menarik Di Sekitar SMK Telok Kerang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Yang Menarik Di Sekitar SMK Telok Kerang. Papar semua catatan

Khamis, Disember 17, 2009

YANG MENARIK DI SEKITAR SMK TELOK KERANG - TAMAN REKREASI AWAM RAMBAH


Taman Rekreasi Awam Rambah terletak di muara Sungai Rambah, Kampung Rambah, di daerah Pontian. Jarak dari SMK Telok Kerang hanya 3 km sahaja. Jarak taman ini dari bandar Pontian hanya lebih kurang 10 km arah ke selatan (Kukup). Apabila sampai di jambatan Sungai Rambah, belok ke kanan menghala ke barat. Taman ini terletak lebih kurang 500 meter dari jalan besar Pontian-Kukup.

Di barat taman ini ialah Selat Melaka, di selatannya ialah Kampung Parit Bilal Laut, dan di utaranya pula ialah Kampung Rambah. Ia terletak di kuala Sungai Rambah di tepi laut Selat Melaka. Sungai Rambah membelah dan membahagi Kampung Rambah.
Taman ini sememangnya cantik! Tak percaya? Silalah datang. Pemandangan matahari terbenam waktu senja memang cantik. Ia boleh dilihat ke arah barat di kaki langit di laut yang terbentang luas. Aapabila pandangan kita dilayangkan ke arah barat daya, nun di tengah samudera terlihat Pulau Karimun milik Indonesia. Kawasan kuala dan pantai taman ini banyak ikan sembilang. Kaki-kaki pancing selalu memancing di taman ini. Kita juga boleh melihat nelayan-nelayan pantai keluar masuk ke pengkalan melalui kuala sungai di taman ini.


















Isnin, Disember 14, 2009

YANG MENARIK DI SEKITAR SMK TELOK KERANG - TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI

Taman Negara Tanjung Piai. Taman Negara Tanjung Piai adalah tempat terkeselatan benua Asia. Terletak di selatan Johor dan tepatnya di selatan daerah Pontian. Berdekatan pula dengan Kukup. Sebelum sampai ke Tanjung Piai, kita akan melalui kampung-kampung tradisional yang dipenuhi pokok-pokok kelapa yang melambai-lambai.

Dulu Tanjung Piai ni sunyi sepi. Ia mula terkenal apabila kawasan ini yang dipenuhi hutan paya bakau dijadikan Taman Negara Tanjung Piai. Beberapa kemudahan untuk pelancong telah disediakan seperti jeti, laluan menyelusuri hutan paya bakau, pondok rehat, menara tinjau, balai informasi, dan tapak perkhemahan. Di hujung paling terkeselatan dibina pula jeti. Di atas jeti ini dibina globe dunia, tetapi sekarang jeti ini rosak. Apabila kita berdiri di jeti ini, nun di kejauhan sana kelihatan bangunan pencakar langit di Singapura dan kapal-kapal sedang menunggu masuk ke pelabuhan Singapura. Tanjung Piai dipisahkan dengan Singapura oleh Selat Johor. Satu laluan trem yang baru sedang dibina untuk ke hujung benua ini.

Pelancong yang ingin masuk ke taman ini dikenakan bayaran di pintu masuk. Parking kereta pun di kenakan bayaran. Pokok bakau minyak banyak terdapat di sini. Hidupan lumpur laut juga banyak tetapi tidak dibenarkan mengambilnya. Ia hidupan terlarang. Jangan sekali-kali mengutipnya nanti kena denda.




Tanda arah jalan ke Taman Negara Tanjung Piai.

Laluan masuk ke Taman Negara Tanjung Piai.

Pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai.

Replika tumbuhan paku piai.

Nama Tanjung Piai berasal daripada tumbuhan ini, paku piai.

Ahad, Disember 13, 2009

YANG MENARIK DI SEKITAR SMK TELOK KERANG - KUKUP


Kukup adalah pekan kecil di selatan negeri Johor. Ia terletak di selatan daerah Pontian dan jaraknya lebih kurang 20 km dari bandar Pontian. Di sebelah baratnya adalah Selat Melaka. Kukup yang dulunya hanya sebuah kampung nelayan, kini telah mula berubah wajah dengan pembinaan rumah-rumah kedai, terminal bas dan teksi, terminal feri antarabangsa, surau, dan lain-lain. Apabila hendak masuk ke pekan ini, sebuah gerbang akan menyambut kedatangan pelancong.


Di sini telah dibina sebuah terminal feri yang dinamakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup. Terminal ini penting sebagai pintu masuk antarabangsa terutamanya bagi rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia. Rakyat Malaysia juga banyak yang melancong ke Indonesia terutamanya ke Tanjung Balai di Pulau Karimun. Di hujung minggu terminal ini sibuk mengendalikan ketibaan dan pelepasan feri-feri sama ada masuk ke Malaysia atau berlepas ke Indonesia

.

Sebahagian besar penduduk di Kukup adalah nelayan. Disamping itu ada yang mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar. Nelayan dan pengusaha ini menggunakan jeti khas untuk pendaratan ikan-ikan. Suasana begitu hidup semasa nelayan-nelayan memunggah hasil tengkapan ke jeti untuk diangkut dengan lori. Banyak juga restoran-restoran makanan laut di Kukup ini. Pelancong-pelancong terutamanya dari Singapura biasanya menjamu selera di restoran-restoran ini pada hari Sabtu dan Ahad. Mereka berkereta datang ke sini.
 
Ada di kalangan pengusaha pelancongan yang menyediakan perkhidmatan bot untuk mengangkut pelancong melawat perairan di sekitar Kukup. Mereka di bawa bersiar-siar ke perusahaan penternakan ikan dalam sangkar, mengelilingi Pulau Kukup dan juga melihat perkampungan nelayan dari arah laut.


Jika ke Kukup jangan lupa melawat ke perkampungan nelayan Air Masin. Rumah-rumah penduduk di kampung ini dibina di atas air dengan bertiangkan konkrit. Ada di antara rumah-rumah itu dijadikan homestay. Pemandangan waktu senja dimana matahari terbenam di ufuk barat boleh dilihat di perkampungan ini.













Sabtu, Disember 12, 2009

YANG MENARIK DI SEKITAR SMK TELOK KERANG - ASAM PEDAS MAK CIK MUNAH DAN MAK CIK SALMAH


Siapa sangka di sebuah kedai makan mini di Pekan Permas, Pontian di situ ada keistimewaan. Di celah-celah barisan kedai di Pekan Permas yang terletak lebih kurang 10 km dari SMK Telok Kerang, ada kedai makan yang dikunjungi orang ramai sekitar 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Tanda nama kedai pun tak ada. Apakah yang mereka cari?

Asam Pedas!

Asam pedas ni masakan popular orang Johor dan Melaka.

Asam pedas masakan Mak Cik Munah dan Mak Cik Salmah pengusaha kedai makan mini itulah yang menjadi buruan peminat asam pedas. Datanglah awal ke kedai tersebut jika nak rasa asam pedas mereka berdua. Kalau datang pukul 1.00 tengah hari alamat meloponglah kerana asam pedas dah sold out. Peminat asam pedas siap hirup kuah. Mak Cik berdua tu pulak memang menghidangkan kuah asam pedas dalam mangkuk lebih besar daripada kebiasaan. Sekali sekali saya juga ke sana untuk menikmati asam pedas. Pada saya asam pedas Mak Cik Munah dan Mak Cik Salmah memang sedap. Peminat asam pedasnya bukan saja orang Melayu bahkan orang Cina juga sanggup menunggu sebelum diaorang mula berniaga lebih kurang pukul 11.00 pagi setiap hari kecuali hari Ahad.
Info mengenai asam pedas daripada Wiki:


Asam Pedas memang terkenal di Melaka dan Johor. Sebut sahaja asam pedas semua orang tahu bahawa masakan itu sangat sedap dan popular di Negeri Melaka dan Johor. Resepi untuk membuatnya tidaklah terlalu rumit dan tidak pula terlalu mudah.Walau bagaimanapun terdapat juga kawasan-kawasan lain di negeri Melaka dan Johor ini mempunyai resepi asam pedas yang berlainan. Terpulang kepada citarasa masing-masing untuk menyedapkan lagi masakan mereka.
Kebiasaannya bahan-bahan yang mesti ada ialah terdiri daripada ikan, cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur atau daun limau purut. Bahan-bahan ini hendaklah mengikut sukatan masakan.

Cara untuk membuatnya cili kering, bawang merah dan putih, halia dan belacan dikisar atau ditumbuk lumat. Serai dan lengkuas diketuk dan bunga kantan dibelah empat. Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar dan lengkuas tadi kedalam periuk sehingga naik baunya dan garing. Jangan pula hangus. Selepas itu masukkan air asam jawa mengikut banyak atau sedikit sukatan masakan. Ikan yang telah dibersihkan dimasukkan sehingga mendidih. Akhir sekali masukkan serai, daun kesum, bunga kantan, asam gelugur atau daun limau purut.

Kebiasaan masakan asam pedas bukan sahaja di hidangkan untuk keluarga di rumah malah masakan ini juga terdapat di kedai-kedai makan, restoran, juga di hotel-hotel yang terkemuka di negeri Melaka dan Johor. Ia bukan saja terkenal dan di sukai oleh penduduk negeri Melaka dan Johor sahaja bahkan pelancong dari dalam dan luar negara juga meminati masakan asam pedas ini.