Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Masjid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masjid. Papar semua catatan

Khamis, Mei 30, 2013

UNIKNYA MASJID IHSANIAH ISKANDARIAH

Unik dan ada kelainan seni bina Masjid Ihsaniah Iskandariah ini yang terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak ini. Ia berlainan berbanding masjid-masjid lain di negara ini. Keseluruhan dinding Masjid Ihsaniah Iskandariah diperbuat daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai 'Kelarai Bunga Potong Belian'. Ia merupakan salah satu seni bina bagi rumah tradisional Melayu Perak.
 
Mengikut sejarahnya, Masjid Ihsaniah Iskandariah telah dibina setelah Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 (1918-1938) bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.
 
Keunikan seni bina Melayu banyak terdapat di masjid itu. Paling nyata adalah dinding dikenali sebagai tepas yang dibuat daripada anyaman buluh. Bangunan masjid dua tingkat itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah serta berbentuk seperti sangkar burung. Struktur bangunan termasuk anyaman buluh dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan yang terdiri daripada Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah. Tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah manakala tingkat bawah dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan.
 
Baginda Sultan telah merasmikan masjid itu pada Jumaat 10 Zulhijjah tahun 1356 Hijrah bersamaan 11 Februari 1938.
 
Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja pemuliharaan untuk membaiki semula kerosakan struktur bangunan tersebut. Kerja pemuliharaan telah disiapkan pada Julai 2009 dan masjid ini telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan.
 
Di sebelah masjid ini telah dibina masjid baru untuk digunakan oleh masyarakat Kampung Kuala Dal. Sesiapa yang melalui jalan Padang Rengas-Kuala Kangsar, bolehlah singgah di masjid ini.
















Rabu, November 30, 2011

MASJID KEMBAR DI MUAR

Sesiapa yang pernah pergi ke Muar, Johor tentu pernah melihat atau bersolat di salah satu masjid ini iaitu dua buah masjid yang seakan-akan sama reka bentuknya. Kedudukan kedua-duanya terletak bertentangan yang dipisahkan oleh Sungai Muar. Yang terletak di Bandar Maharani dinamakan Masjid Sultan Ibrahim manakala yang terletak di Tanjung Agas dinamakan Masjid Sultan Ismail.

Masjid Jamek Muar (Masjid Sultan Ibrahim) adalah merupakan nama pertama yang diberikan sempena pembuatan masjid dan meupakan masjid yang tertua di Daerah Muar ini. Pembinaan ini ditaja pada tarikh 21 Rejab 1343 Hijriyyah bersamaan 15 Februari 1925 Masihi. Senibina masjid ini telah dilukis oleh “pelukis” Johor pada masa itu iaitu En. Sulaiman Bin Hj. Ilyas. Pembinaan tersebut diketuai oleh Mejar Al-Haj Muhammad Said Bin Hj. Sulaiman. Masjid ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Ismail (Tengku Mahkota Johor), Yang Berhormat Dato’ Mustapha (Menteri Besar Johor) pada hari Jumaat, jam 11 pagi pada 29 Ramadhan 1347 Hijriyyah bersamaan 28 Februari 1930 Masihi.

Di seberang sungai iaitu di tanjung Agas, didirikan pula Masjid Sultan Ismail. Ia menjadi mercu tanda terbaru bandar Muar. Masjid Sultan Ismail iaiah Masjid Jamek Kedua yang terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah masjid terbesar di Muar dan rekabentuknya adalah replika kepada masjid Sultan Ibrahim, Masjid Jamek Pertama yang terletak di Jalan Petri di tebing selatan. Masjid ini disiapkan pada tahun 2002. Ia menyajikan pemandangan indah apabila dilihat daripada bandar Muar, seolah-olah ia terapung di atas sungai. Masjid ini dapat memuatkan lebih kurang 5000 jemaah didalam satu masa.

Sekilas mengenai Masjid Sultan Ismail:
  • Ia replika kepada Masjid Sultan Ibrahim yang bercirikan senibina Inggeris. Ia menjadi mercu tanda terbaru di Bandar Maharani. Didirikan betul-betul di utara tebing Sungai Muar. Pelan arkiteknya persis kepada Masjid Sultan Ibrahim.
  • Menara azannya lebih besar dan setingkat lebih tinggi daripada Masjid Sultan Ibrahim.
  • Rekabentuk dalamannya juga menerapkan nilai2 senibina dalaman Masjid Sultan Ibrahim. Perbezaannya hanyalah dari segi bahan binaan, saiz dan kehalusan seni pembuatannya.
  • Siling di sini adalah siling plaster gypsum yang bercorak sedangkan siling di Masjid Sultan Ibrahim masih menggunakan siling fibreboard 4x4 ber`beading' kayu yang dicat.
  • Lantai masjid ini disudahi dengan jubin manakala Masjid Sultan Ibrahim pula berlantaikan marmar putih bercorak. Ruang solat utama untuk kedua-dua masjid disudahi dengan permaidani.
  • Bentuk dan corak pintu masuk di sekeliling ruang solat utama Masjid Sultan Ismail ini adalah serupa dengan Masjid Sultan Ibrahim.
  • Tiang-tiang roman yang berjejeran di dalam ruang solat utama juga adalah versi yang sama, cuma di sini ianya berfungsi sebagai struktur penyokong tingkat mezanin dan juga bumbung sedangkan di Masjid Sultan Ibrahim ianya sebagai penongkah bumbung sahaja.
  • Bentuk dan saiz mimbar seakan-akan sama, tetapi tidak seiras. Kedudukan tangganya adalah serupa. Yang ketara berbeza adalah bahan buatannya serta seni ukirannya yang mana di sini ianya diperbuat daripada kayu berukir halus sedangkan di Masjid Sultan Ibrahim ia dibuat dari logam yang diukir juga.
  • Dinding belakang mimbar serupa dengan Masjid Sultan Ibrahim, cuma berlainan warna catnya.
  • Ruang wuduk berbentuk bulat di kedua-dua masjid. Namun di sini ianya berbumbung kubah sedangkan di Masjid Sultan Ibrahim ruang wuduknya dibiarkan lopong untuk menadah air hujan.
  • Kedua-dua masjid dicat dengan warna yang serupa dibahagian luar bangunan, iaitu putih dan biru. Di bahagian dalam warna catnya berbeza.
 

Masjid Sultan Ibrahim dilihat dari Masjid Sultan Ismail.

Bahagian hadapan Masjid Sultan Ibrahim.

Bahagian hadapan Masjid Sultan Ismail.

Bahagian belakang sisi kiri masjid Sultan Ibrahim.

Bahagian belakang sisi kiri Masjid Sultan Ismail.

Bahagian hadapan sisi kanan Masjid Sultan Ibrahim.


Bahagian hadapan sisi kanan Masjid Sultan Ismail.

Sisi kiri Masjid Sultan Ibrahim.

Sisi kiri Masjid Sultan Ismail.

Pintu utama Masjid Sultan Ibrahim.

Pintu utama Masjid Sultan Ismail.

Masjid Sultan Ismail.

Masjid Sultan Ibrahim.


Isnin, Oktober 03, 2011

KEINDAHAN SENI REKA BENTUK MASJID

Dah lama saya nak membicarakan mengenai seni reka bentuk masjid, tapi tak ada idea. Namun apabila perayauan saya singgah di  http://www.islamgrid.gov.my/, barulah nampak ilmu mengenai pembinaan sesebuah masjid. Saya ucapkan terima kasih atas penulis artikel ini dan pemunya foto-foto yang saya lampirkan. Sama-samalah kita mengongsinya. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan.

Satu lagi seni Islam ialah seni bina di mana ianya menapai tahap yang mengagumkan. Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk yang direka oleh manusia. Menurut Ibn Khaldun seni bina merupakan satu daripada asas tamadun yang paling utama yag merupakan lambang atau menifestasi daripada sesuatu tamadun. Oleh itu berdasarkan pencapaian ini maka keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur. Buktinya daat dilihat melalui tamadun-tamadun purba yang agung. Pada zaman tersebut, seni bina yang bermutu dihasilkan dan masih lagi wujd waluun dalam bentuk yang telah usang dan hampir runtuh.

Aspek seni bina Islam yang terpenting yang harus diperhatikan iala seni bina masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai cri terpenting sesebuah bandar. Ini dapat kita perhatikan daripada sirah Rasullah s.a.w tatkala baginda berhijrah ke Madinah, perkara yang pertama baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid. Masjid pertama menjadi lanmbang kekuatan aqidah, kesatuan dan perpaduan umat Muslimin. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah Masjid al-Nabawi yang digunakan oleh Rasulallah s.q.w sebagai pusat tarbiah (pendidikan) dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, peradaban, perang dan sebagainya. Selari dengan perkembangan masa dan kepentinganya, masjid kemudiannya dikembangkan dan diperindahkan dengan pelbagai unsur dekoratif-ornamentif berdasarkan latarbelakang budaya persekitaran umat Islam.

Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dan kebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalam seni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadhu', aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah s.w.t. Pengagungan dan perhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan reka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Kepentingan seni bina masjid di bandar silam Islam digambarkan dengan terdapat 241 buah masjid. Di Kaherah pada abad ke 15 masehi pula terdapat 88 buah masjid jamek (masjid uatama) dan 19 masjid kecil.

Dari segi strktur dalaman dan luaran masjid, beberapa perkara dapat dilihat khususnya dari aspek mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul, tiang dan pilar utama, anjung dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi. Perkara-perkara ini merupakan karektiristik seni bina masjid yang memperlihatkan keunikannya yang tersendiri berbanding dengan seni bina yang lain. Selain itu, seni bina masjid banyak mengetengahkan bentuk-bentuk bulat yang merupakan bentuk yang paling sempurna yang mencerminan kelembutan dan kehalusan seolah-lah ia tidak berkesudahan.

Selain daripada masjid, seni bina Islam juga merangkumi bangunan-bangunan kediaman, kedai, jambatan, saluran air, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya. Seni bina mencirikan kepada lambang Islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t serta menitikberatkan kepada reka bentuk Islam banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid seperti istana-istana, kota-kota seperti kota Baghdad malah di Malaysia sendiri seperti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan kerertapi tanah melayu, bangunan daya bumi dan pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

Di bawah ini adalah foto beberapa masjid yang bertaburan di seluruh dunia. Lihat, amati, nikmati dan hayati keindahan seni reka bentuk masjid-masjid tersebut. Sungguh mengagumkan!