Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Aidilfitri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aidilfitri. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 04, 2015

HARI RAYA INI JOM BALIK KAMPUNG BERTEMU IBU AYAH DAN SANAK SAUDARA

ISU HARI RAYA CUBA JANGAN BALIK KAMPUNG

Kecoh di laman sosial baru-baru ini apabila Syed Abdul Aziz Al Qubra, seorang pakar motivasi menyarankan agar warga kota jangan balik kampung menyambut Hari Raya kali ini. Saranan yang saya anggap kurang sesuai dari seorang pakar motivasi.

Berdasarkan pengalaman, saranan sebegini adalah tidak munasabah dan bukan satu nasihat yang baik dalam kaitan mengatur urus kewangan dan memperkasa silaturrahim kekeluargaan yang harmoni.

Bagi saya, 'jimat berbelanja' bukan alasan utama untuk tidak balik kampung beraya tetapi terpaksa disebabkan situasi tertentu. Tidak balik kampung merebut peluang menyambung silaturrahim di bulan yang mulia semata-mata kerana 'nak jimat duit' bukanlah satu sikap yang beradab apatah lagi tujuan kebiasaannya adalah untuk bertemu ibu bapa dan berkumpul sekeluarga.

Apa yang penting, janganlah kebijaksanaan kita membuatkan kita dilabel sebagai “anak tanggang”, semata-mata kerana duit. Motivasi kedekut tak bertempat. Banyak lagi cara sebaiknya untuk membentuk sikap jimat berbelanja. Sesungguhnya, berkat ibu bapa mahu pun mertua amatlah besar. Hari Raya merupakan waktu terbaik untuk bersama… 


Jumaat, Ogos 01, 2014

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Sebahagian foto-foto kami sekeluarga semasa Hari Raya Aidilfitri di rumah sendiri, di Bagan Serai, di Arau, di Pengkalan Hulu, di Kati dan di Taiping...



  









Ahad, Ogos 11, 2013

BERMARHABAN DI RUMAHKU

Kami sekeluarga sungguh gembira apabila kumpulan marhaban kampung kami datang berkunjung ke rumah kami. Mereka berselawat dan berdoa dan menjamu selera. Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali siturrahim dan kasih sayang sesama jiran tetagga dan penduduk sekampung. Harapan kami agar dengan bermarhaban keliling kampung ini boleh membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Seterusnya dengan bermarhaban ini dapat mengukuhkan persaudaraan dan silaturrahim melalui ucapan salam aidilfitri, berziarah, bermaafan dan berselawat.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Doa bermarhaban di Hari Raya Aidilfitri keliling kampung di kampung kami:

"Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia Rasul dan juga atas sekelian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah Tuhan yang mentadbir seluruh keadaan. Tuhan yang maha pemurah dan maha tinggi. Dengan limpah dan kemurahan-Mu tukarkanlah apa kiranya keadaan kami ini kepada sebaik-baik keadaan. Berkatkanlah kami dan sekelian kaum muslimin bersempena dengan bulan Syawal ini.

Ya Allah wahai Tuhan yang Dialah sebaik-baik tempat dihadapkan permohonan. Perkenankan apa kiranya doa permohonan kami ini dan kurniakanlah lagi peluang bagi kami menemui bulan Syawal ini kepada kami dari tahun demi tahun hingga beberapa masa.

Dan kami mohon semoga Tuhan kami berkati tuan rumah ini Cikgu Hasan b Kasmuri sekeluarga,  serta lanjutkan umurnya dalam iman, mendapat rezeki halal dan diselisihkan daripada rezeki haram. Mohon limpah rahmat-Mu jua ya Alah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.

Barang dicucuri rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad dan sekelian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam."








Khamis, Ogos 08, 2013

1 SYAWAL HARI LEBARAN

Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakkan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang tinggi. Hubungan persaudraan yang baik adalah satu usaha untuk membentuk individu yang berkualiti. Ini boleh membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Aidilfitri memberi peluang yang luas ke arah pengukuhan perhubungan kekeluargaan dan  persaudaraan melalui ucapan salam Aidilfitri, bermaafan dan peluk cium dalam keluarga. 
 
Pada pagi 1 Syawal kami berkumpul anak beranak. Semua ada dan masing-masing cuti panjang. 'Abang' cuti seminggu belajar menghabiskan masternya, kakak cuti sebulan belajar di Jogjakarta, Indonesia dan 'adik' cuti hujung semester selama sebulan. Dari petang hingga malam kami bersama-sama membuat persediaan masak juadah hari raya seperti ketupat, pulut kukus, rendang ayam dan rendang daging, kari daging, ayam masak korma, sambal kacang, lodeh dan sambal goreng. Masak sikit-sikit sahaja cukup untuk kami sekeluarga dan famili yang datang beraya ke rumah kami nanti.  Setelah menikmati hidangan hari raya di pagi yang hening, masing-masing bersalaman dan bermaafan dan seterusnya bersolat sunat Aidilfitri di Masjid Annur di kampung kami.
 
Hari pertama ini kami yang lelaki akan join dengan ahli kariah kampung bermarhaban keliling kampung sehingga selesai. Hari raya kedua pula akan berziarah sanak-saudara di sekitar Johor, dan pada hari raya ketiga kami akan balik kampung di Bagan Serai, Perak beraya dengan emak dan kaum keluarga di sana.










Rabu, Ogos 07, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Selamat Hari Raya ku ucapkan kepada keluargaku, saudara-maraku, rakan-rakanku, kenalanku dan umat Islam yang sama-sama merayakan hari kemanangan ini. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Isnin, Ogos 20, 2012

PENGISIAN SYAWAL

Bulan Ramadan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki bulan Syawal. Apakah amalan-amalan ibadah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini?

  1. Mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di mana jua. Memohon kemaafan daripada ayahanda dan bonda dan lain-lain. Berziarahlah menemui sanak-saudara, sahabat handai, guru-guru kita dan lain-lain di bulan ini.
  2. Mohon doa semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadan. Kita meminta kepada Allah semoga mempertemukan kita kembali dengan Ramadan pada tahun-tahun hadapan.
  3. Bulan Syawal memang masa untuk kita bergembira. Namun begitu, jarang yang menyedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan. Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.
  4. Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan pertanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT. Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif: "Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."
  5. Puasa sunat enam hari. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian ia melanjutkannya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olahnya dia telah berpuasa setahun penuh. (riwayat Muslim). Itu kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun. Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita. Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.
  6. Melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?" Baginda menjawab: "Orang yang segera berangkat setelah tiba. Yakni orang yang membaca al-Quran dari awal hingga ke akhir. Apabila ia tiba di akhirnya, ia memulai bacaan kembali dari awalnya." Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga. Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain. Namun sesiapa yang tidak lagi membaca al-Quran apabila Syawal menjelang, maka biasanya orang ini tidak akan berjumpa lagi dengan al-Quran hingga ke bulan Ramadan di tahun hadapan.

Ahad, Ogos 19, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri. Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan di laman ini dan semua umat Islam seluruh dunia. Kami menyusun jari mohon maaf zahir dan batin.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.

Semoga hari raya kali ini kita berusaha bersungguh untuk melaksanakan tuntutan Nabi SAW dalam meraikan hari raya. Bergembiralah meraikannya. Sesungguhnya bergembira di hari raya adalah sunnah Nabi SAW manakala bersedih-sedihan di hari raya pula bukan daripada ajaran Islam. Apa yang terbaik itu adalah mengikut petunjuk Nabi SAW.

Sabtu, September 24, 2011

HARI RAYA AIDILFITRI YANG BERPANJANGAN

Hari ini aku menghadiri 5 jemputan rakan sekerja untuk hadir menjamu selera sempena Aidilfitri. Syawal pada hari ini adalah hari yang ke 26. Kan masih di bulan Syawal. Puasa sebulan, raye pun sebulan. Esok, Ahad ada dua lagi jemputan. Hehehe....

Nama jemputan itu berbagai. Ada yang menyebutnya sebagai 'rumah terbuka', 'majlis marhaban hari raya', 'majlis silaturrahim', 'kunjung mengunjung di hari raya',  dan juga 'jamuan hari raya', namun acara utamanya sama iaitu menjamu selera.

Mengapa orang kita beraye Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh terlalu panjang? Terus terang, aku tak ada jawapannya.

Suatu ketika dulu semasa aku kecik, tak ada pun 'rumah terbuka'. Kalaulah pada waktu itu wakil rakyat aku mengadakan 'rumah terbuka' dah tentu akulah orang pertama yang serbu. Pada masa itu yang ada ialah mengunjungi rumah jiran-jiran, rumah kawan-kawan, rumah saudara-mara dan rumah cikgu-cikgu. Rumah yang tuan rumahnya ada menghulurkan duit raya adalah rumah yang paling popular dan wajib dikunjungi. Ini termasuklah rumah yang menghidangkan air oren botol... memang jadi destinasi ramai-ramai.

Tapi kini dah berubah. Bukan sahaja ada istilah hari raya pertama dan hari raya kedua, bahkan tidak janggal dengan sebutan hari raya ke dua puluh lima dan hari raya ke dua puluh enam... Hebatkan hari raya kita di Malaysia!

Yang aku faham mengenai Hari Raya Aidilfitri ini ialah; Merayakan Hari Raya Aidilfitri adalah satu ibadah. Hari itu adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Kita bersyukur dan boleh bergembira menyambutnya, tetapi bukan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam. Hari Raya Aidilfitri itu satu hari sahaja. Allah SWT mengharamkan manusia berpuasa pada hari itu. Pada hari kedua Syawal, umat Islam digalakkan puasa sunat enam.

Itulah yang aku faham...

Jadi, apa juga majlis atau nama-nama lain yang digunakan, ianya hanyalah bentuk budaya. Budaya yang baik bolehlah kita lakukan. Budaya yang bertentangan dengan Islam tak payahlah dibuat.

Maka aku berkewajipanlah memenuhi jemputan rakan-rakan sekerja. Sama-sama dapat pahala semasa berselawat. Sama-samalah juga merasai nikmat lemang, ketupat, rendang, laksa dan lain-lain juadah enak yang disediakan.... Malangnya perut aku yang dah tua ini tak mampu untuk menerima semuanya.

Ahad, September 04, 2011

AIDILFITRI, BALIK KAMPUNG, LEBUHRAYA DAN ALIRAN TRAFIK

Pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kami sekeluarga terlebih dulu beraya di rumah sendiri. Anak-anak dah besar, masing-masing nak beraya di rumah sendiri dan merasa masakan emak diorang. Dah tentu juadah kegemaran diaorang seperti ketupat nasi, lemang, ketupat daun palas, rendang pedas, rendang tok, korma ayam dan kari daging pekat, disediakan oleh emak diorang. Biasanya kitorang anak beranak bersama-sama menyediakan juadah itu menjelang petang hari lebaran.

Tahun lepas kami balik kampung pada hari raya kedua. Tahun ini, kami balik beraya di kampung, di Bagan Serai, Perak pada hari raya ketiga (Khamis). Pada hari raya pertama saya kena mengikuti komuniti rakan sekampung untuk baraan dari rumah ke rumah selepas solat Aidilfitri hingga malam. Hari raya kedua sambung lagi. Pada hari raya kedua pula kami sekeluarga beraya di Kota Tinggi iaitu ke rumah waris-waris di sana. Kami sama-sama ziarah kubur arwah ibu saya (Hajjah Johariah binti Amat Taruno)  di Felda Sungai Mas. Lewat petang baru balik rumah.

Pagi Khamis selepas solat Subuh kami bertolak balik kampung di Bagan Serai, Perak. Mengapa balik kampung? Sebab di kampung ada Mak Mertua saya (Puan Hamsiah binti Mohd Isa). Itulah Mak yang saya masih ada. Itulah Tok (nenek) anak-anak saya yang masih ada.

Di sepanjang lebuhraya Plus dari Simpang Renggam hingga ke Taiping Utara, banyak kenderaan bertali-arus. Bukan sehala tapi di kedua-dua hala. Mengapa ye? Agaknya diorang juga macam kitorang, beraya di kedua-dua belah pihak. Kampung aku dan kampung orang rumah aku. Pemanduan tidak lancar. Nak capai 100 km/h pun susah. Setiap hentian sama ada R&R atau hentian sebelah penuh sesak dengan kenderaan. Nak buang air pun susah... Kami sampai ke destinasi (rumah mak mertua) di Taman Serai Jaya pada pukul 4.00 petang. Kitorang juga balik kampung...

Pada hari Jumaat kami bertolak pula ke Arau, Perlis beraya dengan Tok Teh anak-anak aku. Pekan Arau yang ciput pun banyak kenderaan. Selepas beraya di sana, kami patah balik ke Alor Star. Kami menginap di Alor Star. Perjalanan dari Arau ke Alor Star yang selalunya mengambil masa hanya 40 minit, tapi kini mengambil masa 2 jam. Jalan Jitra - Alor Star macet habisss... Mengeluh aku.


Esok pagi kami menghantar Adik balik belajar di Kolej Matrikulasi MARA Kuala Nerang. Jalan kampung pun macet. Tapi tak semua. Macet di pekan kecil Pokok Sena. Banyak kenderaan di sepanjang jalan bernombor pendaftaran Pulau Pinang,  Kuala Lumpur dan Selangor. Diorang kan balik kampung....


Sebelum hantar Adik masuk ke kolej, kami berjalan-jalan di Pasar Sabtu, Kuala Nerang. Beli kerdas dan jering. Walaupun baru raya ke lima, orang berjual dah ramai. Orang yang datang membeli jauh lebih ramai. Nak parking pun susah. Kan diorang juga balik kampung....

Lepas hantar Adik masuk ke asrama kolej, kami pun bertolak balik. Isi petrol penuh-penuh di Pekan Langgar. Takut nanti jem di lebuhraya. Memang betul, masuk sahaja di lebuhraya selepas Tol Alor Star Utara, kenderaan memang banyak. Nak lari 110 km/h memang tak boleh. Keadaan lebih teruk apabila masuk ke kawasan Sungai Petani. Perrgh... macam mana ni? Bila nak sampai ke Pontian, Johor? Oh ya... kan diorang pun macam kitorang, sama-sama balik kampung....

Keadaan trafik menjadi bertambah-tambah-tambah-tambah teruk dari Tol Sungai Dua hingga ke Juru. Ada kalanya kenderaan tak jalan langsung beberapa minit. Nasib baik MPV aku automatik, kalau manual dah tentu lutut aku boleh tercabut....

Apabila tiba di Tol Taiping Utara, kami keluar dari lebuhraya. Hari dah lewat petang. Kami singgah di Cangkat Jering untuk solat, makan tengahari+petang dan juga isi petrol dalam tangki (tangki mesti sentiasa penuh takut jem di lebuhraya). Keluar sahaja dari Tol Changkat Jering, kami jadi risau dan panik. Ape tak nye! Lebuhraya dah jem. Kenderaan terhenti dan berhenti di sepanjang lebuhraya di hadapan kami. Nak menyusur masuk pun tak boleh. Kura-kura jalan pun lebih laju. Pada ketika itu kalau pakai Ferrari puk tak guna.... Bilalah kami nak sampai ke Pontian... Keadaan macet sebegitu sehingga ke Terowong Menora. Kan diorang juga balik kampung seperti kitorang....


Selepas melepasi Terowong Menora, aliran trafik agak ok... Tapi macet teruk apabila sampai Simpang Pulai - Gopeng, dan kawasan Bidor. Sekejap berhenti, sekejap jalan. Sekejap jalan perlahan, sekejap berhenti. Sekejap jalan laju sikit, sekejap jalan perlahan, dan sekejap berhenti. Keadaan menjadi lebih baik apabila sampai di jalan tiga lorong selepas Slim River. Masing-masing seperti melepaskan gian nak memecut laju. Tapi tak laju mana pun... Sekejap 100 km/h, sekejap 60 km/h, sekejap 110 km/h, sekejap 40 km/h. Tapi tak apalah, daripada terhenti langsung. Keadaan menjadi bertambah lebih baik selepas melepasi Lembah kelang. Aliran trafik ke selatan nampaknya ok... Kan kita sama-sama balik kampung....

Kami sampai di rumah pada pukul 3.30 pagi. Syukur kepada Allah SWT, kami selamat sampai ke destinasi....

Mengapa di sana sini macet teruk sewaktu Aidilfitri?
  • Kereta bertambah banyak. Rakyat Malaysia mampu membeli kereta. Beli kereta lebih mudah daripada beli rumah.
  • Balik kampung menjadi acara tahunan rakyat Malaysia.
  • Balik kampung beraya bersama keluarga.
  • Raya di kota tak best.
  • Trend berhari raya di kedua-dua belah pihak.
  • Seronok berhari raya bersama ibu bapa dan sanak saudara.
  • Kunjung mengunjung lebih meriah di kampung.
  • Anak-anak ajak balik kampung.
  • Masak memasak juadah lebaran bersama keluarga di buat di luar rumah...sungguh santai.
  • Dengar lagu raya malar hijau di kampung lebih sedap...
  • Dapat melepaskan gian mengejar ayam kampung bersama adik beradik keliling rumah.
  • Gema dan dentuman bunyi mercun lebih sedap didengar di kampung.
  • Di kampung ada 'munjung' (menghantar dan berbalas-balas juadah hari raya) di kalangan keluarga dan jiran-jiran. Dapatlah rasa menu raya diorang.
  • Orang kampung 'respect' kita yang balik kampung dari perantauan... eeewwahh... cerita pun lebih...
  • Nak tayang kereta baru...kereta besar... kat member-member sekampung.
  • ... dan lain-lain.

Isnin, Ogos 29, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

 سلامت هاريراي عيدالفطري
 Maaf Zahir dan Batin


 Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pelawat blog ini yang beragama Islam dan kepada umat Islam di seluruh dunia. Maaf zahir dan batin.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa. 

Jumaat, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Pada 1 Syawal ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada isteri dan anak-anak saya, kepada sanak saudara saya, kepada rakan-rakan guru, kepada pelajar-pelajar saya, dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Khamis, September 09, 2010

RAMADHAN MENGHILANG SYAWAL MENJELMA

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.


Hari Raya Aidlifitri menjelang lagi. InsyaAllah umat Islam di Malaysia merayakannya esok iaitu pada hari Jumaat 10 September 2010. Hari Raya Aidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hari Raya Aidilfitri ini merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan oleh Allah SWT.


Setelah beribadah puasa selama sebulan, bergembira di Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid." dan daripada Anas r.a.: "Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis."

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun ianya diulang-ulang setiap kali tiba hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir:

"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah."

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janjiNya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaanNya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allahlah segala puji-pujian."

Justeru, amat penting bagi kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Aidilfitri, seperti:
  1. Mandi sunat hari raya aidilfitri di awal pagi.
  2. Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
  3. Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri.
  4. Di sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat aidilfitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya.
  5. Sebaik-baik tempat solat Aidilfitri ialah di tempat yang terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan.
  6. Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
  7. Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
  8. Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain.
  9. Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat.
  10. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
  11. Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmatNya dengan bertahmid dan berzikir.
  12. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
  13. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
    Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  14. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
  15. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
  16. Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.

Semoga Syawal pada tahun ini memberi makna dalam kehidupan kita di dunia mahupun akhirat...InsyaAllah...

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Ahad, Oktober 11, 2009

SYAWAL - HARI RAYA AIDILFITRI - GURU-GURU BERMARHABAN


Sudah jadi amalan guru-guru SMK Telok Kerang, setiap Syawal di hari raya yang mulia ini mereka akan bermarhaban ke rumah rakan-rakan guru. Dengan berpakaian yang cantik, mereka bersama orang rumah dan anak-anak beramai-ramai berkunjung dari rumah ke rumah rakan-rakan. Pada hari Sabtu 10 Oktober 2009, seperti yang dirancang guru-guru mengunjungi rumah-rumah Tuan Pengetua, Cikgu Norain, Ustazah Hasnuli, Cikgu Muslim, Cikgu Nazri, dan Cikgu Nordin. Selain mengeratkan silaturrahim, guru-guru berselawat dan berdoa untuk kesejahteraan diri dan keluarga tuan rumah yang dikunjungi..... dan yang tak kurang penting ialah menikmati juadah yang dihidangkan.

Ini kat rumah Cikgu Norain. Rumahnya dekat sahaja iaitu di Rimba Terjun. Beliau orang Terengganu. Betul-betul Terengganu. Lidah dan slangnya pung Ngganu pure. Kami pun berselawat beramai-ramai. Sambil berselawat mata tertumpu pada benda-benda di atas meja di bawah tudung penutup. Nasi dagang, nasi kerabu, sate dan kuih-muih jadi santapan kami yang beliau beri secara percuma. Perrgh... pagi-pagi dah makan nasi dagang. Oleh kerana rumah beliau adalah rumah pertama... tanpa segan silu kami balun dan pulun. Terima kasih Cikgu Norain sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.











Ini pula kat rumah Ustazah Hasnuli. Beliau dari Kelantan tapi bersuamikan Ustaz Rozamli dari Terengganu. Selepas berselawat dan berdoa, kami pun duduk bersila di atas tikar. Duduk dengan penuh sopan dan santun. Maklumlah rumah ustaz. Dengan penuh tertib kami bersarapan kali kedua dengan hidangan roti goreng, kuih-muih dengan air milo tarik. Terangkat punggung pekena milo tarik ditambah pula ketika itu hujan lebat. Nampaknya tahun ini Ustazah Hasnuli tak hidangkan laksam. Mangape ye? Hehehehe.... Terima kasih Ustazah Hasnuli sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.











Yang ini kat rumah Cikgu Muslim. Rumah baru. Bangga kami rasakan yang rakan kami mampu beli rumah besar. Rumah dua tingkat pulak tu... pergh...bangga....bangga. Tengok tu... dia orang tengah berdoa mohon kesejahteraan Cikgu Muslim sekeluarga. Cikgu Shamsul berbaju hijau. Dia ketua rombongan jalan-jalan cari makan. Jangan marah Cikgu Shamsul. Kat rumah Cikgu Muslim kami balun sup tulang. Tak tahan kita orang tengok sup tulang panas-panas. Selera Cikgu Azahar membuak-buak. Dia habiskan dua setengah mangkuk. Terima kasih Cikgu Muslim. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.










Seterusnya kami berkunjung ke rumah Tuan Pengetua di Pekan Nanas. Ada cikgu-cikgu yang tersesat-sesat semasa cari rumah Tuan Pengetua. Tapi akhirnya sampai juga... Masing-masing nak tunjuk muka kat Tuan Pengetua.... Hihihi....Maaf bergurau.... Tengok tu... Tuan Pengetua sedang menyampaikan ucap balas selepas kami berselawat dan berdoa. Doa dipimpin oleh Tuan Haji Anas. Laaa manalah pergi Cikgu Zurinawati ni. Kesian hubby beliau jaga anak.....Kami dah tahu, kalau kat rumah Tuan Pengetua mesti ada ketupat, mee bandung dan kek lapis Sarawak. Sambal kacang isteri beliau jadi kenang-kenangan. Heran ye! Waktu makan mengapa dia orang senyap? Terima kasih Tuan Pengetua sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.










Selepas itu kami pakat ramai-ramai bertandang pula ke rumah Cikgu Nazri di Taman Pulai Jaya, Skudai. Jauh berjalan. Oleh kerana tahun ini giliran Cikgu Nazri, dia cat rumahnya agar kelihatan cantik dan berseri-seri. Tahniah! Sekali lagi kami berselawat beramai-ramai. Dapat banyak pahala. Cikgu Nazri dan isterinya hidangkan nasi ayam, laksa, sate dan lain-lain. Maka berlumba-lumbalah kami melayan selera. Waktu tu pulak dah tengahari. Berulangkali Cikgu Nazri minta dihabiskan juadah itu.... Terima kasih Cikgu Nazri sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.








Akhir sekali kami sampai ke rumah Cikgu Nordin. Rumah beliau yang paling jauh iaitu di Skudai. Taman perumahan tempat beliau tinggal dikawal pengawal keselamatan 24 jam. Segan kami nak masuk. Apa taknya, saya ditahan oleh pengawal keselamatan. Macam-macam soalan yang ditanya. Setelah jenuh menerangkan duduk perkara yang sebenar, palang pun dibuka. Legaaa....Untung kau Din ada orang jaga rumah... Cikgu Nordin sebenarnya sedang sakit. Pergelangan kakinya retak. Dari lutut ke atas nampaknya sihat. Beliau kemalangan semasa balik dari bertugas. Keretanya remuk. Dalam keadaan begitu, rakan-rakan ramai-ramai datang berkunjung, berselawat dan berdoa untuk kesejahteraan beliau sekeluarga. Semoga Cikgu Nordin cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas semula. Orang rumah beliau sorang-sorang menghidangkan juadah yang menyelerakan. Ada mee kari, ada roti jala, ada kuih-muih dan lain-lain. Maka kitorang pakat makan ramai-ramai. Terima kasih Cikgu Nordin sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.