Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Fertigasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fertigasi. Papar semua catatan

Selasa, Mei 18, 2010

TAPAK BARU PROJEK FERTIGASI SMK TELOK KERANG

Pada pagi Jumaat 14 Mei 2010 pelajar-pelajar Tingkatan 5 Teknologi (Sains Pertanian) bersama Cikgu Hasan Kasmuri bergotong-royong membersihkan tapak baru projek fertigasi dan membuat baja kompos. Gotong-royong itu dilakukan semasa mata pelajaran Sains Pertanian.


Pelajar-pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama membantu Cikgu Hasan Kasmuri membersihkan kawasan tapak fertigasi, manakala satu kumpulan lagi mengumpulkan rumput di padang untuk dijadikan baja kompos.


Kerja-kerja menebang pokok kelapa dan membersihkan kawasan dilakukan selama 40 minit. Selepas selesai gotong-royong pelajar-pelajar menjamu selera dengan mi kari. Saya ucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar itu dan juga kepada orang rumah saya yang menyediakan mi kari.


Tapak baru projek fertigasi.

Pelajar-pelajar membersihkan kawasan.

Membuang batang kelapa ke tempat buangan sampah.

Selesai gotong-royong di tapak projek, bergotong-royong makan mi kari pula.

Sabtu, April 24, 2010

PROJEK FERTIGASI SMK TELOK KERANG MENJADI SEJARAH

Jika selama ini pelajar-pelajar sama ada pelajar Sains Pertanian atau pelajar Landskap dan Nurseri begitu ceria mengusahakan tanaman berteknologi fertigasi, tetapi kini mereka menyepikan diri daripada projek tersebut. Tapak projek fertigasi akan dijadikan tapak bangunan Landskap dan Nurseri yang baru. Malangnya sehingga kini 'abok pun tarak'. Sedangkan Struktur Pelindung Hujan dan segala peralatan telah dibuka dan disimpan di tempat lain. Kawasan tapak projek jadi 'padang jarak padang tekukur'.

Entah bila agaknya pembinaan bangunan itu akan bermula......

Kawasan SMK Telok Kerang ni kecil sahaja. Kalau ikut hati nak sahaja gugurkan mata pelajaran Sains Pertanian ni. Kawasan nak bercucuk tanam dah tak cukup. Lainlah kalu Sains Pertanian diajar dalam kelas macam sesetengah guru tu...

Baru sahaja nak memberi suatu keseronokan kepada pelajar-pelajar terhadap pertanian, ini pula yang terjadi. Agaknya inilah nasib bidang pertanian di Malaysia, sentiasa dipandang rendah dan terpinggir....

Saya sebagai guru yang mengajar Sains Pertanian amat berbangga dengan projek yang kami punyai ini. Dengan perbelanjaan sekitar RM5,000.00, kami dapat membina SPH sebanyak 4 buah yang dibawahnya terdapat lebih kurang 500 polibeg. Saya ajar dan didik pelajar-pelajar menanam sayur-sayuran dan tembikai wangi dengan gunakan teknologi fertigasi yang dah pasti ianya mudah, tepat dan bersih. Kalau setakat sayur kangkung tu memang dah biasa...siap bawak balik ke rumah bagi kat mak dan bapak diaorang. Cikgu-cikgu di SMKTK kami bagi free sahaja.

Dalam operasi tanaman berteknologi fertigasi di sekolah kami ini, kami lebih tumpukan kepada tanaman melon seperti 'Golden Langkawi' dan rockmelon jenis 'Glamour'. Tanam melon ini walaupun pengurusannya lebih leceh, tetapi hasilnnya amat menyeronokkan. Puaslah pelajar-pelajar saya makan melon apabila sampai pesta menuai. Yang selebihnya kami jual kepada guru-guru dan kepada FAMA.

Baru-baru ini KPM hantar peralatan pertanian. Banyak melambak-lambak. Beribu ringgit pulak tu. Kalau ikut pengalaman saya yang dah mengusahakan tanaman secara fertigasi sama di sekolah atau di rumah, taklah sebanyak itu peralatannya. Pada nilai yang sama dengan RM25,000.00 tu, saya boleh buat dan dapat Struktur Pelindung Hujan dan 2000 polibeg. Kalau diusahakan betul-betul banyak duit boleh masuuukkkkk.....

Tak tahu lagi bila nak mula. Kawasan dah tak berapa ada....


Foto-foto di bawah ini adalah projek fertigasi di sekolah kami. Siap dengan SPH lagi... Di bawahnya terdapat 500 polibeg. Salah satu aktiviti yang disukai pelajar Sains Pertanian ialah bekerja di bawah SPH ini. Selain sayur-sayuran, kami tanam melon 'Golden Langkawi dan melon 'Glamour'.






Ini pula ialah kerja-kerja menguji tanah tapak bangunan Landskap dan Nurseri yang baru oleh IKRAM. Sampai sekarang bayang bangunan belum nampak lagi. Tapak inilah tapak projek fertigasi sekolah kami.




Dalam foto-foto ini kelihatan pelajar-pelajar sedang melakukan kerja-kerja membuka besi SPH. Buat dengan tergesa-gesa atas arahan JKR Pontian di mana tapaknya akan didirikan bangunan Landskap dan Nurseri. Akur dengan arahan, kami pun pakat ramai-ramai buat kerja ini. Sampai sekarang tak kelihatan pun bayang bangunan tersebut.



Inilah tapak projek fertigasi SMK Telok Kerang yang dulu meriah dengan aktiviti-aktiviti oleh pelajar-pelajar Sains Pertanian. Sekarang dah jadi 'padang jarak padang tekukur'. Kosong....nol. Nak tengok kawasan ni pun saya malas... maklumlah projek dah jadi sejarah.



Isnin, Disember 14, 2009

KURSUS FERTIGASI DI MARDI KLUANG


Hari ini saya pergi kursus mengenai fertigasi. Kursus ini diadakan di MARDI Kluang, Johor anjuran FAMA Batu Pahat. Saya hadir ke kursus itu atas jemputan FAMA Pontian. Kebanyakan peserta kursus ini berpengalaman dan pernah mengendalikan penanaman secara fertigasi. Penceramahnya ialah Dr. Mahamud Bin Shahid, Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Serdang, Selangor. Dr. Mahmud ni memang pakar bidang fertigasi dan selalu dijemput oleh organisasi sama ada kerajaan atau swasta untuk menunjuk ajar penanaman secara fertigasi.

Banyaklah maklumat yang saya dapat daripada kursus ini termasuk formulasi baja melon dan cili. Bermacam masalah yang dihadapi oleh peserta dikemukakan dan Dr. Mahamud menjawab sehingga peserta kursus puaS hati.

Antara maklumat yang saya dapat:
  • Kaedah penanaman secara fertigasi.
  • Kelebihan dan kelemahan penanaman secara fertigasi dan penanaman secara konvensional.
  • Penyakit dan perosak tanaman.
  • Penggunaan racun serangga yang sesuai dengan jenis penyakit.
  • Pembekal baja fertigasi: Mayhochst, K. Lumpur (03-62772718), dan Fertitrade, K. Lumpur (03-76607500).
  • Broguard: En. Shahrul (019-9865800).
  • Pembekal peralatan fertigasi: Bertam Tulen, Melaka (06-3162588).
  • Pembekal plastik dan peralatan: Mentah Resource, Senawang, N. Sembilan (019-6693718)
  • Pembekal biji benih melon: Nine Top, Rawang, Selangor.
  • Formulasi baja melon dan cili.



Dr. Mahamud Shahid sedang memberi ceramah.
Cocopeat perlu dilembabkan terlebih dulu sebelum di masukkan ke polibeg.
Dr. Mahamud menunjuk cara membancuh baja A dan baja B ke dalam tangki baja.
Mengenal pasti penyakit dan puncanya pada pokok cili.
Sebahagian peserta kursus bergambar bersama Dr. Mahamud Shahid.

Selasa, November 24, 2009

BUKU TEKNOLOGI PENANAMAN MELON FERTIGASI


Semasa saya mengunjungi Ekspo Agro Johor 2009 di Ayer Hitam tempoh hari, saya terjumpa buku ini di gerai fertigasi. Oleh kerana saya buat projek fertigasi rockmelon di sekolah, saya pun beli satu. Buku ini memberi penerangan khusus untuk tanaman melon (rockmelon) secara fertigasi. Pengarangnya Tn. Hj. Amat Khri Bin Mardi, seorang pegawai di Institut Pertanian Ayer Hitam, Johor. Beliau ni memang pakar dalam fertigasi. Beliau ni dikira pakar dalam bidang fertigasi di Malaysia. Saya pernah beberapa kali diberi penerangan mengenai fertigasi oleh beliau. Jika ada sesiapa yang berminat dengan buku ini sila hubungi terus ke AKM Tani, No. Tel/Fax 07-7583350/016-7708143/016-7738143, E-mail- akmzihan@streamyx.com . Sekian, selamat mencuba...daaa...



Khamis, November 19, 2009

RPH FERTIGASI MENYEMBAH BUMI


Semalam pegawai JKR Pontian datang ke SMK Telok Kerang untuk mengukur tapak bangunan baru MPV Landskap dan Nurseri yang akan didirikan di tapak projek fertigasi. Jadi dah pasti akan dibina bangunan tersebut. Hari ini saya bersama 9 pelajar Tingkatan 1 bergotong royong membuka kerangka RPH. Empat buah RPH yang di bawahnya mengandungi 480 polibeg telah menyembah bumi dalam masa dua jam. Buat sementara ini besi-besi kerangka dan peralatan yang berkaitan dengan fertigasi disimpan di bengkel Kemahiran Hidup. Plastik pelindung hujan dibasuh. Maka tiadalah lagi tanaman secara fertigasi sehingga tahun hadapan. Rehat dulu....



Membuka klip plastik.
Membuka kerangka besi RPH.


Pelajar-pelajar bekerjasama membuka kerangka besi RPH.
Masih lagi membuka kerangka besi RPH.
Senang nak buka kerangka kerana ia hanya diklip.



RPH dah hampir hilang dari pandangan.


Membasuh plastik pelindung.


Membasuh plastik RPH. Walaupun dah dua tahun, plastik pelindung masih boleh dipakai.


RPH hilang dari pandangan menyembah bumi.

Selasa, Oktober 27, 2009

FERTIGASI SMK TELOK KERANG 3/09 - TUAI KANGKUNG















Hari ini pelajar-pelajar Sains Pertanian dan juga pelajar-pelajar Landskap dan Nurseri dengan gembira tuai sayur kangkung yang mereka tanam lebih kurang sebulan dulu. Mereka mencabut kangkung dari polibeg, membasuhnya dan kemudian kangkung itu dibungkus. Tanam kangkung memang mudah. Kos biji benih dan baja fertigasi yang digunakan lebih kurang RM40.00 untuk 460 polibeg. Pengairan sebanyak 3 kali sehari selama 3 minit. Walaupun tidak menggunakan racun perosak kangkung tumbuh subur.

Sebenarnya tujuan menanam kangkung ini adalah untuk mengalih perhatian perosak, penyakit dan virus yang menyerang tanaman rockmelon tempoh hari selain merehatkan medium (cocopeat). Diharap selepas ini penanaman rockmelon akan pulih seperti dulu.




Setelah kangkung-kangkung di bungkus, pelajar-pelajar mengagihkan kangkung-kangkung kepada guru-guru, kakitangan sekolah, dan pelajar-pelajar sendiri. Masing-masing dapat lebih kurang 800 g seorang, cukup untuk makan sekeluarga. Kami sedekah kepada mereka dengan harapan dengan berkat doa dan ucapan terima kasih daripada mereka usaha kami ini akan terus berjaya. Terutamanya projek utama kami iaitu tanaman buah rockmelon.







Selasa, Oktober 20, 2009

FERTIGASI SMK TELOK KERANG 3/09 - TANAM KANGKUNG

Tanaman rockmelon musim ketiga tahun 2009 nampaknya bermasalah. Apabila berusia 15 hari didapati daunnya rosak, kering dan melecur. Lebih daripada 50 peratus anak pokok rockmelon rosak. Kepekatan baja ialah 1.2. Ini bukan kali pertama kami menghadapi keadaan sebegitu. Pada musim kedua yang lepas penyakit itu dah ada tetapi pokok yang diserang tidak banyak. Hanya lebih kurang 10 peratus sahaja. Masih boleh bertahan. Pegawai MARDI iaitu En. Azman Bin Jalaluddin membuat kesimpulan bahawa masalah itu adalah serangan virus. Dia memberi beberapa saranan untuk mengatasi dan mengelakkan masalah tersebut. Yang paling mudah ialah bunuh sahaja pokok itu. Buang jauh-jauh atau di bakar. Kitorang pun memcabut pokok-pokok rockmelon berusia 15 hari itu lalu dibuang jauh-jauh. Elakkan pembaziran larutan baja yang mahal harganya.


Untuk merehatkan sabut dan menjauhkan serangan perosak dan penyakit sedia ada, kami pun tanam kangkung buat sementara. Tanam kangkung lebih senang. Tak sampai dua minggu, kangkung dah tumbuh subur. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 Sains Pertanian (4 Teknologi) menabur biji benih kangkung dalam polibeg. Mudah. Pengairan pembajaannya 3 kali sehari selama 3 minit sahaja. Tak perlu jenguk selalu. Ikut konsep 3T (tanam, tinggal, tuai). Dua minggu dari sekarang kangkung dah boleh harvest. Mudahkan? Tidak banyak kerja.

Jumaat, Oktober 02, 2009

FERTIGASI SMK TELOK KERANG 3/09 - ANAK POKOK ROCKMELON BERUSIA 14 HARI


Hari ini 2 Oktober 2009 usia pokok rockmelon yang ditanam adalah 14 hari. Pelajar-pelajar Sains Pertanian mula melilit batang pokok itu ke tali lanjaran. EC baja ialah 1.4. Ada di kalangan pelajar yang bertanya mengapa tak tanam tanaman lain. Pokok rockmelon banyak karenah, susah dijaga untuk membesarkannya, dan banyak penyakit. Saya kata, saya suka kerja yang mencabar. Jika tanam tanaman lain ia perlu dimasak terlebih dahulu baru boleh dimakan. Buah rockmelon yang dah masak terus boleh di makan dan jika banyak terus boleh dijual....




Anak pokok rockmelon berusia 14 hari.
 
Batang anak pokokrockmelon dililit pada tali lanjaran.


Pelajar-pelajar Sains Pertanian melilit batang pokok rockmelon pada tali lanjaran.

Pelajar Sains Pertanian memeriksa daun pokok rockmelon.


Pelajar-pelajar sedang melilit tali lanjaran pada pangkal batang pokok rockmelon.


Selasa, September 08, 2009

FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG 3 - ANAK BENIH ROCKMELON BERUSIA 3 HARI

Sains Pertanian SMK Telok Kerang, Pontian, Johor



Hari ini 8 Sep. 2009, biji benih rockmelon mula pecah dan mengeluarkan kotilidon setelah disemai selama 3 hari. Jika cuaca panas sangat ia hendaklah di siram 2 kali sehari. Elakkan terlalu banyak air semasa menyiram.


Inilah rupa anak benih rockmelon berusia 3 hari selepas disemai.