Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Kecemerlangan Akademik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kecemerlangan Akademik. Papar semua catatan

Rabu, September 04, 2013

DOAKAN ANAK-ANAK DAN PELAJAR-PELAJAR KITA BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN

Doa untuk anak-anak dan anak-anak muridku agar berjaya dalam peperiksaan. Semoga mereka berjaya menjadi insan yang taat kepada agamanya, taat kepada kedua ibubapanya, dan menjadi warga negara yang jempolan.

Amalkanlah doa ini: 

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah. Tuhan seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi dan para rasul Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian.

Ya Allah, ya Tuhan kami, rahmatilah ke atas penghulu kami nabi Muhammad suatu rahmat yang Engkau lepaskan kami dengannya dari segala kesusahan dan kebinasaan dan yang Engkau tunaikan bagi kami dengannya segala hajat, dan yang Engkau sucikan kami dengannya dari segala kejahatan dan yang Engkau angkat kami dengannya di sisi-Mu pada setinggi-tinggi darjat, dan yang Engkau sampaikan kami dengannya sejauh-jauh tujuan segala kebajikan semasa hidup dan sesudah mati. Dan juga selawat ke atas keluarga dan sahabat baginda dan anugerahkanlah mereka salam sejahtera yang banyak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Ya Allah, jadikanlah anak-anak dan penuntut-penuntut kami dari golongan orang-orang yang berjaya dan orang-orang yang mendapat kemenangan di dalam pembelajaran dan peperiksaan, dan jadikanlah mereka dari golongan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka dari golongan orang yang berilmu dan orang yang membuat kebaikan, dan janganlah Engkau jadikan kami dan mereka daripada golongan orang yang jahat dan orang yang membuat kerosakan.

Ya Allah bukakanlah hati mereka sebagaimana terbukanya hati orang-orang yang arif bijaksana , dan kurniakanlah kepada mereka kepada mereka kefahaman di dalam agama, dan ajarkanlah kepada mereka perkara ta'wil dan tunjukkanlah mereka ke jalan yang benar dan kurniakanlah kepada mereka kefahaman para nabi , hafalan para rasul, ilham para malaikat muqarrabin di dalam keadaan afiat, wahai Tuhan yang maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani.

Ya Allah, lapangkanlah bagi mereka dada-dada mereka, dan permudahkanlah bagi mereka urusan-urusan mereka, dan kurniakanlah taufiq dan hidayah kepada mereka, dan luruskanlah mereka dan kumpulkan bagi mereka di antara perkara yang betul dan perkara yang berpahala, dan lindungilah mereka daripada membuat kesalahan terlarang daripada mendapat nikmat dan lupa.

Ya Allah, terangilah cahaya pada hati-hati mereka dengan cahaya hidayatMu, sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahari Mu, dan bukakanlah pintu kemenangan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat , wahai Tuhan yang Maha Pemberi keputusan, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui.

Ya Allah, Keluarkanlah mereka daripada kesamaran dan muliakanlah mereka dengan cahaya kefahaman, dan bukakanlah kepada mereka pintu-pintu ilmu, dan hiasilah mereka dengan akhlak yang baik dan sopan santun, dan jauhkanlah mereka daripada kemungkaran akhlak, perbuatan hawa nafsu, dan penyakit, dengan rahmat Mu Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani.

Dan Allah telah berselawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian, dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam".

Isnin, Mei 06, 2013

KEPEMIMPINAN PELAJAR DI SEKOLAH

Siapakah pemimpin?

  • Pemimpin ialah ketua sesuatu kumpulan atau organisasi atau kerajaan atau negara.
  • Menjadi pemimpin boleh jadi melalui pemilihan atu perlantikan atau warisan atau keturunan atau peperangan atau pemberontakan.
  • Pemimpin mempunyai kuasa dan pengaruh dimana orang yang dipimpinnya perlu mengikut arahannya.

Definisi kepemimpinan
  • Kepemimpinan sebagai daya penggerak sumber dan alat yang terdapat dalam sesebuah organisasi untuk mencapai sesuatu matlamat.
  • Kepemimpinan adalah aktiviti mempengaruhi orang supaya mereka berusaha secara sukarela ke arah mencapai matlamat kumpulan.

Etika pemimpin pelajar sekolah
  • Amanah, jujur dan ikhlas
  • Adil dan saksama
  • Berhemah tinggi dan berdisiplin
  • Mendampingi semua pihak
  • Sentiasa di hadapan.
  • Arif dan mahir terhadap peraturan
  • Sentiasa menjaga maruah
  • Cemerlang akademik dan kokurikulum

PEMIMPIN

  • P  -  Perancangan
  • E  -  Efektif (berkesan)
  • M  -  Matlamat/Wawasan/Visi
  • I  -  Ikhlas / Jujur
  • M  -  Model / Role Model
  • P  -  Proaktif / Progresif
  • I  -  Inisiatif / Daya Usaha
  • N  -  Neutral / Tidak Prejudis

Ciri-ciri pemimpin pelajar yang berkesan
  • Mempunyai perancangan
  • Bekerja dengan efisien, cekap dan yakin
  • Ada matlamat yang jelas
  • Berinisiatif dan berinovatif
  • Menjadi model (role model)
  • Proaktif dan progresif
  • Ikhlas dan amanah terhadap tugas kepemimpinannya
  • Niat yang jujur


Gaya kepemimpinan
  • Gaya Autokratik  -  Arahan daripada pemimpin dan tiada penglibatan pengikut dalam membuat keputusan.
  • Gaya Demokratik  -  Peminpin menggalakkan perbincangan dan membuat keputusan secara bersama.
  • Gaya Laissez-Faire  -  Pemimpin memberi kebebasan sepenuhnya dan setiap orang boleh membuat keputusan sendiri.

Jenis pemimpin
  • Karismatik   -   Tingkah laku pemimpin yang bereyakinan, berkebolehan, berwawasan, kesungguhan dan luar biasa, agen perubahan dan peka pada persekitaran.
  • Transformasi  -  Pemimpin yang memberi fokus terhadap moral dan motivasi dalaman yang tinggi. Bersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak, rasional dan mencemburui pengikutnya.
  • Transaksi  -  Pemimpin yang menggunakan motivasi luaran, ganjaran, mengamalkan pendekatan laissez-faire.
  • Islam  -  Kepimpinan adalah amanah daripada Tuhan. Pemimpin mengamalkan prinsip syura (rundingan), adil, demokratik, setia, ikhlas, mengikut syariat dan kepercayaan penuh epada pemimpin.


Asas-asas kepemimpinan pelajar sekolah
  • Mempunyai bakat semulajadi dan dikembangkan.
  • Keikhlasan dan kejujuran berkhidmat.
  • Bijaksana dan panjang akal.
  • Berkeyakinan diri.
  • Berdisiplin, boleh diteladani dan sebagai role-model.
  • Aktif dalam gerak kerja sekolah.
  • Kemas, menepati masa, pandai bergaul, tidak berlagak, tidak sombong dan disegani.
  • Kesetiaan terhadap organisasi/kelab/persatuan
  • Pencapaian akademik yan baik.
  • Ketrampilan dan penglibatan aktif dalam kurikulum dan kokurikulum.
  • Mempunyai minat yang mendalam sebagai pemimpin.
  • Sentiasa bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan.
  • Bijak membuat keputusan dan mampu menangani masalah.

Komunikasi berkesan kepemimpinan pelajar
  • Gunakan nama semasa berkomunikasi.
  • Senyuman yang manis.
  • Beri penghargaan secara jujur dan ihlas.
  • Tunjukkan minat yang tulen.
  • Elakkan mengkritik atau 'complain'.
  • Tunjukkan minat keinginan untuk berkomunikasi.
  • Menjadi pendengar yang baik.
  • Menggunakan kemahiran melayan yang berkesan, 'eye contact', 'body language'.
  • Bercakap apa yang pendengar berminat.
  • Batlah pendengar berasa dirinya begitu penting.
  • Tidak mempunyai prejudis atau prasangka negatif.
  • Hargai pendapat dan pandangan pendengar.
  • I'm OK  =  You're OK
  • Panggil nama manjanya...
  • Beri penghargaan dan ucapan...
  • Mata bertentang mata semasa bercakap...
  • Ukir senyuman semanis-manis senyuman...
  • Ucapkanlah kata-kata pujian termasuk 'terima kasih'...

Halangan komunikasi kepemimpinan pelajar
  • Melabel / Mengejek
  • Menghukum / Menuduh / Mengkritik
  • Mengarah / Memerintah
  • Membebel / Berleter
  • Menggunakan bahasa yang tidak tepat / mengelirukan
  • Arahan yang tidak jelas
  • I'm OK = You're not OK
  • Berlagak
  • Menyindir / Memperli

Ciri-ciri pemimpin pelajar sekolah yang berjaya dan dihormati
  • Karisma diri pemimpin yang dihormati dalam organisasi.
  • Mengetahui dengan jelas matlamat yang ingin dicapai
  • Mengurus organisasi dengan berkesan untuk mencapai matlamat.
  • Berkebolehan membuat perancangan yang tepat untuk mencapai matlamat.
  • Berkomunikasi atau penerangan idea kepada orang laindengan baik dan berkesan.
  • Bijak membuat keputusan, menilai semua kemungkinan, menimbang kelebihan dan kekurangan.
  • Mengakui dan menggunakan kepakaran orang lain untuk mencapai matlamat.
  • Pemimpin yang menyelia dan memberi perkhidmatan yang berkualiti dan menerapkan nilai-nilai murni di dalam organisasi.
  • Jangan takut buat silap.
  • Libatkan semua ahli dalam organisasi.
  • Jadilah seorang yang fleksibel dan adaptif.
  • Miliki visi yang berpandangan jauh.
  • Berilah latihan dan peningkatan diri.
  • Sanggup ambil risiko.
  • Berikan dorongan kepada orang lain untuk lebih kreatif dan inovatif.
  • Menggalakkan bekerja dalam satu pasukan.
  • Memberi ganjaran kepada mereka yang bertugas dengan baik.


Sebagai pemimpin pelajar di sekolah, adakah anda telah berusaha...
  • Membantu guru-guru membuat perancangan dan pengurusan aktiviti organisasi seperti kelab, persatuan akademik, pasukan unit beruniform, rumah sukan dsbnya.
  • Membentuk organisasi kepemimpinan agar mantap, berwibawa dan berkesan.
  • Menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, ikhlas dan amanah.
  • Memastikan semua ahli hadir dalam setiap perjumpaan dan aktiviti yang dijalankan.
  • Memantau dan membuat penilaian aktiviti yang dijalankan.

Apakah harapan sekolah kepada anda sebagai pemimpin?
  • Anda sebagai senior di kalangan rakan-rakan dan pelajar-pelajar lain.
  • Anda sebagai mentor.
  • Anda sebagai 'role model'.
  • Anda sebagai tulang belakang sekolah.
  • Anda sebagai pemacu kejayaan sekolah.
  • Anda sebagai pewaris budaya kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum sekolah.

Ahad, September 09, 2012

KECEMERLANGAN: SIKAP ANAK-ANAK YANG BELAJAR DAN MASALAH IBU BAPA

Adakah ini masalah-masalah persekolahan anak-anak dan ibu bapa? Yang nak cemerlang ialah ibubapa tetapi yang bersekolah ialah anak-anak.

Sikap anak-anak yang belajar:
  1. Merasa beban dan bosan untuk belajar cara konvensional yang hanya menggunakan buku sebagai medium menuntut ilmu;
  2. Tiada motivasi untuk menjadi pelajar cemerlang;
  3. Tiada minat untuk membaca buku dan membuat buku latihan;
  4. Selalu menghabiskan masa di depan komputer dengan chatting, bermain game dan melawat laman-laman web yang tidak berfaedah; juga
  5. Tidak mendapat perhatian ibu bapa yang sibuk bekerja.

Masalah ibu bapa:
  1. Tidak dapat menilai pencapaian akademik anak;
  2. Tidak dapat memberi perhatian kepada kerja rumah dan ulangkaji anak;
  3. Tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaan;
  4. Anak hanya membawa balik kad laporan 2 kali setahun;
  5. Kurang pasti akan persediaan peperiksaan anak;
  6. Anak menghadapi tekanan/takut peperiksaan justeru hilang minat untuk belajar;
  7. Membelanjakan wang yang banyak tetapi anak masih gagal memperolehi keputusan diharapkan; juga
  8. Kekurangan interaksi ibubapa dengan anak-anak

Selasa, Januari 10, 2012

MURID/PELAJAR CEMERLANG BERMULA AWAL

Sesi persekolahan 2012 sudah bermula. Pastinya pelajar sibuk menyesuaikan diri dengan pelajaran dan sekolah masing-masing. Pelajar cemerlang ialah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan baru. Ada pelajar yang baru masuk sekolah iaitu mereka di tahun satu.

Apa sekalipun suasana dan keadaannya, pelajar mestilah berusaha memulakan langkah menuju kecemerlangan pada hari pertama.

Minggu pertama adalah penting kerana masa ini guru sibuk menyusun banyak perkara seperti jadual sekolah, melantik ketua kelas dan penolong, melantik ahli jawatankuasa kelas dan memaklumkan buku tambahan yang perlu dibeli. 
 
Jika pelajar tidak hadir ke kelas, banyak maklumat yang tidak diperoleh dan mereka lambat menyesuaikan diri.

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pelajar bagi memastikan mereka boleh mencapai kecemerlangan pada tahun 2012 ini:
  1. Tidur awal dan bangun awal. Pelajar perlu cukup segar dan bertenaga apabila berada dalam kelas dan di sekolah. Pelajar yang aktif akan mendapat banyak ilmu dan peluang untuk maju. Ramai pelajar terutamanya pelajar yang tinggal di asrama mengantuk dalam kelas kesan dari kekurangan tidur. Jika tidur awal, pelajar boleh bangun lebih awal, bersiap-siap awal dan ketika menunggu masuknya waktu Subuh sempat membuat sedikit ulangkaji tentang apa yang akan dipelajari pada hari tersebut. 
  2. Mulakan dengan niat dan ‘mindset’ seorang juara. Usaha dan tindakan kita bergantung kepada cara fikir kita. Kalau kita rasakan yang kita boleh maka kita pasti melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. 
  3. Sebaliknya jika kita rasakan kita gagal, apa yang dilakukan hanya separuh hati. Ikhlaskan hati belajar kerana mencari ilmu dan kerana Allah. Soal berjaya atau tidak itu bukan urusan kita sebab hak manusia adalah berusaha dan hak Allah adalah menentukannya. Tetapi Allah itu adil. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul maka hasilnya pastilah cemerlang.  
  4. Pastikan bersarapan pagi. Ramai pelajar ke sekolah tanpa bersarapan. Sarapan bagi seperti mengalas perut dengan sekeping roti dan minum segelas susu sudah mencukupi. Sarapan pagi penting kerana ia mampu mencergaskan minda dan memberikan tenaga. Mereka yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik. 
  5. Tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Kejayaan dalam peperiksaan bermula dari dalam kelas. Ramai pelajar yang tidak memberikan tumpuan di awal sesi persekolahan kerana mereka berfikir apa yang diajarkan itu mudah dan tiada masalah untuk melakukan ulangkaji. Tetapi, jika pelajar tidak memberikan tumpuan maka mereka tidak faham apa yang diajarkan. Jika apa yang dipelajari hari ini tidak difahami maka sukarlah untuk memahami apa yang diajarkan esok hari kerana memahmi prinsip asas, istilah, teori dan sebagainya itu penting. Dengan memberikan tumpuan dari awal pelajar boleh mengenalpasti kelemahan dan masalahnya dalam matapelajaran sebelum ia menjadi serius.  
  6. Banyak bertanya dan selesaikan segala masalah dan perkara yang tidak faham segera. Satu tabiat pelajar kita ialah malu atau takut untuk bertanya. Sangka mereka apabila bertanya nanti dilabel sebagai bodoh, cuba mencari perhatian, gila glamer dan sebagainya. Akhirnya, mereka lebih selesa mendiamkan sahaja dan merelakan dirinya tidak tahu. Pelajar sebenarnya punya beberapa pilihan untuk bertanya. Satu atau dua soalan mungkin boleh terus ditanya dalam kelas agar pelajar lain juga mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan guru nanti. Bagaimanapun, kalau soalan itu banyak, eloklah dibuat temu janji dengan guru dan berbincang dengannya di luar waktu kelas.  
  7. Sampai saja di rumah, siapkan dahulu kerja sekolah. Jadikan ini sebagai satu tabiat. Ramai pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah kerana mereka tidak meletakkannya sebagai keutamaan. Malah, mereka tidak fikir kerja sekolah itu penting. Tujuan guru memberikan kerja sekolah bukanlah bagi menyusahkan, tetapi sebaliknya bagi memastikan pelajar membuat ulang kaji dan melakukan latihan bagi memperkukuhkan lagi kefahamam mereka apa yang diajarkan.  
  8. Rancang masa dan jadual belajar. Tanpa pengurusan masa yang betul pelajar sukar untuk cemerlang. Sebagai seorang pelajar banyak perkara dan aktiviti yang mesti dilakukan disamping masa untuk diri sendiri.  
  9. Aktiviti seperi menyiapkan kerja sekolah, kelas tuisyen, kelas agama, ulang kaji, kokurikulum, beriadah, keluarga dan sebagainya perlu diatur dengan baik agar tidak menjejaskan prestasi akademik.  
  10. Di samping itu jadual belajar juga perlu diatur bagi memastikan semua subjek selesai diulangkaji sebelum waktu peperiksaan nanti. Dengan merancang awal, pelajar dapat lihat pergerakannya sepanjang tahun dan ke mana hala tujunya tahun ini.  
  11. Ulangkaji awal. Cuba untuk lakukan ulang kaji seawal mungkin. Usah tunggu sehingga apa yang dipelajari sudah terlalu banyak baru mahu memulakan proses ulangkaji itu.  Belajar awal adalah bagi memahami, menguasai dan menyediakan nota peperiksaan. Apa yang dibaca hari ini mungkin lupa esoknya. Itu perkara biasa. Tetapi dengan sering mengulang kaji pelajar akan mudah mengingatinya dan tersimpan dalam memori jangka panjang. Pelajar yang melakukan ulang kaji awal akan lebih tenang, ceria dan teratur hidupnya.  
  12. Bagi memulakan langkah menjadi pelajar cemerlang pelajar, seseorang itu memerlukan satu dorongan agar tercetusnya momentum untuk bertindak ke arah kecemerlangan itu.  
  13. Seorang pelajar yang cemerlang juga perlu seimbang daripada segi pembangunan minda, jiwa dan rohani. Justeru, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anaknya bersedia menghadapi 2012 ini seawal mungkin. 

Ahad, November 14, 2010

TUKAR GURU BESAR CEMERLANG UPSR

Mingguan Malaysia 14 November 2010


APABILA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 diumumkan Khamis lalu, ia memberikan berita gembira kepada banyak pihak. Sebanyak 48,327 daripada 482,334 calon memperoleh kelulusan semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil. Ia disifatkan sebagai pencapaian yang paling tinggi dalam sejarah peperiksaan UPSR.

Apakah yang dapat difahami daripada keputusan tersebut?

Pada tahun 1998, kira-kira 12 tahun lalu, terdapat 466,353 pelajar menduduki UPSR. Bilangan yang memperoleh semua subjek A hanya 21,009 orang. Pada 2010, bilangan yang meraih semua A telah meningkat kepada 48,327. Berbanding angka tahun 1998, pada tahun ini ada pertambahan 27,318 orang pelajar memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Statistik itu memperlihatkan para pelajar semakin cerdik dan kompetitif. Ia juga membawa makna bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh sudah tidak mencukupi untuk menampung para pelajar yang bertambah cemerlang. Siapakah yang berada di belakang kejayaan ini? Ada banyak. Antaranya calon peperiksaan sendiri, ibu bapa, guru-guru dan para pegawai pelajaran.

Bagaimanapun, salah satu faktor lain ialah bagaimana sekolah-sekolah ditadbir. Kita dapati sekolah-sekolah yang diurus dengan baik oleh guru-guru besar cemerlang menghasilkan keputusan UPSR yang hebat untuk sekolah masing-masing. Guru besar menjadi individu yang memotivasikan guru-guru, ibu bapa dan pelajar untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

Pada 1998, sebuah sekolah kebangsaan di Damansara, di bawah pentadbiran seorang guru besar yang komited, telah berjaya melahirkan 102 orang pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun tersebut. Malangnya, guru besar itu kemudian bersara kerana faktor umur dan digantikan dengan guru besar lain. Dari setahun ke setahun, di bawah guru besar baru, sekolah tersebut semakin merosot dari segi keputusan peperiksaan UPSR. Pada 2010 hanya terdapat 30 orang pelajar sekolah itu yang memperoleh 5A dalam UPSR berbanding 102 orang pada tahun 1998. Ia merupakan satu kejatuhan yang memalukan. Persekitaran sekolah masih sama. Taraf kehidupan ibu bapa dan pelajar tetap serupa. Sebahagian daripada guru masih orang yang dulu. Yang berbeza hanyalah guru besar.

Keputusan peperiksaan yang berbeza dalam kes sekolah di Damansara itu seharusnya mencetuskan minat untuk Kementerian Pelajaran mengkaji punca kegagalan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Awang percaya guru besar merupakan pemimpin yang mencorakkan arah tuju sekolah dan masa depan para pelajarnya. Begitu juga dengan kejayaan banyak sekolah lain di bandar, luar bandar dan pedalaman. Guru besar yang berwawasan menjadikan sesetengah sekolah lebih kehadapan daripada sekolah yang lain.

Jika guru besar sekolah hebat seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 di Kuala Lumpur ditukarkan ke Kerling di Hulu Selangor atau Cherok Paloh dekat Pekan, Pahang, sekolah-sekolah di luar bandar itu akan memperoleh keputusan UPSR yang lebih baik.

Kalau itulah yang akan berlaku dan sekiranya kepimpinan guru besar menjadi katalis yang melahirkan sekolah cemerlang, Kementerian Pelajaran harus segera merangka perancangan untuk 7,685 guru besar yang sedang mentadbir 7,685 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Ada tiga opsyen boleh dipertimbangkan:

  1. Melatih lebih ramai guru besar menjadi seperti guru besar sekolah-sekolah cemerlang.
  2. Mencontohi model pendidikan sekolah-sekolah tersebut, membuat penambahbaikan dan memperluaskannya ke seluruh negara.
  3. Memindahkan guru-guru besar cemerlang itu ke sekolah-sekolah yang kurang berjaya di luar bandar bagi melahirkan para pelajar berkualiti yang berani menghadapi cabaran meritokrasi.
Dalam keterujaan kita untuk menghalusi idea ini, ada soalan lain yang wajar dipertanyakan iaitu adakah menghasilkan lebih ramai pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR akan menjadikan negara kita lebih baik pada masa depan dan melahirkan generasi yang lebih berbakat?

Soalan ini sahaja akan mencetuskan perdebatan yang tidak sudah-sudah.