Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Menuju Cemerlang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menuju Cemerlang. Papar semua catatan

Khamis, Julai 30, 2015

TRANSFORMASI KE ARAH CEMERLANG

Menjadi individu dan umat Islam yang cemerlang adalah suatu tuntutan dalam Islam, kerana itulah dalam hidup ini kita sebagai umat Islam perlu melakukan tranformasi diri atau perubahan ke arah mencapai kecemerlangan. Umat Islam hendaklah cemerlang dalam semua aspek samada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan. Malah apa yang lebih bermakna adalah kecemerlangan dalam konteks pelaksanaan kerja yang diamanahkan dan hasil (outcome) kerja yang dilakukan. Penilaian kecemerlangan ini bukanlah titik noktah kepada usaha tersebut, tetapi adalah sebagai tonggak untuk meningkatkan lagi usaha ke arah kecemerlangan.

Umat Islam bukan hanya berfungsi dan berperanan setakat pada ibadat khusus semata-mata. Malah lebih luas daripada itu ialah peranan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas khalifah itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia. Ini bermakna kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi perlu dijana serentak. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 200-202 yang bermaksud:

Ada di antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat). Dan di antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.”.

Persoalan besar timbul ialah, mengapa masih ada lagi segelintir umat Islam yang masih tidak mahu untuk berubah menjadi cemerlang walaupun berpeluang besar melakukannya. Apa yang jelas, sikap lalai, cuai, alpa dan suka menangguh-nangguh sesuatu amal usaha serta tidak mengunakan potensi diri menjadi punca peluang tersebut terlepas begitu sahaja.

Kecemerlangan individu muslim sangat berkait rapat dengan tranformasi diri dan penyediaan perancangan masa depan yang kemas serta teliti dan strategik. Kebijaksanaan melakukan perubahan dapat membantu setiap muslim dan umat Islam dalam merancang masa depan bagi menyusun strategi baru yang lebih bersesuai dengan perubahan masa dan mampu mengurangkan kegagalan. Perhatikan kepada manusia yang cemerlang dalam hidupnya, mereka tidak pernah memperkatakan tentang kegagalan, mereka sentiasa merancang kegiatan-kegiatan yang dapat mendorong ke arah mencapai cita-cita, mereka sentiasa memanafaatkan waktu dan menghargai masa, pendek kata tidak ada waktu yang tidak dimanafaatkan.

Umat Islam sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat bahawa dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid. Perubahan dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
 

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”.

Dalam melakukan tranformasi diri ke arah kecemerlangan ianya memerlukan individu manusia yang mempunyai jiwa besar lagi kental. Mereka ini dapat dilihat melalui beberapa aspek antaranya:  
  • Pertama:kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan, 
  • Kedua: Pengorbanan yang agung yang tidak mengenal erti tamak haloba dan kedekut, 
  • Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain. Dengan prinsip dan aspek inilah akan mampu membentuk individu dan masyarakat yang cemerlang serta dapat melahirkan sebuah negara bangsa yang mampu bangkit, bersemangat waja serta mempunyai jatidiri yang murni lagi kukuh.

Oleh itu kecemerlangan prestasi jika dihalakan kepada kebaikan akan membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita akan tercalar. Renungilah pesanan Rasulullah SAW daripada Jabir RA tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya:

Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka”. (Hadith riwayat Muslim)

Lantaran itu, setiap kita yang memegang tanggungjawab sebagai muslim perlu meletakkan tanda aras prestasi cemerlang dengan adanya tranformasi diri di samping memainkan peranan masing-masing sebagaimana berikut:  
  • Pertama: Sebagai pemimpin kita perlu meletakkan indeks kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara selari dengan pemerkasaan rohani (spiritual) modal insan agar kegemilangan tamadun Islam sewaktu ketika dulu dapat diulangi.  
  • Kedua: Sebagai ketua rumahtangga, suami perlu meletakkan indeks keharmonian rumahtangga ibarat ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan sebagai budaya yang dapat menghindari ahli-ahli keluarga daripada gejala rosak akhlak. 
  • Ketiga: Sebagai individu muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.

Daripada keterangan-keterangan diatas marilah sama-sama kita melakukan tranformasi diri dengan mengubah kebiasaan-kebiasaan negatif yang selama ini menjadi rutin kehidupan kita. Marilah sama-sama kita mengubah pemikiran kita ke arah yang lebih kreatif dan inovatif agar ianya selari dan senafas dengan peredaraan masa dan zaman. Jadikan tranformasi diri sebagai batu asas untuk kita membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan bermaruah. Jadikanlah keyakinan diri sebagai pegangan hidup, dorongan sebagai teman setia, putus asa di anggap musuh durjana dan jadikanlah usaha dan tekun sebagai tangga kejayaan.
Sumber:  Minda Aktif

Selasa, April 21, 2015

FOTO TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC)

Foto ini baru aku terima daripada PPD Pontian pada hari Ahad 19 April 2015. Peristiwa itu sudah lama berlalu iaitu pada tahun 2014. Orang kata dah sejuk... Ini adalah kali ketiga aku terima Anugerah Perkhidmtan Cemerlang (APC). Tiada apa yang nak aku cerita dan ulas. Alhamdulillah dan syukur aku panjatkan kepada Allah SWT atas kurniaanNya. Terima kasih kepada semua.






Jumaat, Januari 09, 2015

PETUA MENJADI PELAJAR YANG CEMERLANG

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:

1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.

2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
  • kita ingat 20% apa yang didengar
  • kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
  • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
  • kita ingat 10 % apayang dibaca
  • kita ingat 90% setelah dipraktikkan

3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah). Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….

5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
  • pastikan cahaya adalah terang
  • kurangkan gangguan bunyi
  • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
  • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
  • kerusi dan meja menghadap kiblat
  • jangan lupa untuk senyum

6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.

7. Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.

8. Tahu teknik merangsang memori:
  • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
  • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
  • mengingat kembali (recall)
    menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application) 

9. Sentiasa awal dan mendahului:
  • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
  • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
  • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
  • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar. 

10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.

11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
  • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
  • memberikan tumpuan sepanuhnya
  • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
  • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan 

12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh dan  malas.

13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.

14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.

15. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.

16. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).

17. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.

18. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.

19. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.

20. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.

21. Tahu petua mengulang kaji
  • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
  • siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
  • duduk tegak dikerusi yang selesa
  • baca doa penerang hati
  • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
  • fikir dan ingat kembali isi utama
  • catat/lakar
  • semak semula ketepatan maklumat
  • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
  • buat rumusan
  • jawab soalan
  • tampal maklumat yang rumit di dinding
  • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar

22. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.

23. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
  • jangan makan kepala ikan
  • jangan makan organ dalaman
  • jangan minum semasa makan
  • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
  • jangan melihat kemaluan
  • jangan melihat buih
  • jangan membaca nama pada batu nisan
  • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
  • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
  • banyakkan makan kekacang
  • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
  • jangan makan sehingga terlalu kenyang
  • jangan kencing berdirI

24. Tahu kemahiran mengingat:
  • tampal nota-nota penting di dinding
  • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
  • gunakan kaedah akronim
  • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
  • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil

25. Cekap mengatur jadual belajar:
  • mempunyai jadual belajar
  • patuh kepada jadual
  • buat jadual yang boleh diikuti.

26. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.

27. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.

28. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.

29. Pelbagaikan tempat belajar.

30. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham

31. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.

32. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
  • taat kepada Allah
  • mendirikan sembahyang
  • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
  • hormati & sayangi guru
  • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
  • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
  • membantu rakan yang memerlukan
  • berdoa dan bersyukur kepada Allah
  • sentiasa bertawakal
  • mahir dalam setiap mata pelajaran
 
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.

Sumber: DR FADZILAH KAMSAH

Selasa, Disember 11, 2012

CIKGU ZAMIMAH AZAMAN MENERIMA ANUGERAH PENDIDIK GLOBAL MICROSOFT


Zamimah Azaman bersama sijil kejayaan sebagai naib johan anugerah
 Pendidik Global dalam Microsoft Partners In Learning Global
Forum 2012 di Istana Prague, Republik Czech baru-baru ini.
Saya ucapkan tahniah kepada Cikgu Zamimah Azaman atas pencapaian anugerah ini.

Guru Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Zamimah Azaman mencipta sejarahnya tersendiri apabila terpilih menerima anugerah Pendidik Global Microsoft yang merupakan kemuncak penganjuran Microsoft Partners In Learning Global Forum 2012 di Istana Prague, Republik Czech baru-baru ini.

Pendidik daripada sekolah di Miri, Sarawak itu dipilih sebagai naib johan kategori Pembinaan Pengetahuan dan Pemikiran Kritikal (Knowledge Construction and Critical Thinking) melalui projek inovatif ‘The Journalist’ yang dihasilkan berasaskan projek serta simulasi bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis para pelajarnya.

Projek ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek melalui empat elemen utama iaitu instrumen pementasan, pembelajaran secara bersendirian, pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara usaha sama, serta bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memaksimumkan pembelajaran pelajar serta meningkatkan pemikiran kreatif dan kritikal mereka.

Menerusi aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan penuh makna, ‘The Journalist’ juga bertujuan memperkaya nilai-nilai kemanusiaan di kalangan pelajar sebagai pemimpin masa depan dunia.

Kejayaan Zamimah di peringkat dunia menewaskan lebih daripada 250,000 guru merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan negara. Keutamaan projek ini adalah untuk memastikan bahawa kerja yang dibuat mempunyai impak di luar kelas dan menyediakan pelajar untuk peringkat pengajian yang seterusnya dalam hidup mereka. 

Microsoft Partners In Learning Global Forum mengiktiraf 21 pendidik dari seluruh dunia yang berjaya mengadaptasi kegunaan teknologi secara inovatif di dalam bilik darjah. Forum itu dihadiri lebih 500 orang guru, pemimpin sekolah dan pemimpin pendidik serta pegawai kerajaan mewakili 80 negara.

Penubuhannya sejak 15 tahun lalu itu bertujuan membantu sistem pendidikan seluruh dunia melalui komunikasi dua hala antara pendidik dan pemimpin sekolah, mengenal pasti potensi pelajar merangkumi penglibatan lebih 210 juta guru dan pelajar di 119 negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Carlos Lacerda berkata, generasi pemimpin negara pada masa depan tidak boleh dididik dengan peralatan teknologi lama atau amalan pendidikan yang ‘usang. Tambahnya, kita harus terus membangunkan persekitaran pembelajaran yang canggih dan maju untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin Malaysia pada masa depan yang lebih baik.

Semua pemenang Anugerah Pendidik Forum Global secara automatik dimasukkan ke dalam program baharu Microsoft Innovative Educator Expert. Program itu diwujudkan untuk mengiktiraf golongan pendidik seluruh dunia menggunakan teknologi bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka. Hal ini bermakna Zamimah layak sebagai seorang Microsoft Innovative Educator Expert dan rakan kongsi Microsoft dalam pelbagai aktiviti pendidikan sepanjang tahun. Kemudahan ini akan membolehkan Zamimah mengakses kepada perisian produk terkini daripada Microsoft.

Pada masa yang sama, Microsoft akan memastikan bahawa kumpulan tersebut mendapat peluang pembangunan profesional dan kerjaya untuk membantu mereka mempertingkat impak kepada pelajar masing-masing.

Ahad, September 30, 2012

STRATEGI MENGEKALKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH

Penambahbaikan sekolah perlu dilakukan untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah. Untuk berjaya, peranan semua warga sekolah adalah amat penting bagi merealisasikan strategi ke arah pengekalan kecemerlangan. Setiap pentadbir dan guru mesti sanggup membuat perubahan yang radikal berdasarkan strategi yang telah disusun secara bersepadu, komprehensif, dan menyeluruh. Di antara cadangan strateginya ialah:

  • Memahami perubahan konteks kepimpinan bagi melestari penambahbaikan sekolah.
  • Mengetahui apa itu penambahbaik sekolah.
  • Cara pasca kepimpinan pengajaran boleh menambahbaik sekolah.
  • Kepemimpinan guru dan cara menggunakannya bagi menambahbaik sekolah.
  • Kaedah mendiagnosis perubahan bagi menambahbaik sekolah.
  • Meningkatkan keupayaan guru melalui pemantauan dan penilaian.
  • Menjana penambahbaikan sekolah melalui pengajaran berkesan.
  • Cara membuat keputusan bagi menambahbaik pengajaran dan pembelajaran.
  • Melakukan penambahbaikan melalui pengajaran reflektif.
  • Membudayakan penyelidikan bagi melakukan penambahbaikan.
  • Membangunkan komuniti pembelajaran di sekolah.
  • Memperkasa kecerdasan emosi bagi menambahbaik sekolah.
  • Membangunkan teori kajian penambaahbaikan sekolah.

Jumaat, Mac 16, 2012

KEHIDUPAN LEBIH BERNILAI JIKA BIJAK MENGURUS MASA

Bijak pandai ada menyatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui bahawa emas adalah sesuatu yang begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan juga membanggakan diri. Melihat pada mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar dan usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya sama sekali tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit, kerana masa tidak boleh ditukar ganti atau boleh dibeli dan dikembali jika ia sudah berlalu.

Hukama’ pula mengibaratkan masa sebagai pedang. Sekiranya kita manusia tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita, yakni kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara bermanfaat.

Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa sudah tentu memainkan peranan penting kerana setiap saat yang dilalui, akan ada tugasan dan urusan yang harus diselesaikan mengikut kerjaya masing-masing.

Majikan umpamanya akan menilai keberkesanan tugasan pekerjanya dengan memperuntukkan tempoh dan waktu tertentu untuk mereka menyiapkan sebarang tugasan, apabila ia dapat disiapkan pada masa dan tempoh seperti yang telah ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati betapa pentingnya mengikut ketetapan masa.

Islam mengajar manusia cara dan kaedah menjaga dan mengurus masa dengan baik dan berkesan mengikut kehendak syariat. Di antara kaedahnya ialah:
  • Membuat perancangan teliti - Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu sama ada masa harian, mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya. Justeru itu, penjadualan adalah sesuatu yang mustahak. Jadual hendaklah disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran masa. Tempoh penyiapan masa sesuatu kerja hendaklah ditetapkan tempoh tertentu bagi menentukan proses penyiapannya, untuk mengelakkan ia menjadi kerja tertangguh dan tidak sistematik. Nabi Allah Ibrahim sendiri umpamanya menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian sebagaimana berikut: Waktu untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah, Waktu untuk bermuhasabah mengenai diri sendiri, Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah, dan Waktu untuk keperluan hidupnya seperti makan dan minum.
  • Sentiasa menepati masa – Sebagai umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara, maka hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa sebagaimana ditetapkan untuk mengelak daripada timbulnya hal negatif yang lain akibat daripada kecuaian kita mematuhi ketepatan masa. Sebuah kata-kata hikmat menyatakan: ‘Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok’.
  • Jangan membazir masa – Orang yang benar-benar menghargai masa sentiasa memenuhi masa hidupnya dengan melakukan perkara bermanfaat untuk dirinya dan orang lain dengan mengelakkan diri daripada terbabit dengan pekerjaan makruh, apatah lagi yang haram dan maksiat.
  • Menjaga kualiti masa – Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza-beza mengikut keupayaan, persepsi dan kemampuannya mengisi masa dalam kehidupan seharian. Namun begitu Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: ‘Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.’
  • Berlumba-lumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Berdasarkan hadis di atas juga maka manusia amat dituntut untuk menghasilkan sesuatu bermutu apabila sudah nekad melakukan sesuatu tugasan pada masa hidup, senang, sihat dan dalam usia muda dengan tenaga yang masih kuat, maka berusahalah untuk menghasilkan sesuatu natijah atau hasil yang benar-benar mampu untuk dibangga oleh orang lain. Firman Allah dalam surah al-Maidah bermaksud: ‘Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.’ Rasulullah SAW pula bersabda: ‘Sesungguhnya Allah kasih kepada seseorang di antara kamu apabila bekerja sentiasa meningkatkan mutu kerjayanya.’
  • Beristiqamah dalam melakukan kerja – Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan untuk melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri atau dengan arahan dan menganggap apa yang sedang dilakukan itu adalah ibadat kepada Allah Taala. Firman Allah dalam surah al-Syirhi bermaksud: “Maka apabila kamu selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaknya kamu berharap.”
  • Martabat manusia dinilai dengan masa – sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya”.

Sumber: Berita Harian

Sabtu, Mac 10, 2012

MENINGKATKAN KEYAKINAN DIRI

Ikuti dan tanamkan dalam diri kita langkah-langkah berikut  bagi meningkatkan keyakinan diri. Bukan sahaja kita menjadi lebih yakin pada diri sendiri malah kita akan lebih produktif, lebih gembira, lebih berjaya serta lebih berketrampilan dan menarik disamping akan menjadi contoh teladan yang cemerlang kepada orang lain pula. Insya-Allah.
Langkah meningkatkan meningkatkan keyakinan diri:
  1. Bina Paradigma dan Prinsip Hidup yang Mantap  -Benteng semangat juang ialah moto diri atau falsafah hidup seseorang. Moto atau falsafah hidup adalah pegangan, prinsip atau pendirian yang dijadikan sebagai asas panduan mencapai kejayaan.
  2. Kenalpasti dan Tetapkan Matlamat & Halatuju Hidup - Seseorang yang tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas  seolah-seolah meniti kehidupannya dalam keadaan gelap yang tidak pasti akan ke mana sampainya. 
  3. Bina Pelan Tindakan Kejayaan Diri - Setelah anda sudah membina matlamat-matlamat yang jelas dan mantap serta moto-moto hidup yang hebat, anda hendaklah membuat pula pelan tindakan kejayaan diri secara bertulis.
  4. Sentiasa Tingkatkan Ilmu Pengetahuan, Pengalaman serta Pendedahan - Dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, bukan sahaja anda akan dapat mengikuti atau mengetahui perkara-perkara baru atau isu-isu semasa malah anda akan dapat pula menggunakan pengetahuan atau ilmu-ilmu baru itu untuk meningkatkan lagi keupayaan anda menangani cabaran-cabaran semasa. 
  5. Tingkatkan Kemahiran Diri - Anda akan lebih yakin diri apabila anda mempunyai kemahiran yang tinggi atau secukupnya dalam melakukan sesuatu kerja.   
  6. Amalkan Keteraturan dan Kesiapsiagaan - Biasanya kita akan merasa risau atau rasa tertekan apabila khidmat kita diperlukan secara tiba-tiba dalam keadaan kita tidak atau kurang bersedia.  
  7. Jaga Kualiti Kesihatan, Kecergasan & Ketrampilan Diri - Kesihatan diri kita amat berkait rapat dengan keyakinan diri. Jika kesihatan diri kita baik, badan kita juga sudah tentunya lebih cergas. Jika kurang sihat atau sakit-sakit, badan kita akan lemah, fikiran jadi kusut dan kurang bermaya. Keadaan begini boleh menjejaskan keyakinan diri kita.

Ahad, Februari 12, 2012

CARA HAFALAN YANG BETUL

Belajar bukan saja memerlukan tumpuan penuh namun pemahaman mendalam mampu melonjakkan prestasi pencapaian, sekali gus membantu pelajar menjadi lebih cemerlang.  

Satu kaedah digemari untuk mempertajamkan pemahaman ialah melalui hafalan. Namun jika tidak dilakukan dengan cara betul akan menyebabkan pelajar mudah lupa dan bertambah pening. Justeru, cara hafalan yang betul ialah:

  1. Menggunakan gambar sebagai memori - Tukarkan maklumat diperoleh dalam kelas atau kuliah kepada gambar dan membuatkan anda lebih ingat berbanding mendengar saja. Ketika guru sedang mengajar, gunakan minda anda untuk menukarkan apa yang diperkatakan kepada gambar. Ini akan menjadikan anda lebih mudah mengingati.
  2. Berikan tumpuan penuh semasa menghafal - Jangan alihkan tumpuan dengan melakukan perkara sampingan seperti menonton televisyen, mendengar radio, menghantar khidmat pesanan ringkas dan sebagainya ketika menghafal. Anda hanya membazir masa kerana akan hilang fokus.
  3. Buat berulang-kali agar hafalan menjadi menjadi mantap - Anda perlu membuat hafalan berulang kali hingga faham. Jika masih samar, ulang semula hingga benar-benar ingat dan mendapat gambaran jelas. Selepas itu tulis apa yang dihafal itu bagi memastikannya berkekalan di minda.
  4. Mula belajar sejak awal - Belajar pada saat akhir bukan saja akan membebankan otak malah membuatkannya tidak mampu menerima maklumat secara berkekalan. Anda juga akan berasa tertekan menyebabkan hafalan bercelaru.
  5. Mengulang kaji sedikit-sedikit - Hafalan tidak boleh dilakukan dalam kuantiti banyak kerana daya mengingat manusia adalah terhad. Lebih baik fokus pada sesuatu dalam kuantiti kecil selain membuat ulang kaji secara berterusan.
  6. Buat nota ringkas - Sediakan nota ringkas yang menarik serta dihiasi gambar untuk membantu anda ‘gembira’ ketika meng­ulang kaji.

Isnin, Januari 30, 2012

AWAN NANO MENJUARAI LAGU TERBAIK ANUGERAH JUARA LAGU KE-26

Karya Datuk M Nasir masih berbisa apabila lagu ciptaannya Awan Nano diangkat sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. Lagu itu dinyanyikan oleh penyanyi muda dari Sarawak, Hafiz. Malahan dengan penghayatan yang baik ketika menyampaikan lagu itu, membuatkan Hafiz turut dipilih memenangi hadiah Vokal Terbaik AJL26.
 
Awan Nano yang seni katanya karangan Budi Hekayat dan dinyanyikan Hafiz Suip, akhirnya berjaya dijulang sebagai juara. Dengan kemenangan itu, mereka bertiga berkongsi wang RM35,000.
Dengan hanya pakaian lusuh dan berkaki ayam, Hafiz tetap berjaya mencuri tumpuan juri sehingga meraih trofi Vokal Terbaik. Anak muda berasal dari Sarawak itu turut meraih kejayaan berganda seperti AJL25 bagi kategori itu dengan wang tunai RM10,000.

Ia turut dibantu penyanyi 1980-an, Herman Tino yang berlakon sebagai ayah Hafiz melalui muzik video mereka. Sementara itu, sedutan daripada klip video yang menunjukkan Herman Tino menampar Hafiz menjadi pembuka persembahan kepada anak muda daripada Sarawak itu saat menyampaikan Awan Nano. Ternyata, Hafiz tampil sangat ringkas dan kelihatan cukup yakin dengan melodi, muzik dan seni kata lagu nyanyiannya.

Walaupun ramai yang kata lagu itu sangat ‘berat’ dan susah untuk dinyanyikan, Hafiz tidak pula mengambil pendapat ramai itu sebagai tekanan, sebaliknya dia mengambilnya sebagai cabaran buat dirinya bagi mempersembahkan yang terbaik.

“Baik atau buruknya sesuatu perkara itu, ia adalah cabaran buat saya. Memang benar, sukar untuk menyanyikan lagu ini dan tidak boleh bergantung kepada kehebatan vokal semata-mata kerana Awan Nano padat dengan emosi. Apabila menyanyikan lagu ini ia seperti bercerita kisah hidup kita. Seni katanya menyentuh jiwa dan untuk melahirkan emosi. Saya bayangkan walau apa pun berlaku, kita mesti menyayangi dan menghargai ibu bapa kita,” tegasnya.

Apabila sudah dinobatkan yang terbaik, Hafiz sedar perjuangannya tidak berhenti setakat itu saja, sebaliknya dia menggalas harapan dan amanah yang besar daripada peminat. Dengan segala usaha dan persediaan untuk menghadapi cabaran AJL26, Hafiz puas hati dengan persembahannya dan akan menyimpan wang kemenangannya untuk masa depannya dan keluarga.

M Nasir yang sudah biasa menjulang trofi AJL bagaimanapun hanya mampu mengucapkan itu semua adalah suratan nasib. Nasir bagaikan kehabisan kata-kata dengan kemenangan Awan Nano kerana baginya komposer muda yang bersaing pada malam itu cukup hebat seperti Aizat (Sungai Lui), Yuna (Penakut & Gadis Semasa) dan Najwa Latif (Cinta Muka Buku).

“Apabila bertanding, saya memang mahu menang dan apabila buat lagu, saya mesti buat yang sedap dan melebihi daripada biasa sambil memikirkan mungkin orang boleh suka dengan lagu itu. Walaupun pada masa sama saya sebenarnya tak ada kuasa menentukan apa yang orang suka. Saya tak tahu nasib lagu ini kerana komposer lain pun hebat juga. Dengan kemenangan ini, lagu berentak balada kembali diminati kerana balada hari ini ada aliran tersendiri dan ia semakin berubah kerana banyak dipengaruhi muzik Indonesia,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu disaksikan 15,000 penonton yang dihoskan Faizal Ismail (FBI) dan Cheryl Samad. Hadiah pemenang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar.

Buat kali pertama juga, acara yang dinantikan setiap tahun itu memperkenalkan Anugerah Juara Mobile yang diadili berdasarkan lagu paling banyak dimuat turun dengan kerjasama Celcom. Ia dimenangi Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim.

AWAN NANO 
 
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan awan
Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri

Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu

Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga
Hadir dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihnya kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu

Sehingga tak mungkin termampu
Saksi setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu

Akulah awanmu yang sedia melindungi dirimu
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Rabu, Januari 11, 2012

MESSI PEMAIN BOLASEPAK TERBAIK DUNIA 2011

Lionel Messi menerima Anugerah FIFA Ballon d’Or 2011 buat kali ketiga sebagai Pemain Terbaik Dunia di sini, kelmarin. Pemain berusia 24 tahun yang juga penyerang Barcelona dan Argentina itu mengetepikan pesaing terdekat antaranya pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo serta rakan sepasukan, Xavi.

“Ini adalah sesuatu yang cukup membanggakan buat diri saya. Ini adalah kali ketiga saya memenanginya. Ini sesuatu penghormatan yang cukup mengagumkan. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang telah bersama dengan saya, rakan-rakan, jurulatih Pep Guardiola dan semua di Barcelona. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan saya iaitu Argentina,” kata Messi.

Messi juga menjadi individu kedua menerima anugerah tiga kali berturut-turut selepas Presiden UEFA Michel Platini.

“Saya mahu kongsi penghargaan ini dengan kawan sepasukan saya Xavi. Dia juga wajar menerima anugerah ini. Saya mahu kongsinya bersama anda kerana anda lebih berhak mendapatnya daripada saya. Saya juga amat bangga kerana dapat beraksi bersamanya,” kata Messi.

Pemilihan anugerah Ballon d’Or adalah berdasarkan pencapaian sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA 2010 dan diundi oleh jurulatih pasukan kebangsaan serta kapten selain mendapat penilaian panel wartawan bola sepak yang dipilih oleh majalah Bola Sepak Perancis.

Messi menjadi pilihan untuk anugerah tersebut selepas membantu kelabnya memperoleh lima trofi termasuk Liga Juara-Juara, Kelab Piala Dunia FIFA serta mempertahankan gelaran La Liga tiga kali berturut-turut.

Musim ini pemain tersebut telah menjaringkan 200 gol untuk Barcelona dan semakin menghampiri rekod Cesar Rodriguez yang telah menjaringkan 235 gol. Lebih manis buat Barcelona apabila jurulatih Guardiola dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik FIFA. Bekas pemain Barcelona berusia 40 tahun itu dicalonkan bersama jurulatih Madrid Jose Mourinho dan pengurus Manchester United, Alex Ferguson.

“Saya mahu tujukan anugerah ini kepada mereka yang telah bekerja keras untuk Barcelona FC serta membantu membangunkan pasukan ini menjadi kelab terbaik dunia,” kata Guardiola.

Hasan: Semoga ada pemain Malaysia yang seiring dengan Messi. Tahniah Messi!

Jumaat, November 11, 2011

BANGGA AKU APABILA MURID-MURIDKU MEMAKAI JUBAH GRADUAN

Pagi tadi murid-murid Tingkatan 5 sekolah aku begitu bergaya apabila mereka memakai jubah graduan.  Sejak pagi-pagi lagi diaorang bersama ibubapa masing-masing telah bersiap sedia dengan jubah masing-masing menanti ketibaan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. Sebenarnya diaorang menghadiri Majlis Graduasi Tingkatan 5 2011 bertempat di Dewan A, SMK Telok Kerang. Majlis ini khusus diadakan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan alam persekolahan setelah menimba ilmu selama 5 tahun belajar di sekolah ini.

Majlis yang dirasmikan oleh En. Abdul Rahim Bin Lamin, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, nampak meriah apabila pelajar-pelajar yang memakai pakaian graduan serba biru itu sentiasa tenang dan tersenyum riang. Namun ada di antara diaorang yang kelihatan sebak menahan sedih nak berpisah dengan guru-guru dan seterusnya akan meninggalkan sekolah ini selepas tamat peperiksaan SPM nanti.

Selepas menyampaikan ucap utama, En. Abdul Rahim Bin Lamin menyampaikan sijil-sijil kepada semua pelajar. Diantara sijil-sijil tersebut ialah sijil pelajar terbaik dalam peperiksaan percubaan SPM, sijil pencapaian terbaik setiap subjek, sijil penghargaan dalam kegiatan kokurikulum, sijil sahsiah terbaik, dan lain-lain. Irama daripada muzik tradisional gamelan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 2 mengiringi sepanjang upacara penyampaian sijil-sijil tersebut berjalan.

Selaian daripada guru-guru, ibu dan bapa pelajar-pelajar turut hadir untuk meraikan anak-anak mereka buat kali terakhir di SMKTK sebelum menghadapi peperiksaan SPM pada minggu hadapan. Zaman di alam persekolahan menengah bagi anak-anak ini akan berakhir tak lama lagi. Selepas tamat menghadapi peperiksaan SPM nanti, tentunya pelajar-pelajar tersebut bertaburan mengikut haluan masing-masing. Mereka akan datang lagi ke sekolah apabila nak ambil slip keputusan SPM pada Mac 2012 dan juga membereskan urusan kemasukan ke pusat-pusat pengajian lanjutan. Aku harap diaorang semua berjaya dengan cemerlang.

Semoga dengan pakaian jubah graduan yang melekat di tubuh diaorang itu, akan menjadikan pelajar-pelajar ini bersemangat untuk menghadapi peperiksaan SPM dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading atau ke institusi pengajian yang lain. Itulah harapan aku kepada diaorang. Bukan aku sahaja, aku rasa ibubapa diaorang dan semua warga SMKTK juga mempunyai harapan yang sama terhadap diaorang.

Aku bangga dengan diaorang lebih-lebih lagi apabila diaorang disarungkan dengan jubah graduan. Semoga kalian berjaya anak-anak muridku.













Rabu, September 07, 2011

PELAKON MUBARAK MAJID SAMBUNG BELAJAR

Harian Metro 7 September 2011


GEORGETOWN: Pelakon Mubarak Majid atau nama sebenarnya Mohamad Mubarak Majid bergelar penuntut pada usia 55 tahun apabila mendaftar sebagai penuntut baru Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Lakonan dan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Dia mengambil jurusan itu sepenuh masa antara 3,883 penuntut dari dalam dan luar negara yang mendaftar di universiti itu bagi sesi pengajian 2011/2012.

“Sudah lama saya mahu menyambung pelajaran, namun hasrat itu terbantut kerana menguruskan keluarga dan anak-anak. Saya pernah mencuba sekali, tetapi ia tidak dapat dilakukan,” katanya.

Mubarak yang sudah membabitkan diri dalam bidang lakonan hampir 30 tahun berkata, pemilihan USM dianggap cabaran buat dirinya yang secara tidak langsung menjadi pendorong untuknya berusaha lebih gigih.


Hasan:
  • Aku ada menonton lakonan Mubarak Majid di tv. Lakonannya bagus.
  • Syabas diucapkan kepada Mubarak Majid atas kesungguhannya melanjutkan pelajaran di USM sebagai penuntut baru Ijazah Sarjana Muda pada usia 55 tahun.
  • Berita ini  boleh dijadikan  sebagai motivasi diri anak-anak muridku.

Isnin, Mac 15, 2010

DATUK LEE CHONG WEI JUARA 100 TAHUN ALL ENGLAND




Sebentar tadi pada pukul 1.00 pagi waktu Malaysia, Datuk Lee Chong Wei menjuarai edisi ke 100 tahun All England. Chong Wei menewaskan Kenichi Tago dari Jepun 21-19, 21-19. Saya sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaian Chong Wei. Saya berjaga malam menonton aksi Chong Wei menentang Tago di Stadium Astro di depan TV. Syabas dan tahniah!

Isnin, November 16, 2009

MUHAMMAD AHMAD ZAHID - ANAK BERTUAH DAN ISTIMEWA



Muhammad Ahmad Zahid anak amat bertuah dan istimewa.
  • Nama: Muhammad Ahmad Zahid.
  • Jantina: Laki-laki.
  • Umur: 14 tahun.
  • Bapa: Ahmad Zahid Zainal Abidin (Penasihat Undang-undang).
  • Ibu: Dr Siti Khadijah Fadzli (Doktor Pergigian).
  • Hafiz
  • Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
  • Azan di TV1.
  • Rancangan Mari Bertarannum TV9.
  • Bacaan Surah Yaasin di Astro Oasis.
  • Tokoh Maulidurrasul Peringkat kebangsaan.
  • Anugerah Khas Saidina Ali oleh Kerajaan Selangor.
  • Menunaikan ibadah haji kali kedua.

TAWAKAL MESTI DIDAHULUI DENGAN IKHTIAR


Tentunya pelajar-pelajar khususnya pelajar-pelajar SMK Telok Kerang telah siap sedia menghadapi peperiksaan SPM. Peperiksaan yang bermula pada hari Rabu 18 November 2009 mungkin membuatkan dada pelajar-pelajar berdebar-debar. Apa yang hendak ditakutkan jika semua dah berusaha dan berikhtiar. Bertawakallah kepada Allah SWT. 

Mengenai tawakal ini, setiap orang beriman diperintahkan agar bertawakal kepada Allah SWT secara benar. Tawakal boleh membawa kepada kesesatan serta mengundang kemurkaa Allah SWT jika tersalah memahami konsep tawakal. Tawakal yang dikehendaki dalam Islam bukanlah menyerah bulat-bulat kepada Allah SWT. 

Tawakal yang sebenarnya mestilah terlebih dahulu berikhtiar dan berusaha yang bersungguh-sungguh berterusan sehingga berjaya. Tanggapan bahawa manusia tidak perlu penat bekerja, tidak perlu berusaha dan tidak perlu berikhtiar dimana hidupnya semata-mata diserahkan dan ditentukan oleh Allah SWT adalah salah sama sekali dan menyeleweng daripada pengertian sebenar. Pengertian sebenar tawakal adalah mengusahakan sesuatu dengan mempergunakan sebab-sebab yang lazim (sunnah Allah) serta mengharap pertolongan Allah SWT. 

Jelaslah bahawa segala bentuk urusan atau pekerjaan yang dihadapi hendaklah diusahakan terlebih dahulu sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Sebagai pelajar yang inginkan kejayaan dalam pelajarannya, pelajar mestilah berusaha belajar dengan tekun lantaran kesempurnaan dan kecemerlangan yang ingin dicapai tidak akan dapat dicapai jika ada sikap malas. Islam sama sekali tidak menghendaki umatnya berpeluk tubuh dan hanya berserah kepada Allah SWT. Terus berusaha, terus bekerja, terus berikhtiar dan akhirnya bertawakallah kepada Allah SWT.

Rabu, Oktober 21, 2009

CONTOHI RATU SKUASY NICOL DAVID







Datuk Nicol David selaku penakluk dunia skuasy menjadi perhatian media tempatan dan antarabangsa. Sebagai membalas jasa Nicol sebagai duta sukan negara yang ulung, Kerajaan Malaysia menamakan gelanggang utama Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil dengan namanya. Nicol yang lahir di Pulau Pinang pada 26 Ogos 1983, bekas pelajar Sekolah Convent Green Lane Pulau Pinang merupakan pelajar yang mempunyai motivasi amat tinggi. Dia juga mempunyai kelebihan kekuatan minda yang kuat serta amat fokus ketika di dalam kelas. Nikol, anak kepada jurutera yang juga bekas penjaga gol Pulau Pinang, Desmond David dan pesara guru, Ann Marie, adalah seorang anak yang hiperaktif. Ibu bapanya terpaksa mencari jalan mengisi masa yang terluang kerana dia hiperaktif ketika kecil.




Selain skuasy, Nikol berjinak-jinak dengan banyak sukan lain. Dia sentiasa mahu bersaing dengan kakak-kakaknya Liane dan Cheryl. Dia amat aktif dalam bidang kokurikulum. Selain skuasy, Nicol aktif dalam olahraga, bola tampar dan renang. Ini membuatkan sekolah menjadikan Nocol sebagai ikon untuk memotivasikan para pelajar lain. Nicol tidak suka membuang masa.


Menyedari masanya amat terhad di sekolah, dia tetap membawa buku-buku pelajarannya ke tempat latihan ataupun pertandingan. Itulah sebahagian rahsia kecemerlangannya dalam akademik. Dalam Peperiksaan PMR dia memperolehi 7A dan 7A dalam SPM. Dia merupakan individu memiliki nilai-nilai diri yang amat positif, bersikap rendah diri, menghormati orang lain dan tidak sombong atas popularitinya.


Jika tidak mengeluarkan peluh di gelanggang, Nikol selesa mendengar muzik selain menonton televisyen. Dia menyukai makanan kegemarannya iaitu kueytiow goreng. Dia juga meminati seni reka dan gemar melukis ketika menanti giliran di gelanggang. Atas jasanya dia dianugerahkan PMN, PJK, DSPN (Pulau Pinang) dan AMN, KMN, DB (Kebangsaan). Satu hari nanti Nicol memasang impian menyempurnakan aktiviti lasak seperti terjun bungee dan payung terjun (sky diving).


Kesimpulannya, seseorang yang hiperaktif boleh berjaya dengan cemerlang dalam apa jua bidang. Untuk pelajar-pelajarku di SMK Telok Kerang, Pontian, Johor, contohilah Nicol David. Gunakanlah kekuatan fizikal atau mental dalam diri anda yang berlebih-lebihan itu untuk berusaha gigih bagi mencapai kejayaan dalam apa jua bidang. Usahakanlah!



Utusan Malaysia.