Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Penjawat Awam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penjawat Awam. Papar semua catatan

Selasa, Mac 12, 2013

SST - SISTEM SARAAN BARU PERKHIDMATAN DIUMUM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
 
Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri ialah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.
 
Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.
 
Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.
 
"Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
 
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.
 
MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.
 
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
 
Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR). Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan.
 
Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.
 
"Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi. Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.
 
Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.
 
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara langsung.
 
"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima. Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya," katanya.
 
Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.
 
Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik

Sabtu, November 10, 2012

KERAJAAN KAJI SEMULA KENAIKAN GAJI KAKITANGAN AWAM SEBANYAK 5% PADA TAHUN 2013 NAMUN BEGITU...

Mungkin berita ini menggembirakan penjawat awam. Beritanya mengenai gaji dijangka naik setinggi 5% pada tahun 2013. Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam dalam negara ini bakal menerima kenaikan gaji setinggi peratus tersebut. Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata skim gaji kakitangan awam yang masih dalam kajian itu bakal merentasi semua peringkat.

Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti dan mengkaji segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu-isu penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksimum. Proses penilaian semula skim gaji itu sudah bermula, namun penelitian secara mendalam hanya akan dilakukan tahun depan.

Datuk Omar Osman, iaitu Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), menyambut berita tersebut dengan positif apabila dihubungi. Datuk Omar Osman berkata tindakan sebegini pastinya dapat melegakan hati penjawat awam di seluruh negara.

Namun beliau masih berharap kerajaan turut mempertimbangkan cadangan CUEPACS yang dikemukakan sebelum ini, termasuklah cadangan berkaitan tangga gaji yang mengikut tempoh kerja kakitangan awam.

Namun begitu yang mungkin terjadi adalah begini...

Semakan kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus bagi sektor awam bermula tahun depan hanya melibatkan kira-kira 280,000 orang atau 20 peratus daripada 1.4 juta kakitangan kerajaan yang telah mencapai tangga gaji maksimum tahun ini. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, perkara itu memandangkan kumpulan berkenaan yang sepatutnya menerima lonjakan gaji dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali menerima tangga gaji maksimum selepas pelarasan gaji sebanyak 13 peratus ekoran pembatalan sistem itu.

Keadaan itu tambah beliau, menyebabkan gaji mereka menjadi statik sekiranya tiada kenaikan pada 2013 sedangkan penjawat awam lain akan menerima kenaikan tahunan seperti biasa sepanjang tempoh interim Sistem Saraan Malaysia (SSM) sehingga skim baharu yang menyeluruh dirangka kelak."Perkara ini dinyatakan sendiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang menjelaskan kenaikan itu bukan melibatkan sektor awam secara keseluruhannya.

Namun, CUEPACS menyambut baik usaha kerajaan ini kerana prestasi kerja golongan berkenaan akan terjejas sekiranya mereka tidak menerima kenaikan gaji pada tahun depan.

"Tidak semua penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sehingga lima peratus. Kita perlu bincang siapa yang akan dapat maksimum lima peratus dan siapa akan dapat dua peratus," kata Datuk Omar Osman. 

Mengulas berhubung kumpulan berkenaan, beliau berkata, mereka terdiri daripada semua peringkat daripada Gred 1 hingga Gred 54 dan ada antara mereka mempunyai tempoh perkhidmatan selama 10 dan 20 tahun lagi.Ada yang berkhidmat 10, 15 dan 20 tahun tetapi tidak naik gaji kerana sudah maksimum. Kalau sekarang mereka dapat kenaikan 13 peratus tetapi pada tahun depan sudah maksimum kembali.