Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Julai 08, 2010

JANGAN UKUR PENCAPAIAN PELAJAR BERASASKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

Utusan Malaysia, 8 Julai 2010

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini bertitah pencapaian pelajar tidak harus diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya harus dinilai secara komprehensif. Titah baginda, penilaian harus meliputi pelbagai faktor termasuk aspek penghayatan nilai murni yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.

"Ketidakaturan urusan kewangan secara besar-besaran adalah daripada kalangan berkelulusan tinggi yang diberikan amanah menerajui organisasi yang besar," titah baginda pada majlis perasmian Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini.

Titah baginda, situasi itu menunjukkan wujud jurang dalam pendidikan yang mencerminkan kurangnya penghayatan nilai murni sehingga mereka sanggup menggunakan ilmu yang diperolehi untuk tujuan kerosakan. Justeru, titah Sultan Azlan, aspek penyampaian ilmu harus disertakan dengan nilai yang betul dan pelajar dipastikan menghayatinya. Bagaimanapun, titah baginda, usaha penyerapan nilai murni harus dipikul semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat demi melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berdaya maju.

Baginda juga menyarankan supaya sekolah di negara ini menetapkan pelajarnya menguasai satu bidang sukan atau aktif dalam kegiatan bukan akademik seperti badan beruniform atau kesenian. Titah baginda, bidang sukan dapat mengukuhkan disiplin, membina semangat juang serta membina sifat budiman seseorang semasa menerima kekalahan. Pembabitan dalam badan beruniform pula dapat mendidik pelajar mengenai urusan berorganisasi dan kepimpinan, sementara kegiatan seni termasuk penulisan membantu mengembangkan bakat halus pelajar, titah Sultan Azlan.

Baginda turut menyarankan agar pembelajaran pendidikan agama Islam tidak berfokus kepada pencapaian gred ''A'' semata-mata, tetapi memastikan pelajar menghayatinya dan meneladani sifat yang dituntut agama.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

1 ulasan:

fairus berkata...

Pada pandangan saya betul juga apa yang diperkatakan. Jangan jadikan peperiksaan itu sebagai ukuran utama. Sebaliknya jadikan pelajar sebagai "manusia" adalah lebih utama. (sekadar pendapat)