Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Mac 18, 2012

PEMBANTU RUMAH (AMAH) INDONESIA

Dalam tiga hari kebelakangan ini, isu amah Indonesia yang dibayar RM700 untuk satu kerja hangat diperkatakan. Indonesia mula melatih pembantu rumah untuk dihantar ke Malaysia yang hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah dengan gaji minimum RM700 sebulan. Berdasar peraturan itu, jika seorang pembantu rumah diambil untuk menjadi tukang masak, dia akan hanya menjalankan tugas memasak serta tugas berkaitan sebagai tukang masak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengasuh bayi.

Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, berkata ia adalah antara persetujuan yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia.

Majikan yang memerlukan pembantu rumah Indonesia untuk menjalankan semua empat tugas itu perlu mengambil empat pembantu rumah yang khusus terlatih dalam kemahiran masing-masing. Kalau hendak diikutkan skop bidang tugas amah, keempat-empat kerja itulah yang memang menjadi tanggungjawab mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah atau orang gaji.

Tak masuk akal! Rata-rata itulah reaksi rakyat Malaysia berhubung pengumuman syarat baru pengambilan amah Indonesia Khamis lalu. Gaji minimum RM700, satu amah satu kerja khusus dan tambahan RM27 sehari jika bekerja hari rehat! Memang pelik bin ajaib mendengarkan syarat-syarat yang diumumkan itu. Jadi apabila ketetapan satu amah dengan hanya satu kerja khusus tetapi perlu dibayar gaji minimum RM700 belum dikira tambahan RM27 hari cuti diumumkan – tidak hairanlah ramai yang naik angin. Saya percaya tidak ada seorang majikan pun yang gembira dengan syarat baru itu. RM700 X 3 kerja = RM2100 = 6,000,000 rupiah. Wow...

Soal gaji minimum RM700 tidaklah mengejutkan sangat sebab memang pernah disebutkan sebelum ini, tetapi bab satu amah hanya buat satu kerja yang membuatkan ramai rakyat Malaysia berang. Kalau hendak diikutkan skop bidang tugas amah, keempat-empat kerja itulah yang memang menjadi tanggungjawab mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah atau orang gaji.

Memandangkan selepas ini, amah Indonesia yang kerjanya mengemas, mengasuh bayi atau menjaga orang tua tidak dibenarkan lagi masuk dapur memasak, tentu payah hidup mereka jika majikan mula berkira dengan mencatu makan minum mereka. Jika benar ketetapan baru yang diumumkan itu hendak dilaksanakan, ia hanya mewujudkan suasana tidak harmoni antara majikan dan amah Indonesia.

Kalau pihak Indonesia menunjukkan sikap hendak tak hendak dengan menetapkan pelbagai syarat amah yang tidak munasabah, rasanya tidak perlulah kita terhegeh-hegeh membentang hamparan merah menyambut kedatangan mereka ke sini. Sebagai majikan, kita juga mempunyai hak dan yang pasti, pilihan ada di tangan kita!

Tiada ulasan: