Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, September 13, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025: TRANSFORMASI PROFESION KEGURUAN

Pelaksanaan Pakej Kerjaya Guru baru yang dicadangkan Kementerian Pelajaran bakal melalui tiga gelombang dalam mentransformasi keguruan menjadi profesion pilihan. Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, gelombang pertama (2013-2015) memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme serta penambahbaikan sistem sokongan dan persekitaran kerja sedia ada.

Empat langkah yang akan diambil adalah meningkatkan standard kemasukan, mengukur pretasi berdasarkan kecekapan, meningkatkan jumlah peruntukan dalam pembangunan profesionalisme berterusan dan mengurangkan bebas tugas pentadbiran guru. Secara keseluruhan, langkah ini dilaksanakan bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan. 

Selain itu, bagi gelombang kedua (2016-2020) pula, Pakej Kerjaya Guru baru akan dibina atas kejayaan gelombang pertama dan akan menyediakan pelaksanaan laluan kerjaya yang dimantapkan dengan tawaran pelbagai pengkhususan bergantung kepada minat guru. Kemajuan kerjaya yang lebih pantas disediakan untuk guru berprestasi tinggi manakala guru yang konsisten pada prestasi rendah diberi pilihan bagi penempatan semula.

Semua kerja awal perubahan ini perlu bermula semasa pelaksanaan gelombang pertama bagi membolehkan inisiatif yang dirancang dilaksanakan segera pada tahun 2016.

Bagi gelombang ketiga, laporan awal itu memaklumkan, menjelang tahun 2021, semua elemen Pakej Kerjaya Guru baru diharap akan dapat dilaksanakan. Profesion itu akan berubah apabila guru dapat menikmati pelbagai laluan kerjaya berbeza selain menerima kesan daripada pelan induk pembangunan profesionalisme yang dirangka khusus serta pemberian ganjaran berdasarkan prestasi, bukannya tempoh perkhidmatan.

Jelas laporan awal itu, sepanjang tempoh itu, kementerian akan menumpukan kepada usaha memastikan semua guru memanfaatkan keadaan fleksibel dalam hal-hal profesionalisme berkaitan jadual waktu kurikulum dan susunan pengajaran, pendekatan kaedah dan prinsip pengajaran serta pentaksiran berasaskan sekolah. Kementerian berhasrat untuk mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme teladan rakan setugas, iaitu guru membimbing satu sama lain, dan saling memberi inspirasi, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mengamalkan nilai kebertanggungjawaban untuk memenuhi standard profesional.

Kementerian juga mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan skim pensijilan berdasarkan penguasaan kecekapan keguruan seperti ditetapkan dalam gelombang pertama selain mewujudkan jalinan bekerjasama dengan wakil kesatuan guru untuk mencapai semua matlamat ini. 

1 ulasan:

Dhuha Steffa berkata...

Terima kasih atas perkongsian yang amat berguna ini. Esok saya akan menghadiri temuduga jawatan PK DGA32 Hakiki. semoga soalan berkaitan tajuk ini boleh saya jawab dengan tenang. :-)