Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Oktober 12, 2012

GURU BERKUALITI PELAJAR BERINOVASI

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhanNya, dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana negara kita dapat membangun dan mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang sehingga dengannya kita dapat menikmati kehidupan dinegara ini dengan selesa, aman, makmur dan sejahtera. Sesungguhnya pembangunan dan kemajuan tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa kebijaksanaan para pemimpin serta sokongan dan dukungan melalui sumbangan dan jasa rakyatnya. Oleh itu, tidak dapat dinafikan negara kita sangat memerlukan rakyat yang berilmu dan memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelbagai aspek untuk pembangunan negara dan seterusnya bagi mencapai kemajuan. Ditambah pula pada masa ini kemajuan sesebuah negara juga diukur melalui kemajuan pendidikan rakyatnya.

Maka jelaslah kepada kita betapa ilmu itu sangat berharga, namun ilmu itu tidak akan diperolehi jika tidak dicari dan dipelajari. Oleh itu, semua orang perlu berusaha mencari dan menuntut ilmu sebanyak mungkin dan terus meningkatkannya dari semasa kesemasa. Dari itu, peranan para guru sangat besar lagi diperlukan untuk membimbing kita dan generasi seterusnya menjadi insan yang berilmu.

Sememangnya guru adalah insan mulia yang memiliki ilmu pengetahuan dan bertanggungjawab untuk mendidik, mentarbiah dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis maksudnya:

"Dari Anas bin Malik ia berkata, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan dimuka bumi ini seperti bintang-bintang dilangit yang menjadi petunjuk dan menerangi didalam kegelapan samada didaratan mahupun dilautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan". (Riwayat Al Imam Ahmad)

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Kita akui bahawa guru berperanan penting dalam membimbing dan mendidik kita bagi mencapai kecemerlangan hidup didunia dan diakhirat. Oleh itu sudah sewajarnya kita menghargainya dan mengenang jasa mereka. Dinegara kita pada setiap 23 September, kita meraikan sambutan Hari Guru, dan tema sambutan pada tahuun ini ialah "Guru Berkualiti Pelajar Berinovasi".

Melalui tema tersebut kita dapat memahami bahawa guru yang berkualiti akan dapat melahirkan pelajar yang berinovasi. Namun siapakah dia guru berkualiti tersebut? Guru yang berkualiti ialah guru yang memiliki sifat-sifat terpuji seperti jujur, ikhlas, amanah serta sabar dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka. Selain itu guru yang berkualiti ialah guru yang memiliki sikap yang positif dan berdaya maju seperti komited, dedikasi, perihatin, berwibawa, cekal dan dan tidak mudah putus asa ketika menghadapi apa jua cabaran dan rintangan semasa menjalankan tugas. Mereka juga sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran yang ada serta sentiasa meneroka dan mencari kaedah yang pelbagai dan sesuai bagi menarik minat pelajar untuk belajar. Setiap guru perlu menjadi yang berkualiti supaya dapat menyalurkan ilmu dan mendidik pelajar dengan lebih berkesan. Guru yang berkualiti yang berkualiti sudah tentu akan mempastikan setiap pelajar bukan sekadar berilmu ataupun lulus dalam peperiksaan sahaja bahkan juga mempastikan setiap pelajar mereka mempunyai akhlak dan peribadi yang mulia lagi terpuji.

Memiliki akhlak yang mulia juga sangat penting kerana akhlak tersebut akan membentuk pelajar tersebut menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, raja dan negara. Bayangkan jika pelajar pada masa kini tidak diterapkan dengan nilai-nilai mulia seperti bersifat jujur, bekerjasama, hormat menghormati dan sebagainya, maka sudah tentu dimasa akan datang mereka akan menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tidak dinafikan guru sering berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya ialah anak murid yang tidak mahu atau tidak minat untuk belajar, anak murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan tidak kurang juga terpaksa menghadapi kerenah anak murid yang mempunyai masalah disiplin yang kurang menyenangkan. Oleh itu guru perlu bersifat sabar khususnya ketika menghadapi situasi tesebut. Sifat sabar juga merupakan salah satu ciri utama bagi seorang guru yang berkualiti. Sifat sabar akan mendorong guru itu menjadi seorang yang tabah dalam usaha untuk mendidik anak murid mereka menjadi pandai, berilmu dan berakhlak mulia. Dan sifat sabar juga akan menjadikan mereka lebih cekal dan tidak mudah berputus asa untuk membantu dan mendidik anak murid yang bermasalah supaya mereka tidak tercicir atau gagal dari persekolahan.

Sesungguhnya guru yang bersifat sabar sangatlah kita puji dan kagumi. Sifat sabar merupakan sifat terpuji yang mendapat ganajran pahala yang tidak terkira dari Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firmannya surah Az-Zumar ayat 10, tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang sabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa sistem pendidikan negara abad 21 (SPN 21) telah menyediakan kurikulum dan pidagugi yang sesuai untuk meningkatkan pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal supaya mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan mahir berfikir disamping mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat. Inilah juga antara cabaran para guru pada masa kini yang bukan sekadar untuk memberi ilmu tetapi juga mendidik dan mengajar pelajaran untuk menjadi seorang pelajar yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan kritis, kreatif dan berinovatif. Guru yang berkualiti akan menyahut cabaran tersebut dengan berlapang dada dan akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikan anak murid mereka menjadi pelajar yang berinovasi.

Dalam usaha guru-guru untuk mendidik anak murid mereka untuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia, guru itu sendiri juga perlu muhasabah diri untuk memiliki akhlak yang mulia seperti mana yang diajarkan kepada anak-anak murid mereka. Dengan demikian secara tidak langsung guru-guru akan menjadi contoh atau role model kepada anak-anak murid mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Akhirnya bagi menghormati dan mengenang jasa guru yang telah berbakti mendidik kita menjadi insan yang berilmu, marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala agar emreka mendapat rahmat dan pertolongan Allah Subhanahu Wataala sepanjang masa. Manakala bagi guru-guru yang telah kembali kerahmatullah, sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dari Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarrabal Aalamin.

Surah Al-Mujadilah ayat 11, tafsirnya:

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".

Sumber: Khutbah Jumaat, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam

Tiada ulasan: