Pada pagi Jumaat 2 November 2012 bertempat di Dewan A sekolahku telah berlangsung Majlis Graduasi Tingkatan 5 Tahun 2012. Majlis ini diadakan sebagai merai dan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan zaman alam persekolahan di SMK Telok Kerang. Setelah mengharungi alam persekolahan selama lima tahun keberadaan mereka di sekolah ini, inilah masa dan ketikanya mereka berkumpul bersama buat kali terakhir sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin 5 November 2012.
Sebenarnya pada tahun ini dah masuk tahun kedua majlis ini diadakan. Majlis ini dikelolakan oleh kumpulan guru-guru cemerlang (GC) SMK Telok Kerang yang seramai 13 orang itu. Mereka mengatur dan menguruskan segala-galanya; dari persiapan tempat, jemputan, kutipan yuran, sewaan jubah, fotografi, upacara/istiadat, menyediakan jamuan, dan lain-lain yang berkaitan. Namun begitu, ada juga kerja-kerja yang dilakukan oleh guru-guru lain.
Tugas saya dan anak buah saya ialah menyusun atur hiasan pokok hidup, bunga plastik, peralatan muzik tradisional gamelan, kerusi VIP, rostrum, penataan lampu, backdrop dan lain-lain yang berkaitan di kawasan pentas. Permintaan pengurus program agar kami dapat menyediakan satu kawasan pentas yang 'simple' tetapi tetap menarik dengan pencahayaan minima di kawasan tertentu namun terang dan menyerlah pada backdrop. Seterusnya menyediakan kawasan yang sesuai untuk graduan berjalan di atas pentas bagi menerima sijil graduasi. Diminta juga agar laluan tangga naik ke pentas dan turun dari pentas bagi VIP dan graduan cukup selesa untuk seorang. Seronok jugak menjalankan tugas di hujung-hujung hari persekolahan sebelum bercuti panjang tahun ini...
Saya mengucapkan syabas kepada kumpulan graduan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang tetap bertahan untuk belajar dan melakukan yang terbaik bagi diri sendiri di sepanjang menghadapi pembelajaran di sekolah ini. Tujuan utama ke sekolah tak lain dan tak bukan adalah untuk melengkapkan diri dengan menimba ilmu pengetahuan di samping mempunyai nilai-nilai hidup yang terpuji sebagai orang yang beragama dan sebagai rakyat Malaysia.
Saya mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan SPM dan selamat berpisah kepada semua graduan dan khususnya kepada graduan yang menjadi anak buah saya di Tingkatan 5 Landskap. Semoga anda semua berjaya dalam peperiksaan SPM.
Majlis yang penuh gemilang itu telah dirasmikan oleh Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. Turut serta menghadiri majlis itu ialah para ibu bapa graduan yang diraikan. Di sepanjang majlis berjalan ia diiringi oleh muzik tradisional gamelan yang dimainkan oleh kumpulan gamelan sekolah.
Aturcara Majlis:
8.00 pagi : Pendaftaran kehadiran graduan dan ibu bapa
8.30 pagi : Ibu bapa mengambil tempat
8.40 pagi : Perarakan masuk graduan
8.50 pagi : Perarakan masuk guru-guru kanan dan guru-guru
9.00 pagi :
- Perarakan masuk Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian diiringi oleh Tuan Pengetua dan Guru Penolong Kanan 1.
- Nyanyian lagu Negaraku
- Bacaan Doa
- Ucapan pengisytiharan majlis graduasi oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang.
- Ucapan perasmian oleh Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.
- Penyampaian sijil kepada graduan
- Penganugerahan anugerah khas akademik dan kokurikulum
- Ucapan pengisytiharan penutupan majlis graduasi oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang
- Penyampaian cenderahati
- Nyanyian lagu sekolah Berusaha Berbakti
- Perarakan keluar dewan
- Majlis Bersurai
Saya mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan atas penerimaan sijil graduasi dan ketertiban dan kerjasama semasa majlis berlangsung. Suasana begitu harmoni sekali. Saya juga mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah khas kecemerlangan dalam majlis itu.
1. Penerima Anugerah Khas Cemerlang Akademik:
- Tang Su Hwee (Tingkatan 5 Sains/Akaun)
- Nur Farah Ain bt Sa'yon (Tingkatan 5 Teknologi)
2. Penerima Anugerah Khas Cemerlang Ko-Kurikukulum:
- Mohd Fadzrani b Hudzuri (Tingkatan 5 Landskap) - ini adalah anak murid saya di kelas Tingkatan 5 Landskap yang saya menjadi guru kelasnya... bangganya saya kerana pemilihan nak dapat anugerah sangatlah susahnya... ada tapisan ketat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan