Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar mula merencanakan masa depan dengan fokus utama melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi. Bagaimanapun, keghairahan berbuat demikian sering mengundang kesilapan yang akhirnya merugikan diri sendiri.
10 kesilapan biasa yang dilakukan pelajar ketika membuat pilihan melanjutkan pengajian.
1. Memilih kursus prauniversiti yang salah
Pelajar tidak berfikir secara mendalam mengenai pilihan program yang ingin diikuti. Dengan pilihan yang pelbagai, ramai memilih secara rawak dan mendapati ia tidak melayakkan mereka memasuki program ijazah atau tidak diiktiraf universiti berkenaan. Sebagai contoh, pelajar yang ingin belajar di United Kingdom boleh mengambil kursus prauniversiti seperti SAM (South Australian Matriculation) yang akan berakhir pada November dengan keputusannya dikeluarkan pada Disember.
Kemudian mereka mendapati universiti di UK hanya memulakan semester kursus baru pada September setiap tahun. Mereka perlu menunggu sembilan bulan untuk memulakan pengajian. Kursus asas yang ditawarkan kolej di Malaysia tidak diiktiraf universiti luar negara kerana program asas itu direka untuk mendapatkan kemasukan ke program ijazah kolej sendiri. Pelajar juga tidak mempertimbangkan sama ada cara pembelajaran dan pengajaran dalam program itu sesuai dengan kebolehan mereka. Bagi mereka yang tidak cenderung akademik, mengambil kursus sijil dan diploma akan memberikan mereka satu program lebih praktikal.
Pelajar yang berminat pada kursus khusus seperti reka bentuk dan seni bina atau sains komputer akan mendapati laluan kursus sijil dan diploma adalah yang terbaik kerana mereka bukan saja mengkaji reka bentuk atau asas komputer tetapi mempelajari pengetahuan praktikal yang akan memberikan pengalaman diperlukan majikan.
2. Memilih subjek yang salah
Ramai pelajar mendapati mereka tidak mengambil mata pelajaran betul dalam prauniversiti untuk membuat permohonan ke universiti nanti. Ini akan menyempitkan pilihan institusi mereka atau lebih teruk, mereka tidak layak memohon program itu. Bagi kursus seperti perubatan dan pergigian, sesetengah negara hanya memerlukan kelayakan subjek Kimia dan Matematik manakala di India, semua tiga aliran sains diperlukan sebagai syarat kemasukan. Bagi mereka yang bercadang belajar arkitek, ada universiti memerlukan pelajar mengambil subjek Sastera atau mengemukakan portfolio kerja seni. Sesetengah pelajar mengambil gabungan subjek Seni dan Sains dalam prauniversiti dan mendapati mereka mempunyai pilihan kursus yang terhad di universiti. Sebagai contoh, pelajar mengambil gabungan Seni, Kimia dan Pengkomputeran akan mendapati tanpa Matematik, hanya satu atau dua universiti yang mungkin akan mempertimbangkan permohonan mereka.
Pelajar yang mengambil dua subjek di peringkat A Level akan mendapati dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga subjek untuk memohon ke universiti.
3. Tidak mengetahui kekuatan dan minat sendiri
Ramai tidak mempertimbangkan kekuatan dan minat ketika memilih kursus atau laluan pendidikan. Contohnya, bagi yang tidak mempunyai kelayakan akademik, mereka cenderung mengambil A Level. Mereka yang tidak cemerlang atau berminat dalam mata pelajaran Sains tetapi mendaftar dalam kursus teknologi maklumat atau kejuruteraan dan tertanya-tanya mengapa gagal setiap semester.
4. Tidak memeriksa struktur kursus
Memeriksa struktur kursus akan memastikan pelajar tidak mendaftar dalam program yang salah. Sebagai contoh, pelajar yang berminat dalam kursus reka bentuk mendaftar kursus komputer kerana beranggapan semuanya boleh dilakukan. Mereka sepatutnya mendaftar dalam program multimedia. Pelajar juga mesti belajar struktur kursus bagi memastikan mereka minat belajar supaya cemerlang dalam program dipilih. Sesetengah struktur kursus mungkin juga tidak diiktiraf universiti apabila melanjutkan pengajian diploma ke ijazah. Terdapat kes pelajar perlu bermula sekali lagi dari tahun pertama program ijazah atau diploma tidak diiktiraf universiti. Anda boleh berunding dengan penasihat pendidikan universiti untuk memastikan laluan pendidikan yang dipilih mendapat pengiktirafan.
5. Obsesi dengan kedudukan universiti
Dengan begitu banyak badan yang menyediakan kedudukan universiti di dunia, pelajar hari ini menempatkan kedudukan universiti sebagai keutamaan pertama memilih institusi pengajian. Sebuah universiti di kedudukan pertama dalam satu pengajian tidak semestinya menjadi yang pertama dalam kajian lain. Nasihat terbaik kepada pelajar ialah membuka mata dengan institusi yang diperakui terbaik dunia bukan didakwa melalui kajian.
6. Menerima biasiswa tanpa memeriksa butiran
Banyak biasiswa diberikan untuk program prauniversiti tanpa jaminan biasiswa untuk ijazah seterusnya. Ada biasiswa yang memerlukan pelajar mengekalkan purata gred setiap semester. Jika tidak, biasiswa akan dibatalkan. Jika tidak menyemak butiran, anda mungkin mendapati tidak boleh meneruskan pengajian kerana tidak mempunyai bajet untuk kursus itu. Kursus perubatan kos minimum RM500,000 sehingga RM1.5 juta apabila dicampur perbelanjaan sara hidup. Adakah keluarga anda mempunyai wang ini jika anda tidak mempunyai biasiswa berterusan? Jangan fikir anda boleh bekerja sambil belajar dan mendapat wang mencukupi untuk menampung semua ini.
7. Tidak memeriksa kekuatan dan kemudahan institusi
Memang menyedihkan mendapati institusi tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk mengajar pelajar. Kursus perniagaan dan komputer mungkin memerlukan peralatan minimum, namun kursus kejuruteraan awam memerlukan ruang yang besar untuk melakukan komponen praktikal seperti membina dinding dan menguji struktur dibina. Untuk kejuruteraan mekanikal, anda akan memerlukan mesin yang berlainan untuk belajar dengan sempurna. Juga, adakah institusi berkenaan mempunyai peralatan mencukupi untuk semua pelajar atau anda perlu berkongsi dengan sekumpulan 20 pelajar setiap kali belajar menggunakan mesin? Perhatikan akses Internet institusi terlebih dulu. Juga menyemak sama ada majikan mengenali institusi berkenaan.
8. Tidak memeriksa peluang atau keperluan pekerjaan
Ramai pelajar tidak memikirkan dulu apa peluang pekerjaan untuk ijazah mereka apabila tamat pengajian. Anda sentiasa mendengar dan membaca graduan yang menganggur dan tiada pekerjaan mencukupi dalam bidang yang dipilih. Dengan jumlah mahasiswa yang ramai dalam satu program yang sama, pasti berlaku lebihan graduan. Sebenarnya, terdapat peluang pekerjaan, namun ramai graduan tidak diajar dan dilatih dengan betul oleh institusi dan ini menjadikan mereka lebih sukar menarik perhatian majikan. Semak peluang dan keperluan pekerjaan sebelum membuat keputusan untuk memulakan sesuatu program. Apa yang ditawarkan pada hari ini mungkin akan ada terlalu ramai graduan pada masa anda tamat pengajian nanti.
9. Membuta tuli mengikut kawan
Salah satu perkara paling buruk ialah membuta tuli mengikut kawan-kawan mempelajari sesuatu kursus. Adakah kawan-kawan tahu apa yang anda mahu, apa kekuatan dan minat anda? Anda perlu melihat apa yang anda mahu dan mampu. Rakan mungkin baik dari segi akademik sementara anda boleh menjadi lebih baik dengan pendekatan lebih praktikal. Walaupun kedua-duanya mahu belajar kejuruteraan, dia boleh mengambil laluan tradisional program prauniversiti ke ijazah, anda mungkin lebih selesa bermula dengan diploma dan kemudian baru ijazah. Anda mungkin akan mempunyai sedikit kelebihan kerana mendapat pengetahuan praktikal melalui projek yang dilakukan ketika mengambil diploma.
10. Meneruskan impian ibu bapa, bukannya impian sendiri
Adalah menyedihkan melihat ramai pelajar belajar mengikut impian ibu bapa dan bukan impian sendiri. Ini salah satu faktor mengapa begitu ramai graduan gagal mendapatkan pekerjaan. Apabila mengejar impian orang lain, hati dan jiwa anda tiada di dalamnya. Walaupun ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka, ia mungkin bukan yang terbaik untuk anda. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka membuat keputusan yang betul dan bukannya membuat keputusan untuk mereka.
Sumber: Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan