Selepas tiga tahun, pameran pemotoran terbesar Malaysia, Kuala Lumpur
International Motor Show (KLIMS 2013) akhirnya kembali menemui peminat
kereta tempatan. Pameran edisi kelapan itu selama 10 hari di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu berakhir pada 24 November ini. Tapak
pameran seluas 30,000 meter persegi itu menempatkan pelbagai model sedia
ada, jentera konsep, kenderaan futuristik dan barisan kereta yang bakal
memenuhi bilik pameran tidak lama lagi.
KLIMS 2013 mendokong tema Kecekapan Mobiliti ternyata selari dengan
trend semasa kebanyakan pameran bertaraf global dengan memberi penekanan
terhadap kecekapan penggunaan minyak dan teknologi mesra alam.
Maka sudah pasti akan ada penampilan model-model kenderaan hibrid dan
elektrik mendiami kebanyakan ruang pameran pemain-pemain utama dalam
industri. Jika ketiadaan model kenderaan hijau, sekurang-kurangnya ada
barisan produk cekap penggunaan bahan bakar.
KLIMS 2013 merupakan acara anjuran Persatuan Automotif Malaysia
(MAA). Majlis pembukaannya telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pada Khamis
lalu.
Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, acara kali ini bakal
menyaksikan pengeluar-pengeluar jenama global menyusun strategi agresif
untuk menampilkan kelebihan produk masing-masing.
Pameran kali ini berjaya menambat hati 78 syarikat yang merangkumi
pengeluar, pemasang, pengedar kenderaan serta beberapa pemain dalam
industri aksesori.
Antara jenama yang tampil mengetengahkan produk ialah Citroen,
Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Lexus, Nissan, Perodua,
Peugeot, Toyota, Subaru dan Volkswagen.
Bagaimanapun, KLIMS 2013 terasa hambar tanpa kehadiran Perusahaan
Otomobil Nasional Bhd. (Proton). Selain itu, tiada juga penyertaan
daripada Chevrolet, Mercedes-Benz, BMW, Audi, Porsche, Renault, Suzuki,
Mitsubishi dan Kia.
Berhubung ketiadaan Proton, Aishah menjelaskan, syarikat pengeluar
kenderaan nasional itu tidak menyertai pameran pada tahun ini berikutan
gagal mendapat ruang pameran sesuai dan bukan disebabkan oleh faktor kos
penyertaan yang didakwa mencecah jutaan ringgit.
Tarikan utama KLIMS 2013 pastinya terarah kepada sudut pameran
Perodua. Di situ, pengunjung berpeluang melihat enjin aluminium baharu,
ruang kabin sebuah model global segmen A dan jentera konsep sedan
kompak. Sedan kompak yang dinamakan sebagai Buddyz itu membuktikan keupayaan
Perodua untuk berdiri sama tinggi dengan kebanyakan syarikat automotif
antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid
Salleh berkata, Buddyz dibangun berlandaskan idea anak tempatan yang
mengambil kira keperluan semasa golongan generasi Y dan Z. Buddyz sebenarnya ialah model kereta yang berasal daripada prototaip
konsep Perodua Bezza yang pernah dipamerkan kepada khalayak ramai
sewaktu KLIMS 2010.
Ketua Perekanya, Muhamad Zamuren Musa berkata, dia bersama pasukannya
membawa Bezza ke beberapa destinasi di seluruh negara untuk mendapat
maklum balas umum.
“Berdasarkan maklum balas yang kami di terima, rata-rata responden
mengutarakan cadangan untuk menjadikan Bezza kepada sebuah kereta
sedan,” katanya ketika ditemui pada satu sesi pratonton.
Jelasnya lagi, generasi baharu mahukan sebuah kereta yang selesa untuk kegunaan harian tanpa mengorbankan ruang simpanan kargo.
Sementara itu, di tapak pameran Volkswagen Malaysia, pengeluar
kenderaan jenama Jerman itu membuat kejutan apabila memperkenalkan Polo
1.6 Hatchback yang merupakan model pemasangan tempatan.
Toyota yang menjadi jiran Volkswagen pula melancarkan model pelbagai
guna Previa 2.4GL kepada orang ramai pada harga permulaan RM270,000
seunit.
Pesaing senegaranya, Honda pula tampil dengan pelancaran dua varian
Honda Odyssey generasi kelima iaitu 2.4L EX dan 2.4L EXV masing-masing
dengan harga jualan atas jalan termasuk insurans sebanyak RM228,000 dan
RM248,000 sebuah. Turut ditampilkan di gerai Honda ialah model Accord Plug-in Hybrid,
jentera berprestasi tinggi Honda CR-Z Mugen RR dan kereta lumba Honda
Jazz HMRT.
Subaru pula tampil dengan edisi terhad XV Crosstrek yang memiliki
solekan komponen yang menyerlahkan sifat maskulin pada tag harga asas
RM138,800 seunit. Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan secara dekat beberapa
model Subaru iaitu BRZ, XV, Forester 2.0XT, WRX STI dan Legacy sedan.
Isuzu pula melancarkan trak pikap edisi terhad D-Max X-Series yang
tampil garang hasil kelengkapan beberapa aksesori unik termasuk kit
badan dan pelekat badan sporty. Didatangkan dengan dua warna pilihan putih dan hitam, Isuzu menjual
produk yang dijana oleh enjin diesel 2.5L pada harga RM108,690 seunit.
Harga jualan itu juga termasuk insurans.
Itu hanya sebahagian produk sahaja yang diperkenalkan di KLIMS 2013
baru-baru ini. Ada banyak lagi menanti para pengunjung di sana selain
beberapa acara menarik disediakan. Jangan lepaskan peluang untuk
menyaksikan kehebatan KLIMS kali ini.
Sumber artikel: Kosmo Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan