Dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, tiada satu kaedah dan strategi yang
khusus dan terbaik boleh diaplikasikan di dalam kelas yang mempunyai
kepelbagaian murid terutamanya murid berkeperluan khas. Ia terpulang
kepada daya kreativiti guru dan kesesuaian kehendak murid untuk mencapai
objektif pengajaran dan pembelajaran pada ketika itu. Ini kerana tahap
penerimaan murid terhadap bahan yang diberikan ada berbagai-bagai iaitu
ada yang cepat, sederhana dan ada yang lambat.
Faktor kecerdasan mempengaruhi daya serap murid terhadap bahan pelajaran yang diberikan oleh guru. Oleh yang demikian, dalam sesi pembelajaran, guru seharusnya memiliki strategi dan kaedah yang khusus agar murid dapat belajar secara lebih efektif dan efisien. Justeru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan di dalam kelas pendidikan khas boleh diklasifikasikan mengikut tumpuan kepada tiga unsur utama iaitu:
Faktor kecerdasan mempengaruhi daya serap murid terhadap bahan pelajaran yang diberikan oleh guru. Oleh yang demikian, dalam sesi pembelajaran, guru seharusnya memiliki strategi dan kaedah yang khusus agar murid dapat belajar secara lebih efektif dan efisien. Justeru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan di dalam kelas pendidikan khas boleh diklasifikasikan mengikut tumpuan kepada tiga unsur utama iaitu:
- Strategi pemusatan guru
- Strategi pemusatan murid, dan
- Strategi pemusatan bahan pelajaran
Strategi pemusatan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi pengajaran dan pembelajaran ini, guru memainkan peranan yang utama. Di dalam kelas, gurulah yang menguasai dan mengawal segala aktiviti pelajaran iaitu guru banyak memberi penerangan dan pelajar hanya duduk mendengar. Brophy (1978) , menyatakan bahawa pengajaran pemusatan guru merupakan pendekatan yang mudah dirancang dan diurus, membekalkan model untuk pemikiran yang betul dan mengelakkan suasana elitis yang sering dikaitkan dengan kaedah kumpulan. Kaedah pengajaran secara kelas, demontrasi atau tunjuk cara, bercerita, kaedah penyoalan dan pengajaran berpasukan adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan guru.
- Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid berperanan sebagai penonton sahaja.
- Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid banyak mendengar.
- Ciri kepimpinan guru bersifat autokratik. Murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru banyak bertindak mengawal dan memberi arahan.
- Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru.
- Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyuburan nilai murni atau perkembangan emosi.
- Strategi ini mementingkan pencapaian murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan.
- Teknik mengajar guru ditumpukan kepada penyampaian fakta-fakta secara menghafal. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal dan kurang berupaya membuat interpretasi.
- Interaksi di antara murid adalah pasif dan sifat-sifat sosial yang positif kurang dapat dipupuk.
- Mementingkan pengelolaan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberikan perhatian.
- Di bawah strategi ini, murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif.
Strategi Pemusatan Murid
Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Mengikut strategi ini, murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang memandu murid menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Kaedah kumpulan, lawatan, bermain, simulasi atau main peranan dan pengajaran individu adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan murid terutamanya murid di dalam kelas.
- Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
- Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.
- Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik. Murid digalakkan memberi pendapat mereka.
- Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.
- Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-menolong, berkerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk.
- Strategi ini mementingkan pengelolaan kaedah kumpulan. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat diberikan perhatian.
- Di bawah strategi pemusatan murid, lazimnya murid menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.
Strategi Pemusatan Bahan
Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu:
- Bahan pengajaran - Bahan yang digunakan oleh guru seperti carta, model, graf, peta, gambar, slaid, radio, perakam pita, video, televisyen dan projektor.
- Bahan pembelajaran - Bahan yang digunakan oleh murid dalam aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti, kad cantuman, lembaran kerja, pembilang, bahan bercetak dan komputer.
Penggunaan
komputer sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran juga telah semakin
berkembang dalam program pendidikan khas. Gearheart dan Gearheart
(1989), Hawkridge dan Vincent (1992) serta Mather dan Bos (1994),
sependapat menyatakan bahawa murid bermasalah pembelajaran dan tingkah
laku memperolehi pengetahuan dan kemahiran baru melalui kaedah literasi
komputer. Ia mungkin disebabkan oleh kaedah ini memaparkan sesuatu yang
baru dan menarik perhatian.
- Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan pengajaran memainkan peranan yang penting. Guru atau murid perlu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran.
- Lebih mengutamakan kecekapan dan kemahiran menggunakan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran.
- Dapat membantu murid memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas di samping memupuk semangat berdikari dengan menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa kehadiran atau pertolongan guru.
- Sifat-sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan yang melibatkan penggunaan bahan pembelajaran.
- Mementingkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna melalui pengalaman yang sebenar. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang abstrak dapat dikaitkan dengan situasi yang konkrit
Ketiga-tiga
strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping
perlunya kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih,
merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam
objektif pelajaran pada peringkat optimum. Ketiga-tiga strategi yang
dinyatakan sememangnya mempunyai kelebihannya sendiri. Namun begitu,
strategi pemusatan murid adalah yang paling ideal dalam melaksanakan
kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan