Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, September 08, 2013

IMPAK PELAKSANAAN PPPM KEPADA PEGAWAI KEMENTERIAN

  • Pegawai Kementerian akan bertindak sebagai pemimpin perubahan, dengan kemahiran dan atribut yang diperlukan untuk menyokong sekolah. Mereka akan menjadi pengurus, pembimbing dan penyokong kecemerlangan sekolah yang lebih baik. Mereka akan mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar, lebih kuasa dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi, dan tidak akan terbatas dengan hierarki dan kawalan. Pegawai Kementerian akan menerima sokongan, latihan dan sumber yang bersasaran yang diperlukan untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab baharu mereka. Mereka akan mempunyai peranan baharu yang memfokuskan pada menyokong sekolah, dan akan mempunyai akses kepada lebih banyak peluang perkembangan profesional. Mereka akan terlibat dalam perbincangan maklum balas konstruktif yang memfokuskan pembelajaran dan pembangunan, bukannya menyalahkan dan memberi hukuman. 
  • Pegawai Kementerian akan bekerja dalam persekitaran yang telus dan saling bekerjasama. Cara bekerja secara tersendiri dalam bahagian-bahagian Kementerian akan dihapuskan, manakala peranan dan tanggungjawab akan diperkemas untuk menghapuskan duplikasi fungsi dan aktiviti. Maklumat akan dikongsi secara cekap untuk membuat keputusan berasaskan bukti. Cara keputusan dibuat akan lebih jelas.
  • Pegawai Kementerian akan mempunyai keluwesan pengoperasian dan kebertanggungjawaban yang lebih besar. Sistem pendidikan akan beralih ke arah pemencaran kuasa dengan lebih banyak hak membuat keputusan akan diberikan kepada pegawai peringkat negeri dan daerah. Pegawai akan mempunyai hak yang lebih besar dalam mengenal pasti bidang penambahbaikan di negeri, daerah dan sekolah bawah kendalian mereka. Mereka juga mempunyai hak yang lebih besar dalam menyediakan penyelesaian yang spesifik kepada konteks. 

Sebagai balasan, pegawai Kementerian akan diminta untuk sentiasa terbuka kepada maklum balas daripada sekolah dan masyarakat. Mereka akan memperjuangkan perubahan yang akan berlaku dalam sistem pendidikan. Mereka perlu lebih responsif dalam memberikan sokongan dan sumber yang diperlukan oleh sekolah, serta bagi memastikan semua pihak berkepentingan dalaman dan luaran tahu tentang apa-apa yang berlaku.

Tiada ulasan: