Kukup adalah pekan kecil di selatan negeri Johor. Ia terletak di selatan daerah Pontian dan jaraknya lebih kurang 20 km dari bandar Pontian. Di sebelah baratnya adalah Selat Melaka. Kukup yang dulunya hanya sebuah kampung nelayan, kini telah mula berubah wajah dengan pembinaan rumah-rumah kedai, terminal bas dan teksi, terminal feri antarabangsa, surau, dan lain-lain. Apabila hendak masuk ke pekan ini, sebuah gerbang akan menyambut kedatangan pelancong.
Di sini telah dibina sebuah terminal feri yang dinamakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup. Terminal ini penting sebagai pintu masuk antarabangsa terutamanya bagi rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia. Rakyat Malaysia juga banyak yang melancong ke Indonesia terutamanya ke Tanjung Balai di Pulau Karimun. Di hujung minggu terminal ini sibuk mengendalikan ketibaan dan pelepasan feri-feri sama ada masuk ke Malaysia atau berlepas ke Indonesia
.
Sebahagian besar penduduk di Kukup adalah nelayan. Disamping itu ada yang mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar. Nelayan dan pengusaha ini menggunakan jeti khas untuk pendaratan ikan-ikan. Suasana begitu hidup semasa nelayan-nelayan memunggah hasil tengkapan ke jeti untuk diangkut dengan lori. Banyak juga restoran-restoran makanan laut di Kukup ini. Pelancong-pelancong terutamanya dari Singapura biasanya menjamu selera di restoran-restoran ini pada hari Sabtu dan Ahad. Mereka berkereta datang ke sini.
Ada di kalangan pengusaha pelancongan yang menyediakan perkhidmatan bot untuk mengangkut pelancong melawat perairan di sekitar Kukup. Mereka di bawa bersiar-siar ke perusahaan penternakan ikan dalam sangkar, mengelilingi Pulau Kukup dan juga melihat perkampungan nelayan dari arah laut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan