Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Disember 07, 2009

TAMAN/LANDSKAP ORKID


Taman Orkid ini sebenarnya boleh dibuat di mana-mana. Ia boleh dibuat di kawasan yang besar atau kawasan yang kecil. Tentunya taman ini berwarna-warni hasil daripada bunga orkid yang berwarna-warni. Lebih cantik jika taman ini menggunakan pelbagai spesies orkid yang pelbagai agar kesannya cukup menarik dan memberangsangkan. Taman ini boleh digabungkan dengan elemen-elemen landskap yang lain agar tata susun atur dan tata hiasnya menimbulkan suasana taman yang ceria. Untuk taman individu biasanya ia dibuat dalam kawasan yang kecil sebab orkid memerlukan penjagaan yang rapi.


Contoh taman orkid.







PENTADBIRAN JUGA BIDANG TUGAS GURU


Di Berita Harian pula pada hari ini Tan Sri Alimuddin Mohd Dom memberi respons terhadap isu Pendidik Tak Wajar Lakukan Tugas Pentadbiran. Nampaknya Tan Sri mengambil berat terhadap isu pendidikan guru-guru di Malaysia. Saya juga sibuk membeli beberapa akhbar untuk meneliti isu pendidikan.


PENTADBIRAN JUGA BIDANG TUGAS GURU


KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat dalam ruangan ini bertarikh 3 Disember lalu atas tajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran'.Kenyataan 'guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab diberikan pengetua/guru besar mereka', adalah ucapan saya ketika merasmikan konvensyen guru baru, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berjumlah lebih 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen tinggi semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Malah, kenyataan 'Akmal Fairuz' dalam sebuah akhbar tempatan 3 Disember lalu mengenai tugas profesional guru dan tugas pentadbiran, masih boleh dipersoalkan.

Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa/penjaga adalah sebahagian tugas profesional guru. Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan serta kelemahan setiap anak didik mereka.Makluman ini bukan saja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa/penjaga. Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya, sebahagian tugas guru untuk mendidik setiap murid bagi mencapai objektif pendidikan.Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah, malah guru perlu mempunyai kreativiti serta inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikiran kritis dan kreatif murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan bersesuaian dengan keperluan murid.Usaha ini membabitkan pembentukan nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan dan lain-lain aktiviti luar darjah.Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berhasrat memperkasa sukan dan permainan di sekolah bagi melahirkan atlit muda. Hal ini sudah tentu memerlukan komitmen guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid.Oleh itu, latihan sebegini adalah juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik di kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua/guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain urusan pentadbiran biasa.Guru mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak/remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan 'Akmal Fairuz', guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah, tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara membabitkan pendidikan dan melahirkan modal insan.Tidak salah guru yang berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua/Guru Besar, pegawai PPD/JPN hingga peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras gagasan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'


TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM,
Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.


GURU BUKAN SEKADAR MENDIDIK


Pada hari ini 7 Disember 2009 di ruang Forum Utusan Malaysia yang sama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom membuat respons terhadap tulisan Akmal Fairuz bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.


Guru Bukan Sekadar Mendidik

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.

Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.

Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.

Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia.

GURU WAJAR DILIBATKAN TUGASAN LAIN


Akhbar Utusan Malaysia keluaran hari ini 7 Disember 2009 di ruang Forumnya memberi laluan kepada Alzaman dari Pulau Pinang untuk membuat respons Erti Sebenar Guru Cemerlang yang ditulis oleh Akmal Fairuz pada 3 Disember 2009


Guru Wajar Dilibatkan Tugasan Lain

SAYA merujuk kepada surat saudara Akmal Fairuz bertajuk Erti sebenar guru cemerlang yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009. Luahan beliau memaparkan rasa tidak puas hati diri sendiri dengan cuba memperbesarkan beberapa isu remeh yang menunjukkan beliau kurang jelas tentang peranan seseorang guru, peranan Kementerian Pelajaran, peranan pengurus sekolah, peranan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), malah peranan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Beliau menyebut hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugas sebenar. Saya tidak pasti dari manakah fakta ini diperoleh atau itu merupakan dapatan kajian beliau yang boleh diperakukan. Semua yang bergelar guru tentu maklum bahawa tugas utama atau guru adalah mengajar.

Tetapi ini tidak bererti guru tidak boleh melibatkan diri atau dilibatkan dengan pelbagai tugasan lain. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya tentang kata-kata seorang pensyarah semasa saya masih di Maktab Perguruan (sekarang IPGM) lewat tahun 70-an dahulu; ''Guru adalah segala-galanya''. Ungkapan keramat itulah yang menjadikan kami menghayati peranan dan pengorbanan sebagai guru.

Melaksanakan tugasan lain bukan bererti ia perlu dibuat sehingga mengabaikan tanggungjawab masuk ke kelas untuk menyempurnakan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Guru perlu bijak mengimbangi masa dan kepelbagaian tugasan kerana ia bukan sahaja memberikan seseorang guru itu pengalaman yang berharga bahkan dapat meningkatkan pelbagai kemahiran dalam melaksanakan tugasan lain.

Erti guru yang sebenar ialah guru yang bijak mempelbagaikan potensi serta kebolehan diri baik dari aspek P&P mahupun tugas sampingan yang diamanahkan kepadanya. Memang terdapat guru yang hanya pandai merungut dan menolak tugasan lain yang diberikan tetapi adakah guru seperti ini menolak kenaikan pangkat secara time-based setelah 10 tahun berkhidmat?

Bagi saya Kementerian Pelajaran Malaysia amat peka dengan beban tugas guru kerana saya juga terlibat secara langsung dalam 'Wacana Beban Tugas Guru' yang turut dihadiri sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pelajaran tidak lama dahulu.

Hakikatnya kerajaan, melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, sentiasa melaksanakan penambahbaikan demi memartabatkan guru dan pendidikan. Contohnya meningkatkan norma perjawatan guru dalam pelbagai aspek tugasan dari masa ke semasa.

Barangkali saudara masih baru sebagai guru atau sebagai orang muda yang kurang sabar melihat perkembangan yang pada saudara perlu dilaksanakan dalam sekelip mata. Ingatlah sahabatku, organisasi pendidikan adalah organisasi yang terbesar dalam perkhidmatan awam.
Jika dibandingkan laluan kerjaya atau seorang guru yang mula mengajar pada tahun 70-an dan sebelumnya dengan era guru 90-an hingga kini, memang ternyata ia berbeza. Saban tahun ramai yang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Ada antara mereka dari kalangan jurutera, bidang guaman dan sebagainya yang ingin menempatkan diri sebagai pendidik sedangkan tawaran yang dapat diberikan tidak sebesar jumlah yang memohon. Jelas profesion guru tetap menjadi rebutan ramai.

Beberapa tuduhan yang mempertikaikan kebolehan seseorang guru seperti 'bestari', 'cemerlang' dan 'pakar' amatlah tidak bertanggungjawab. Proses melantik seseorang Guru Cemerlang bukanlah sesuatu proses yang boleh dibuat secara semberono. Selain permohonan rasmi oleh seseorang guru itu sendiri, perakuan dan sokongan daripada pentadbir sekolah, penilaian oleh rakan-rakan guru serta warga sekolah dan penilaian oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti baru boleh memartabatkan seseorang guru itu sebagai Guru Cemerlang.

Saudara tentu tahu bidang kecemerlangan seseorang Guru Cemerlang atau Guru Pakar. Guru juga banyak ruang dan peluang untuk menambah ilmu di dada dengan mengikuti program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan menyertai program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) sehingga ke tahap Doktor Falsafah. Kita tidak seharusnya memberi pandangan berasaskan pengalaman singkat, pengetahuan dan ilmu yang cetek dan jangan sekali-kali berasaskan emosi.

Sewajarnyalah seseorang guru itu, berdasarkan pengalaman, ilmu dan kebolehan memimpin, diberi penghormatan serta kepercayaan menjadi pemimpin organisasi pendidikan samaada sebagai Ketua Panitia Mata Pelajaran, Ketua Bidang, Guru Kanan Mata Pelajaran, Ketua Jabatan, Guru Penolong Kanan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengarah Pelajaran hatta sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Mereka inilah yang memartabatkan dunia pendidikan sehingga terjelma Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi atau setidak-tidaknya meningkatkan peratus kecemerlangan pelajar dan sekolah dalam peperiksaan awam di seluruh negara.
Kedinamikan arena pendidikan memerlukan guru yang serba boleh. Arah tuju pendidikan masa kini adalah ke arah melahirkan modal insan yang terbilang dan berminda kelas pertama.

Marilah kita hayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, rungkaikan apa yang tersirat dan apa yang tersurat. Akhir kata, tugas mendidik ke arah 'kemenjadian' seseorang pelajar itu bukanlah terletak semata-mata di atas bahu guru semata-mata, bahkan melibatkan institusi keluarga dan juga masyarakat secara langsung.

ALZAMAN
Pulau Pinang

ERTI SEBENAR GURU CEMERLANG


Saya tertarik dengan isu yang ditulis di ruang Forum Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 oleh Akmal Fairuz yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.


Erti Sebenar Guru Cemerlang


SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.
Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.
Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?
Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.
Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM. Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Akmal Fairuz

Ahad, Disember 06, 2009

60 SEKOLAH MENENGAH TEKNIK KEMBALI MENJADI SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL


Sekolah vokasional kembali semula ke persada sistem pelajaran di Malaysia. 60 daripada 88 Sekolah Menengah Teknik di seluruh negara kembali menawarkan aliran vokasional dan dikenali semula sebagai Sekolah Menengah Vokasional (SMV) menjelang 2012. Ia akan dimulakan oleh SMT Kluang dan 26 lagi SMT akan ditukar kepada SMV pada tahun 2010. Tujuannya untuk melahirkan tenaga kerja mahir di negara ini setelah mendapati ramai pelajar berminat menceburi bidang vokasional selain terus mendalami dunia akademik.

Penawaran semula aliran vokasional di 60 SMT akan melibatkan kos kira-kira RM400 juta. SMV memerlukan kelengkapan, alatan dan mesin yang lebih banyak berbanding sekolah teknik. Lanjutan daripada itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang meneliti cadangan membina kolej vokasional sebagai platform kepada pelajar aliran vokasional melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma.

Pada masa ini SMT Pontian telah dijadikan Kolej Matrikulasi Pontian. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dalam satu kenyataannya di Pontian menyatakan bahawa sebuah Sekolah Menengah Vokasional akan dibina di Tanjung Piai.







PERMOHONAN MEMBINA BENGKEL LANDSKAP DAN NURSERI SMK TELOK KERANG

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG,
PONTIAN, JOHOR

MPV LANDSKAP DAN NURSERI

PERMOHONAN MEMBINA BENGKEL LANDSKAP DAN NURSERI



1. Pendahuluan

MPV Landskap dan Nurseri SMK Telok Kerang telah dimulakan pada tahun 2002. Sekolah ini adalah sekolah perintis bagi mata pelajaran ini dan ia adalah satu-satunya yang ada di daerah Pontian. Pada masa ini Bengkel Landskap dan Nurseri berkongsi (menumpang) dengan Bengkel Sains Pertanian. Beberapa ubah suai telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran agar ia bersesuaian dengan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Beberapa pegawai sama ada dari Pusat perkembangan Kurikulum, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah melawat dan memantau bengkel dan perkembangan perjalanan mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Saya sebagai guru yang mengajar mata pelajaran ini juga telah beberapa kali dipanggil bermesyuarat dan memberi cadangan bentuk bengkel dan tapak untuk pembinaan bengkel baru.

2. Bengkel Sedia Ada

Bengkel sedia ada asalnya adalah Bengkel Sains Pertanian (rujuk foto). Bengkel ini diubahsuai untuk dijadikan bengkel Landskap dan Nurseri dengan bajet minima oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Beberapa keperluan asas telah dibina seperti setor peralatan, setor bahan, dan nurseri. Tempat belajar pelajar adalah ruang terbuka. Didapati pelajar kurang selesa belajar di tempat sebegini terutamanya apabila mereka belajar melukis pelan landskap dan membina model landskap. Adalah dicadangkan ruang-ruang seperti ruang P&P, studio melukis dan membina model landskap, bilik menyimpan bahan pentaksiran, ruang membuat kerja-kerja simen ferro, ruang pembiakan, nurseri, ruang pameran, bilik persediaan guru, stor-stor dan bilik air hendaklah disediakan apabila bercadang membina Bengkel Landskap dan Nurseri.
3. Keluasan Bengkel Sedia Ada

Bengkel Landskap dan Nurseri sedia ada diubahsuai daripada Bengkel Sains Pertanian berkeluasan 30 kaki X 60 kaki. Bengkel ini berkongsi dengan Bengkel Sains Pertanian. Beberapa penambahan yang bersesuaian telah dibina seperti ruang nurseri bersimen yang berkeluasan 15 kaki X 90 kaki dan sebuah pondok setor berkeluasan 12 kaki X 15 kaki. Ruang P&P (ruang terbuka) untuk teori dan melukis pelan landskap serta membina model landskap berkeluasan 18 kaki X 30 kaki.

4. Cadangan Membina Bengkel Landskap dan Nurseri

Saya amat mengharap satu bengkel baru dibina agar bengkel ini tidak menumpang dan berkongsi dengan Bengkel Sains Pertanian. Tapak yang sesuai dan dicadangkan ialah di kawasan tapak Projek Fertigasi Rockmelon bersebelahan dengan Bengkel Kemahiran Hidup (rujuk pelan kawasan sekolah dan foto). Kawasan yang berkeluasan 120 kaki X 100 kaki ini muat untuk membina sebuah Bengkel Landskap dan Nurseri mengikut spesifikasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang berkeluasan 90 kaki X 30 kaki. Pemilihan tapak ini telah dipersetujui oleh pengetua terdahulu dan pengetua sekarang iaitu En. Ahmad Khairi Bin Paimin. Rumah Pelindung Hujan (RPH) Projek Fertigasi Rockmelon telah dibuka dan akan dipindahkan di belakang Bengkel Kemahiran Hidup.

5. Guru dan Pelajar Landskap dan Nurseri

Pada masa ini Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang menawarkan mata pelajaran Landskap dan Nurseri dan membuka satu kelas tingkatan 4 dan satu kelas tingkatan 5. Jumlah pelajar di Tingkatan 4 Landskap dan Nurseri ialah 20 orang dan jumlah pelajar di Tingkatan 5 Landskap dan Nurseri seramai 18 orang. Kesemua pelajar itu adalah laki-laki. Pelajar-pelajar ini diajar, dididik dan dibimbing oleh dua orang guru iaitu En. Hasan Bin Kasmuri dan En. Nordin Bin Ehsan.

6. Harapan dan Penghargaan

Kami amat mengharap agar dibina Bengkel Landskap dan Nurseri di sekolah ini. Telah 8 tahun mata pelajaran ini diajar di sekolah ini, namun tempat untuk pelajar-pelajarnya belajar masih berkongsi dan menumpang di bengkel Sains Pertanian. Pelajar-pelajar Sains Pertanian pula terpaksa menumpang di Makmal Biologi apabila membuat kerja amali sebab bengkel mereka digunakan oleh pelajar-pelajar Landskap dan Nurseri. Masa pembelajaran LN panjang sehingga 12 waktu seminggu (24 waktu untuk dua kelas).

Di sini juga saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah menaikkan bantuan kewangan untuk P&P mata pelajaran Landskap dan Nurseri.

Tapak cadangan Bengkel Landskap dan Nurseri yang baru terletak di sebelah Bengkel Kemahiran Hidup. Tapak itu sekarang digunakan untuk Projek Fertigasi Rockmelon. RPH projek fertigasi telah dibuka dan akan dipindahkan di belakang Bengkel Kemahiran Hidup.

Sabtu, Disember 05, 2009

CALON SPM DIBENARKAN MENGAMBIL MAKSIMUM 12 SUBJEK


Kabinet bersetuju membenarkan calon SPM mengambil dua mata pelajaran tambahan menjadikan jumlah maksimum 12 subjek yang boleh diambil. Menteri Pelajaran Tan sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan keseluruhanSPM tetap berdasarkan kepada 10 mata pelajaran utama dan tidak mengambil kira dua subjek tambahan. Kelonggaran diberi kepada pelajar membuat pilihan sendiri sama ada untuk mengambil subjek bahasa atau kesusasteraan Cina dan Tamil. Keputusan membenarkan dua mata pelajaran tambahan itu tidak akan diambil kira untuk tujuan lain seperti memohon biasiswa. Pada Jun lalu kerajaan mengumumkan bahawa pelajar SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran bermula tahun depan.

Khamis, Disember 03, 2009

LANDSKAP/TAMAN DAPUR (EDIBLE GARDEN)


Landskap/Taman Dapur (Edible Garden) diberi nama. Taman ini boleh dibina di mana-mana waima di kawasan yang kecil. Dahulu biasanya ia dibina di bahagian belakang rumah tetapi sejak akhir-akhir ini ia diusahakan di hadapan rumah. Beberapa jenis tanaman sayur-sayuran boleh diusahakan seperti di antaranya termasuk terung, cili merah, cili padi, tomato, bendi, sawi, kailan, kucai, petola, bayam, kangkong, ulam raja, kunyit dan serai. Banyak perbelanjaan dapur dapat dijimatkan sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan dapur kerana bahan itu tidak perlu dibeli. Berbudi kepada tanah tidak rugi. Saranan kerajaan iaitu setiap keluarga memanfaatkan tanah kosong dengan tanaman sayur- sayuran di sekeliling rumah seharusnya disokong.

Saya berpendapat dengan menggantikan pokok bunga dengan sayur-sayuran adalah sesuatu yang baik kerana kita dapat melihat keunikan seni hiasan landskap. Setelah dikaji, saya rasa taman ini harus dipindahkan ke kawasan halaman rumah kerana ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan perbelanjaan untuk barangan dapur tetapi dapat membantu mencantikkan landskap halaman rumah. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menggalakkan kita untuk hidup aktif dengan mengerjakan tanah-tanah di sekeliling rumah. Ia juga salah satu daripada gaya landskap yang dapat memberikan pengalaman hebat kepada kita. 

Taman dapur yang dipenuhi dengan tanaman sayuran ini mempunyai pelbagai kegunaan antaranya sebagai sumber makanan, mengekalkan ekosistem, menyejukkan suasana dan memberikan kesan visual yang menarik. Pembinaan taman ini boleh digabungkan dengan elemen semulajadi, elemen air dan susunan tanaman yang kreatif. Ia akan membentuk satu lanskap yang menarik di halaman rumah. Adalah lebih baik jika pembinaan taman ini merujuk kepada deria semulajadi manusia iaitu lihat, rasa, dengar, hidu dan sentuh kerana manusialah yang akan menanamnya, menjaganya, melihat, memetik dan memakannya. Taman dapur akan memberikan satu suasana dan pengalaman yang baru, indah dan unik terutamanya jika ia dibina di kawasan bandar, di kompleks-kompleks membeli-belah dan di hotel-hotel.

Di sini saya paparkan contoh-contoh taman dapur (edible garden). Jika berminat boleh mencubanya. Saya dah buat di kawasan rumah saya. Selamat mencuba.















STANDARD GURU MALAYSIA



Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu 3 Disember 2009 melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi. Ketiga-tiga aspek ini adalah komponen penting yang mesti dicapai setiap guru.

Mengikut dokumen itu, amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri, profesion dan sosial. Domain diri merujuk pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar mereka boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada profesion keguruan. Profesion pula merujuk pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif, manakala domain sosial sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Aspek kedua menuntut guru memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif. Bidang pengetahuan yang patut dikuasai guru termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif, menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.

Aspek ketiga memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum yang menuntut pelbagai kemahiran, termasuk mengurus bilik darjah yang membabitkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang berkesan. Muhyiddin berkata, pematuhan terhadap SGM berupaya memenuhi aspirasi kerajaan untuk melahirkan warga pendidik berkualiti dan bertaraf dunia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu guru di negara ini setanding dengan piawaian global dari segi pencapaian dan penyampaian, terutama dalam keadaan masyarakat meletak harapan tinggi terhadap kemampuan kerajaan memperluaskan capaian pendidikan berkualiti. Justeru, sistem pendidikan Malaysia perlu mempunyai mekanisme bagi menentukan guru yang dilahirkan benar-benar cekap dan memenuhi piawaian ditetapkan. Sambil berharap garis panduan itu akan membolehkan warga pendidikan lebih fokus dari segi keupayaan. Keberkesanan SGM dapat diukur menerusi pencapaian pelajar dan prestasi sekolah secara keseluruhannya.

Mengenai kekangan seperti kekurangan infrastruktur, terutama di luar bandar dan pedalaman yang boleh menjejaskan pencapaian guru, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa peningkatan kemudahan asas di sekolah luar bandar dan pedalaman akan dilakukan secara berterusan, selain menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kerajaan mahu merapatkan jurang prestasi dan penyediaan infrastruktur antara sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman supaya tidak wujud lagi perbezaan ketara. Tidak semestinya mereka berada di luar bandar, maka piawaian mereka rendah dan begitu juga sebaliknya. Justeru kerajaan akan mengubah keadaan itu secara berterusan mengikut keperluan. Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin menegaskan, antara aspek yang akan diberi penekanan ialah menaik taraf sekolah di pedalaman dan meningkatkan kebajikan guru dari segi kediaman serta bantuan elaun.