Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Jun 27, 2010

KEMBARA MAHKOTA 2010





Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, bakal menyaksikan Sultan Ibrahim memandu sendiri lokomotif jenis kelas 26 The Blue Tiger merentasi 391.3 kilometer membabitkan empat daerah Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Segamat.

Acara pelepasan itu bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stesen Johor Bahru Sentral, di sini, pada jam 10 pagi sekali gus merasmikan stesen berkenaan.
Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Wilayah Selatan, Tariq Omar Mohamed berkata, pihaknya berbesar hati dan tidak sabar menantikan detik bersejarah bermula pengembaraan itu.

“Semua persiapan termasuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan termasuk aspek keselamatan sudah dijalankan sejak sebulan yang lalu di semua stesen terbabit. Seramai 70 orang daripada pihak kami akan terbabit dalam siri jelajah tiga hari dua malam itu dan apa yang pasti kami sudah bersedia untuk memulakan pengembaraan ini,” katanya pada taklimat bersama media sempena KMJ 2010 di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor, A Jabar Md Tahir dan Setiausaha KMJ, Kamal Hisham Jaafar. Kamal Hisham berkata, usaha Sultan memandu sendiri kereta api berkenaan bakal mendapat pengiktirafan Buku Rekod Malaysia sebagai Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi.

“Majlis pengiktirafan itu akan diadakan di Stesen Gemas sebaik baginda berjaya memusingkan lokomotif kereta api berkenaan secara manual dengan menggunakan ‘turn table’ sebagai satu syarat memiliki Lesen Kelas 26 iaitu lesen memandu kereta api yang sah,” katanya.

Menurut Kamal Hisham, baginda dalam titahnya akan meneruskan tradisi program berorientasikan mesra rakyat dan mengeratkan hubungan antara kerabat diraja dan rakyat.

“Baginda akan terus menerajui Kembara Mahkota Johor selepas ini meskipun dimasyurkan sebagai Sultan. Nama KMJ juga dikekalkan dan bukan ditukar menjadi Kembara Diraja Johor walaupun baginda dimasyurkan menjadi Sultan bagi mengelakkan kekeliruan rakyat mengenali jenama KMJ sejak 2001,” katanya.

Jumaat, Jun 25, 2010

PENGAJIAN DIPLOMA LEBIH JAMIN TEMPAT PELAJAR MELAYU DI IPTA

Berita Harian 26 Jun 2010

AYAH mahu kamu belajar sampai masuk universiti. Keluar nanti jadi doktor. Belajar rajin-rajin supaya boleh masuk universiti. Keluarga kita bukannya ada duit nak hantar kamu ke kolej swasta. Tekanan sebegini selalu sangat diberikan ibu bapa kepada anak mereka terutama bagi yang mahu menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini kerana bagi ibu bapa, tiada jalan terbaik bagi merencanakan masa depan anak mereka kecuali mengejar ijazah di universiti terkemuka.

Jika ditanya pada pelajar, ramai yang menyatakan keinginan untuk mengikuti pengajian ijazah berbanding diploma, sedangkan sudah ramai pelajar berjaya mencapai kedudukan tinggi dalam kerjaya hanya bermula dengan diploma.

Mungkin atas sebab itulah, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar membuat kenyataan seolah-olah mempertikaikan keberkesanan sistem matrikulasi dalam menjanjikan peluang kemasukan ke jurusan ijazah, selain sijil matrikulasi sendiri tidak layak dijadikan dokumen rasmi menyertai pasaran pekerjaan.

Kata Dr Sahol Hamid, jika dibuat perbandingan, pelajar yang memasuki jurusan matrikulasi terpaksa bersaing dengan pelajar bukan Bumiputera yang mengambil peperiksaan STPM dan kebiasaannya, mereka akan mengisi tempat dalam jurusan perdana, misalnya perubatan dan perakaunan. Keadaan ini menyebabkan ramai pelajar Melayu yang juga lulus cemerlang tetapi gagal dalam kiraan merit akan diserapkan ke jurusan bukan pilihan mereka, sekali gus bakal melahirkan bakal pekerja kurang berkualiti disebabkan ia bukan pilihan mereka. Ia sekali gus merugikan industri, malah dikatakan antara penyebab ramai pelajar lepasan ijazah memilih menjadi guru dengan menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

“Jumlah pelajar matrikulasi gagal mendapat tempat dalam jurusan yang mereka minat semakin ramai. Boleh dikatakan membimbangkan dan perlu tindakan segera. Realitinya, ramai yang tak sedar bahawa ada jalan lain untuk menyertai kursus yang mereka lebih berminat. Pengambilan pelajar matrikulasi perlu dikurangkan supaya lebih fokus dapat diberikan. Ia penting bagi memastikan mereka yang memasuki matrikulasi mendapat tempat dalam jurusan yang mereka minat. Tempat ke universiti untuk pelajar matrikulasi memang cukup tetapi masalahnya ialah jurusan. Bukan semua 30,000 pelajar matrikulasi berjaya, ada yang gagal,” katanya.

Beliau berkata, tempoh pengajian dalam bidang matrikulasi selama setahun pendek berbanding dua tahun bagi pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan tiga tahun bagi diploma, sekali gus mewujudkan tekanan tinggi terhadap pelajar matrikulasi untuk menghabiskan pelajaran dalam masa singkat.

“Budaya pelajar Melayu belajar sangat berbeza. Orang kita tak tahan tekanan. Mereka sebenarnya hebat tetapi ada budaya belajar tersendiri. Mereka bukan manja tetapi memerlukan tempoh agak panjang untuk membiasakan diri. Sebenarnya, jika diberi ruang dan masa secukupnya, orang kita (Melayu) mampu tampil hebat,” katanya.

Beliau berkata, persoalan lain ialah adakah pelajar matrikulasi sekadar menghafal untuk lulus cemerlang atau benar-benar menguasai ilmu yang diajar. Dr Sahol berpendapat lebih menguntungkan jika pelajar memasuki jurusan peringkat diploma terlebih dulu kerana ia akan membolehkan mereka memasuki kursus diminati dan pasti ada tempat di universiti yang mempunyai pelbagai cabang kursus.

Selain itu, katanya, pembelajaran pada peringkat diploma lebih sesuai untuk membina daya pemikiran mengikut umur dan memberi peluang pelajar menyerap tekanan dengan lebih baik kerana tempoh pengajian lebih selesa selama tiga tahun.

“Peluang untuk lulus dalam jurusan peringkat diploma pula tinggi. Ketika ini mereka mempunyai dua peluang saluran iaitu ke peringkat ijazah atau memasuki industri. Berbanding ketika di matrikulasi, ramai yang gagal mendapat tempat sesuai. Sekurang-kurangnya, jika memasuki kursus diploma dan gagal mendapat kelulusan cemerlang, mereka masih boleh bekerja. Peratusan gagal dalam diploma pula tidak lebih lima peratus,” katanya.

Katanya, meskipun banyak manfaat jika memasuki kursus diploma, tidak ramai sedar kerana berasakan ia adalah peringkat rendah berbanding matrikulasi. Selain itu, pihak sekolah atau kaunselor sendiri kurang faham mengenai faedah dan keburukan sesuatu kursus.

Merujuk kepada peluang kerjaya, Dr Sahol berkata kebanyakan syarikat atau industri lebih berminat dengan pelajar berkemahiran dan yang memiliki diploma.

“Saya kerap dikunjungi wakil industri yang lebih berminat dengan pelajar diploma kerana mereka berkemahiran,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat Kementerian Pelajaran tidak perlu membuat pengambilan terlalu ramai untuk peringkat matrikulasi bagi mengelakkan pelajar Melayu tidak rugi dan gagal memperoleh kursus yang dikehendaki. Ini kerana, katanya, pengamatannya ke atas kualiti pelajar di universiti dan lepasan diploma yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah lebih berkualiti berbanding mereka yang menyertai matrikulasi terlebih dulu.

Ahad, Jun 20, 2010

AFRIKA SELATAN SAMBUT PEMAIN DAN TETAMU PERTANDINGAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Petikan daripada Harian Metro
11 Jun 2010



Tarikh 11 Jun 2010 adalah tarikh yang dinantikan oleh Afrika Selatan dan peminat bola sepak seluruh dunia apabila sepak mula perlawanan antara Afrika Selatan dengan Mexico sebagai permulaan pemburuan Piala Dunia. Negara itu akan mula membentangkan permaidani merah untuk menyambut 32 pasukan terbaik dunia serta penyokong masing-masing apabila Piala Dunia akan membuat sepak mula di stadium baru di Johannesburg, Soccer City.

Ketika ini, demam Piala Dunia sudah melanda sembilan wilayah Afrika Selatan yang akan menjadi tuan rumah kepada puluhan perlawanan yang dianggap sebagai sukan paling utama di dunia. Tahap keceriaan yang dapat dilihat di setiap pelosok Afrika Selatan juga meningkat 10 kali ganda ketika rakyat mereka menyifatkan apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari ini sebagai keajaiban kedua - yang pertama ialah ketika Afrika Selatan berjaya bergelar negara demokrasi.

Pergilah ke mana saja di sekitar Afrika Selatan dan apa yang anda bakal saksikan ialah bendera kebangsaan mereka digantung tinggi dan setiap satu daripada tiga kereta rakyat mereka, pasti dilekatkan dengan bendera.

Bagi pasukan tuan rumah, keghairahan penyokong mereka terbukti apabila beribu-ribu membanjiri jalanan di Johannesburg kelmarin sambil menari dan berteriak memanggil nama-nama pemain pujaan mereka ketika demam Piala Dunia semakin memuncak.

Menyarung jersi berwarna kuning, skaf dan topi serta meniup vuzuzela, penyokong pelbagai kalangan usia menyertai perarakan di jalanan untuk menyokong pasukan mereka yang dikatakan membantu menyatukan negara itu yang masih terpisah 16 tahun selepas berakhirnya dasar aparteid.

Malah Presiden Jacob Zuma berkata acara bola sepak terulung itu, yang pertama diadakan di benua itu, menyatukan Afrika Selatan seperti kejayaan Piala Dunia Ragbi 1995 yang membantu memecah sempadan perkauman dan akan meninggalkan kesan mendalam buat beberapa dekad akan datang.

Kelmarin juga menyaksikan pasukan juara dunia, Itali tampil sebagai pasukan paling akhir tiba bagi menyertai temasya bola sepak selama sebulan itu. Kapal terbang yang disewa khas dinaiki pemain dan pegawai pasukan Itali itu mendarat di lapangan terbang Johannesburg kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan selepas penerbangan selama sembilan setengah jam dari Milan.

Sementara itu, 97 peratus daripada tiket Piala Dunia sudah dijual dan penganjur menjangkakan akan menjual lebih 98 peratus daripada lebih 3 juta tiket ditawarkan. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan angka dua hari sebelum perlawanan pembukaan menunjukkan 135,000 daripada 3.01 juta tiket masih belum dijual.

Bintang pop Colombia, Shakira pula menghabiskan masa mengajar kanak-kanak menari mengikut rentak lagu rasmi Piala Dunia "Waka Waka" di Soweto, bandar yang paling ramai dihuni kaum kulit hitam di Afrika Selatan. Penyanyi-penulis lirik yang memenangi anugerah Grammy itu, menyertai bintang muzik lain termasuk Black Eyes Peas dan Alicia Keys menyertai satu konsert semalam, sehari sebelum bermulanya Piala Dunia pertama di bumi Afrika. Shakira, duta muhibah Tabung Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), melawat Sekolah Rendah Isu'lihle di Soweto sebagai sebahagian daripada kerja amalnya yang menonjolkan pentingnya pelajaran buat kanak-kanak.


Info Bola Sepak Piala Dunia
Dari segi sejarah, bola sepak Piala dunia pertama kali dicetuskan pada 26 Mei 1928 di Amsterdam. Sebelumnya bola sepak hanya dipertandingkan di sukan olimpik.


Piala Dunia pertama berlangsung di Uruguay pada 13-30 Julai 1930. Presiden FIFA pada waktu itu, Jules Rimet, berharap pertandingan antara negara ini dapat mencipta perdamaian dunia. Kejohanan pertama itu disertai oleh 13 buah negara yakni Amerika Syarikat, Perancis, Romania, Belgium, Yugoslavia, Argentina, Chile, Mexico, Brazil, Bolivia, Uruguay, Peru dan Paraguay. Tuan rumah Uruguay keluar sebagai juara setelah mengalahkan Argentina dengan 4-2 di perlawanan akhir yang melayakkan negara tersebut memperolehi trofi Jules Rimet Cup yang bertatahkan emas. Semasa Perang Dunia II, kejuaraan ini terhenti selama 12 tahun. Ia dimulai kembali pada tahun 1950 di Brazil.

Pada tahun 1970 di Mexico, FIFA telah memutuskan untuk Brazil menyimpan piala Jules Rimet kerana berjaya menjadi negara pertama yang menjuarai kejohanan itu sebanyak 3 kali iaitu pada 1958, 1962 dan 1970.

FIFA kemudian membuat trofi dunia yang baru. Trofi Piala Dunia itu berukuran 36.8 sentimeter dan seberat 6.175 kilogram diperbuat daripada emas padu 18 karat, yang menjadi rebutan hingga sekarang. Piala ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh negara pemenang. Piala ini menggantikan Jules Rimet Trophy yang telah digunakan dari 1930 hingga 1970. Jules Rimet Trophy ini telah diserahkan kpd pasukan Brazil sebagai penghormatan memenangi World Cup pada tahun 1970 di Mexico dan juga telah memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali.


Harapan/impian (?)
Harapan/impian kami iaitu pada suatu hari nanti ada di kalangan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang yang beraksi di Pertandingan Bola Sepak Piala Dunia.

Selasa, Jun 15, 2010

GURU DAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah datang lagi.

Belum lagi bercuti Ustaz Sukri Osman dah beri sehelai kertas yang di permukaan kertas itu tertulis jadual kelas tambahan masa cuti. Kena buat kelas tambahan dua kelas iaitu Tingkatan 3P (hari Rabu 9 Jun 2010) dan Tingkatan 5T (hari Khamis 10 Jun 2010). Kedua-duanya kelas peperiksaan.
Hari Khamis pula kena duduk di bangku yang disediakan dan tak perlu bayar di dewan peperiksaan ambil PTK. Pada 6 hingga 8 Jun 2010 pula aku kena uruskan program perkhemahan peringkat daerah iaitu Perkhemahan Pentaulihan Pangkat Sarjan dan Koperal Kor Kadet Polis Daerah Pontian, di Sungai Bantang, Segamat, Johor. Di kampung pulak ada dua sahabat yang nak buat kerja kenduri kahwin. Adat orang berkampung, kenduri-kendara patut ditolong. Bila nak balik kampung?

Awal cuti iaitu pada hari Ahad, pagi-pagi lagi pukul 6.30 pagi dah terpacak di sekolah. Pagi ini kena uruskan budak-budak Kadet Polis sekolah dan daerah Pontian untuk menjalankan aktiviti perkhemahan selama tiga hari. Nak uruskan 300 ahli kadet bukan mudah. Nak juga fikirkan dan uruskan tentang kenderaan, tapak perkhemahan, sijil-sijil, t-shirt perkhemahan , elektrik dan macam-macam lagi....

Sebagai Timbalan Komandan Perkhemahan kena pastikan semua ahli kadet sampai dengan selamat. Kena juga pastikan ahli kadet makan dengan sempurna. Kena juga pastikan keselamatan semasa berkhemah. Maklumlahlah kawasan perkhemahan tu adalah kawasan lata dimana air jernih mengalir dengan laju. Bebudak bukan fikir sangat, nampak aje air terus terjun...pantang beri sedikit peluang terus berkubang....
Selama tiga hari berkhemah nampaknya soal keselamatan dapat dikawal. Soal sakit pening dan terseliuh memang ada. Cikgu-cikgu hantar yang berkenaan ke klinik berhampiran. Dresser pulak bagus....pukul 11 malam masih bersedia merawat pesakit. Syukur alhamdulillah...

Terima kasih aku ucapkan kepada Komandan Perkhemahan iaitu C/Insp. Johari Bin Abdullah dan pegawai-pegawai IPD Pontian yang bersungguh-sungguh memberi kerjasama, kepada rakanku Cikgu Mohd Nazri B Lajim, En. Hamid B Selamat, PPPD Pontian dan Tuan Pengetua sekolahku yang turut sama hadir, rakan-rakan guru sekolahku, rakan-rakan guru Kadet Polis yang mengiringi ahli-ahli kadet, isteriku yang sama-sama ikut, kepada Syarikat Beras Faiza dan Syarikat Lee Biscuits. Juga kepada Pn Habibah Abd Rahim yang menyumbang 20 ekor ayam siap potong dan cuci kepada ahli-ahli kadet sekolahku, dan kepada semua penyumbang-penyumbang yang tak tertulis di sini.

Setelah selesai perkhemahan, bergeraklah lori-lori PDRM membawa ahli-ahli Kadet Polis yang seramai 300 orang itu balik ke sekolah masing-masing. Aku masih lagi berada di tapak perkhemahan. Aku nak pastikan tidak ada sehelai tali yang bersepah di kawasan tapak perkhemahan. Lebih kurang 20 minit mundar-mandir di kawasan itu dan aku pasti kawasan betul-betul bersih, barulah aku serahkan tapak tersebut kepada Pegawai Renjer Jabatan Perhutanan iaitu En. Hussien Bin Abd Latiff.

Kerja belum habis lagi....

Kami sampai di sekolah pada pukul 8.00 malam. Aku juga kena pastikan barang-barang, peralatan dan khemah disimpan di dalam stor. Tak boleh letak bersepah-sepah. Kemudian duduklah aku di pintu gate depan pondok jaga memastikan pula bebudak kadet itu balik bersama ibu bapa diorang. Sekali lagi akulah orang terakhir meninggalkan sekolah...Pukul 10 malam barulah sampai di rumah.
Hari Rabu buat kelas tambahan bebudak Tingkatan 5T. Tak ramai yang hadir.

Hari Khamis duduk periksa PTK di SMK Dato' Penggawa Barat. Macam mana nak dapat 4/4, studi pun tak pernah. Macam mana nak studi kalau pada waktu yang sama ada program yang terpaksa kita buat bersama anak didik kita? Haaaa tu nak menyalahkan orang lain la...tu....
Habis periksa PTK balik ke rumah. Orang rumah dan anak dah siap-siap beg nak balik kampung. Selepas solat zohor lebih kurang 2 petang bertolak balik kampung. Singgah ambil anak, Nur Izyani Nadhirah yang sedang belajar kursus persediaan di Kolej Teknologi Timur, Sepang. Lepas tu bertolak pulak ke Shah Alam ambil seorang lagi anak, Fakhrul Razin yang belajar inter-sessi di UITM Shah Alam. Bertolak dari Shah Alam menuju ke utara pada pukul 8 malam. Sampai di Rawang, berhenti rehat, makan malam, solat dan isi minyak. Sampai di Ipoh pukul 11.30 malam. Mata dah mengantuk. Asyik menguap. Tahankan juga sehingga sampai RR Sungai Perak. Ambil kesempatan tidur dalam MPV. Apabila terjaga, jam menunjukkan pukul 1 malam. Orang rumah dan anak-anak silih berganti tunggu akau tidur. Dah jaga dan dah cuci muka, aku minum kopi-o panas. Dah segar semula, aku pecut MPV menuju Bagan Serai dengan membelah kegelapan malam.
Sampai di rumah mertua di Bagan Serai pukul 2.30 pagi.
Ya Allah aku bersyukur kepadaMu kerana kami sekeluarga selamat sampai ke destinasi...

Sabtu, Jun 12, 2010

THE TREE TOP WALK SUNGAI SEDIM - PENDIDIKAN MENYANYANGI ALAM SEMULA JADI

Pada cuti sekolah ini, apabila kami balik kampung di Bagan Serai, kitorang mengambil kesempatan pergi TTTWSS. Apa benda tu? The Tree Top Walk Sungai Sedim. Kawasan ini terletak di Sungai Sedim, Kulim, Kedah. Kalau nak pergi ke sana ikut sahaja penunjuk arah yang disediakan di sepanjang jalan, insyaallah sampai.

Tree Top Walk ini merupakan projek pertama yang seumpamanya oleh kerajaan Malaysia dalam usaha untuk membangunkan eko-pelancongan. Projek ini dibina di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas. Pembinaannya bermula pada 15 Januari 2004 dan siap sepenuhnya pada 7 Mac 2005. Ia adalah pejalan kanopi di atas silara pokok yang terpanjang di dunia. Panjang 'canopy walk' ini ialah 925 metar. Ia dilancarkan secara rasminya pada 5 Mac 2009 oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah.

Waktu operasi 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Dibuka setiap hari sepanjang tahun kecuali ketika cuaca terlampau (hujan lebat, kilat, angin kencang). Bayaran yang dikenakan untuk menaiki Tree Top Walk ialah RM10 untuk orang dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak bawah 7 tahun.

Aktiviti:
  1. Canopy walk
  2. Jungle trekking
  3. Educational jungle walk
  4. Night walk
  5. Flying fox
  6. Abseiling
  7. Obstacle course - nature
  8. Jungle survival
  9. Nature hunt
  10. Nature camp
  11. Family day
  12. Tubing
  13. White water rafting
  14. Orienteering
  15. River crossing

Kawasan TTTWSS ini memang cantik dan bersih. Arus air sungainya mengalir deras melanggar dan melepasi batu-batu yang meninggalkan kesan bunyi yang kuat. Kawasan ini memang sesuai dijadikan kawasan pendidikan khususnya pendidikan mencintai alam semula jadi. Pakej pendidikan yang disediakan memang kena pada tempatnya iaitu: hutan hujan khatulistiwa yang menghijau, kebersihan aliran air sungai yang bersih dan jernih, memerhati kanopi pokok-pokok dari atas, menghayati kehidupan alam semula jadi yang terbentang, dan yang tak kurang hebatnya ialah pendidikan menguatkan semangat dan fizikal untuk meniti jambatan TTW.

Terus terang saya katakan bahawa rasa gayat menyelubungi fizikal kita semasa meniti TTW ini. Saya tak sanggup untuk menghabiskan titian sejauh 925 meter yang disediakan. Bayangkanlah diri kita berada di awang-awangan dimana di atas kita ialah awan yang membiru dan di bawah kita adalah rimbunan daun-daun pokok.

Hanya orang yang berani dipersilakan meniti TTW ini.


Sungai yang airnya mengalir deras.

Air sungai bersih dan jernih.

Aliran air deras pada batu meninggalkan kesan bunyi yang kuat.

Jambatan yang cantik merentangi Sungai Sedim.

Redup dan menyejukkan.

Lubuk yang menyegarkan.

Aliran air yang sejuk dan menyegarkan.

Papan tanda TTW berlatar belakangkan titian TTW.

Titian Tree Top Walk di atas kanopi pokok-pokok.

Titian Tree Top Walk.

Penunjuk arah di Tree Top Walk.

Pakailah kasut jika hendak berjalan di Tree Top Walk ini.

Perjalanan sejauh 925 TTW bermula di sini.

Tree Top Walk ilihat dari bawah.

Sabtu, Mei 29, 2010

LATIHAN MENEMBAK SENJATA M16

Pada hari Ahad 23 Mei 2010 pada ketika orang lain mungkin enak-enak bercuti, saya bersama guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis pergi menjalani latihan menembak senjata M16. Latihan tersebut dijalankan di Lapang Sasar PDRM IPK Melaka Air Keroh.

Kami bertolak pada pukul 6.30 pagi. Pergi ke sana dengan menaiki bas dan sampai pada pukul 9.30 pagi. Bersama sekolah kami ialah ahli-ahli Kadet Polis SMK Sri Kukup. Keadaan lapang sasar ini selesa dan cantik. Latihan dijalankan sehinggalah pukul 3.30 petang. Berehat, makan tengah hari dan solat Zohor pada pukul 12.30 tgh hingga 2.00 petang.

Latihan menembak ini adalah sebahagian daripada aktiviti Pasukan Kadet Polis. Sebagai Ketua Kor Kadet Polis Daerah Pontian, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus aktiviti dan program ahli-ahli Kadet Polis peringkat daerah. Saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada timbalan saya iaitu En. Mohd Nazri B Lajim atas usaha beliau secara langsung mengurus aktiviti latihan menembak senjata M16 ini. Sebanyak 15 sekolah di daerah Pontian telah menyertai latihan ini di mana ahli-ahli Kadet Polis yang mengikuti latihan ini di Melaka seramai 600 orang. Latihan dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad agar ianya tidak menganggu persekolahan ahli-ahli Kadet Polis. Setiap sekolah mengikuti jadual latihan yang telah ditetapkan.

Latihan ini adalah dibawah kendalian jurulatih Unit Persenjataan IPD Pontian yang diketuai oleh C/Insp. Johari Bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Awam IPD Pontian. Sebelum latihan di Melaka, jurulatih-jurulatih ini telah pergi ke sekolah-sekolah untuk memberi latihan musketri senjata M16 kepada ahli-ahli Kadet Polis. Latihan musketri ini dijalankan setiap petang selama tiga hari.

Daripada laporan yang diterima, guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis gembira dengan latihan ini. Itulah sebenarnya harapan kami iaitu ahli-ahli Kadet Polis gembira menjalani kegiatan kokurikulum disamping mendapat sesuatu ilmu dan kemahiran baru yang berkaitan. Semoga semua ahli-ahli Kadet Polis yang menyertai latihan ini selamat sejahtera sehingga tamat latihan. Sentiasalah berhati-hati dan berwaspada semasa menjalani latihan.

Ucapan terima kasih dan penghargaan saya berikan kepada IPK Melaka, IPD Pontian dan PPD Pontian atas kerjasama dan peluang yang diberi kepada kami guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis Pontian dalam menjayakan latihan menembak senjata M16 ini.


Tuan Johari berbincang bersama jurulatih sebelum memberi taklimat perjalanan latihan.

Menenang ke sasaran.


Saya dan guru-guru Kadet Polis turut sama berlatih menembak.


Jurulatih mengajar saya menggunakan pistol.


Cikgu Hamisah dan Cikgu Noraizan menunjukkan lubang tembakan.


GPK1 Pn. Hjh. Arbaenah Bt Masud turut serta dalam latihan menembak.
Panas terik matahari tidak menghalang latihan.


Cikgu Mohd Nazri B Lajim ditunjuk ajar menggunakan pistol.


Anak saya Fakhrul Syahmi Azri yang juga ahli Kadet Polis
beraksi menggunakan senjata M16.

Saya berucap menyampaikan penghargaan kepada IPK Melaka dan IPD Pontian.


Tuan Johari mengumumkan penembak terbaik sesi 4.

Penyampaian cenderahati kepada IPD Pontian
yang diterima oleh Tuan Johari B Abdullah..

Penyampaian cenderahati kepada En. Aman
Pegawai In Charge Lapang Sasar PDRM IPK Melaka.


Bergambar beramai-ramai selepas tamat latihan bersama guru-guru,
jurulatih dan pegawai-pegawai IPD Pontian.

'HADIAH HARI GURU' - KAJIAN SEMULA PERLU

Oleh Gaddafi Musli
Harian Metro 29 Mei 2010

KUALA LUMPUR: Majlis Pemuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia (MPKGM) mendesak kerajaan mengkaji semula ‘Hadiah Hari Guru’ yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang, 16 Mei lalu. Pengerusinya, Jemale Paiman berkata, ini kerana pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran tidak mengambil kira 11 penetapan insentif Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Kementerian Pelajaran (Kongres) yang disenaraikan pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan, awal bulan ini.

“Insentif yang kita mohon ialah kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan di samping mengurangkan beban tugas guru,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Isu Semasa Perkhidmatan Dan Kebajikan Guru, semalam.


Menurutnya, hadiah Hari Guru yang diumumkan Muhyiddin dua minggu lalu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan guru sehingga boleh mengakibatkan prestasi terjejas.


“Contohnya, pemberian wang ganjaran RM7,500 kepada guru yang melonjakkan prestasi sekolah dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan guru lain dalam sebuah institusi pendidikan dan boleh menimbulkan sentimen negatif apabila cuma sesetengah pihak saja yang mendapat ganjaran” katanya.


Antara tuntutan yang dibuat Kongres 1 Mei lalu ialah mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, menaikkan taraf struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 untuk pengelola kanan dan guru besar serta penambahan staf sokongan.


Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad berkata, sudah tiba masanya profesion guru diberi pengiktirafan sewajarnya melalui syarat ini untuk memulihara kredibiliti perguruan.


Jumaat, Mei 28, 2010

KURANGNYA BUKU RUJUKAN KHB PERTANIAN DI PASARAN

Petang tadi selepas solat Jumaat kami tiga beranak pergi ke Johor Bahru atau lebih tepatnya ke Kompleks Membeli-belah Angsana. Tujuan utama kami ialah pergi ke kedai buku Badan Cemerlang dalam kompleks itu. Orang yang ramai pada masa itu membuatkan kami rasa hairan. Kami terlupa bahawa hari ini adalah cuti umum Hari Wesak.

Dalam kedai buku itu kami berpecah mengikut pencarian buku-buku kegemaran kitorang. Tercari-carilah saya buku-buku rujukan atau buku-buku soalan Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian. Saya ni kan guru KHB Pertanian. Dah puas saya tercari-cari tapi tak juga berjumpa buku itu. Akhirnya saya bertanya kepada pembantu kedai buku tersebut. Pembantu itu menyatakan yang buku KHB Pertanian tak berapa banyak diterbitkan. Banyak penerbit buku tak terbitkan buku rujukan KHB Pertanian. Kalau buku KHB yang lain (KHBKT, KHBERT dan KHBPK) memang banyak. Tambah pembantu itu, boleh dikatakan semua penerbit akan menerbitkan tiga buku itu kecuali buku KHB Pertanian. Buku rujukan KHB Pertanian tak berapa laku. Tak banyak sekolah menawarkan KHB Pertanian. Itu katanya.... dan itulah alasan konkrit penerbit. Keuntungan adalah matlamat utama peniaga.

Ohhh begitu....

Sebenarnya dah lama saya mendengar keluhan guru-guru KHB Pertanian dan guru-guru Sains Pertanian. Apabila berjumpa sesama sendiri sama ada semasa bermesyuarat atau berkursus, itulah keluhan yang didengar. Pelajar-pelajar KHB Pertanian dan Sains Pertanian adalah pelajar-pelajar di kelas hujung-hujung atau pun pelajar-pelajar All England dan All Denmark. Betul ke?

Di sekolah saya - SMK Telok Kerang, hanya menawarkan dua pilihan KHB iaitu ERT dan Pertanian. Sekolah kami ini kecil, pelajarnya hanya 700 orang. Pelajar Tingkatan 3 berjumlah lebihkurang 140 orang sahaja. Dalam PMR biasanya jumlah pelajar yang mendapat A KHB Pertanian mengatasi pelajar yang mendapat A ERT. Gabungan yang mendapat A dalam KHBERT dan KHBP biasanya berjumlah 50 orang (36%). Ini bermakna KHB Pertanian dapat memberi harapan kepada pelajar-pelajar untuk mendapat A. Ini bermakna juga pelajar-pelajar yang mengambil KHB Pertanian berkehendakkan kejayaan untuk mendapat A. Ini bermakna juga diorang akan berusaha mencari buku-buku rujukan yang berkaitan dengan KHB Pertanian.

Sebenarnya mata pelajaran KHB tak perlukan sangat akan buku-buku rujukan. Berkitabkan buku teks yang dibekalkan dah cukup untuk pelajar-pelajar dapat A. Dengan syarat mereka belajar....belajar....belajar.....dan buat kerja kursus dengan baik.

Apa yang saya perkatakan di sini hanyalah ketiadaan/kekurangan buku-buku rujukan KHB Pertanian di pasaran jika dibandingkan dengan tiga lagi pilihan KHB. Itu pun kerana saya tercari-cari buku tersebut. Sebenarnya dah lama saya tak pergi ke kedai buku. Jadi saya kurang tahu perkembangan penerbitan buku-buku dewasa ini... hehehehe.....

Sabtu, Mei 22, 2010

LESEN PERGURUAN UNTUK GURU

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
Utusan Malaysia 22 Mei 2010

KOTA BHARU 21 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut. Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, jawatankuasa disiplin di kementerian sudah mencukupi untuk menjaga integriti tetapi pada masa sama cadangan itu masih perlu diberi perhatian serius.


"Isu integriti guru menjadi perhatian kementerian bagi memastikan profesion perguruan terpelihara
imej dan martabatnya, kalau integriti tercemar, akhirnya orang hilang kepercayaan kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-18 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Dali Hussin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa; Yang Dipertua PIBG SMK Kemumin, Mohd. Noor Abdullah dan Pengetua sekolah tersebut, Fauziah Mohamed.

Mohd. Puad mengulas laporan akhbar mengenai seorang guru lelaki yang didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka. Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula Mac lalu sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya.

Mohd. Puad berkata, langkah untuk mengeluarkan lesen perguruan itu telah diamalkan di beberapa buah negara seperti di Kanada dan Australia.

"Cadangan ini perlu dilihat dengan teliti kerana kita mempunyai guru yang ramai kira-kira 390,000 orang. Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan ini dan merasakan sudah sampai masanya kita melihat lesen perguruan secara serius seperti mana yang diamalkan oleh beberapa buah negara," katanya.

Sementara itu, beliau merasa amat dukacita dengan kejadian yang berlaku di Sarawak itu dan pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis sebelum tindakan lanjut diambil. Katanya, ia merupakan kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan sikap guru yang ada di negara ini.



Selasa, Mei 18, 2010

TAPAK BARU PROJEK FERTIGASI SMK TELOK KERANG

Pada pagi Jumaat 14 Mei 2010 pelajar-pelajar Tingkatan 5 Teknologi (Sains Pertanian) bersama Cikgu Hasan Kasmuri bergotong-royong membersihkan tapak baru projek fertigasi dan membuat baja kompos. Gotong-royong itu dilakukan semasa mata pelajaran Sains Pertanian.


Pelajar-pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama membantu Cikgu Hasan Kasmuri membersihkan kawasan tapak fertigasi, manakala satu kumpulan lagi mengumpulkan rumput di padang untuk dijadikan baja kompos.


Kerja-kerja menebang pokok kelapa dan membersihkan kawasan dilakukan selama 40 minit. Selepas selesai gotong-royong pelajar-pelajar menjamu selera dengan mi kari. Saya ucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar itu dan juga kepada orang rumah saya yang menyediakan mi kari.


Tapak baru projek fertigasi.

Pelajar-pelajar membersihkan kawasan.

Membuang batang kelapa ke tempat buangan sampah.

Selesai gotong-royong di tapak projek, bergotong-royong makan mi kari pula.