Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, November 07, 2011

PPSMI DITERUSKAN SEHINGGA 2021


Kebimbangan ibu bapa mengenai peralihan bahasa pengantar dalam pendidikan sains dan matematik berjaya dirungkaikan apabila Jemaah Menteri sebulat suara telah bersetuju dengan "soft landing" yang dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam mesyuarat mingguannya pada 4 Novembr 2011.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan bahawa sesuatu perubahan dasar yang hendak dilaksanakan turut mengambil kira kepentingan rakyat dan dengan itu ia bukanlah satu perubahan yang tergesa-gesa sebagaimana dilihat oleh sesetengah pihak yang menilai perubahan dasar pendidikan sebagai percubaan tikus makmal.

Semasa menjawab soalan pihak media, Tan Sri Muhyidin Yassin setiap pelajar yang berada dalam kohort PPSMI, yang kini berada di Tahun Dua sekolah rendah hingga ke Tingkatan Lima sekolah menengah dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran mereka sebagaimana telah ditentukan oleh pihak sekolah.

Keputusan tersebut dnegan sendirinya boleh menjawab polemik yang berlaku dalam masyarakat yang bimbang bahawa anak-anak mereka yang akan memasuki Tingkatan Satu pada tahun 2012 diwajibkan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sebagaimana dikehendaki oleh surat pekeliling yang dikeluarkan sebelumnya.

Bagi menentukan pelaksanaannya tidak menimbulkan sebarang masalah, menurut Timbalan Pedana Menteri satu pekeliling baru akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran dalam tempoh terdekat.

Berikut ialah kenyataan akhbar yang telah diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya dan dihadiri oleh lebih 50 pertubuhan media dan sebelum itu seramai 400 orang warga Kementerian Pelajaran seluruh negara hadir dalam pertemuan khas untuk menjelaskan pelaksanaan "soft landing" itu.

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajabaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matemartik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan "soft landing".

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun Satu pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan Satu akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan Satu bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris ssehingga tamat Tingkatan 5.

Perlu diperjelaskan di sini, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pada tahun 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matermatik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.

Bagi murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan "soft landing" ini, pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan, kurnag 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Berdasarkan dapatan ini, kabanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana dihasratkan.

Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid, mendapati murid sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti Program Oracy Skill (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Ahad, November 06, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Umat Islam menyambut Aidiladha bagi meraikan kejayaan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Hari Raya Aidiladha dikenali juga Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Ia adalah salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah. Dinamakan juga Hari Raya Haji kerana pada saat tersebut jutaan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima. Mereka ke sana sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.

Aidiladha disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu disembelih haiwan seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ibadat korban bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis yang bermaksud: ‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah’. (Surah al-Kauthar ayat 2).

Nabi s.a.w berkorban dengan menyembelih dua ekor kibas berwarna putih dan bertanduk. Baginda turut menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletak kakinya di atas tengkuk kibas itu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang-orang mukmin yang melaksanakan ibadah korban (menyembelih binatang korban) mempunyai keistimewaan dan keuntungan (pahala) yang banyak sekali sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi yang bermaksud:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu pada hari Kiamat kelak akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu."

Hikmah ibadat korban ialah menghidupkan erti pengorbanan Nabi Ibrahim ketika Allah memerintahkan baginda menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tidak teragak-agak melaksanakan perintah itu, tetapi Allah menggantikan sembelihan itu dengan seekor kibas. Oleh itu, jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat.

Ibadat korban mengandungi pengertian untuk mendidik umat Islam jangan melupakan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan selepas Allah memberikan rezeki kepada mereka. Ia turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih sayang sesama sanak-saudara dan jiran tetangga. Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.

Kebanyakan ulama daripada Mazhab Shafie berpendapat, hukum korban adalah sunat muakad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan.

Hakikatnya, Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Khamis, November 03, 2011

5,000 MAHASISWA UPSI TUNTUT JAMINAN PENEMPATAN SEKOLAH KEPADA MEREKA SEPERTI GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT)

Seramai 5,000 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Afiq Fikri Mislan berkata, graduan UPSI telah dilatih untuk menjadi guru sebenar, sekali gus mengurangkan isu guru tidak profesional, berkualiti serta berkelayakan.

"Mengapa kekosongan jawatan guru diberikan kepada lepasan GSTT yang pada hemat kami tiada kelayakan sebenar untuk bergelar guru," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan memorandum tuntutan penempatan pemegang ijazah itu kepada Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Noraini Idris di sini hari ini.

Tuntutan tersebut turut disokong oleh Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung UPSI.

Dalam memorandum setebal lima muka surat itu, mereka turut menggesa Kementerian Pelajaran menghentikan pengambilan GSTT sebagai guru tetap kerana golongan tersebut sepatutnya menjadi sokongan dan bukan pilihan utama.

Ahad lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong memberitahu, kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara akan diisi oleh 7,000 GSTT.

Afiq Fikri berkata, pihaknya berharap UPSI akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran.

"Kami menuntut agar kementerian tidak menawarkan pelan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kepada graduan lepasan ijazah bukan pendidikan kerana ia mampu membunuh usaha melahirkan guru profesional. "Kementerian juga perlu mengeluarkan unjuran penempatan yang lebih tepat dan telus agar pihak universiti dapat menyediakan jumlah graduan yang mencukupi," katanya.

Mengulas lanjut, Afiq Fikri berkata, tuntutan itu dibuat bagi menjamin masa depan mahasiswa dan graduan UPSI.

"Kebanyakan graduan UPSI menganggur kerana mereka tidak diterima bekerja di sektor lain atas alasan ijazah pendidikan yang dimiliki tidak menepati kehendak mereka. Justeru, peluang graduan ini untuk bekerja hanyalah dalam bidang pendidikan tetapi hak kami sebagi guru telah dinafikan oleh golongan GSTT tersebut," ujarnya.

Utusan Malaysia 3 November 2011

Rabu, November 02, 2011

NOSTALGIA TIGA BUDAK BOGEL DANDINDON: DARIPADA KARTUN KOMIK KEPADA ANIMASI

TIGA budak bertelanjang bulat dikenali dengan nama Dan, Din dan Don yang suatu ketika cukup terkenal dalam majalah kartun Gila Gila, kini diberi ‘nyawa’ oleh pengkarya atau pencipta karektor ini, Saadon Ishak.

Ketiga-tiga karektor ini yang hanya boleh diikuti menerusi lembaran demi lembaran daripada setiap edisi majalah berkenaan, suatu hari nanti boleh ditonton dalam bentuk animasi yang lebih cantik dengan latar belakang kampung yang dilakar dengan gambar penuh berwarna warni dan kelihatan hampir realistik.

Lima episod cerita budak telanjang bulat ini sudah disiapkan oleh penerbitnya, Don Studio Sdn Bhd. Namun apabila dipindahkan dalam bentuk animasi, ada beberapa perubahan untuk disesuaikan dengan kehendak semasa dan pasaran.

Saadon yang juga Pengarah Urusan Don Studio agak terkejut apabila pegawai pemasaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memaklumkan wartawan Hip Berita Harian berminat untuk mendapatkan cerita lebih lanjut mengenai animasi terbitannya.

Katanya, Dan, Den dan Don adalah cerita mengenai tiga sahabat di sebuah kampung pedalaman pada era tahun 60-an.

Dunia hiburan bagi ketiga-tiga budak ini adalah berdasarkan apa yang mereka lihat dalam realiti kehidupan sehari-hari masyarakat kampung pada waktu itu seperti percaya kepada benda ghaib, mitos, amalan tradisi, pekerjaan orang kampung dan sebagainya.

“Tapi paling jelas, untuk siri animasi semua karakternya tidaklah boleh berbogel. Dari segi aspek budaya, ia tentu tidak manis. Jadi, saya mengubahnya dengan ketiga-tiga karektor itu berseluar, malahan kadang-kadang berpakaian lengkap. Nama Din juga ditukar menjadi Den sebab Din sudah ada dalam karektor animasi Jepun. Jadi, animasi ini dikenali sebagai DanDenDon. Bagaimanapun, secara keseluruhan watak dan gelagat serta cerita DanDenDon tidak banyak berubah,” kata Saidon, selaku penerbit animasi terbabit.

Seperti mana siri animasi Lat - Kampung Boy karya Datuk Lat, siri DanDenDon juga turut menggunakan latar belakang kampung halaman pengkaryanya.

“DanDenDon ini merakamkan nostalgia saya ketika zaman budak-budak. Latar belakangnya ialah suasana kampung saya di Lenggong, Perak. Suasana dan pemandangan yang dipaparkan dalam siri ini memang kampung saya. Begitu juga dengan apa yang dimainkan oleh Dan, Den dan Don ialah kelaziman yang dilakukan oleh budak kampung, seperti menangkap dan bermain ikan laga. Setiap sudut rumah juga saya gambarkan dalam keadaan hampir realistik. Dalam siri DanDenDon ini, apa yang saya cuba kekalkan ialah mengenai budaya dan nilai tradisi yang dipegang orang kampung. Ia satu imbauan bukan saja kepada saya tetapi juga mereka yang berasal dari kampung selain golongan yang pernah mengikuti komik DanDinDon dulu,” jelasnya.

Penerbitan bermula tahun 2007

MENURUT Saadon, inisiatif menerbitkan siri animasi DanDenDon bermula pada 2007 dan ketika itu, usaha pertama dilakukan ialah mendaftarkan hak cipta karyanya terlebih dulu. Apabila usaha berkaitan dengan IP ini diperoleh secara sah, barulah kerja penerbitan animasi DanDenDon dimulakan sekitar 2008.

“Saya perlu mendaftarkan DanDenDon sebagai harta intelek atau IP milik saya. Ini karya dan hak saya. Biarpun agak mahal, tetapi saya perlu lakukan untuk melindungi masa depan IP karya milik saya. Saya tidak mahu macam P Ramlee, selepas puas berkarya akhirnya IP atau hak cipta karyanya menjadi milik orang lain. Saya daftarkan hak cipta setiap karya saya dalam semua aspek,” katanya.

Sebagai pemegang IP, Saadon berkata, selepas ini selain menerbitkan animasi, dia bebas untuk menghasilkan barang dagangan (merchandise) DanDenDon.

“Sebagai permulaan saya bercadang untuk menerbitkan buku DanDenDon. Saya rancang buku ini boleh dipasarkan tahun depan. Ia sebagai kesinambungan daripada animasi DanDenDon,” jelasnya lagi.

Menurutnya, setakat ini Don Studio belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana stesen TV tempatan kerana tumpuan utama ialah memasarkan karyanya ini ke luar negara. Selain mencari pasaran antarabangsa, Don Studio juga turut mencari peluang untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana syarikat produksi animasi luar negara bagi menghasilkan siri DanDenDon dalam episod lebih panjang.

Sehubungan itu, Don Studio tidak ketinggalan untuk menyertai misi mencari peluang pasaran industri kreatif di luar negara seperti mengikuti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di TIFFCOM2011 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

“Sekurang-kurangnya dengan menyertai misi FINAS ini, ia memberi pengalaman dan pengetahuan berguna. Dari sinilah saya dapat mengenali dan seterusnya menjalin kerjasama dengan syarikat produksi antarabangsa yang menyertai pasaran antarabangsa. Saya tidaklah begitu mengharap siri DanDenDon ini dibeli, walaupun sekiranya ia berlaku, memang satu kebaikan kepada Don Studio. Tapi lebih daripada itu adalah untuk mencari rakan kongsi yang dapat menjadi penerbit bersama siri ini. Saya tahu bukan senang nak cari rakan kongsi, tetapi menerusi misi FINAS, saya boleh belajar formula sesuai untuk mengenali rakan kongsi dalam penerbitan dan pengedaran. Saya akur kadang-kadang kita kena belajar dari kesusahan terlebih dulu sebelum segala-galanya menjadi mudah,” katanya ketika ditemubual di Roppongi Hill Tower Tokyo, tempat berlangsungnya TIFFCOM2011.

Don Studio ialah antara sembilan syarikat penerbitan yang menyertai misi FINAS ke TIFFCOM2011 yang berlangsung pada 24 Oktober hingga 26 Oktober lalu. Selain DanDenDon, Don Studio juga turut menerbitkan dua lagi siri animasi berjudul APAK dan PST.

Siri APAK mengisahkan karakter utamanya iaitu seekor ayam jantan dan watak haiwan lain yang menjadi humanoid (seperti manusia). Ceritanya berkisar mengenai kehidupan sehari-hari menggambarkan pelbagai ragam manusia daripada etnik berbeza dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum.

MDeC, MOSTI banyak bantu

SAADON mengakui kejayaan DanDenDon ialah hasil sokongan kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) yang memberi geran untuk menerbitkan siri animasi itu.

“Antara individu yang banyak membantu ialah Kamil Othman (Naib Presiden MDeC). Beliau yang menyedari potensi DanDenDon untuk diterbitkan dalam bentuk animasi. Siri ini diterbitkan sendiri oleh Don Studio. Memang sepanjang pembikinan siri ini, kami tidak menghebahkan kepada mana-mana pihak. Saya belum bersedia untuk mempromosikannya sehinggalah saya ditemui anda (penulis) di Tokyo hari ini. Sebelum datang ke Tokyo, saya sudah membawa DanDenDon ke pasaran MITCOM2011 di Cannes, Perancis dan juga Singapura,” katanya.

Menurut Saadon lagi, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia yang berminat menggunakan siri animasi DaDenDon sebagai sebahagian bahan untuk mempromosikan Malaysia di Asia Barat.

“Malahan negara Arab juga menyatakan minat untuk mengedarkan siri animasi DanDenDon selepas melihat keindahan pelbagai tempat di Malaysia,” katanya.

Berita Harian 2 November 2011


P/S: Suatu ketika dulu majalah kartun Gila-Gila menjadi majalah yang amat popular. Popularnya sehingga majalah ini menjadi bahan bacaan oleh budak-budak sekolah termasuk saya. Saya menjadi peminat setia majalah ini dari mula ia diterbitkan pada tahun 1978 yang ketika itu saya di Tingkatan 5. Oleh kerana kami tinggal di asrama, dan duit tak cukup, maka majalah ini dibeli secara berkongsi. Berkerumunlah kami beramai-ramai membaca majalah ini sehingga majalah ini lusuh bertukar dari tangan ke tangan. 

Saya tak miss membeli majalah Gila-Gila dari mula ia diterbitkan sehingga hari ini. Banyaklah kartunis-kartunis yang mengembangkan bakat mereka di majalah Gila-Gila ini. Ini termasuklah Don (Saadon Ishak) dengan karyanya yang amat saya minati iaitu DanDinDon - tiga budak bogel. 

Kenyataan Saadon Ishak iaitu "...dalam siri DanDenDon ini, apa yang saya cuba kekalkan ialah mengenai budaya dan nilai tradisi yang dipegang orang kampung. Ia satu imbauan bukan saja kepada saya tetapi juga mereka yang berasal dari kampung selain golongan yang pernah mengikuti komik DanDinDon dulu...", memang betul. Sesungguhnya saya merindui watak-watak tiga budak bogel DanDinDon yang hidup di perkampungan. Saadon Ishak dapat menggambarkan dengan jelas kehidupan di kampung yang didiami oleh DanDin Don dalam bentuk lukisan kartun yang sungguh kreatif. Betul-betul meresap dalam kalbu. 

Dengan berita yang dilaporkan di atas, saya mengucapkan tahniah kepada Saadon Ishak atas usaha beliau untuk terus menghidupkan watak-watak DanDinDon dalam bentuk animasi. Semoga usaha beliau berjaya.  

Jumaat, Oktober 28, 2011

ISU HARGA TIKET MAHAL: ADAKAH FAM BERBENTUK PERSATUAN ATAU SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD?

Protes harga tiket mahal: Laman web FAM digodam
28/10/2011 2:38am
Oleh ILLAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah digodam pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi ini.

Laman web itu, www.fam.org.my difahamkan tidak lagi berfungsi seperti biasa, sebaliknya telah mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’ dan turut dimasukkan rakaman dua rakaman video berbau provokasi.

Selain itu, laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah itu turut menyelitkan satu artikel dari sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Utusan Malaysia) bertajuk ‘Harga tiket RM50 wajar’.

Kata-kata herdikan yang menggunakan bahasa kesat turut diselitkan pada laman yang digodam itu.

Provokasi terbaru ini difahamkan wujud akibat kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini. – Utusan

PENYOKONG pasukan Negeri Sembilan menyerbu kaunter tiket
 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. 

P/S: Sejak seminggu ini aku rasa isu harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menjadi bualan hangat peminat-peminat bola terutamanya penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu. Perlawanan akhir akan berlangsung pada hari Sabtu 29 Oktober di Stadium Shah Alam.

FAM melampau! Patut-patutlah letak harga tiket. Kalau nak cari untung banyak, buatlah cara lain. Bukan buat perkara yang merencatkan sokongan para peminat bola. Baru sahaja peminat dan peyokong nak sokong pasukan Malaysia, FAM dah potong stim. Diorang bukan sokong FAM tapi sokong pasukan Malaysia. FAM jangan perasan pulak...

FAM kan berbentuk persatuan. Buatlah kerja-kerja yang diamalkan persatuan. Carilah untung yang berpatutan, bukan yang melampau-lampau, sampai menindas peminat dan penyokong. Kalau jual tiket RM20.00 dan stadium penuh sesak, masih dapat untung. Tolak itu-ini, masih lagi untung. Bakinya buatlah pembangunan peningkatan bola sepak Malaysia.

Sungguh memalukan dengan apa yang diamalkan oleh FAM. Dahlah pasukan Malaysia di ranking ratus-ratus peringkat dunia, persatuan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan mutu bolasepak Malaysia pula menindas para peminat dan penyokong tempatan dengan harga tiket yang melampau. Tolonglah berubah FAM!
Aku bukan penyokong Negeri Sembilan atau pun Terengganu. Tapi aku simpati dengan diorang. Aku suka kalau diorang berada dalam stadium memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Kalau diorang tak nak masuk stadium kerana tiket mahal, buatlah macam aku. Tengok kat tv di rumah sambil santai makan keropok dan kuaci atau bersama kawan-kawan tengok di layar besar kat kedai mamak sambil ngeteh.

Kepada pemain kedua-dua pasukan, mainkanlah bola itu dengan sentuhan dan gaya bermain bola yang berseni dan menarik, penuh tektikal, menghiburkan, bersemangat dan mesti sumbat bola dalam pintu gol. Itulah bermain bola. Dan ingat, jangan gaduh-gaduh di tengah padang. Buat malu... 

Khamis, Oktober 27, 2011

325 BILION BAHT (RM32.5 BILION) UNTUK PULIHKAN EKONOMI THAILAND AKIBAT BANJIR BESAR

Dilaporkan penduduk di Bangkok, ibu negara Thailand, mula membuat persediaan menghadapi banjir yang lebih teruk setelah amaran berpindah dikeluarkan kepada penduduk di zon bahaya. Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok (BMA) berkata semalam, air mula mengalir ke kawasan rendah di Bangkok dan menghampiri enam daerah termasuk di utara bandar itu.


Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas kerajaan Thailand memberitahu akan menubuhkan pusat pengagihan di Bangkok untuk membantu menambah barang keperluan di pasar raya sebagai persediaan menghadapi banjir.

Hujan lebat yang melandawa wilayah lain selama tiga bulan mengakibatkan 350 orang mati, rumah musnah dan menjejaskan kehidupan sembilan juta penduduk. Enam daerah di Bangkok yang berada dalam keadaan membimbangkan termasuk Chatujak, tempat terletaknya pasar hujung minggu yang terbesar dan menjadi tarikan pelancong sementara di Don Mueng, lapangan terbang ke dua terbesar negara itu kini dijadikan pusat perlindungan.

Kerajaan Thailand hari ini meluluskan 325 bilion Baht (kira-kira RM32.5 bilion) untuk memulihkan ekonomi negara setelah negara itu masih berdepan dengan bencana banjir paling buruk dalam beberapa dekad. Menteri Kewangan, Thirachai Phuvanatnaranubala berkata, belanjawan berkenaan bertujuan untuk membantu usahawan kecil hingga usahawan utama yang terjejas oleh banjir bagi membina semula perniagaan mereka.

Katanya, 65 bilion Baht (kira-kira RM6.5 bilion) telah diperuntukkan untuk usahawan utama, 170 bilion Baht (kira-kira RM17 bilion) untuk usahawan kecil dan sederhana manakala baki 90 bilion Baht (RM9 bilion) adalah untuk usahawan kecil.

Lebih daripada 14,000 kilang, yang mempunyai kira-kira 660,000 pekerja, terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat-peringkat sejak 25 Julai lepas. Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dibanjiri dengan 2.4 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 28 wilayah di kawasan utara dan tengah yang terjejas oleh banjir.

Mengenai perkembangan banjir, tumpuan pada kawasan dalam ibu negara, setelah bahagian utara, timur dan barat telah dilanda banjir. Malah Pusat Arahan Operasi Bantuan Banjir (FROC), yang terletak di Lapangan terbang Don Muaeng, tidak terkecuali daripada ancaman banjir setelah air banjir melanda jalan raya di hadapan pusat itu hari ini.

Pengarah FROC Pol Gen Pracha Promnok, yang juga Menteri Keadilan, berkata pusat itu akan kekal di situ dan usaha-usaha telah dibuat untuk melindunginya daripada banjir.

"Kami tidak akan memindahkan pusat banjir pada masa ini. Kami masih boleh bekerja dari sini," kata beliau kerana kira-kira setengah daripada daerah Don Muaeng terletak di utara Bangkok telah dibanjiri air sedalam 0.5 meter.

Lapangan terbang Don Muaeng, yang mengendalikan penerbangan domestik, menghentikan sementara perkhidmatan mulai hari ini dan dua syarikat penerbangan tempatan "Nok Air" dan "One 2 Go Airlines" telah memindahkan operasi mereka buat sementara waktu ke Lapangan terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Lembaga Metropolitan Bangkok semalam memberi amaran bahawa empat bilion meter padu air banjir akan melanda ibu negara esok tetapi dewan bandar raya boleh menyalurkan 400 juta meter padu air sehari.

Bagaimanapun, Jabatan Pengairan Diraja berkata ia tidak bermakna ibu negara itu akan serta-merta di bawah satu hingga dua meter air memandangkan aliran akan datang dengan perlahan-lahan, dan sedikit demi sedikit dalam satu hari ia boleh meningkat kepada hanya dua hingga tiga sentimeter. Ia akan mengambil masa kira-kira sebulan bagi isi padu besar itu disalirkan ke laut, katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan hari ini mengumumkan cuti khas untuk pejabat-pejabat kerajaan di semua wilayah yang dilanda banjir dari 27 Okt hingga 31 Okt, ditambah hujung minggu. Jurucakap kerajaan, Thitima Chaisang berkata cuti itu akan membolehkan mereka bersedia untuk keadaan banjir semasa yang dijangka lebih mencabar dengan air pasang laut yang tinggi dalam tempoh tersebut. Bagi sektor swasta, ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikutnya, kata beliau.

KESAN-KESAN BANJIR DI THAILAND:
  • 28 daripada 77 wilayah terjejas.
  • Empat juta ekar tanah dilanda banjir, satu kawasan yang hampir sama seperti Kuwait atau Swaziland, serta dua kali lebih besar daripada Puerto Rico.
  • 365 penduduk Thailand terkorban ekoran banjir.
  • 12.5 peratus tanaman padi musnah.
  • 2.45 juta penduduk terjejas.
  • 800,000 rumah dianggarkan musnah.
  • 720,000 penduduk dirawat ekoran jangkitan kuman air dan tekanan.
  • Tujuh kawasan perindustrian besar di utara bangkok dihentikan operasinya.
  • 10,938 ahli perniagaan terjejas.
  • 640,547 yang terlibat dalam industri tidak bekerja buat sementara waktu.
  • Dianggarkan 8 juta hingga 10 juta meter padu jumlah air banjir yang mengalir dari utara ke laut melepasi Bangkok setiap hari.
  • Kerajaan menghulurkan AS$3.2 bilion (RM9.6 bilion) serta mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan antarabangsa untuk memulihkan sektor industri.
  • Kerajaan berusaha melindungi 41 peratus kepentingan ekonomi daripada terjejas ekoran banjir.
  • 20,000 anggota tentera dikerah untuk membina benteng, kerja bantuan dan kawasan perlindungan di Bangkok serta wilayah di sekelilingnya. 50,000 anggota dalam keadaan siap sedia.
  • Tujuh juta tan tanaman padi mungkin musnah, sekali gus pengeluaran hasil padi dijangka jatuh kepada 18 juta tan. Musim tuai bermula pada awal Oktober.
  • Kilang kerugian 6,000 pengeluaran kereta pada setiap hari dari Thailand dan sasaran untuk menghasilkan 1.8 juta kereta pada tahun ini mungkin terjejas.
  • 1,200 pusat perlindungan disediakan di seluruh negara untuk menampung 113,000 penduduk.
  • Pihak bank pusat meramalkan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.1 peratus, turun daripada 4.1 peratus pada dua minggu lalu. Pakar ekonomi dan Menteri Kewangan berkata ia mungkin kurang daripada 2 peratus.

Sumber: Utusan Malaysia 26 Oktober 2011

Rabu, Oktober 26, 2011

GAJI PROFESOR DI INDONESIA LEBIH RENDAH DARIPADA GURU

Percaya atau tidak, gaji serta elaun yang diterima oleh seorang profesor penyelidikan di Indonesia setiap bulan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh seorang guru sekolah rendah di Jakarta. Gaji pokok seorang profesor penyelidikan kategori IV (E) di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) misalnya hanyalah sebanyak Rupiah 3.6 juta (RM1,288) dan elaun-elaun sampingan sebanyak Rupiah 1.6 juta (RM565) sebulan.

"Jumlah gaji yang saya terima sebulan ialah sebanyak Rupiah 5.2 juta (RM1,837) sebulan," kata Profesor Dr. Ir Jan Sophaeluwakan, seorang pakar geologi mendedahkan gaji yang diterimanya biarpun sudah 30 tahun berkhidmat di LIPI, lapor akhbar Kompas hari ini.

Bagaimanapun, pendapatan yang diterima seorang profesor penyelidikan yang menduduki jabatan struktur adalah sedikit tinggi kerana mereka menerima elaun jabatan sebanyak Rupiah 3.2 juta (RM1,132) setiap bulan.

"Gaji pokoknya masih sama iaitu Rupiah 3.6 juta setiap bulan dan tidak akan naik lagi kerana tangga gaji tersebut sudah sampai ke kedudukan pangkat tertinggi IV (E)," ujar Prof. Dr. Ir Bambang Subiyanto, pakar biomateria yang juga Ketua Pusat Inovasi LIPI.

Biarpun menerima elaun sampingan, namun gaji profesor penyelidikan yang juga pemegang ijazah sarjana dan doktor falsafah dari luar negara masih belum boleh menandingi pendapatan guru di sekolah rendah.

Gaji seorang guru sekolah rendah di daerah Serang, Wilayah Banten misalnya, boleh membawa pulang gaji sebesar Rupiah 6.5 juta (RM2,300). Pendapatan sebanyak itu merupakan jumlah gaji pokok sebanyak Rupiah 2.3 juta (RM813) serta elaun sampingan sebanyak Rupiah 3.87 juta (RM1,370).

"Tidak ketinggalan pemerintah daerah Serang juga memberikan elaun sebanyak Rupiah 440,000 setiap bulan kepada kami," kata Turman, guru sekolah rendah di Serang yang sudah 29 tahun bergelar pendidik.

Pendapatan seorang guru sekolah rendah di Jakarta dilaporkan jauh lebih tinggi kerana selain menerima gaji pokok Rupiah 2.3 juta serta elaun-elaun lain juga sebanyak itu, guru-guru juga berpeluang mendapat elaun kerja daerah sebanyak Rupiah 4 juta RM1,414) daripada pemerintah Daerah Khusus Ibukota Jakarta.

"Lumayan setiap bulan boleh memperoleh pendapatan sebanyak Rupiah 8.6 juta (RM3,040) setiap bulan," komen guru besar Sekolah Rendah Negeri Duri Pulo 1, Jakarta yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai guru sekolah.

Menurut Bambang, kurangnya perhatian pemerintah terhadap kerjaya seorang profesor bukan hanya pada pendapatan yang rendah ditawarkan. Sebaliknya, kemudahan untuk melakukan penyelidikan juga amat terbatas sehingga memaksa golongan cendekiawan tempatan mengadakan kerja-kerja kajian akademik secara kerjasama dengan institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Jan pula berpendapat, ekoran tidak mendapat perhatian daripada pemerintah, ahli-ahli akademik Indonesia ada masanya melakukan kajian dan penyelidikan yang tidak relevan dengan bidang dan kepakaran mereka.

Berdasarkan laporan berkenaan, gaji yang diterima profesor penyelidikan di negara jiran Indonesia mencecah angka Rupiah 90 juta (RM31,000) sebulan sementara di Jepun dianggarkan antara Rupiah 600 juta hingga Rupiah 900 juta (RM212,000) hingga (RM318,000).

Sumber: Utusan Malaysia 26 Oktober 2011

GEMPA BUMI DI TURKI: HARAPAN YANG SELAMAT MAKIN TIPIS

Dilaporkan sehingga kini jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter yang melanda wilayah Van dan bandar Ercis di timur Turki meningkat kepada 432 orang, kata Pentadbiran Kecemasan dan Bencana hari ini. Katanya, seramai 1,352 orang turut dilaporkan cedera manakala 2,262 buah bangunan runtuh ekoran akibat bencana itu.

Sementara itu, wartawan Televisyen Reuters berkata, seorang bayi berusia 14 hari dan ibunya diselamatkan daripada runtuhan bangunan di Ercis selepas 46 jam gempa bumi melanda kawasan tersebut. Namun harapan untuk menemui lebih ramai penduduk yang terselamat semakin pudar ketika pasukan penyelamat berusaha keras mencari mangsa di celah-celah runtuhan bangunan.

Beribu-ribu penduduk bermalam untuk hari kedua di bawah kanvas, kereta dan berkumpul dalam kumpulan kecil mengelilingi api di pekan-pekan ekoran dilanda beratus-ratus gegaran susulan selepas gempa kuat tersebut.

"Saya masih menggigil (kerana ketakutan). Selagi gegaran susulan masih berlaku, kami akan tinggal di atas jalan," kata seorang wanita Kurdis berusia 40-an yang memanaskan badan di depan unggun api di Van.

Dengan suhu waktu malam diramal menurun kepada dua darjah Celsius dan salji turun esok, penduduk berlindung mencari perlindungan sama ada di dalam kereta, khemah dan ada juga yang menggunakan sehelai selimut saja.

Di Ercis, pasukan penyelamat bekerja keras untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat dari runtuhan bangunan, manakala berpuluh-puluh ambulans dan bantuan perubatan dari seluruh negara dihantar ke kawasan kejadian. Stadium di bandar itu yang merupakan tempat bersukan dijadikan sebagai hospital padang yang besar. Mangsa yang patah tulang dirawat di atas bangku, luka dibersihkan di gelanggang bola keranjang dan proses memasukkan darah dilakukan di atas lantai gelanggang.

"Peranan kami memberi bantuan awal serta menstabilkan mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital di pekan berdekatan menggunakan ambulans atau helikopter. Kami mula bertugas sejam selepas gempa tersebut berlaku dan seramai 500 pesakit dirawat," kata Niyazi Celik, seorang doktor yang terlibat menghulurkan bantuan di bandar itu.

Puluhan penduduk masih lagi terperangkap di bawah bangunan yang ranap dan pihak berkuasa menawarkan harapan angka kematian mungkin tidak setinggi seperti yang dibimbangkan sebelum ini. Pasukan menyelamat menjalankan operasi mencari di sekitar bangunan yang musnah sementara anggota keluarga menunggu di luar, sebahagiannya menangis. Kren dan jentera berat lain digunakan untuk mengangkat tembok konkrit dan penduduk mencari anggota keluarga mereka menggunakan penyodok.

Beribu-ribu penduduk di kawasan kejadian terpaksa bermalam di luar selepas kediaman mereka musnah dan sebahagannya kerana takut untuk pulang. Pegawai berkata, beratus-ratus rumah yang dibina daripada batu bata lumpur di kawasan desa dan bangunan konkrit di dua bandar ranap dalam gempa bumi yang melanda kawasan yang bersempadan dengan Iran, Ahad lalu. Paling teruk ialah Ercis, bandar yang mempunyai 75,000 penduduk, dekat dengan sempadan Iran dan antara kawasan Turki yang sering dilanda gempa. Lapan puluh bangunan bertingkat musnah di bandar itu.

Di Van, bandar lebih besar dan sibuk, kira-kira 90 kilometer ke selatan Ercis, turut mengalami kemusnahan tetapi tidak seteruk Ercis. Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin berkata, beliau menjangka angka kematian di Ercis akan meningkat tetapi tidak sebanyak seperti jangkaan awal. Sudah pasti angka kematian akan meningkat tetapi ia bukan jumlah yang menakutkan. 

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang melawat tempat kejadian beberapa jam selepas bencana itu berlaku berkata, hampir semua rumah yang dibina menggunakan batu bata lumpur di kampung sekeliling musnah.

Beberapa banduan melarikan diri dari penjara di Van selepas satu temboknya runtuh. Menurut laporan televisyen TRT, kira-kira 150 banduan melarikan diri tetapi pegawai penjara berkata, jumlah itu lebih kecil dan ramai kemudian menyerah diri semula.

Saintis Amerika Syarikat mencatatkan lebih daripada 100 gegaran di timur Turki selepas 10 jam gempa itu melanda.

Sumber: Utusan Malaysia dan Harian Metro (AFP/REUTERS)

Khamis, Oktober 20, 2011

SIMPOSIUM PENDIDIKAN GURU CEMERLANG TEKNIK DAN VOKASIONAL NEGERI JOHOR

Pagi tadi aku pergi ke UTM Skudai. Tujuannya untuk menghadiri Simposium Pendidikan Guru Cemerlang Teknik dan Vokasional Negeri Johor. Simposium ini anjuran bersama Majlis Guru Cemerlang KHB Johor, JPN Johor dan UTM Johor.

Memang dah lama aku tak masuk ke kawasan UTM ini. Rindu pun ada. Maklumlah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat aku belajar dan menimba ilmu di peringkat ijazah. Itulah UTMku. Ketika aku sampai di Dewan Senat, dah ramai rakan-rakan aku Guru Cemerlang yang telah duduk elok di bangku masing-masing.

Objektif simposium ini ialah:
  1. Memberi pendedahan tentang transformasi pendidikan dan cabaran guru cemerlang PTV dalam dunia pendidikan yang mencabar.
  2. Memberi pendedahan tentang informasi terkini dalam dunia pendidikan terutama yang berkaitan dengan mata pelajaran PTV.
  3. Bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan pada masa hadapan.

Simposium ini sempurna dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Johor, En. Mohd Noor Bin Abd Ghani pada pukul 9.10 pagi. Di antara pengisiannya ialah ceramah bertajuk Guru Cemerlang Yang Cemerlang oleh Prof. Dr. Muhammad Rashid Bin Rajuddin, Profesor Jabatan Taknikal dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan, UTM Johor. Selepas itu diadakan satu forum bertajuk Cabaran Pendidikan PTV: Masa Depan dan Hala Tujunya. Moderatornya ialah Pn Noraini Binti Dawood manakala ahli panelnya ialah Prof Madya Dr Yahya Bin Buntat (UTM), En. Saliman Bin Selamat (JPNJ), Pn. Faridah Binti Abang Wahab (MGCKHB) dan En. Husaini Bin Sulaiman (Wakil Siswa).

Aku ucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan aku AJK Majlis Guru Cemerlang KHB Johor yang berusaha keras untuk menjayakan simposium ini.









Ahad, Oktober 09, 2011

WASIAT LUQMAN HAKIM KEPADA ANAKNYA

NOTA: "Bermacamlah pendapat ahli Tafsir mengenai sejarah Luqman Hakim. Ada yang mengatakan dia Nabi pada masa antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w. Ada yang mengatakan kadi pada masa Bani Israil dan lain-lain pendapat. Tapi pendapat yang paling banyak mengatakan, bahawa Luqman bukanlah Nabi, tapi seorang yang diberi Allah SWT 'HIKMAH' yang hidup pada masa Nabi Daud a.s".

Berikut adalah wasiat (nasihat) Luqman Hakim kepada anaknya:
  1. Hai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yg dalam, banyak manusia yg karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakkal kepada ALLAH.
  2. Hai anakku! Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.
  3. Hai anakku! Orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
  4. Hai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
  5. Hai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
  6. Hai anakku! Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kpd ALLAH dengan sebenar benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dr sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
  7. Hai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yg tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah drpd memberi pengertian kepad orang yang tidak mahu mengerti.
  8. Hai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
  9. Hai anakku! Janganlah engkau mengirimkan orang yg tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
  10. Hai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
  11. Hai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
  12. Hai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yg berlebihan, kerana sesungguhnya makan yg terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepad anjing sahaja.
  13. Hai anakku! Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
  14. Hai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
  15. Hai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
  16. Hai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.
  17. Hai anakku! Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yg berharga.
  18. Hai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
  19. Hai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela kepada dirimu.
  20. Hai anakku! Janganlah engkau condong kepad urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
  21. Hai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
  22. Hai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
  23.  Hai anakku! Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dr berkata kotor tentu akan menyesal.
  24. Hai anakku! Bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
  25. Hai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.