Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, November 26, 2013

GURU MASA KINI

Guru yang dulu bukanlah yang sekarang. Dulu guru berada di zaman kemerdekaan dan zaman memulakan pembangunan. Sekarang guru berada di zaman ledakan teknologi di mana maklumat berada di hujung jari. Guru mesti menyediakan dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa di masa kini.

  1. Guru mesti bermaklumat. Pengetahuan dan kemahiran yang ada mungkin tidak mencukupi untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang membesar dalam ledakan zaman teknologi di mana maklumat berada di hujung jari. Tanpa maklumat guru tidak dapat bergerak lebih jauh dan tidak berupaya untuk menjadi seorang guru yang berkesan.
  2. Oleh itu guru mesti menguasai ICT, menggunakan alat-alat dan bahan bantu mengajar yang berteknologi terkini serta menggunakan penemuan baru yang berasaskan penyelidikan jika ingin melunaskan kerjaya dengan berkesan. 
  3. Seorang guru hendaklah menjadi guru yang dinamik pada zaman yang serba mencabar ini. Guru mesti berfikiran terbuka dan memberi responsif yang segera dan berpatutan terhadap kehendak dan tuntutan alam pendidikan. Guru adalah sebahagian tenaga bagi menghasilkan sumber tenaga manusia berkualiti yang diperlukan negara.
  4. Guru berperanan yang besar sebagai agen perubahan masyarakat serta sebagai agen merealisasikan transformasi dalam pendidikan. Kini guru bukan sahaja sebagai pengajar di dalam bilik darjah, mereka juga berperanan sebagai pengganti ibu bapa, mentor, pembimbing dan kaunselor.
  5. Dalam zaman globalisasi dan ledakan teknologi masa kini, guru hendaklah mempersiapkan diri bukan sahaja bagi menyediakan platform kejayaan pelajar-pelajar bahkan mampu mengangkat martabat pendidikan negara.
  6. Guru hendaklah sentiasa berfikiran positif, berwawasan dan berpandangan global, bersikap positif terhadap proses pembelajaran terkini, dan berusaha menjadi pendidik yang kreatif dan inovatif.
  7. Guru selalu bersedia untuk meningkatkan diri dalam semua aspek yang berkaitan dengan keprofesionalan sebagai seorang guru. Menjadilah seorang guru yang berbudaya ilmu pengetahuan.

Isnin, November 25, 2013

KUALITI PENGAJARAN GURU DI BILIK DARJAH

Kualiti kerja ialah sesuatu keadaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Ia tidak statik bahkan ia bergerak sepanjang masa. Usaha untuk mencapai kualiti yang dikejar tidak akan habis dan tidak ada hadnya. Bagaimana pula dengan kualiti pengajaran guru di bilik darjah?

  1. Sebagai penyampai ilmu, guru mesti pakar dengan mata pelajaran yang diajar. Guru mesti mampu menyusun idea dan fakta dengan teratur dan mudah untuk difahami oleh pelajar-pelajarnya. Penggunaan bahan bantu mengajar dapat menjelaskan idea dengan lebih jelas dan tepat. 
  2. Kompetensi pengajaran dan pembelajaran guru bergantung kepada kemahiran, kebolehan dan ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang guru. Guru mesti yakin dengan penyampaian isi dan kandungan pelajaran kepada pelajar-pelajarnya. 
  3. Teori yang berkaitan dengan pendidikan  amat berguna untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak bermakna apa-apa jika tidak memegang teori-teori dalam pendidikan. 
  4. Guru di dalam kelas adalah seorang pembimbing bukannya pengurus yang membuat arahan. Guru yang berkualiti ialah apabila guru itu dapat membimbing pelajarnya ke arah melakukan tindakan yang positif dan disenangi. 
  5. Seseorang guru yang berkualiti mampu mempengaruhi pelajar-pelajarnya untuk mengubah diri melalui maklumat, cerita dan fakta yang betul. Gunakan pelbagai pendekatan agar pelajar-pelajar dapat memahami maksud, tujuan dan kehendak  yang sebenarnya. 
  6. Guru hendaklah membimbing pelajar-pelajar melalui kekuatan kualiti kerja guru itu sendiri. Bina keupayaan pelajar-pelajar untuk membuat kerja sekolah dengan bersungguh dan bermutu. Letakkan hasil dan mutu kerja yang tinggi sebagai faktor kejayaan seseorang pelajar. 
  7. Guru hendaklah berkompromi dengan pelajar-pelajarnya dalam beberapa perkara. Ini sebagai rangsangan untuk mereka bahawa jawapan, idea, pendapat dan hasil kerja mereka amat dihargai dan seterusnya keadaan ini boleh memacu kearah kejayaan.

Ahad, November 24, 2013

BERCUTI SANTAI DI JANDA BAIK

Bercuti dan bersantai di Kampung Janda Baik. Aku bersama si dia menghabiskan masa bersama berdua-duan di sebuah desa yang masih alami. Dengan menyewa sebuah chalet di Pulau Santap, Janda Baik, percutian pada kali ini memang menyeronokkan. Chalet yang kami sewa itu ialah Chalet Kobaik. Chalet ini terletak betul-betul di tepi sungai dan berdekatan dengan masjid, sekolah kebangsaan, D'Ark Resort, dan kawasannya menjadi tumpuan pengunjung. Kereta boleh parkir terus di depan chalet. Kawasan chalet ini biasa-biasa sahaja dan tidak menakutkan. Pada malam hari banyak lampu terpasang.

Suasana yang hening, sunyi dan harmoni ditambah pula dengan bunyi deruan air sungai jernih yang mengalir, menjadikan kami leka bermain, menikmati, dan menghayati dengan alam semulajadi. Ada ketikanya kami berjalan-jalan di sekitar kawasan chalet dan juga di sekitar kawasan kampung. Kami juga singgah di kawasan rumah Syed Hussien Alattas (penulis buku) untuk menghayati dan mengambil foto taman dan landskap yang dibinanya. Memang menarik...

Ada ketikanya kami naik ke Berjaya Hills Resort di Bukit Tinggi untuk melihat seni bina bangunan Colmar. Jaraknya lebih kurang 20 km dari Kampung Janda baik ini. Memang cantik. Pelaburan orang kaya yang menjadi. Jadi kami tidak perlu ke Colmar, Perancis. Dengan menaiki kenderaan yang disediakan, kami dibawa jalan-jalan di Japanese Village di puncak bukit dengan ketinggian 3500 kaki dari paras laut. Sedikit dingin dan menyegarkan. Cantik Taman Jepun ini...
















Sabtu, November 23, 2013

BANGUNAN DAN KOTA ALA TIMUR LAUT PERANCIS DI COLMAR TROPICALE

Colmar terletak di bahagian timur laut Perancis. Colmar (Colmer) ialah ibukota pentadbiran Haut-Rhin, Perancis. Dari tahun 1871 sehingga tahun 1918, kota ini adalah sebagian wilayah pemerintahan Jerman yang dikenali dengan nama Kolmar. Colmar masuk ke wilyah Perancis pada tahu 1697.

Daripada sekelumit catatan sejarah itu, menyebabkan aku teringin nak tengok sendiri keadaan perkampungan dan bangunan Colmar. Namun tak terdaya aku nak pergi terus ke Colmar, Perancis. Cukuplah sekadar ke Colmar Tropicale, Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi, Bentung, Pahang. Di sini dibina replika bangunan-bangunan dan kota yang menyerupai dari kampung di timur laut Peranchis sejak abad ke-16  itu. Colmar Tropicale yang dimiliki oleh Berjaya Hills Resort dibina berdasarkan reka bentuk kota  di Colmar, Perancis. 

Nak ke sana, ambil jalan menuju Kuantan melalui Lebuhraya Karak. Tidak berapa jauh selepas melepasi Kampung Bukit Tinggi, belok kiri ambil pula susur keluar menuju Berjaya Hills Resort. Memandu di jalan menaik yang berliku merentasi hutan malar yang masih segar dan bersih dari pencemaran. Sambil menyusuri laluan berliku menuju puncak, bolehlah melayangkan pandangan mata ke kejauhan sana ke bukit-bukau dan lereng yang membiru. 

Pengunjung ke Colmar Tropicale biasanya diarahkan oleh pengawal keselamatan untuk meletak kenderaan mereka di La Chevalier iaitu bangunan berbentuk kota lama Perancis. Letaknya bertentangan dengan Colmar Tropicale. Jika kita menginap di Colmar Tropicale kita boleh teruskan pemanduan ke Colmar Tropicale dan parking kenderaan kita di aras bawah Colmar Tropicale.

Aku dan si dia hanya berjalan-jalan nengok binaan bangunan di sini. Makanan dan minuman dah tentu lebih mahal daripada tempat lain. Kalau orang tanya dah pergi Colmar, Perancis  ke belum, aku akan jawab dah pergi dah...















Jumaat, November 22, 2013

JALAN-JALAN DI TAMAN JEPUN, BUKIT TINGGI

Pada cuti sekolah ini, aku bersama si dia jalan-jalan ke Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi,  Bentung, Pahang. Pilihan kami ialah Japanese Village. Saja-saja nak rasa, nak menikmati dan menginginkan suasana yang tenang dan mendamaikan. Japanese Village ini berada di puncak bukit pada ketinggian 3500 dari paras laut. Bertambah unik mengenai kampung ini ialah ia terletak di kawasan hutan tropika. Taman yang direalisasi daripada ilham arkitek Jepun, Kaio Ariizumi ini dibina untuk mereka yang mencintai kehijauan hutan tropika tanah tinggi yang dingin dan nyaman. Ariizumi dan kumpulan pereka landskapnya berjaya menghidupkan penataan seni landskap taman dan perkampungan Jepun.

Nak pergi ke sana mudah aje. Dari Kuala Lumpur dengan melalui Lebuhraya Karak, selepas melewati 5 kilometer dari Kampung Bukit Tinggi lalu masuk ke kiri. Ada signbord penunjuk arah di situ. Memandu terus menuju ke Bukit Tinggi Resort di atas jalan menaik dan berliku. Kena bayar sekali RM12.00 apabila masuk ke kawasan Colmar Tropicale dan Japanese Village.  

Taman Jepun yang berada dalam Japanese Village ini menyambut pengunjung dengan menawarkan taman Jepun yang mempunyai siar kaki berliku, pintu gerbang chumon, Japanese Tea House, Tatami spa, UME Tatami Suite, Botanical Garden, Ryo Zan Tei Restaurant, dan Souvenir Shop. Dengan laluan taman denai yang kemas, seni dan falsafah Jepun banyak melatari persekitaran taman.

Berjalan dengan melewati deretan rumpun buluh, pokok-pokok renek, ara bonsai, dan batu-batu gunung, deria pendengaran juga pasti terpaut pada irama aliran air di sungai dan riak bunyi air terjun yang menghempas ke bongkah-bongkah batu berlumut.  Ia sungguh istimewa! Di kolam ikan, dihimpunkan spesies koi dalam warna-warna garang, bersisik kuning, merah, emas, dan perak. Koi-koi itu tidak malu-malu berenang ke sana ke mari seolah-olah menghiburkan pengunjung, namun disebaliknya ia meminta makanan setiap kali ternampak kelibat manusia.

Pengalaman berkunjung ke taman Jepun ini akan menyimpulkan bahawa sebuah taman Jepun perlu memiliki elemen penting seperti buluh, pulau, jambatan, pelita batu dan juga sebuah pondok teh atau pavilion. Jika elemen-elemen itu tidak dapat direka secara fizikal, ia boleh dibuat secara perlambangan.

Sayonara...


















Ahad, November 10, 2013

GURU JANGAN SEKALI-KALI MENGAMALKAN SIKAP TIDAK RASIONAL

Sebagai guru, jangan sekali-kali mengamalkan sikap serta tingkah laku yang tidak rasional apabila berurusan dengan kerja dan tanggung jawab khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sikap tidak rasional yang membelenggu diri guru akan membawa kepada kegagalan dalam menyelesaikan tanggung jawab yang diamanahkan.

Antara perkara-perkara yang tidak rasional diamalkan oleh guru-guru adalah seperti:
  1. Sering bertindak dengan bermatlamatkan kepentingan diri dan agenda sendiri.
  2. Mengamalkan sikap mementingkan rakan kumpulan atau kronisme. Disamping itu sering mengamalkan pilih kasih dan mengamalkan sikap tidak adil.
  3. Tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang mata pelajaran yang diajar dan tidak mengambil inisiatif untuk mendalaminya supaya pengajaran guru itu lebih berkesan dan mantap.
  4. Kemahiran tentang kaedah, teknik, pedagogi dan proses pengajaran dan pembelajaran secara keseluruhannya berada pada tahap yang paling minima, biasa-biasa sahaja dan tiada usaha penambahbaikan.
  5. Tidak benar-benar komited dan serius terhadap tugas sebagai seorang guru.
  6. Adanya ciri-ciri kelemahan peribadi dari segi sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan yang membawa kesan negatif serta implikasi yang tidak wajar sebagai seorang guru.
  7. Lebih berminat kepada tugas-tugas luar bilik darjah atau luar sekolah. 
  8. Tidak fokus kepada tanggungjawab seorang guru. Fokus utama guru adalah di bilik darjah.
  9. Mencampuradukkan hal-hal peribadi dengan tugas hakiki di sekolah. Urusan peribadi serta kepentingan peribadi boleh menjejaskan kualiti kerja.
  10. Sering dibelenggu dengan rasa ketidakpuasan bekerja. Gagal untuk mengatasi stress dansering meletakkan 'diri sendiri adalah betul dan orang lain adalah salah'.
  11. Tidak mahu atau mengelak daripada membina jalinan komunikasi atau hubungan interpersonal dengan warga sekolah yang lain. Suka mengasingkan diri atau berkelompok dengan geng sendiri.
  12. Emosi diri mengatasi kematangan fikiran.
  13. Tidak mahu keluar daripada 'kebiasaan yang telah wujud sekian lama'. Hanya melakukan 'yang itu itu sahaja'. Tiada perubahan cara dan kaedah pengajaran.
  14. Tidak mahu berubah kepada trend, suasana dan pendekatan pengajaran dalam pendidikan masa kini.
  15. Hala tuju pengajaran yang kurang jelas dan samar-samar. Hanya melaksanakan tugas sebagai seorang guru pada tahap paling minima  yang biasa sahaja.

Jumaat, November 01, 2013

BERSEDIA SAAT AKHIR MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM

Peperiksaan SPM bermula pada hari Rabu 6 November 2013. Kertas Bahasa Melayu menjadi pemula peperiksaan. Kepada calon-calon peperiksaan SPM, di sini kami berikan sedikit tip intensif di saat akhir agar semua berjalan dengan baik sewaktu menghadapi peperiksaan:
  • Menyusun segala maklumat di dalam fikiran anda dengan susunan yang baik dan sistematik.
  • Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji dan beriadah. Jika anda merasa jemu, anda boleh mula menyelesaikan soalan-soalan matematik.
  • Membuat jadual waktu untuk mengulangkaji yang baik dan tersusun dan bersesuaian dengan jadual waktu peperiksaan. 
  • Pastikan setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.
  • Mengulangkaji set-set soalan bersama skema jawapan yang diberi oleh guru. 
  • Beri lebih fokus untuk menjawab soalan terutamanya soalan-soalan yang sukar.
  • Elakkan makan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan.
  • Tunggang motorsikal berhati-hati dan berhemah.
  • Tidur sekurang-kurangnya 6 jam sehari.

Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”

Doa selepas mengulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
 
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

Doa Pada Hari Peperiksaan
 
Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:
 
1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
 
Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.
 
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

3. Ketika sukar menjawab:

ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.
 
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”

4. Atau:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.
 
Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

5. Jika anda terlupa jawapan:

اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.  

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.”

Selasa, Oktober 15, 2013

IBADAH KORBAN

Pada Aidiladha ini saya dan keluarga bersama-sama  guru-guru SMK Telok Kerang mengambil bahagian membuat ibadat korban. Semua kerja-kerja menyembelih, melapah dan membungkus daging korban dibuat di sekolah saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Sukri b Osman yang mengetuai ibadat tersebut dan kepada teman-teman guru yang memberi kerjasama menjayakan kerja tersebut.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian. Marilah kita tingkatkan amal kebajikan, dan kerelaan berkorban untuk kepentingan agama serta masyarakat sebagai bukti semakin meningkatnya iman dan taqwa kita kepada Allah SWT. Marilah kita terus berkorban demi menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat kita daripada seksaan Allah di akhirat kelak. Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita semua dan istiqamah di atas keyakinan
bahawa kehidupan ini memerlukan perjuangan, pengorbanan dan kesabaran. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (At-Tahrim : 6)

Ya Allah, pada hari yang berkat ini kami memohon taufiq dan hidayahMu, kepada seluruh muslimin dan muslimat, kepada pemimpinpemimpin kami serta para hujjaj yang menunaikan haji pada tahun ini. Jadikanlah kami semua ini menjadi hambaMu yang beriman dan beramal soleh sehingga ke akhir hayat kami. Ya Allah, kami mohon supaya Engkau terimalah ibadah korban yang kami lakukan pada tahun ini. Jadikanlah darah, tanduk dan bulu-bulunya sebagai kebajikan yang akan diperhitung dalam timbangan amal kami di hari akhirat kelak.