KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca, Mohamad Asri Shafii, Exco GPMS Perak, dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 22 Februari 2010 bertajuk Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi.
Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua atau Guru Besar secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan sekolah. Mereka akan dipantau, dibimbing dan dinilai dari semasa ke semasa dengan fokus kepada peningkatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) ke arah trend menaik, oleh pihak BPSBPSK, JPN dan PPD. Jabatan Pelajaran Negeri adalah kuasa pendaftar yang bertanggungjawab atas sekolah-sekolah di negeri masing-masing. Pengetua atau Guru Besar khasnya Pengetua/Guru Besar Besar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ini, tahu bidang kuasa masing-masing dan akur akan punca kuasa yang ada. Kelonggaran diberi dalam hal pelaksanaan asalkan tidak berlaku violation, incompetence dan negligence dalam pelaksanaan dasar tersebut. Pihak BPSBPSK, JPN dan PPD bertanggungjawab memberikan bimbingan yang diperlukan oleh pihak sekolah.
Pelajar yang lemah atau kurang cemerlang tidak dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT. Pengambilan murid ke SBT mengikut dasar yang sedia ada. Antara sekolah harian yang terpilih sebagai SBT ini adalah sekolah kluster yang muridnya mempunyai tahap pencapaian normal (biasa), tetapi pencapaian mereka dapat ditingkatkan melalui tunjuk ajar guru yang rajin, bersikap profesional, positif dan bantuan daripada ibu bapa yang mempercepat murid menguasai 3M. Dasar pendidikan negara akan terus disuburkan. Dalam pelaksanaan sekolah kluster perkara ini sudah terbukti. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tetap dipatuhi oleh sekolah. Tidak mematuhi FPK dianggap sebagai violation yang serius. Pengetua atau Guru Besar mesti berupaya menterjemahkan FPK dalam proses pendidikan di sekolah masing-masing.
SBT akan menjadi sekolah anak- anak kapitalis kerana pembiayaan yang tinggi dan tidak dapat dipenuhi oleh keluarga berpendapatan rendah mungkin tinggal sebagai satu andaian, kerana bayaran yang akan dikenakan atas murid perlu mendapat persetujuan dalam mesyuarat PIBG terlebih dahulu. Manakala yuran sekolah pula perlu mendapat kelulusan daripada pihak JPN sebelum dikutip.
Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua atau Guru Besar SBT tidak akan menjejaskan kewibawaan JPN dan PPD. Dasar KPM yang sedia ada akan terus dipatuhi. Pemantauan, bimbingan dan penilaian akan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh pihak BPSBPSK, JPN dan PPD ke atas SBT, dengan fokus utama ke arah peningkatan prestasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Insya-Allah, atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak SBT tidak akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan