Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Mac 15, 2010

SEJARAH TERCIPTA, MENJUAL BUAH DI TEPI JALAN

Sebelum ini saya tak pernah berniaga atau berjualan di tepi jalan! Singgah dan membeli apa-apa juga yang dijual oleh pegerai di tepi jalan memanglah ada.



Saya sekeluarga ada mengusahakan projek tanaman buah rockmelon. Projek ini kami jalankan sebagai hobi dan aktiviti kami sekeluarga. Projek dibuat di kawasan rumah di kampung. Selain untuk makan sendiri, yang banyak berlebihan itu kami jual. Jual kepada kawan-kawan, jual kepada rakan-rakan guru-guru, jual kepada orang sekampung, dan jual kepada sesiapa yang berminat. Apabila musim menuai tiba, FAMA akan datang memborong kesemua buah-buah tersebut. Lepas tu tunggu ambil cek.


Secara kebetulan, musim menuai kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Atas cadangan anak saya yang ingin menjual sendiri buah rockmelon itu di tepi jalan, saya belikan sekaki payung besar dan sebuah meja plastik. Alasannya, dia ingin mencari pengalaman susah senang berjualan, berniaga dan mempromosi selain daripada berkomunikasi dengan pelanggan dan pembeli.



Sebagai seorang guru yang mengajar subjek Sains Pertanian, Landskap & Nurseri dan Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian, saya mengajar teori-teori mengenai perdagangan dan keusahawanan, pertanian adalah perniagaan, mempromosi produk, pemasaran produk, mencari bidang usaha yang menjadi pilihan dan menguntungkan, dan lain-lain ilmu perniagaan yang disampaikan kepada pelajar-pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Seronok mengajar tajuk-tajuk berkaitan perniagaan tersebut. Usahawan adalah seorang yang berfikiran positif, kreatif, berinovasi, selalu bersedia meningkatkan produk, selain daripada mencari keuntungan dan tak takut menanggung kerugian. Ewahhh.....


Mula-mula kami cari tempat strategik di tepi jalan tetapi bukan di Pontian. Lepas tu dirikan payung dan buka meja. Macam senang aje.... Buah-buah itu kami letakkan di atas meja. Yang selebihnya kami simpan dalam bakul. Pada pendapat kami, elakkan melambakkan buah di atas meja nanti pembeli sangka kami buat jualan lelong atau jualan borong. Sebenarnya masih ramai orang yang belum mengenali buah rockmelon ni. Harga yang kami tetapkan amat berpatutan. Nak bagi orang Johor menikmati buah rockmelon.



InsyaAllah selama dua hari kami berjualan tu, target yang kami harapkan, Allah SWT berikan. Orang ramai berkenderaan yang lalu lalang berhenti di gerai kami, bertanya mengenai buah itu, merasa sedikit potongan buah yang kami hulurkan, dan seterusnya membeli. Tak sangka berjualan di tepi jalan mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Lepaslah kos pengeluaran seperti kos baja fertigasi, kos air, dan kos upah kerja kami.Seronoknyaaa.....


Kami berjualan selama dua hari sahaja. Selain jualan mencapai target, Adik ada kelas tuisyen di sepanjang cuti ini. Saya juga ada beberapa kerja yang perlu dibereskan di sekolah dan pengurusan hari Kor Kadet Polis Daerah Pontian Tahun 2010 di IPD Pontian. Cukuplah untuk dua hari itu. Rezeki tambahan Allah SWT dah berikan. InsyaAllah kami akan travel ke Lembah Kelang menjenguk dua orang anak yang belajar di sana.


Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembeli yang singgah membeli produk kami. Sokongan tuan-tuan menambah semangat kami untuk meneruskan usaha kami yang tak seberapa ini.



Sejarah untuk diri saya dan keluarga saya dah tercipta. Syukur.

Tiada ulasan: