Sebelum waktu solat Isyak tadi, Pemegang Mohor Besar Raja-raja Melayu telah mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa di bulan Ramadhan di Malaysia tahun ini jatuh pada esok hari iaitu hari Rabu, 11 Ogos 2010.
Dengan ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak setiap orang Muslim seharusnya membuat persiapan diri bagi meraih kejayaan hakiki agar beroleh keampunan Ilahi. Peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak sepatutnya dipersia-siakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurnia ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT.
Persiapan diri ini termasuk rohani, jasmani dan mental. Ia perlu dilengkapkan bagi menghadapi cabaran dan ujian semasa melakukan ibadah puasa.
Setiap orang Muslim diseru bersedia untuk melipatgandakan amalan kebajikan memandangkan pahala yang melimpah ruah disediakan kepada individu yang berminat untuk bekerja kerana Allah SWT.
Setiap amalan sunat akan dinilai sama seperti amalan fardu manakala segala amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Allah SWT. Lebih daripada itu, ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan dalam melakukan kebajikan.
Umat Islam juga diseru bersedia untuk berpuasa daripada segala-galanya termasuk puasa mulut, telinga dan mata bagi mencapai hakikat puasa khusus yang sukar dinikmati.
Elakkan berpuasa dengan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja, sedangkan mulut tidak berhenti mengumpat, mata berkeliaran memandang yang haram, telinga mendengar perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa.
Bulan Ramadan juga bulan bersedekah. Berlumba-lumbalah untuk bersedekah dan menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT.
Selain itu, setiap orang Muslim disaran mengelak daripada menimbun dosa dan melakukan pelbagai maksiat yang merugikan diri sendiri.
Dalam konteks ini, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: "Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka melainkan rasa lapar dan dahaga". (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai'e).
Berazamlah untuk melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini yang terbaik daripada apa yang telah dilakukan pada tahun-tahun yang terdahulu. Ini kerana bulan Ramadhan adalah:
- Bulan yang penuh barakah.
- Pada bulan ini pintu Jannah dibuka dan pintu neraka ditutup.
- Pada bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu.
- Dalam bulan ini ada satu malam yang keutamaan beramal didalamnya lebih baik daripada beramal seribu bulan di bulan lain, yakni malam LAILATUL QADR.
- Pada bulan ini setiap hari ada malaikat yang menyeru menasihati siapa yang berbuat baik agar bergembira dan yang berbuat maksiat agar menahan diri.
Selamat menjalani ibadah puasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan