Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Oktober 08, 2010

HIKMAH DI SEBALIK IDEA PADERI TERRY JONES

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Surat dari Dr. Ahmad Sabeel, Pengarah Projek GainPeace, Amerika Syarikat.
Utusan Malaysia, 8 Oktober 2010






Idea membakar al-Quran yang dicetuskan Terry Jones, biarpun menimbulkan kemarahan umat Islam namun ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Islam.
 







Terima kasih Terry Jones! Ini kerana cetusan idea beliau untuk membakar al-Quran memberikan terlalu banyak hikmah kepada umat Islam. Ini termasuklah;

  1. Ia telah memberikan peluang perniagaan yang sangat menguntungkan. Ramai yang tercari-cari dan membeli buku-buku mengenai Islam, sekali gus naskhah al-Quran itu sendiri. Ini memberikan pendapatan kepada pengusaha kedai-kedai buku. Hikmah-hikmah lain yang kita nikmati dari idea Jones.
  2. Ramai kini tanpa mengira Islam dan bukan Islam mengunjungi masjid-masjid untuk menghadiri kelas-kelas pengajian mengenai Islam dan pulang dengan menerima pelbagai pesanan-pesanan indah mengenai Islam.
  3. Semakin ramai juga yang menghubungi talian panas (hotline) dan bertanya mengenai percaya, iman dan doktrin Islam. Ini memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menjelaskan mengenai Islam.
  4. Perkataan 'Islam' dan 'al-Quran' adalah antara yang paling banyak dilayari melalui Google atau Internet. Fenomena ini menyebabkan semakin ramai berbicara mengenai Islam dan al-Quran dengan mengunjungi pelbagai laman web Islam untuk belajar mengenai kebenaran Islam.
  5. Perpustakaan-perpustakaan menjadi semakin sibuk untuk melayani pinjaman cetakan al-Quran dan terjemahannya dalam pelbagai bahasa. Iaitu gedung-gedung perpustakaan terutamanya di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah sibuk meminjamkan salinan al-Quran itu kepada orang ramai.
  6. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Terry Jones dan watak-watak yang anti al-Quran kerana memberikan 'iklan-iklan' percuma mengenai Islam. Ia berjaya menjimatkan jutaan dolar untuk tujuan membeli tapak-tapak iklan untuk mempromosikan al-Quran dan Islam. Terima kasih sekali lagi kepada anda kerana firman-firman atau kata-kata Allah kini menjadi perkataan yang popular dan tersebar luas.
  7. Terima kasih juga kerana kenyataan Terry Jones telah membangkitkan umat Islam itu sendiri. Umat Islam seluruh dunia kini lebih ghairah untuk kembali kepada keindahan iman dan kedamaian dalam Islam untuk dikongsi bersama dengan seluruh ahli keluarga, jiran tetangga, para sahabat dan kemanusiaan.
  8. Terima kasih kerana anda telah memberikan 'dorongan' yang sangat kuat untuk lebih ramai lagi yang memeluk Islam.
  9. Terima kasih kerana 'berjaya' menyatupadukan hati nurani rakyat-rakyat Muslim, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha malah atheis pada platform kebaikan bersama, cinta dan toleransi untuk sama-sama melawan kebencian, bias dan fanatik.
  10. Umat Islam berdoa kepada Allah supaya anda benar-benar dapat membaca dan menghayati al-Quran dengan fikiran dan hati yang terbuka. Merenung kembali kepada keesaan tuhan.
  11. Semoga anda mendapat hidayah. Anda mulai menyembah Tuhan Yang Esa seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Selamat Datang kepada Islam wahai Terry Jones!

Tiada ulasan: