Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Oktober 29, 2010

KORBAN BENCANA MENINGKAT

Berita Harian 29 Oktober 2010


Penduduk menabur bunga sebelum mengebumi mangsa
 Merapi di Sleman, Jawa Tengah, semalam.

JAKARTA: Korban tsunami di kawasan kepulauan barat Indonesia dan letusan Merapi mencapai 377 semalam dengan gunung berapi itu meletus buat kali kedua dalam tempoh seminggu, memuntahkan debu panas ke ruang angkasa.

Lebih 40,000 orang lari atau dipindahkan dari sekitar lereng gunung Merapi awal minggu ini tetapi ramai yang sudah pulang selepas gunung itu lebih tenang.Penduduk yang berkabung mengadakan majlis pengebumian beramai-ramai mangsa Merapi.

Pegawai berkata, angka kematian akibat tsunami yang melanda kepulauan Mentawai mencapai 343. Tsunami menyusul gempa bumi yang mencapai kekuatan 7.8 skala Richter, Isnin lalu. Sehari selepas itu, gunung berapi Merapi yang terletak di pinggir kota Yogyakarta, Pulau Jawa, meletus menyebabkan sekurang-kurangnya 34 terbunuh. Pegawai menjangka angka kematian akan meningkat kerana lebih 300 lagi masih hilang.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dijadual menyertai sidang Asean di Hanoi semalam hingga esok, segera pulang untuk menguruskan bencana terbaru Indonesia.

“Presiden terharu sebaik menemui mangsa tsunami dan gempa bumi itu. Beliau mengarahkan bantuan terus dihantar tanpa sekatan,” kata jurucakap Susilo, Julian Pasha.

Anggota penyelamat yang berada di Mentawai menemui mayat kembung di jalan raya dan kawasan pantai, kata pegawai pusat pengurusan bencana, Harmensyah. Mereka memasukkan mayat dalam beg plastik hitam di kawasan Pagai Utara, satu daripada empat pulau utama di Mentawai. Sebahagian besar kawasan masih ditenggelami air.

Ada sebahagian sistem amaran awam yang dipasang selepas tsunami 2003 melanda menyebabkan 226,000 orang maut didapati dicuri tetapi sistem pada keseluruhannya masih berfungsi baik, kata ketua agensi kaji gempa, Sri Woro Harijono.

“Ya, ada alat pengimbas yang dicuri termasuk seismograf dan sel solar. Tetapi, cuma tiga saja yang dicuri daripada 100. Sistem berfungsi baik,” katanya. – Reuters

Tiada ulasan: