Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Hari kebesaran Islam ini diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.
Pada Hari Raya Aidiladha tahun ini lebih kurang 2.5 juta umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah .....'
Pada hari raya ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.
Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu...."
Kelebihan ataupun fadilat yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam melakukan ibadah ini di antaranya ialah:
- Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
- Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
- Bulu-bulu binatanga yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
- Mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim.
- Melahirkan sikap penyayang.
- Memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan