Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, November 17, 2010

TERIMA KASIH TV3 KERANA SIARAN MENGENAI SAMBUTAN AIDILADHA OLEH MELAYU CAM DI KEMBOJA YANG SUNGGUH MENGINSAFKAN

Artikel ini saya sedut daripada Berita Harian yang bertajuk 'Melayu Cam Masih Beri Belanja Anak 3 Sen, Makan Bubur Nasi'.

'Etnik Islam di Kemboja rata-ratanya pesawah hidup daif sejak sekian lama tanpa sebarang bantuan kerajaan. Yusof Mosa, 44, nampak polos dan ceria tetapi dalam dirinya tersimpan penderitaan selama hidupnya setakat ini. Dia tinggal dalam rumah yang cuma berbumbung daun tha (sejenis pokok palma). Beliau mengusahakan sawah padi seperti 85 peratus penduduk etnik Melayu Cam lain di Kemboja. Jika hasil padi sedikit kerana kemarau atau dilanda banjir, dia sekeluarga seperti rata-rata etnik Melayu Cam lain hanya makan nasi air (bubur) sekali sehari dengan lauk ikan sungai dengan sayur timun, labu, terung atau kangkung'.

'Tinjauan Berita Harian di Swai Pekau turut bertemu pasangan Isa dan Maisom Hassan, 29, bersama bayinya, Fari, 2 bulan dan kakaknya, Fitra, 10. Tubuh Fitra mungkin tidak sampai 20 kilogram dan cuma sebesar budak berusia enam tahun di Malaysia. Dia memakai baju seragam sekolah yang juga baju basahan sehariannya. Warna putih bajunya lebih buruk daripada kain buruk orang kita. Tetapi Fitra sudah tegar hidup begitu, termasuk tanpa kasut atau selipar dan makan nasi bubur dengan rasa garam. Dia sentiasa senyum walaupun tidak pernah menonton TV, mendengar radio dan jauh daripada kenal komputer serta menikmati makanan segera seperti kanak-kakak sebayanya di Malaysia'.

'Jurugambar Berita Harian turut merakamkan seorang wanita memanggang ikan jelawat sebesar empat jari dengan bara ranting kayu dengan tungku batu di halaman rumahnya. Mereka tidak mampu membeli minyak masak dan tiada deretan botol perisa seperti pemandangan lumrah dapur rakyat Malaysia'.

'Di penempatan komuniti Melayu Cam di kanan kiri Kilometer 7 hingga 10, Jalan Kebangsaan 5, kehidupan majoriti mereka di situ juga daif. Berikutan taraf sosioekonomi yang rendah, ramai kanak-kanak tidak ke sekolah, kekurangan zat makanan, mengalami masalah cacing serta terbiar, sekali gus masa depan mereka sangat gelap'.

Mengapa saya teruja untuk memperkatakan mengenai orang Melayu Cam di Kemboja?

Ia bertitik-tolak setelah saya menonton siaran TV3 pada petang tadi yang menggambarkan kehidupan etnik Melayu Cam di Kemboja menyambut Hari Raya Aidiladha. Siaran sempena Aidiladha itu ditayangkan pada pukul 6 petang

Dalam siaran itu saya dapat lihat beberapa perkara yang menyentuh hati nurani saya. Di antaranya ialah

  1. Rumah dia orang amat daif. Ada di antaranya berdindingkan seperti daun palma yang berlubang-lubang.
  2. Rumah dibina tinggi mungkin untuk mengelakkan banjir.
  3. Kawasan kampung mereka kelihatan begitu daif, kotor dan tidak terurus.
  4. Raut wajah mereka tidak ada yang berseri. Wajah orang susah dan miskin.
  5. Tidak kelihatan wajah tampan dan manis berseri pemuda dan pemudinya.
  6. Kelihatannya tidak ada orang gemuk.
  7. Ada di antara mereka yang berpendapatan hanya RM4 sehari.  Ada yang berpendapatan hanya RM50 sebulan.
  8. Oleh kerana miskin, ada yang makan nasi putih berkuahkan air berlaukkan garam.
  9. Dapat makan daging setahun sekali. Itupun jika ada ibadah korban di Aidiladha.
  10. Harga daging RM20 sekilo.
  11. Narator menyatakan bahawa jika ada yang mampu membeli daging, itupun oleh kerana ada keluarga atau sanak saudara yang bekerja di luar negara yang mengirim duit ke kampung.
  12. Biaya permit untuk kerja di luar negeri begitu tinggi iaitu antara RM4000 hingga RM5000. Mereka tidak mampu.
  13. Daging korban dimasak dan dimakan beramai-ramai.
  14. Digambarkan juga anak-anak gembira membakar baki-baki hirisan daging korban yang dicucuk ke lidi lalu dibakar dan berkongsi memakannya.
  15. Walaupun miskin, mereka terus berusaha mencari nafkah walaupun pendapatannya tetap jauh di bawah garis kemiskinan.
Saya ucapkan terima kasih kepada TV3 atas siaran tersebut. Saya tak pernah pergi ke Kemboja. Saya tahu mengenai kemiskinan etnik Melayu Cam melalui pembacaan buku-buku dan artikel-artikel. Tetapi setelah menonton siaran itu, jelaslah sememangnya kemiskinan membelenggu mereka.

Saya amat bersyukur hidup di bumi Malaysia. Susah dan miskin rasanya tidak boleh dibasmi. Ia hanya boleh dikurangkan. Jadi selepas ini kita rakyat Melayu Malaysia yang seagama sepatutnya membantu mereka untuk mencari sinar kehidupan yang lebih baik. Insya Allah....

Tiada ulasan: