Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, September 06, 2011

KAKAK MELANJUTKAN PELAJARAN KE UNIVERSITAS GADJAH MADA, YOGYAKARTA


Hari ini tibalah masanya anakku yang bernama Nur Izyani Nadhirah berangkat dan berlepas ke Yogyakarta untuk melanjutkan pelajaran dalam ilmu kedoktoran di Universitas Gadjah Mada. Nadhirah atau 'Kakak' iaitu panggilan kami sekeluarga kepadanya, pergi ke sana setelah manamatkan A-levelnya. Kakak berlepas dari KLIA Sepang tepat jam 9.10 pagi. Sebelum itu kumpulan seramai 17 pelajar tajaan JPA berkumpul di KLIA pada pukul 5.00 pagi untuk urusan bagasi dan 'check-in'.
Harapan ayah kepada Kakak, belajarlah dan carilah ilmu pengetahuan walau di mana sahaja. Rasulullah SAW bersabda:  تعلموا العلم إنما العلم بالتعلم  Ertinya: Tuntutlah kamu akan ilmu. Sesungguhnya ilmu itu diperoleh dengan belajar.

Dari Peristiwa Isra’ dan Mi’raj mengenai kepentingan menuntut ilmu, Imam al-Ghazali  di dalam kitab Minhaj al-‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin mengetengahkan sepotong hadith Nabi SAW:  اطلعت ليلة المعراج على النار فرأيت أكثر أهلها الفقراء. قالوا: يا رسول الله من المال؟ قال لا، بل من العلم yang ertinya: Aku telah diperlihatkan pada malam Mi’raaj akan api nereka, lalu aku lihat kebanyakkan dari penghuninya adalah orang-orang faqir. Para shahabat bertanya: Wahai Rasulullah, (apakah mereka itu faqir) daripada harta benda? Rasulullah SAWم menjawab: Tidak! Bahkan (mereka itu) faqir dari ilmu.

Inilah kefaqiran yang besar dan bahaya. Kini ramai yang takut kepada faqir hartabenda daripada faqir ilmu. Maka bertungkuslumus sesetengah orang untuk menghindari kefaqiran hartabenda, sehingga terlupa untuk memperuntukkan masa bagi menuntut ilmu. Akibatnya kejahilan menyelubungi umat. Ada yang beramal sekadar ikut-ikutan. Imam al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya Minhaj al-‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin: Seandainya seseorang itu beribadat kepada Allah Ta’ala sebanyak mana sekalipun tetapi kalau ibadatnya itu tanpa ilmu, nescaya dia tergolong daripada orang-orang yang rugi.

Ilmu tanpa amal, dosa besar, manakala ‘amal tanpa ilmu, kesesatan yang amat sangat. Dan ‘amal yang disertai ilmu itu adalah cahaya diatas cahaya. Maka beruntunglah bagi mereka yang memadukan keduanya (ilmu dan ‘amal).

Imam al-Ghazali menyebut di dalam Bidayatul Hidayah; bahwa ilmu yang hendak dituntut itu hendaklah:
  • Ilmu yang menambah perasaan takutmu kepada Allah.
  • Ilmu yang mencelikkan matahatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu.
  • Ilmu yang menambahkan lagi ubudiyahmu kepada Allah dengan sebab ma’rifahmu kepadaNya.
  • Ilmu yang mengurangkan gemarmu atau kasihmu kepada dunia.
  • Ilmu yang menyingkap pandangan matahatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memelihara dirimu daripadanya.
  • Ilmu yang menampakkan kepadamu segala tipudaya syaitan.


Ingatlah Kakak!  Orang yang berpendidikan dan berilmu, akan lebih mudah untuk memahami sudut pandang yang berbeza daripada orang yang tidak berpendidikan. Pendidikan memperluaskan landskap mental kita dan menjadi cara maju untuk kejayaan yang lebih besar – tujuan akhir dari setiap manusia dalam kehidupan.

Pada dasarnya, sesuatu ilmu itu sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat mengajar kita untuk membezakan antara benar dan salah. Untuk sebahagian besar daripada kehidupan kita, kita bimbang dalam dilema antara benar dan salah, tetapi ilmu daripada pembelajaran yang tepat memberi kita jawapan yang benar. Ilmu membolehkan kita untuk mengambil keputusan yang tepat dan mencegah kerugian.


Kejayaan yang besar kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi adalah orang yang percaya diri. Pendidikan dan ilmu pengetahuan menimbulkan pandangan positif dan membolehkan kita untuk percaya pada diri kita sendiri. Kepercayaan diri adalah sifat yang paling dicari dalam diri seorang manusia dan pendidikan serta ilmu pengetahuan membawa kita menuju ke mana bergantung pada diri kita sendiri, membuat kita percaya bahawa kita bersedia untuk menghadapi dunia.

Kakak anakku. Ayah berpesan kepada Kakak  agar amalkan empat perkara ini semasa belajar di sana dan di mana-mana jua.
  1. Ikhlas semasa belajar.
  2. Taqwa semasa belajar.
  3. Cari ilmu pengetahuan yang berguna kepada agama dan semua hidupan Allah SWT.
  4. Merasakan bertanggungjawab kepada diri, rakan-rakan dan masyarakat.

Tiada ulasan: