Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, November 22, 2011

GARUDA TERSUNGKUR DIBAHAM HARIMAU MUDA - SYABAS SKUAD HARIMAU MUDA MALAYSIA






Malam tadi pemain-pemain Malaysia dan berjuta rakyat Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Dengan itu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.

Kekalahan ini memusnahkan harapan skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan untuk meraih pingat emas sejak 20 tahun lalu di mana kali terakhir Indonesia memperolehi emas adalah pada 1991.

Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia. Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.

Beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan gol lawan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan Dwi Cahayo. Ia berpunca daripada sepakan sudut di sebelah kiri gawang negara yang diambil oleh pemain tengah Octovianus Maniani sebelum Gunawan mudah menanduk masuk bola menewaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat. Gol tersebut menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak girang dengan jaringan pembukaan itu.

Walaupun tertekan dengan jaringan awal tersebut, anak didik Ong Kim Swee jelas tidak mudah mengalah dan melajukan rentak dengan mengatur beberapa serangan menerusi gandingan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan A Thamil Arasu, namun tagihan aksi negara masih belum panas.


Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan. Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Permainan yang terikat seri 1-1 dipaksa berlarutan kepada 120 minit masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan rancak menyerang balas namun masih tiada penyudah yang berkesan oleh kedua-dua negara hinggalah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada negara.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Memang Indonesia telah meraih 170 pingat emas Sukan SEA XXVI, namun terlepas pingat emas bola sepak (ibu kepada segala pingat) sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan. Kalah di hadapan penonton sendiri pulak tu... Andai mampu merangkul semua pingat emas yang dipertandingkan sekali pun, luka mereka tidak akan terubat. Gelora Bung Karno bukan stadium keramat Laskar Garuda. Puas hati aku... Syukur kepada Ilahi...

Stadium Gelora Bung Karno senyap disaat pemain-pemain Harimau Muda meraikan kejayaan. Air mata penyokong Laskar Garuda bertitisan tumpah di bumi sendiri. Hilanglah segala ego mereka selama ini seolah-olah direntap oleh kuku-kuku tajam Garuda. Aku turut berasa sedih atas kematian dua orang penyokong Garuda akibat rusuhan pembakaran kaunter tiket sebelum perlawanan bermula. Aku simpati dengan mereka, penyokong Garuda.

Tahniah skuad Harimau Muda.

Tiada ulasan: