Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Januari 30, 2012

AWAN NANO MENJUARAI LAGU TERBAIK ANUGERAH JUARA LAGU KE-26

Karya Datuk M Nasir masih berbisa apabila lagu ciptaannya Awan Nano diangkat sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. Lagu itu dinyanyikan oleh penyanyi muda dari Sarawak, Hafiz. Malahan dengan penghayatan yang baik ketika menyampaikan lagu itu, membuatkan Hafiz turut dipilih memenangi hadiah Vokal Terbaik AJL26.
 
Awan Nano yang seni katanya karangan Budi Hekayat dan dinyanyikan Hafiz Suip, akhirnya berjaya dijulang sebagai juara. Dengan kemenangan itu, mereka bertiga berkongsi wang RM35,000.
Dengan hanya pakaian lusuh dan berkaki ayam, Hafiz tetap berjaya mencuri tumpuan juri sehingga meraih trofi Vokal Terbaik. Anak muda berasal dari Sarawak itu turut meraih kejayaan berganda seperti AJL25 bagi kategori itu dengan wang tunai RM10,000.

Ia turut dibantu penyanyi 1980-an, Herman Tino yang berlakon sebagai ayah Hafiz melalui muzik video mereka. Sementara itu, sedutan daripada klip video yang menunjukkan Herman Tino menampar Hafiz menjadi pembuka persembahan kepada anak muda daripada Sarawak itu saat menyampaikan Awan Nano. Ternyata, Hafiz tampil sangat ringkas dan kelihatan cukup yakin dengan melodi, muzik dan seni kata lagu nyanyiannya.

Walaupun ramai yang kata lagu itu sangat ‘berat’ dan susah untuk dinyanyikan, Hafiz tidak pula mengambil pendapat ramai itu sebagai tekanan, sebaliknya dia mengambilnya sebagai cabaran buat dirinya bagi mempersembahkan yang terbaik.

“Baik atau buruknya sesuatu perkara itu, ia adalah cabaran buat saya. Memang benar, sukar untuk menyanyikan lagu ini dan tidak boleh bergantung kepada kehebatan vokal semata-mata kerana Awan Nano padat dengan emosi. Apabila menyanyikan lagu ini ia seperti bercerita kisah hidup kita. Seni katanya menyentuh jiwa dan untuk melahirkan emosi. Saya bayangkan walau apa pun berlaku, kita mesti menyayangi dan menghargai ibu bapa kita,” tegasnya.

Apabila sudah dinobatkan yang terbaik, Hafiz sedar perjuangannya tidak berhenti setakat itu saja, sebaliknya dia menggalas harapan dan amanah yang besar daripada peminat. Dengan segala usaha dan persediaan untuk menghadapi cabaran AJL26, Hafiz puas hati dengan persembahannya dan akan menyimpan wang kemenangannya untuk masa depannya dan keluarga.

M Nasir yang sudah biasa menjulang trofi AJL bagaimanapun hanya mampu mengucapkan itu semua adalah suratan nasib. Nasir bagaikan kehabisan kata-kata dengan kemenangan Awan Nano kerana baginya komposer muda yang bersaing pada malam itu cukup hebat seperti Aizat (Sungai Lui), Yuna (Penakut & Gadis Semasa) dan Najwa Latif (Cinta Muka Buku).

“Apabila bertanding, saya memang mahu menang dan apabila buat lagu, saya mesti buat yang sedap dan melebihi daripada biasa sambil memikirkan mungkin orang boleh suka dengan lagu itu. Walaupun pada masa sama saya sebenarnya tak ada kuasa menentukan apa yang orang suka. Saya tak tahu nasib lagu ini kerana komposer lain pun hebat juga. Dengan kemenangan ini, lagu berentak balada kembali diminati kerana balada hari ini ada aliran tersendiri dan ia semakin berubah kerana banyak dipengaruhi muzik Indonesia,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu disaksikan 15,000 penonton yang dihoskan Faizal Ismail (FBI) dan Cheryl Samad. Hadiah pemenang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar.

Buat kali pertama juga, acara yang dinantikan setiap tahun itu memperkenalkan Anugerah Juara Mobile yang diadili berdasarkan lagu paling banyak dimuat turun dengan kerjasama Celcom. Ia dimenangi Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim.

AWAN NANO 
 
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan awan
Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri

Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu

Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga
Hadir dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihnya kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu

Sehingga tak mungkin termampu
Saksi setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu

Akulah awanmu yang sedia melindungi dirimu
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Tiada ulasan: