Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, Februari 01, 2012

HARUMAN PENGARUHI HUBUNGAN ROMANTIS

Pada zaman dulu, minyak wangi antara perhiasan diri yang wajib ada sebagai tanda status dalam masyarakat. Pada mulanya, ia digunakan golongan kelas atasan seperti barang kemas tetapi kemudian, ia menjadi keperluan bagi orang kebanyakan. Kini penggunaan minyak wangi tidak boleh diketepikan kerana ia berpotensi menambah keperibadian dan keyakinan seseorang. Sebaiknya minyak wangi dikenakan pada nadi untuk kekalkan aroma wangiannya.

Haruman daripada bunga-bungaan...

Mengikut kajian yang dijalankan Pengarang Scent of Desire, Dr Rachel Herz, wangian boleh mempengaruhi daya tarikan terhadap pasangan. Ini ditentukan sistem imunisasi yang membezakan bau badan seseorang.

“Setiap individu mempunyai kompleks histocompatibility mejar (MHC) berbeza iaitu satu turutan gen yang membantu sistem imunisasi mengenali patogen yang akan membenarkan bakteria untuk terus hidup di atas kulit, seterusnya menghasilkan bau badan berbeza. Selain biologi, bau badan seseorang juga dipengaruhi perasaan dan persekitaran. Buktinya, tanya mana-mana wanita mengapa mereka tertarik pada lelaki. Pasti jawapannya disebabkan haruman pada tubuh si jejaka,” jelasnya.

Namun menariknya, Dr Rachel menyatakan dalam satu tinjauan yang dijalankan ke atas wanita yang sudah berpisah, mereka mengakui kebanyakan perceraian juga berpunca daripada tidak tahan dengan bau pasangan. Ini menunjukkan bau dan aroma mempunyai kesan positif dan negatif terhadap perhubungan. Sedar atau tidak, haruman mempengaruhi hubungan romantis seseorang dan apabila mereka jatuh cinta, sebahagian besar akan menerima wangian yang dipakai pasangan. Ini dibuktikan menerusi kajian yang menunjukkan lelaki dan wanita yang memiliki aroma menarik biasanya menilai sesuatu perkara dari sudut positif. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai pandangan berbeza dalam setiap perkara.

Ini ditambah teori daripada Ketua Saintis Pasukan Rekaan Haruman P&G, Will Andrews, yang mengatakan cara wanita bertindak balas dengan lelaki dan lelaki bertindak balas dengan wanita datangnya menerusi naluri.

“Justeru, dalam penghasilan minyak wangi terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita. Apabila kami menghasilkan aroma, perkara pertama yang diambil kira adalah pengalaman romantik yang tercetus dari dalam diri si pemakai. Secara tidak langsung ini akan menjadi daya penarik bagi pasangan berlainan jantina, sekali gus menikmati aroma yang berbeza daripada pasangan mereka,” katanya.

Selain itu, wangian boleh membangkitkan ingatan serta memori silam seseorang. Ia hadir pada masa tertentu, seterusnya mengembalikan sejarah lama yang disimpan dalam minda separa sedar seseorang. Misalnya, haruman pada minyak wangi yang dipakai ibu tentunya akan mengembalikan saat bahagia bersama ibu tercinta. Begitu juga bau bedak bayi yang membangkitkan nostalgia pada zaman kanak-kanak.

Bagaimana menentukan minyak wangi sesuai?

Berdasarkan teori sains, aroma yang sesuai akan saling melengkapi dengan bau badan kita. Ini kerana wangian yang diletakkan pada kulit akan memberi rangsangan pada bau badan, seterusnya mengeluarkan bauan tersendiri. Secara tidak langsung, ini membuatkan pasangan akan lebih mengenali kita.

Terdapat pelbagai jenis wangian berbeza bergantung ciri-ciri bauan itu sendiri. Antaranya aroma sitrus, lautan, bunga-bungaan, kayu dan Oriental. Pengelasan ini dapat membantu seseorang untuk lebih mengenali ciri-ciri bauan yang sesuai dipakai.

“P&G menghasil kan wangian berbeza untuk lelaki dan wanita bergantung kepada sosiobudaya yang mentakrifkan keluarga wangian bunga-bungaan biasanya disukai wanita manakala lelaki lebih menggemari aroma kayu yang agak keras,” kata Andrews.

Jika biasa memberikan mawar, coklat, pakaian atau gajet terbaru sebagai hadiah kepada pasangan, lupakan buat sementara waktu. Ini kerana berdasarkan kajian P&G Prestige pada 2008, hampir dua pertiga responden iaitu 64 peratus mengakui mereka sukar memilih wangian sesuai sebagai hadiah manakala 60 peratus berkata, mereka berasa kagum dan dihargai sekiranya pasangan memilih haruman sesuai untuk mereka.

Menurut Andrews, apabila seseorang memilih wangian untuk pasangan sebagai hadiah, sebenarnya ia adalah pelengkap kepada sebuah perhubungan.

“Ini sangat romantik kerana menunjukkan seseorang itu mengetahui dan mengenali diri pasangan dan benar-benar memahami apa yang dikehendakinya. Dalam erti kata lain, kita adalah pasangan serasi dan boleh menjalinkan hubungan yang lebih serius selepas ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan: