Hari ini 12 Rabiul Awal 1433 bersamaan 5 Februari 2012, seluruh umat Islam meraikan salah satu hari penting dalam kalendar
Islam iaitu sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad
SAW. Mengangkat tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah, sambutan Maulidur
Rasul peringkat kebangsaan juga dipenuhi dengan pelbagai acara perarakan,
ceramah dan sebagainya.
Seperti yang diketahui, sesiapa yang mengadakan atau menghadiri majlis
memperingati keputeraan baginda atau Maulidur Rasul, pasti akan dikurniakan
banyak kelebihan dan keistimewaan daripada ALLAH SWT. Jika disoroti
kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan kebenaran agama
Islam, Baginda terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan liku. Namun, ia
sedikit pun tidak menjadi halangan buat kekasih ALLAH SWT itu, sebaliknya
Baginda terus menyebarkan syiar Islam.
Sebagai umat nabi terakhir,
kitalah yang perlu meneruskan perjuangan Rasulullah dengan menjadikan
keperibadian Baginda sebagai ikutan.
Nabi Muhammad saw mempunyai akhlak terpuji yang tidak ada tolok
bandingnya. Malah musuh baginda daripada kalangan orang Arab Quraisy
juga tidak pernah mempertikaikan budi pekertinya yang mulia itu. Ketika hayatnya, Nabi Muhammad sentiasa membimbing sahabat dengan
penuh kasih sayang dan bijaksana. Dalam pergaulannya seharian,
kepemimpinan baginda membawa kesan yang amat mendalam terutama kepada
empat sahabat utama iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman
bin Affan dan Ali bin Abu Talib.
Anak keluarga miskin daripada keturunan bani Mutalib, Rasulullah
s.a.w kehilangan ayah sebelum dilahirkan dan ibu ketika zaman
kanak-kanak. Kanak-kanak yang membesar dalam dunia yang serba kekurangan, dipilih
Allah untuk memimpin ummah bagi membawa kebenaran dan membuang segala
bentuk maksiat dan penipuan.
Baginda adalah rasul akhir zaman yang diutus bagi melengkapkan semua
ajaran rasul terdahulu. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaanku dengan rasul-rasul yang lain ibarat sebuah istana yang
elok pembinaannya kecuali pada satu sudut yang masih kekurangan seketul
bata…Akulah seketul bata itu dan akulah penutup segala nabi-nabi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Detik pagi Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi menjadi
saksi apabila lahir seorang bayi yang membawa rahmat ke seluruh alam. Ibunya, Siti Aminah tidak pernah berasa penat atau sakit ketika
mengandungkannya. Walaupun kita tidak pernah menatap wajah Nabi
Muhammad, tarikh ulang tahun kelahirannya itu perlu menjadi tarikh
penting bagi umat Islam mengingati sejarah perjuangan baginda.
Nabi Muhammad seorang yang sentiasa mengosongkan hatinya daripada
segala sesuatu selain Allah di dunia ini. Sifat zuhudnya itu dapat
dilihat daripada sikapnya yang tidak terpesona dengan limpahan harta
dunia, kemasyhuran serta darjat.
Sentiasa banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad kerana ia adalah
tuntutan yang perlu kita laksanakan pada setiap masa. Sebelum berdoa,
bacalah selawat kerana ia adalah kunci yang membuka kemurahan Allah
kepada kita. Maksud berselawat di sini ialah Allah akan memberi rahmat, hidayah
dan keredaan-Nya kepada baginda. Bagi yang sentiasa mengucapkan selawat
ke atas nabi, kehidupan seseorang itu pasti dipermudahkan, hatinya
berasa tenteram, lapang rezekinya serta Allah akan memudahkan jalan ke
syurga melalui syafaatnya.
Nasai Ibnu Hibban meriwayatkan, Nabi Muhammad s.a.w berpesan:
“Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang
yang paling banyak berselawat kepadaku.”
Sambutan yang diraikan perlu dijadikan iktibar terhadap kesusahan
baginda berjuang menegakkan kalimah Allah. Islam memandang cara terbaik
menyambut Maulidur Rasul dengan menjadikan kisah sejarah baginda sebagai
iktibar untuk diterjemahkan dalam kehidupan.
Mentaati sunnah baginda menggambarkan perasaan sayang kita kepada
Nabi s.a.w. Ini termasuk menjaga perkataan dan perbuatan kita. Allah
s.w.t memberi jaminan bahawa baginda adalah insan terbaik untuk
dijadikan ikutan dan teladan bagi seluruh manusia.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah
itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu…” (Surah al-Ahzab ayat
21).
Mencintai dan menyayangi junjungan besar Rasulullah adalah satu hal yang amat dituntut dalam Islam. Mafhum sabda
Rasulullah yang bermaksud: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu,
kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan
hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Menyayangi Rasulullah bukan perkara remeh kerana ia membabitkan
iman. Cara menyayangi dan mengasihi Rasulullah bukan dengan hanya
mengungkap kata-kata indah tetapi perlu dibuktikan dengan perbuatan. Wajar kita mengambil peluang sempena hari Maulid al-Rasul nanti
untuk bermuhasabah diri. Adakah perlakuan kita selama ini sejajar dengan
tindakan Rasulullah? Ini antara persoalan yang perlu sama-sama kita
jawab.
Umat Islam perlu didedahkan dengan sirah Rasulullah yang meliputi
segenap aspek kehidupan untuk dicontohi. Seperti yang diketahui umum,
Rasulullah menjadi contoh ikutan terbaik bagi umat Islam. Untuk memiliki akhlak terpuji, Rasulullah adalah contoh yang perlu
dijadikan ikutan. Segala-galanya ditunjukkan dalam perilaku serta tutur
kata baginda. Baginda mempamerkan contoh terbaik sebagai seorang anak, suami,
peniaga, pemimpin masyarakat, perancang ekonomi, panglima angkatan
perang dan ahli politik,” katanya.
Baginda mampu menjadi pendorong kepada umat Islam untuk terus
bangkit memperjuangkan kesucian agama Allah terutama mempergiatkan usaha
dakwah serta memperbanyakkan majlis ilmu. Hanya dengan ilmu, masyarakat akan faham betapa perlunya mencontohi keperibadian Rasulullah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu
sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang
mengharapkan (keredaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang
yang banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Sayangi dan cintailah Rasulullah sebagaimana Rasulullah menyanyangi dan mencintai umatnya.
Berikut
adalah petikan khutbah haji wida' yang disampaikan oleh Rasulullah SAW
dengan penuh syahdu di Padang Arafah ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’
bersama dengan lebih kurang 124,000 para sahabat sebelum kewafatan
Baginda. Jadikanlah isi kandungan khutbah ini sebagai pedoman hidup
seluruh umat Islam akhir zaman.
Wahai
manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun
ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah
ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai
manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai
suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah
suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya
yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak
menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui
Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan
riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah
supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai
manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga
mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka
keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam
suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan
berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah
lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke
dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai
manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah,
dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan,
dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah
Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah
saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal
solah.
Ingatlah,
bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh
itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai
manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan
tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan
betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu
berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan
tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang
terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan