Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Mac 20, 2015

ARAH TUJU LEPASAN SPM

Tentulah sekarang sudah tidak sabar-sabar untuk memilih kursus dan hala tuju untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. 

Bagaimana pula dengan pelajar yang mendapat keputusan yang biasa-biasa saja? 

Sama ada keputusan yang anda dapat cemerlang atau cukup makan sahaja, kita perlu sedar bahawa ada banyak haluan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan rakyat Malaysia, terus mendapat pendidikan ke peringkat yang paling tinggi boleh dicapai oleh individu. 

Justeru itu, kami senaraikan beberapa pilihan yang abang-abang dan kakak-kakak boleh meneruskan pelajaran selepas SPM dalam laluan ke program ijazah pertama! 

Tingkatan 6 
Untuk pilihan ini, adik-adik pelajar boleh memasuki universiti dengan menggunakan keputusan STPM. Dengan sistem peperiksaan modular yang baru, di mana setiap semester akan diuji, adik-adik sebenarnya sudah mula melangkah ke alam pembelajaran gaya universiti. 
 
STAM
Untuk pilihan ini, adik-adik pelajar boleh memasuki universiti melalui keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia, STAM. Ini adalah khusus kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 aliran agama. 
 
Matrikulasi
Ini juga salah satu laluan yang popular bagi pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang dan sederhana cemerlang. Kursus yang ditawarkan adalah aliran Sains Tulen, Kejuruteraan, dan Perakaunan. Tempoh masa program matrikulasi pula adalah selama 1 atau 2 tahun bergantung kepada kursus yang dipohon. Pelajar akan ditempatkan di Kolej Matrikulasi di seluruh Malaysia. Pelajar seterusnya akan ditempatkan di universiti terpilih mengikut kursus pilihan dan juga keputusan akhir matrikulasi. 
 
Asasi
Program asasi juga sebenarnya adalah sama seperti program persediaan sebelum ke ijazah, iaitu program matrikulasi. Bezanya, program asasi diuruskan oleh pihak universiti sendiri, seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pelajar yang mendapat program asasi, kebiasaannya akan ditempatkan di universiti tersebut selepas tamat program.
 
PISMP
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan PISMP ini juga merupakan pilihan popular kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang. Para pelajar akan mengikuti program perguruan selama 4 tahun dengan 1 tahun persediaan. Ini juga merupakan laluan cepat dan selamat kepada pelajar lepasan SPM. Pelajar akan ditempatkan di Institut Perguruan yang terdapat hampir di semua negeri di Malaysia mengikut pilihan kursus. 
 
Program Persediaan Luar Negara
Bagi program persediaan ke luar negara, program akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Kebiasaannya pelajar tersebut juga akan ditawarkan biasiswa penuh daripada pihak JPA. Selain daripada pihak JPA, terdapat juga agensi lain seperti MARA yang turut menaja pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. 
 
Diploma (IPTA)
Bagi adik-adik pelajar yang sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, ini adalah pilihan yang paling sesuai. Banyak kursus yang ditawarkan oleh IPTA seperti UiTM dan UTM yang menawarkan kursus diploma kepada pelajar lepasan SPM.
 
Diploma (POLITEKNIK)
POLITEKNIK juga merupakan pilihan yang tepat bagi pelajar lepasan SPM yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta berkecenderungan kepada kursus-kursus bidang teknikal. Namun, kursus yang ditawarkan oleh POLITEKNIK sebenarnya lebih banyak lagi pilihan. Tambahan pula, kini pelajar lepasan Diploma dari POLITEKNIK juga mempunyai peluang lebih cerah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama di mana-mana POLITEKNIK yang menawarkan kursus sedemikian.
 
Diploma (IPTS) 
Bagi pelajar yang mempunyai sumber kewangan yang lebih, atau mempunyai minat dalam bidang yang tidak ditawarkan di mana-mana IPTA, pelajar boleh memohon untuk melanjutkan pelajaran ke IPTS. Pemilihan IPTS perlulah dilakukan dengan hati-hati bagi mengelakkan pembelajaran hanya pada separuh jalan. Walau bagaimana pun, kini kita ada banyak pilihan IPTS yang berkualiti serta terbukti dalam melahirkan graduan yang hebat dan setaraf dengan lepasan IPTA. Bijak memilih!
 
Diploma Kemahiran Malaysia
Kursus Diploma Kemahiran Malaysia pula ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang berminat dengan bidang-bidang kemahiran. Pelajar-pelajar seperti ini boleh memasuki Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti, Akademi Binaan Malaysia CIDB dan banyak lagi institusi lain. Ianya tidak terhad kepada kemahiran perindustrian sahaja, malah kemahiran seperti bertukang, pertanian juga turut ditawarkan.
 
Kerja (5 Tahun Pengalaman)
Bagi yang ingin bekerja dahulu, pengalaman bekerja selama 5 tahun juga boleh digunakan untuk memohon kursus tertentu dalam mendapatkan Ijazah Pertama. Kementerian Pengajian Tinggi KPT ada menyediakan ruang dan laluan khas untuk mereka yang bekerja dengan pengalaman lebih 5 tahun melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Tiada ulasan: