Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Mac 20, 2015

KEMEROSOTAN KASIH SAYANG IBUBAPA MEMBERI IMPAK KEPADA MASALAH REMAJA

Kemerosotan kasih sayang di kalangan keluarga dan sikap tidak mengambil kisah terhadap anak-anak oleh ibu bapa telah membawa kepada masalah remaja tidak ketahuan. Prof Dr Zuria Mahmud dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) berkata pelbagai pihak perlu berusaha untuk membendung gejala sikap tidak peduli dan kemerosotan kasih sayang dalam keluarga. 

Berucap di syarahan umumnya bertajuk Kemahiran Keibubapaan: Mulakan Amalan baik dari Awal, di sini hari ini, Prof Zuria berkata kajian menunjukkan fenomena masalah remaja dalam masyarakat menjadi semakin serius kerana kurangnya perhatian oleh ibu bapa. 

Prof Zuria berkata bagi anak-anak ibu bapa adalah contoh teladan dan dengan itu mereka harus beramah mesra dengan anak-anak sebagai tanda kasih sayang. Ada ibu bapa yang bersifat terlalu mengongkong dan berkeras manakala ada pula yang bersikap terlalu bebas dengan anak mereka. Walau bagaimanapun, niat mereka sebenarnya adalah baik dan mereka sangka cara masing-masing itu adalah yang terbaik untuk mendidik anak. 

Beliau berkata ramai ibu bapa malu menunjukkan kasih sayang secara terbuka kepada anak-anak. Sebenarnya anak-anak memerlukan kasih sayang yang banyak dan mereka perlu sentiasa diingatkan bahawa ibu bapa sentiasa prihatin terhadap mereka. 

Bercakap berdasarkan pengalaman dan pertemuannya dengan pelajar dan guru, Prof Dr Zuria berkata beliau telah bertemu ramai remaja yang berasa sedih kerana ibu bapa mereka tidak peduli apa yang mereka lakukan di luar rumah. Kini telah wujud gejala membimbangkan di mana kumpulan kanak-kanak berkeliaran di pusat membeli-belah tanpa pengawasan orang dewasa. 

"Saya terserempak dengan beberapa budak lelaki dan bertanya salah seorang daripada mereka sama ada ibunya tahu di mana dia berada. Budak itu menjawab bahawa ibunya tidak peduli selagi dia tidak nakal," katanya. 

Alasannya mereka tinggal di rumah pangsa kos rendah yang tidak memberi ruang kepada mereka untuk bermain atau berekreasi. Prof Zuria juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak berkelakuan ganas dan terlalu bengis terhadap anak mereka. Kanak-kanak yang mengalami kekerasan fizikal akan mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka apabila sudah dewasa. Beliau berkata tingkah laku remaja dan arah yang mereka ambil dalam hidup dipengaruhi oleh bagaimana ibu bapa mereka melayan mereka sebagai kanak-kanak. 

Menyentuh mengenai pelajar universiti yang kurang motivasi, beliau berkata ia berpunca daripada hilangnya minat terhadap bidang ilmu yang mereka menceburi. Prof Zuria menggesa ibu bapa menggalakkan anak mereka mengambil bidang pengajian yang mereka gemar serta bersukan. Beliau berkata pengaruh rakan handai merupakan faktor penting bagi remaja di universiti yang boleh mengakibatkan terjadinya sesuatu yang tidak diingini. Adalah penting bagi ibu bapa campur tangan dan menunjukkan bahawa mereka mengambil berat dan mengasihi anak mereka, bagi menghindar anak-anak terjebak dalam masalah sosial. 

“Sebenarnya, pelajar bermasalah memerlukan sokongan semua pihak dan berilah peluang kepada mereka untuk meluahkan apa yang terbuku di hati,” tambah beliau. 

Kajian beliau mendapati pelajar lebih suka bercerita mengenai masalah masing-masing kepada kaunselor berbanding dengan ibu bapa. Ini adalah kerana ibu bapa kerap memotong cakap anak-anak yang baru mahu berkongsi cerita. Sepatutnya ibu bapa harus bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak.

Mengenai kerjasama untuk membanteras masalah sosial, Prof Zuria berkata, kaunselor perlu mempunyai hubungan baik dengan guru, pentadbir sekolah, polis, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak hospital.

Sumber :  UKM News Portal

Tiada ulasan: