Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Februari 01, 2010

KELAS TAMBAHAN DAN KELAS KEMAHIRAN BERI BEBANAN KEPADA KANAK-KANAK MASA INI.

Kemeriahan bermain galah panjang, batu seremban, tenteng dan sebagainya lagi sudah tidak dirasai oleh kanak-kanak masa kini. Apa yang ketara, mereka lebih terdedah dengan teknologi yang semakin canggih seperti permainan video, internet dan sebagainya lagi.

Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka yang jadual harian padat dengan segala macam aktiviti. Pagi ke sekolah, petang pula ke kelas tuisyen selain kelas kemahiran yang telah sedia diatur oleh ibu bapa. Tujuannya supaya anak-anak dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu yang berguna demi masa depan mereka kelak.

Isu kali ini mengupas anggapan sesetengah pihak kononnya pelajar sekarang dibebani dengan pelbagai tuntutan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka berjaya. Ini termasuklah mendaftarkan anak-anak memasuki kelas tambahan, kelas muzik, kelas tarian dan sebagainya lagi. Akibatnya, anak-anak tidak mempunyai masa terluang seperti mana kanak-kanak lain seusia dengan mereka. Kebanyakannya anak-anak ini adalah mereka yang tinggal di kawasan bandar. Lantaran itu, pelajar kini dikatakan menghadapi tekanan berbeza berbanding dengan pelajar zaman dulu. Ia diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa itu sendiri yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama-sama dengan anak-anak atau mendidik mereka untuk menjadi manusia yang berguna. Mereka lebih sibuk mengejar duit kononnya demi kebahagiaan keluarga.

Untuk mengelakkan anak-anak terbabit dengan gejala kurang sihat, mereka memilih untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan kemahiran. Harapan mereka, masa anak-anak akan lebih berguna dan tidak terbuang begitu sahaja. Namun, di sebalik itu, anak anak pula berasa sebaliknya.

Mengupas isu berkenaan, wartawan Mingguan Wanita menemu bual pelajar, guru dan ibu bapa sejauh mana kelas-kelas ini membebani anak-anak. Menurut Suzana Bt Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, anak-anak seharusnya tidak perlu rasa dibebani dengan pelbagai tuntutan yang dibuat oleh ibu bapa.

“Sebagai ibu bapa, semestinya mereka inginkan anak-anak berjaya. Bezanya, cara ibu bapa menyuarakan hasrat tersebut. Jika sampai mengherdik, marah-marah bila anak-anak kurang berjaya, itu tindakan yang salah. Ibu bapa perlu mendekati anak-anak, sama-sama membimbing mereka dalam usaha mencapai kejayaan tersebut. Pada saya, wajar atau tidak ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas tambahan, kelas kemahiran dan sebagainya bergantung kepada penerimaan anak-anak itu sendiri. Jika dalam diri mereka sudah bercambah minat untuk menghadiri kelas kemahiran tersebut, memanglah wajar. Jika memaksa anakanak, tindakan tersebut adalah tindakan yang kurang wajar. Anak-anak biarpun masih di usia muda, perlu diajar bertolak ansur dan berbincang. Sewajarnya ibu bapa berbincang dengan anak-anak tentang hasrat mahu memasukkan mereka ke kelas tersebut. Malah, ibu bapa juga perlu menjelaskan tentang keperluan kenapa mereka perlu masuk kelas tersebut supaya anak-anak faham dan tidak memberontak dalam diam. Jika anak-anak enggan, gunakan pendekatan yang berhemah dan jangan menggunakan kekerasan. Paling penting, jangan memaksa. Mengajar anak boleh tegas tapi bukan keras. Kalau ibu bapa gunakan paksaan, anak-anak akan lebih mudah melawan dan memberontak. Malah, ibu bapa perlu memastikan kelas-kelas kemahiran tersebut tidak mengganggu waktu pembelajaran dan ulang kaji anak-anak sebab pelajaran di sekolah lebih perlu dan penting. Jangan sampai yang di kejar tak dapat, yang di kendong keciciran,” jelas Puan Suzana lagi.

Tambahnya lagi, semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Dalam zaman yang serba mencabar Sebagai seorang Muslim, anak-anak wajib dihantar untuk mendalami ilmu agama, ajar mengaji al-Quran dan boleh dimulakan sedari awal umur3-4 tahun. Namun, untuk kelas kemahiran lainnya, bukan satu perkara yang wajib. Namun, tak salah jika mahu mulakan ketika usia yang muda. Menurut Suzana lagi, anak-anak lebih mudah belajar ketika usia muda. Bezanya, jika ibu bapa Muslim mementingkan kemahiran lain berbanding ilmu agama dan mengaji al-Quran, bererti ibu bapa telah lalai tanggungjawab sebagai ibu bapa.

“Kebanyakan ibu bapa yang tinggal di bandar lebih cenderung menghantar anak-anak ke kelas kemahiran dan sebagainya jika dibandingkan ibu bapa di luar bandar. Selain hasrat mahu anakanak menjadi yang terbaik, mungkin ini merupakan salah satu cara agar anakanak tidak tinggal sendirian di rumah, selain langkah dalam memastikan keselamatan anak-anak terjaga.

Begitu pun, ia bergantung kepada penerimaan anak-anak, kalau anakanak bersedia dan boleh menerima, mereka akan gembira dan bakal memiliki kemahiran tersebut. Sebaliknya jika tidak berminat, mereka hanya akan menghabiskan wang ibu bapa, akan membenci ibu bapa secara diam. Disebabkan keterpaksaan itu juga bakal mengundang masalah lain terutama kepada serta boleh mengganggu pelajar lain.

Sementara itu, Harnani Haji Buang, 29 tahun, mengakui, sebagai ibu bapa, dia mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Lantaran itulah, sedari awal, dia sudah mendedahkan anak-anaknya dengan kelas kemahiran seperti muzik, tarian dan sebagainya.

“Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka, tetapi kenalah ikut kemampuan anak-anak dan jangan terlalu memaksa mereka. Saya sendiri, ada menghantar anak ke kelas tambahan walaupun baru memasuki tahun satu, tetapi hanya di hujung minggu sahaja. Tetapi, saya hadkan masa selama lebih kurang dua jam. Memandangkan anak saya minat kelas silat, jadi saya daftarkan dia walaupun masih kecil kerana itu permintaannya sendiri. Selain itu, saya juga mendaftarkan anak saya ke kelas agama di sekolah swasta memandangkan masa di sana tak lama. Jadi, dia takkan terasa penat kerana pagi kena ke sekolah. Malah, saya tidak menghalang sekiranya mereka mahu bermain atau melakukan aktiviti yang digemari supaya mereka tak rasa terkongkong. Walaupun mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi kita juga harus tahu keinginan mereka. Kadang-kadang ada anak-anak yang melakukan semua aktiviti akibat terpaksa atau takut dengan ibu bapa mereka, padahal dalam hati mereka timbul keinginan lain. Sebab itu, sebagai ibu bapa, kita kena mendengar apa yang anak-anak mahukan. Tak dinafikan, ibu bapa di bandar lebih suka menghantar anakanak ke kelas kemahiran berbanding ibu bapa di luar bandar. Mungkin faktor kewangan antara punca kenapa ibu bapa di luar bandar tidak berbuat demikian. Selain itu, faktor kemudahan juga antara salah satu punca kerana di Bandar lebih banyak kelas-kelas kemahiran diwujudkan dengan tenaga pengajar yang ramai. Selain itu, kebimbangan anak-anak terlibat dalam gejala social menyebabkan ibu bapa di Bandar cenderung menghantar anak-anak mereka ke kelas kemahiran bagi memastikan setiap masa terluang di isi dengan baik. Mereka bimbang, perkara tak baik akan berlaku pada anak-anak jika dibiarkan tanpa kawalan. Tetapi jika terlalu memaksa anak-anak, ini akan membuatkan jiwa mereka memberontak dalam diam. Sehinggakan ada yang sanggup menipu kononnya ke kelas tersebut tetapi sebenarnya tidak. Sebaiknya ibu bapa kena selalu memantau dan jangan terlalu memaksa jika anak-anak tak suka,” kata Harnani dengan panjang lebar.



Tiada ulasan: