Berita Minggu
MEMILIKI kediaman dengan kawasan yang terhad sebenarnya tidak menyekat usaha menghias laman rumah. Sebaliknya, ada banyak cara untuk menghias laman walaupun ruang laman kecil atau sekadar balkoni kecil untuk kediaman tinggi seperti apartmen dan kondominium.
Pasu gantung adalah cara yang terbaik untuk menghias laman terhad atau ruang balkoni kediaman dan pakar landskap pastinya mencadangkan cara berkenaan untuk menceriakan persekitaran kawasan terhad. Namun, teknik ini memerlukan pengetahuan mengenai spesies yang sesuai, pemilihan bekas tanaman dan kreativiti mencipta dekorasi sampingan hingga membolehkan setiap pasu digantung kelihatan indah menawan.
Bagaimanapun, diketahui tidak semua pokok hiasan boleh ditanam dalam pasu gantung kerana sesetengahnya mungkin alah kepada tiupan angin atau hayunan pasu. Selain itu tekstur daun dan bentuk asal batang pokok juga penting kerana jika tidak memiliki sifat berjuntai atau menjalar mungkin tidak cantik untuk laman.
Berikut langkah mudah penyediaan pasu gantung
A. Penyediaan peralatan dan kelengkapan:
- Pokok yang sesuai - contoh : Begonia tuberos, Clorophytum, Petunia, Hemigraphis, Impatiens, Pepromia, Clerodendron.
- Bekas pasu gantung
- Media : Peatgro ( Bahan Organik ), Cocoa Peat @ Sekam Padi, Baja Asas ( TSP, NPK, Ca/Mg@Kapur pertanian )
- Gunting, sudip pertanian
B. Penyediaan media tanaman
- Campuran tanah terbaik untuk pasu tanaman pokok gantung: 1 : 1 : 1 Peatgro (Bahan Organik) : Cocoa Pith : Sekam Padi, atau 1 : 1 Peatgro (Bahan Organik) : Cocoa Pith atau Sekam Padi. Perlu diingat, pokok yang baik bermula dengan tanah (media) yang bagus.
- Baja asas Baja Organik - 150 gram Baja Phosphate ( TSP ) - 150 g Kapur Pertanian ( Ca ) - 60 g (Sila rujuk keluaran Berita minggu ruangan laman topik : campuran tanah)
C. Cara penanaman dilakukan dengan tiga cara:
- Semaian biji benih ( seedling )
- Semaian terus - menggunakan keratan atau pokok matang
- Pot-in-Pot Ruangan kali ini akan menerangkan kaedah tanaman terus dan Pot-In-Pot saja yang lebih mudah diikuti.
D. Langkah penyediaan pasu gantung:
- Campurkan campuran media penanaman dengan sekata. Penggunaan Peatgro sebagai media penanaman utama sangat penting kerana memberikan kualiti media yang baik, pH yang sesuai serta memastikan kelembapan yang sekata. (Rujuk keluaran Berita Minggu pada isu penyediaan media penanaman)
- Pastikan pasu gantung sesuai dari segi saiz.
- Bahagian lapisan bawah - gunakan sabut kelapa sebagai lapisan pengairan.
- Masukkan media tanaman yang sudah dicampurkan
Semaian terus - keratan
- Pilih keratan pokok yang sesuai
- Sapukan hormon penggalak akar
- Tanam mengikut susunan yang dikehendaki. Boleh juga gabungan menjalar (di hujung pasu) dan pokok menonjol di bahagian tengah.
Tanaman terus - pokok matang
- Penuhkan sebahagian pasu gantung dengan campuran tanah
- Keluarkan pokok dari pasu
- Tanam secara mengiring
- Penuhkan dengan tanah campuran semula ataupun Peatgro
- Buatkan sungkupan menggunakan sabut kelapa ( cocoa fiber )
Pot-In-Pot
- Penuhkan sebahagian pasu gantung dengan tanah campuran
- Tanam terus pokok bersama pasu . Susun keliling dan secara mengiring ( slanting )
- Tambahkan campuran media tanaman ataupun Peatgro
- Buat Sungkupan menggunakan sabut kelapa ( Cocoa fiber )
F. Penjagaan dan penyelenggaraan
- 1. Pembajaan - Gunakan Side Dressing ( tabur tepi) 4 - 6 minggu, 30 - 40 g baja NPK 15-15-15-TE atau baja cecair
- 2. Pengurusan air - Pastikan tidak menggunakan air yang berlebihan. Hanya pastikan media tanaman dalam keadaan lembap
- 3. Pemangkasan - Penting menjalankan pemangkasan untuk memastikan lebih banyak tunas bunga baru. Pemangkasan pada cabang yang tua serta tidak memberikan bentuk yang menarik. Pemangkasan juga untuk membuang daun atau cabang yang berpenyakit
- 4. Kawalan Penyakit - Sembur menggunakan Racun Serangga dan perosak ( Kelas 4 ) atau menggunakan pencegah serangga organik - campuran bahan Dapur (Rujuk kolum yang lalu mengenai usaha tanam bendi). Guna bila perlu saja.
G. Lokasi
Bergantung kepada jenis tanaman. Rujuk nurseri mengenai pemilihan pokok serta keperluan pencahayaan. Kebanyakan memerlukan cahaya terus dan ada yang memerlukan pencahayaan tidak lebih 40 peratus pencahayaan. Selamat Mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan