Ia juga boleh ditafsirkan sebagai seni mengatur tanaman dalam balang kaca atau bekas lutsinar dalam bentuk kecil atau mini. Penataan seni hias dalam terarium ini sama seperti seni menghias landskap tetapi ia dihasilkan dalam bentuk mini.
Terarium akan menampilkan taman mini dalam media kaca. Terarium dapat menggambarkan kedudukan di alam yang sebenar dalam media kaca berkenaan. Misalnya terarium dapat menggambarkan ekosistem gurun, ekosistem padang pasir, ekosistem hutan hujan tropika atau laman Jepun, Cina dan Inggeris.
Terarium diperkenalkan dalam seni hiasan Inggeris yang banyak dilakukan kelompok keluarga bangsawan. Seni taman mini ini turut berkembang ke seluruh dunia dan amat digemari mereka yang suka seni hiasan laman. Sejak kebelakangan ini, seni ini kembali digemari penggemar hiasan seni laman.
Seperti landskap kediaman, terarium juga perlu dirawat, diselenggara, dipangkas dan disiram selalu bagi membolehkannya terus hidup dan berkembang. Sirami tanaman atau media tanah dengan air apabila tanaman mulai kering.
Seeloknya, secara rutin lakukan penyiraman setiap seminggu sekali atau kurang jika diperlukan mengikut spesies tanaman. Potong daun yang mulai rosak atau kering supaya tanaman dalam terarium tetap indah.
Lokasi tanaman juga perlu diberikan perhatian. Seeloknya jangan letakkan di kawasan yang terdedah dengan sinar matahari secara langsung kerana ia akan menyebabkan tanah cepat kering.
Jika haiwan kecil diletakkan di dalam terarium, bersihkan bahagian dalam bekas itu daripada sisa kumbahan dan makanan haiwan atau serangga berkenaan. Paling menarik letakkan terarium di atas meja laman kerana ia sesuai menggantikan jambangan bunga.
Keunikan terarium jelas membuktikan ketekunan mereka yang menghasilkannya dan satu cabang seni hiasan laman yang perlu dipelajari bagi mereka yang sukakan seni hiasan laman.
- Terarium terbuka - Terarium jenis ini terbuka dan terdedah di bahagian atasnya atau atau tidak tertutup. Taman mini jenis ini paling digemari ramai
- Terarium tertutup - Bekas kaca atau lutsinar untuk terarium ini biasanya tertutup rapat di semua bahagian. Tujuannya untuk membuat biosfera yang unik di dalam terarium itu. Terarium ini yang paling sukar dibuat dan dirawat.
- Terarium haiwan kecil - Terarium ini dikenali sebagai vivarium kerana ia menjadi kaca atau balang penyimpanan dan pameran untuk haiwan kecil dan serangga. Haiwan yang biasa diletakkan dalam vivarium ialah katak, kura-kura kecil, labah-labah dan rama-rama dan ulat. Vivarium juga dihiasi tanaman dan biasanya dihasilkan meniru habitat sebenar haiwan atau serangga yang disimpan.
- Jenis tanaman - Tanaman seperti sansiviera, kaktus, sukulen, lumut, paku pakis dan bromelia.
Berita Minggu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan