Dapat meluangkan masa makan bersama seisi keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberi kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan dalam kesibukan kita, amat sukar untuk mencari masa makan bersama terutama pada waktu siang tetapi rasanya kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.
Waktu makan bersama bukan saja menjadi saat penting untuk membina ikatan keluarga, malah tanpa anda sedari ia turut mempunyai manfaat besar terhadap kesihatan. Antara kelebihan yang boleh anda peroleh ketika makan bersama ialah:
- Tabiat makan anak menjadi lebih baik - Ia dapat mengekang masalah berat badan berlebihan di kalangan anak-anak. Bagaimana? Biasanya ketika makan bersama, ibu bapa akan berusaha menyediakan sajian seimbang yang secara tidak langsung boleh merangsang anak-anak untuk mendapat khasiat pemakanan yang diperlukan. Paling penting, sajian yang disediakan di rumah jauh lebih rendah kandungan lemak, gula dan garam berbanding makanan segera.
- Tabiat makan ibu bapa juga menjadi lebih baik - Pada ketika inilah ibu bapa perlu menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan minum air kosong.
- Belajar adab sopan - Kalau anda perhatikan, adab di meja makan kini semakin hilang terutama di kalangan generasi muda. Ramai anak-anak lebih suka menikmati makanan di depan televisyen. Jika makan di meja, ada yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran mahupun sambung mengadap permainan komputer. Ketika inilah anda boleh menetapkan disiplin atau peraturan di meja makan. Ini termasuklah mengajar anak-anak menyiapkan meja makan, makan perlahan-lahan (dan kunyah makanan hingga lumat sebelum ditelan) serta melatih mereka mengemas selepas siap makan. Pastikan anda suami isteri juga mematuhi peraturan yang anda tetapkan. Tahukah anda, perlakuan anak-anak sebenarnya mencerminkan perlakuan kita di rumah? Justeru itu, janganlah kita mempamerkan tingkah laku yang kurang menyenangkan kerana ia akan ditiru dan dipaparkan anak-anak di depan orang.
- Nikmati masa berkualiti dengan anak-anak - Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan. Ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh anda tanyakan ialah peristiwa menarik di sekolah pada hari itu, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau mengenai kawan rapatnya. Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan dapat meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik. Bahkan ketika inilah juga anda secara rahsia boleh mengesan pergerakan harian anak-anak terutama yang sudah masuk usia remaja.
- Kajian menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, minum minuman keras, mengambil dadah, berasa murung, menjauhi seks sehingga tiba waktu sesuai dan mengalami masalah pemakanan. Pada masa sama emosi mereka akan bertambah baik, menunjukkan prestasi baik di sekolah, belajar perkataan baru dan tahu mengenai adab di meja makan. Menurut pakar antropologi di Universiti Rutger di New Jersey, Robin Fox, makan bersama keluarga adalah cara untuk membentuk adab sopan kepada anak-anak. Ia adalah cara mengajar mereka menjadi anggota masyarakat yang berbudaya dan berhemah.
- Anak-anak mempunyai pandangan negatif positif terhadap ibu bapa mereka - Masa makan juga adalah masa terbaik untuk memuji anak-anak dengan berterima kasih kepada perlakuan baik dan kerajinan mereka membantu anda. Paling mudah anda boleh berterima kasih kerana mereka rajin ke sekolah dan belajar. Anak-anak dari keluarga yang jarang makan bersama akan rasa tertekan apabila sesekali berpeluang berkumpul dengan ibu bapa. Apa yang lebih membimbangkan ialah kajian mendapati anak-anak ini berasa diri mereka tidak begitu penting dan tidak menjadi kebanggaan ibu bapa kerana jarang makan bersama.
- Kemahiran berfikir dan bertutur anak-anak akan bertambah baik. Ini boleh dicapai kerana ada perbualan panjang antara ibu bapa dan anak-anak ketika makan.
- Anak-anak lebih cepat belajar perkataan baru ketika perbualan di meja makan berbanding perkataan yang dikutip ketika ibu atau bapa membacakan mereka buku cerita.
- Keakraban hubungan keluarga yang terbentuk daripada makan bersama seisi keluarga memberi kesan besar kepada kehidupan anak dan kesan positif ini akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tabiat pemakanan yang baik dipupuk dari kecil akan diamalkan sepanjang hayat.
- Bagi remaja, kekerapan makan bersama keluarga bermakna akan berkuranglah pengambilan makanan segera dan minuman ringan yang mengandungi banyak lemak dan gula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan