Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, April 04, 2012

TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA NUR FATIN LIYANA PENERIMA BEST CELEBRITY BLOG DALAM WORLD BLOGGER & SOCIAL MEDIA AWARD 2012

Nur Fatin Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Fatin, 22, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini sejujurnya mengakui penglibatan dalam dunia blog awalnya hanya semata-mata mahu berkongsi pengalaman belajar di negara orang. Lalu terciptalah blog yang bernama honeykoyuki yang pada mulanya berkisar tentang kehidupannya sebagai pelajar di perantauan.

Mula menulis blog pada 5 Januari 2009, dalam tempoh yang singkat dia mampu mengumpul beribu ‘pengikut’ tegar sehingga mampu meraih beberapa anugerah. Blog diberi nama ala Jepun itu telah dinobatkan sebagai Top 6 Fastest Rising People in Google Zeitgeist Malaysia 2011, Top 5 Blog in Google Zeitgeist Malaysia 2011 dan terbaru Best Celebrity Blog in World Blogger and Social Media Award 2012.

Ia merupakan antara pencapaian dalam dunia blog yang tidak pernah sama sekali diduga oleh pelajar tahun empat Ijazah Perubatan, program berkembar antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Universitas Padjadjaran Bandung (UNPAD) ini.

“Memang tidak pernah terlintas di hati saya untuk bergelar celebrity blogger. Memang tidak pernah menyangka hasil penulisan pertama saya mempunyai ramai pembaca dan tidak pernah termimpi untuk jadi popular. Apa yang saya buat cuma menulis dan tiba-tiba ramai pula yang baca blog saya. Bagi saya tidak ada apa yang terlalu istimewa sebab seperti mereka, saya juga orang biasa cuma mungkin mereka suka blog saya kerana ia santai dan ‘sempoi’. Bahasa yang saya gunakan juga santai sehingga pembaca boleh merasai dan terkesan dengan apa yang dibaca,” jelas Nur Fatin Liyana.

Melalui blog tersebut, Fatin berkongsi tentang tip fesyen, resipi, tip kesihatan, kehidupan seharian sebagai pelajar dan pengalaman hidupnya yang gemar mengembara. Perkara paling mengujakan gadis ceria ini sejak aktif menjadi penulis blog ialah berkenalan dengan ramai orang yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya. Dia juga tidak menafikan dengan adanya blog dia sering bertukar pendapat sekali gus menjadikannya manusia yang lebih baik. Blogging juga mengubah personaliti beliau iaitu menjadi lebih terbuka, lebih bersabar dan lebih kuat.

Fatin yang masih meneruskan latihan kedoktoran di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga hanya akan menulis blog pada masa lapangnya sahaja. Fatin menegaskan dan menasihati penulis blog lain terutama yang terdiri daripada para pelajar agar tahu keutamaan dan tahu juga mengawal diri. Apabila membuat sesuatu kebaikan, buatlah bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Tiada ulasan: