Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.
Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan
paluan nobat dengan lagu Perang bergema di Balairong Seri dan para
hadirin berdiri dan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali,
diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy
Zairakithnaini.
Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan
lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja
Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Sabri Abdullah.
Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu
disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan
Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor,
Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana
Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing. Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat
yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan
kerajaan lainnya.
Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka
kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang
di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang
ditabalkan di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada
1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda
ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84
tahun.
Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk
Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan
sebagai Yang di-Pertuan Agong V, Perdana Menteri pada masa itu adalah
ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.
Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul
Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan
nafiri dan paluan nobat lagu “Belayar” oleh Kumpulan Nobat Diraja
Kedah. Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.
Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang
diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola
Bijaya Diraja, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah
al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat
Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana
Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd Aziz Che Yacob
dengan diiringi paluan nobat dengan lagu “Palu”.
Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai
agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh
Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.
Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang
terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.
Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat
pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri. Ini diikuti dengan
Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang
merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup
sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan
kekuasaan kepada Seri Paduka.
Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan
Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia,
mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan
sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil
dan aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan