Mulai tahun depan, proses pelantikan pengetua dan guru besar akan
dimantapkan lagi dengan memastikan kepimpinan berprestasi tinggi
ditempatkan di setiap sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata proses pelantikan itu
akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk
bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional
Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan oleh Institut
Aminuddin Baki (IAB).
Beliau berkata, selain itu, penilaian akan turut dibuat berdasarkan
kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab
mereka, sifat kreativiti dan inovasi mereka di samping mempunyai rekod
cemerlang dalam kerjaya mereka sebagai guru.
Tahun depan, pelantikan guru besar dan pengetua adalah berdasarkan
penilaian, bila ada kekosongan, jawatannya akan diisi oleh guru yang
terbaik, kita akan ambil kira soal ujian dan pencapaian yang dicapai
oleh guru ini berdasarkan kursus yang mereka jalani.
Tujuannya supaya kementerian dapat menempatkan kepimpinan sekolah iaitu pengetua
dan guru besar yang terbaik daripada kalangan terbaik, bermakna mereka
haruslah melalui proses penilaian dari segi tahap kepimpinan dan perkara
lain yang berkaitan dengan kemampuan mereka melaksanakan
tanggungjawabnya.
Muhyiddin berkata ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara ini
selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di mana
antara anjakan paling penting dalam pelan itu ialah keupayaan guru dan
kepimpinan di sekolah.
Kalau sekolah itu berjaya, antara faktor utama ialah daya kepimpinan
di sekolah itu, iaitu pengetua dan guru besar, latihan sudah bermula
tetapi proses penilaian itu akan dibuat berdasarkan kursus yang telah
mereka lalui dan pencapaian yang lain.
Kemasukan untuk NPQEL dibuka sepanjang tahun, dan IAB
merancang untuk melatih 1,000 orang guru tahun depan yang dipilih dari
kalangan guru terbaik. Program itu telah
melahirkan graduan yang mempunyai kepimpinan berwibawa dan mampu
meningkatkan prestasi sekolah yang dipimpin.
Institusi sekolah memerlukan kepimpinan yang berbeza
daripada apa yang ada sebelum ini untuk menghadapi semua cabaran dengan
berkesan. Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh lagi
disandang secara automatik, tetapi perlu melalui suatu proses penapisan
yang teliti dan melalui program latihan dan bimbingan yang
komprehensif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan