Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, Julai 31, 2013

RAMADHAN INI BUANG NAFSU BESAR JAUH-JAUH

Sudah tiga minggu kita berpuasa. Bermakna seminggu lagi Ramadan akan berlalu pergi. Jika dihitung sudah masuk 22 hari, namun ada yang berasakannya sekejap, malah tidak sempat pun untuk mengkhatamkan al-Quran. Jangan dikatakan nak baca al-Quran setiap malam, solat Tarawih pun jarang dilakukan kerana berat hati ke masjid. Ada yang tak buat solat Tarawih, malah tidak ambil kisah langsung.

Bagi yang tidak mengerjakannya, pelbagai alasan diberi; tak sempatlah, sibuklah, letih dan macam-macam lagi. Selepas berkali-kali tak pergi masjid, akhir sekali terucaplah sebab yang sebenar iaitu malas. Tapi, anehnya ke tempat lain boleh pula pergi, bahkan cukup bersemangat, misalnya ke pusat beli-belah, meronda-ronda sambil membeli berpasang-pasang baju raya, bukan main rajin dan seronok. Maklumlah dah nak habis puasa, rayalah pula. Bukan sehelai dua dibelinya, tapi selagi hati belum puas dan tangan masih boleh membimbit bungkusannya. Semua yang dipandang cantik belaka dan berasa rugi sekiranya tidak dibeli.

Itulah nafsu, cukup licik memperdayakan empunya diri. Jahatnya tidak peduli kemuliaan Ramadan. Ke masjid tidak disukai, malah dirasakan cukup memaksa diri. Namun, ke pusat beli-belah bukan main gembira. Apabila membeli-belah, bukan keperluan menjadi keutamaan, tapi kehendak yang didahului. Sebab itu nafsu berbisik, sepasang tak cukup, hendak dua, tiga atau lebih. Malah, jika mampu semua yang cantik mahu dibelinya. 

Tanpa dikawal nafsu makin menjadi-jadi, memuja keseronokan, kerehatan dan kesenangan saja. Sampai satu tahap, hanya keinginan nafsu dipenuhi manakala perintah Tuhan dilupakan dan akhirnya jadilah diri hamba kepada nafsu.

Firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 50 bermaksud: “...sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsu dengan tidak mendapat petunjuk Allah? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” 

Saidina Umar al-Khattab berkata: “Lautan itu ada empat, iaitu hawa (nafsu) adalah lautan dosa, nafsu lautan syahwat (keinginan), maut lautan umur dan kubur lautan penyesalan.” Benar, hawa nafsu adalah kecenderungan untuk memenuhi keinginannya tanpa mempedulikan batas syarak, malah kerap kali terlanjur kepada perlakuan maksiat. 

Namun, jarang pula yang berasa kesal dan insaf. Saidina Ali karramallahuwajhah pernah berkata: “Aku berasa khuatir terhadap kamu dengan dua perkara iaitu mengikuti keinginan nafsu dan panjang angan-angan.” 

Tipu daya nafsu tidak boleh dipandang ringan. Awasilah ia kerana setiap kejahatan dipandangnya sebagai mulia, yang haram dirasakan halal lagi mulia manakala kelalaian dipuja cukup gembira. Kita lihat kepada kata-kata Imam Ghazali dalam Minhaj al-Abidin yang menjadikan nafsu sebagai penghalang terakhir bagi seseorang ahli ibadat untuk menuju kepada hadrat Tuhannya.

Oleh itu, itu katanya, adalah wajib ke atas orang hendak beribadat berhati-hati terhadap nafsu yang selalu mengajak ke jalan kejahatan, sebab nafsu itu musuh yang sangat menyesatkan dan membinasakan.

Menurutnya, bahaya nafsu sangat besar, ubatnya sangat sukar, malah penyakitnya sangat berat. Sesetengah ahli ibadat memanjatkan munajat: “Oh Tuhanku, angan-angan yang mengarut sudah menipuku, kecintaan terhadap duniawi sudah merosak diriku, syaitan juga menyesatkan jalanku, hawa nafsu pendorong kejahatan itu menghalang aku daripada kebenaran.

“Teman yang jahat membantu aku dalam melakukan maksiat. Maka tolonglah aku wahai Tuhan, penolong terhadap mereka yang mohon pertolongan dan jika Engkau tidak memberiku rahmat, siapa lagi selain Engkau yang dapat merahmatiku.” 

Disebabkan nafsu sangat berbahaya, ada orang berpendapat, sekiranya di dunia ini tidak ada nafsu, tentu semua sentiasa dalam keadaan selamat dan baik sahaja. Tapi dia terlupa, jika tiada nafsu bagaimana pula dia boleh tertarik kepada kenikmatan dan keindahan? Bukankah hidup akan menjadi hambar jika unsur seperti itu tiada? Sungguh, ciptaan Allah sudah sempurna. Yang penting bagi kita mendidik nafsu dan menguasainya, malah sentiasa mengawasi diri daripada terikut-ikut dengannya. Jangan biarkan nafsu menguasai diri kerana sekali dikuasainya sukar untuk kita melepaskan diri daripadanya.

Justeru, dalam kesempatan yang masih ada di penghujung Ramadan ini marilah kita terus melawan hawa nafsu dan mengekangnya daripada mengganggu tumpuan untuk mengerjakan amalan ketaatan kepada Allah. 

Kita manfaatkan hari-hari terakhir bulan mulia ini dengan solat berjemaah di masjid, berzikir tak kira waktu, bersedekah dan membantu orang lain. Usah berangan-angan menanti Ramadan berikutnya untuk beramal, jika Ramadan kali ini dibiarkan berlalu sahaja.

Tiada ulasan: