200 Pelajar Selesa Di kabin
MELAKA 4 Jan. - Hari pertama persekolahan bagi 200 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai dekat sini menggembirakan walaupun kelas mereka hangus terbakar awal bulan lalu.
Namun apabila Kementerian Pelajaran membuat keputusan membina kelas baru berkonsepkan kabin sebagai kelas sementara, bayangan awal pelajar adalah kabin yang akan digunakan itu sempit, tidak selesa dan panas.
Sebaik menjejakkan kaki di sekolah tersebut kira-kira pukul 7.45 pagi ini, pelajar dan ibu bapa terkejut melihat empat buah kabin itu yang menempatkan enam kelas menyediakan persekitaran cukup selesa untuk belajar.
Menurut pelajar, kabin itu jauh lebih baik daripada kelas yang mereka duduki sebelum ini.
Salah seorang pelajar, Mazlinda Mohd. Tin, 15, berkata, pada mulanya dia menggambarkan kelas sementara itu seperti kontena yang panas dan berlantaikan tikar getah.
Bagaimanapun, sangkaannya itu meleset setelah melihat kabin itu yang lapang, bersih dan ceria dilengkapi kipas, kerusi dan meja baru.
"Mula-mula tengok kelas rasa tidak sabar hendak masuk dan saya rasa ia amat sesuai dijadikan kelas tambahan kerana persekitarannya yang nyaman. Bukan sahaja selesa, malah lebih baik daripada kelas kami sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian 10 Disember lalu, seramai 115 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila tingkat tiga blok A yang menempatkan enam buah kelas musnah dalam kebakaran itu.
Sehari selepas itu, Kementerian Pelajaran menjanjikan pembinaan empat kabin sebagai kelas sementara yang dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula hari ini.
Seorang lagi pelajar, Aisar Ahmad, 14, berharap kabin itu akan dijadikan sebagai kelas tambahan untuk pelajar mengulang kaji pelajaran setelah kerja-kerja memperbaiki semula kelas yang terbakar siap kelak.
"Saya percaya ramai pelajar akan lebih selesa belajar di sini kerana walaupun cuma menggunakan kipas siling, suasananya lebih nyaman berbanding kelas dalam bangunan," katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Bukti Rambai, Zainal Aman mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana berjaya menyiapkan kabin baru itu dalam tempoh sembilan hari sahaja. Tambahnya, sebelum ini beliau berasa bimbang jika kabin tersebut tidak sempat siap sebelum sesi persekolahan baru dibuka.
"Pada mulanya kita merancang untuk menggunakan ruang bilik bacaan asrama sekolah sebagai kelas sementara jika kabin tersebut lewat disiapkan. Bagaimanapun, saya lega kerana semuanya berjalan lancar dan keempat-empat kabin yang menempatkan enam kelas dengan bilangan 35 pelajar setiap kelas dapat digunakan hari ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan