Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Januari 04, 2010

GURU ABAI TANGGUNGJAWAB CALAR IMEJ PROFESION PERGURUAN


Guru Abai Tanggungjawab Calar Imej Profesion Perguruan

BEBERAPA persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan 'kerja luar' berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan lumayan. Pada masa sama mereka mencadangkan guru terbabit sedar tanggungjawab dan amanah diberikan, jika tidak pun terus melepaskan jawatan bagi menjaga nama baik profesion keguruan dan masa depan anak didik. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama ‘nila setitik rosak susu sebelanga‘.

Ia boleh mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru komited menjalankan tanggungjawab masing-masing. “Tidak dinafikan, di kalangan lebih 300,000 guru seluruh negara ada kes terpencil guru menjalankan kerja luar hingga hilang tumpuan terhadap tugas mengajar dan mereka ini perlu ada kesedaran untuk keluar daripada profesion perguruan.

“Hak guru mencari pendapatan tambahan tidak boleh disekat, malah ada membuktikan mereka mampu mengimbangi tuntutan kedua-dua tanggungjawab dengan baik,” katanya kepada Berita Harian.

Buat masa ini, Loke berkata, memadai jika pentadbir sekolah diberi kuasa memantau dan mengambil tindakan terhadap guru yang lebih mengutamakan kerja luar. Mengenai cadangan pelaksanaan semula sijil kelayakan mengajar, katanya, ia memerlukan kajian jangka panjang terutama dari aspek pelaksanaan dan perundangan. bagaimanapun, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia menyokong penuh cadangan pewujudan semula pensijilan itu sebagai mekanisme mengembalikan guru kepada tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata langkah itu membantu usaha pentadbir sekolah memantau guru yang sibuk dengan kerja luar hingga mengganggu tugas mengajar.

“Walaupun tiada halangan guru menjana pendapatan tambahan termasuk menerusi perniagaan jualan langsung dan MLM, kita tidak menggalakkan mereka berbuat demikian jika gagal memanfaatkan masa antara pengajaran dan kerja luar. Jika ingin dilaksanakan, kami cadang ia diperbaharui tiga tahun sekali supaya tidak memberi tekanan kepada pendidik dan membolehkan penilaian lebih adil serta menyeluruh dilaksanakan,” katanya.

Tiada ulasan: