Ahad, Januari 17, 2010
PEMBANGUNAN SEKOLAH WAJAR IKUT KEADAAN SEKITAR
Minda Pengarang: Pembangunan Skolah Wajar Ikut Keadaan Sekitar
IKRAR kerajaan untuk memberi kemudahan dan prasarana pendidikan setara kepada semua sekolah di negara ini diharap dapat melenyapkan sebarang keraguan yang mungkin timbul berhubung perkara itu. Jika sebelum ini ada pihak yang gusar beberapa inisiatif kerajaan dilihat seolah-olah menjurus ke arah diskriminasi, kini rasional di sebaliknya sudah diperjelaskan. Sebenarnya, hakikat bahawa semua sekolah diberikan layanan sama sudah lama terbukti. Inisiatif memberi status khusus seperti sekolah premier, sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi, sekolah terbaik atau sekolah kluster umpamanya bukan bermakna mereka mendapat layanan berbeza. Sebaliknya ia dibuat untuk memupuk budaya kecemerlangan dan prestasi tinggi supaya boleh dicontohi. Sekolah di negara ini mempunyai tahap pencapaian berbeza dan antara faktor utama mempengaruhinya ialah latar belakang sosioekonomi murid di sesuatu kawasan. Prestasi sekolah di bandar umumnya lebih baik berbanding pedalaman dan begitu juga kemudahan yang disediakan. Oleh itu, kerajaan perlu memberi piawaian berbeza bagi memastikan pihak yang terbabit dalam pengurusannya lebih kreatif untuk mencapai tahap diharapkan. Dalam pada itu, tiada siapa boleh menyangkal fakta bahawa tahap kemudahan yang disediakan juga tidak sama di semua sekolah dan itulah sebabnya usaha gigih sedang dilaksanakan untuk memperkasakan aspek prasarana sistem pendidikan, khususnya di luar bandar.
Satu lagi faktor yang dilihat seolah-olah menjurus kepada perbezaan tahap mutu pendidikan sekolah ialah mutu tenaga pengajarnya. Pelbagai langkah sudah diambil, tetapi sehingga ini kita masih terpaksa berdepan realiti bahawa tidak ramai daripada kelompok guru terbaik sanggup berkhidmat di pedalaman. Begitupun, kerajaan tidak bersikap apologetik terhadap perkara itu, malah sentiasa menyusun langkah memperbaikinya demi memastikan tidak berlaku diskriminasi. Ringkasnya, pelbagai usaha yang diambil untuk memperkasa agenda pendidikan negara, khususnya di luar bandar adalah bukti yang jelas terhadap komitmen ke arah itu. Saban tahun, peruntukan bagi pendidikan sentiasa mendahului sektor lain dalam bajet negara dan dari segi pecahan, sekolah luar bandar adalah penerima utamanya. Begitupun, ia harus dibuat secara seimbang, iaitu ketika sekolah pedalaman dilengkapkan, yang di bandar juga harus terus dipermodenkan. Adalah tidak adil untuk kerajaan hanya memberi kepada sekolah pedalaman dan mengabaikan terus sekolah di bandar kerana ia akan menjurus kepada diskriminasi. Apa yang penting ialah untuk semua pihak menghayati bahawa langkah meningkatkan mutu sistem pendidikan ialah proses yang dinamik dan berterusan. Ia tidak harus terhenti selepas sampai ke sesuatu tahap saja. Dalam konteks ini, pembangunan atau pemodenan sekolah perlu dilihat dari perspektif yang betul, iaitu berdasarkan kepada persekitarannya. Penambahbaikan yang dinikmati semua sekolah dari semasa ke semasa adalah bukti kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan