KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan persediaan pembukaan sesi persekolahan 2010 bermula hari ini dan esok berjalan lancar dengan setiap pelajar akan dipastikan mendapat kerusi, meja serta buku teks untuk memulakan proses pembelajaran. Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata persiapan rapi sudah dibuat sejak sebulan lalu menerusi mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Mesyuarat bertujuan meneliti secara dekat persiapan untuk menghadapi sesi baru persekolahan 2010 dan memastikan semua isu berkaitan penggal persekolahan ditangani sebelum sesi bermula. Antara aspek utama persediaan ialah memastikan bekalan buku teks, perabot dan tenaga pengajar di 10,000 sekolah seluruh negara mencukupi, selain infrastruktur di sekolah mesti bersih, kemas serta teratur. Ini termasuk penggantian perabot rosak di beberapa sekolah sekitar Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah akibat banjir. Daripada perkembangan dan laporan yang diterima, semua persiapan berjalan lancar dan berharap proses pengajaran dan pembelajaran dapat dimulakan serta berjalan seperti biasa pada hari pertama persekolahan esok (hari ini) dan lusa (esok)," katanya ketika dihubungi, semalam.
Alimuddin turut menegaskan penyeragaman bayaran tambahan untuk sesi persekolahan baru yang ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 pelajar sekolah menengah berbanding pakej pembayaran A, B dan C berdasarkan pekerjaan ibu bapa sebelum ini, sebagai tidak membebankan mereka.
"Daripada maklum balas sekolah yang menjalankan minggu orientasi untuk murid Tahun Satu, hampir 80 hingga 90 peratus ibu bapa yang menghantar anak masing-masing sudah membayar bayaran yang ditetapkan. "Sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka. Jadi, tidak timbul isu berhubung bayaran yang ditetapkan itu kerana kadarnya lebih rendah berbanding tahun lalu," katanya.
Sementara itu di KUCHING, seramai 45,256 murid Tahun Satu dan 35,818 pelajar Tingkatan Satu mendaftar di seluruh negeri ini untuk memulakan sesi persekolahan baru, esok. Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata sepatutnya empat sekolah menengah baru dibuka mulai semalam, tetapi berikutan masalah kegagalan kontraktor menyiapkan pembinaan sekolah, ia gagal menampung pelajar baru.
"Bagi mengatasi masalah itu, semua pelajar akan ditumpangkan di sekolah berdekatan dengan kita menjangka empat sekolah baru berkenaan akan dapat beroperasi sepenuhnya dan menerima pelajar antara Mac hingga Jun depan," katanya.
Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya 2, Samarahan; SMK Kemena, Bintulu; SMK Nanga Dap, Sibu dan SMK Beladin, Betong. Menurutnya, seramai 1,000 guru terlatih sekolah rendah turut dijangka memulakan tugas mereka esok di seluruh Sarawak, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan