Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Disember 31, 2009

10 PERATUS MARKAH KOKURIKULUM MASUK IPTA


Pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah berasaskan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, 10 peratus markah kokurikulum akan diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran yang bertanggungjawab menilai penglibatan pelajar dalam aktiviti tersebut.

''Markah kokurikulum yang diperoleh akan dipadankan dengan markah akademik yang diperoleh daripada agensi peperiksaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia; Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran serta Lembaga Peperiksaan untuk tujuan pemilihan pelajar ke IPTA. Dasar perkongsian data Kementerian Pengajian Tinggi dengan agensi peperiksaan dan Kementerian Pelajaran meningkatkan integriti dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Radin Umar berkata, perkara tersebut perlu dijelaskan selepas pihaknya menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai yang masih tidak pasti dengan kaedah pengiraan markah untuk masuk ke IPTA.

''Kementerian telah mengedarkan risalah lengkap ke semua sekolah menengah mulai minggu pertama November bagi menerangkan prosedur permohonan dan pemilihan ke IPTA. Pemohon digalakkan mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat dan panduan yang jelas serta tepat daripada guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sebelum mengemukakan permohonan ke IPTA," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh melayari laman web upu.mohe.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

''Orang ramai juga boleh mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi di 10 zon terpilih dari 9 Januari hingga 29 Mac 2010 untuk mendapatkan nasihat mengenai IPTA, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan tinggi lain," katanya.

Tiada ulasan: