Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Disember 24, 2009

PMR JOHOR 2009 - JUMLAH PELAJAR DAPAT SEMUA A MENINGKAT


Seramai 3,308 atau 6.12 peratus pelajar di negeri Johor berjaya memperoleh keputusan semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan hari ini.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.47 peratus berbanding 5.56 peratus tahun lalu atau 3,031 calon yang mendapat keputusan cemerlang.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, pencapaian calon PMR tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Ini berdasarkan kepada ukuran yang dibuat mengikut pencapaian keseluruhan berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.78 berbanding 2.84 tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2009 di Hotel Selesa, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 16 buah sekolah mencapai 100 peratus calon lulus berbanding 15 buah sekolah pada tahun lalu.

Antara sekolah yang berjaya mencapai 100 peratus adalah Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang; SMS Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail dan Sekolah Seni di Johor Bahru.

Berdasarkan prestasi mata pelajaran, katanya, Sejarah menunjukkan peningkatan untuk gred A iaitu 2.65 peratus, Geografi (4.32 peratus), Pendidikan Islam (2.43 peratus), Sains (o.97 peratus), KH 1-KT (2.50 peratus), KH 2-Ekonomi Rumahtangga (4.39 peratus) dan KH 3-Pertanian (3.12 peratus).
Sementara itu katanya, mata pelajaran Geografi, KT 2-ERT dan KT 3-Pertanian menunjukkan peningkatan yang signifikan untuk gred A.
"Sebanyak sembilan mata pelajaran meningkat dari segi Gerd Purata Mata Pelajaran (GPMP), antaranya Geografi, ERT, Pendidikan Islam dan Sains," katanya.

Johor adalah antara lapan negeri yang mencatatkan peningkatan peratus calon yang memperolehi A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009. Negeri-negeri lain ialah Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Sabah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan: